Followers

Carian dalam Blog ini

21 March 2010

Awas!!!...Gula racun paling manis....

21 Mac, 2010 16:35 PM

Rakyat Malaysia Masuk Lebih 51 Gram Gula Dalam Minuman Sehari

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Orang dewasa di negara ini didapati memasukkan tujuh suduh teh atau 51 gram gula sehari dalam minuman mereka, iaitu melebihi saranan pengambilan gula yang disyorkan oleh badan kesihatan dunia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pengambilan gula dalam minuman itu melebihi saranan tidak lebih 50 gram atau 10 peratus daripada keperluan tenaga harian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Ini belum lagi ditambah dengan gula yang dijadikan ramuan dalam kuih-muih, bubur, kek, ais krim, coklat dan sapuan roti yang kita makan setiap hari," katanya ketika berucap merasmikan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula 2010 di sini pada Ahad.

Kempen selama enam bulan itu turut dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Liow berkata individu perlu menaiki tangga setinggi 14 tingkat untuk membakar 20 kilokalori tenaga yang dibekalkan dalam satu sudu teh gula.

"Bayangkan, kita perlu menaiki tangga setinggi 98 tingkat jika mengambil tujuh sudu teh gula yang membekalkan 140 kilokalori tenaga sehari," katanya.

Liow berkata masyarakat perlu menyedari pengambilan gula yang banyak tanpa diiringi aktiviti fizikal yang seimbang dan bersesuaian akan menyebabkan individu mengalami kegemukan atau obesiti dalam jangka masa panjang.

Kajian kementerian itu juga mendapati orang dewasa yang berlebihan berat badan telah meningkat hampir dua kali ganda iaitu daripada 16 peratus pada 1996 kepada 29.1 peratus pada 2006, katanya.

"Manakala orang dewasa yang obes pula meningkat tiga kali ganda daripada 4.4 peratus pada 1996 kepada 14 peratus pada 2006 dan mendapati pesakit diabetes di kalangan penduduk berumur 30 tahun ke atas meningkat 8.3 peratus kepada 14.9 peratus dalam tempoh yang sama," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah mengadakan rundingan dengan industri makanan untuk menghasilkan produk makanan dan minuman yang kurang gula supaya masyarakat dapat menikmati gaya hidup yang lebih sihat.

-- BERNAMA

No comments: