Followers

Carian dalam Blog ini

27 March 2010

Peta minda Tony Buzan




SUATU hari, ketika berada di dalam tren di kota London, Tony Buzan terdengar perbualan seorang kanak-kanak perempuan dengan ibunya. Tren yang dinaiki pada pagi itu bergerak pada kadar kelajuan luar biasa.

"Mak, alangkah baiknya kalau tren ini boleh bergerak pantas sehingga masuk ke hari esok bukan?" tanya anak kecil itu dengan seronok.

Imaginasi luar biasa anak berusia empat tahun itu bagaimanapun dibalas dengan teguran dan pukulan oleh ibunya. "Jangan fikir yang bukan-bukan!" tegur si ibu.

Senario itu bagi Buzan, jelas merupakan satu contoh klasik bagaimana masyarakat umum mentakrif khayalan sebagai sesuatu yang tidak bagus, sekali gus menolak tabiat itu mentah-mentah.

Pengasas teknik pembelajaran terkemuka, Peta Minda itu sebaliknya kagum dengan kredibiliti khayalan si kecil tersebut. Sebabnya, beliau percaya setiap anak memiliki kebijaksanaan kreatif yang boleh diasah dan kreativiti itu lazimnya bermula dengan khayalan.

"Khayalan atau imaginasi itu penting. Setiap genius juga berkhayal. Malah, saintis terkemuka, Albert Einstein sendiri pernah mengakui imaginasi adalah elemen penting di sebalik kebanyakan kejayaan penemuan sainsnya.


POTENSI dan fungsi otak lebih jauh daripada yang dijangkakan.


"Jadi, saya rasa si ibu tadi tidak patut menyerang anaknya. Sebaik-baiknya, si anak harus digalakkan meluahkan khayalan itu dan lakarkan sebuah peta minda mengenainya," katanya kepada ratusan audiens pada ceramah di Institut Aminuddin Baki (IAB) di Genting Highlands baru-baru ini.

Memiliki lebih tiga dekad pengalaman dalam mengkaji potensi dan fungsi otak, Buzan mendapati otak sebenarnya bersifat sinergetik. Maksudnya, kedua-dua belah otak perlu bekerjasama bagi memperoleh keberkesanan maksimum. Percaya bahawa potensi setiap orang untuk mahir dan maju dalam semua bidang, segala-galanya berkemungkinan jika seseorang mengikut formula yang betul.

Malangnya, manusia telah menggunakan pendekatan yang salah dengan mengehadkan daya imaginasi dan keupayaan mereka untuk mengaitkan banyak perkara.

Lelaki berusia 68 tahun itu juga pernah berkata: "Semakin penyayang, baik hati, terpelajar ataupun berwawasan seseorang itu, semakin cepat dia 'jatuh' jika mengikut formula yang salah."

Pemikiran linear

Kata-kata beliau itu bukan tidak berasas. Sambil menyifatkan sistem pendidikan di kebanyakan negara telah mengunakan formula yang salah, beliau sendiri mengakui situasi sama turut melanda negara kelahirannya, Britain.

"Hampir 80 peratus daripada warga Britain telah menggunakan formula yang salah khasnya golongan kanak-kanak.


CONTOH Peta Minda yang dipraktiskan oleh individu ilham Tony Buzan.


"Malangnya, sistem pendidikan yang diikuti oleh kebanyakan orang telah membentuk pemikiran manusia yang lebih linear dan bukannya kreatif ataupun inovatif. Pemikiran linear itu hanya membolehkan manusia berfikir tentang satu siri perkara tunggal dalam satu arah," katanya sambil memberitahu satu-satunya jalan penyelesaian sekarang adalah beralih kepada pendekatan yang lebih efektif.

Pernah sekali, Buzan menyaksikan sekitar 50,000 orang kanak-kanak yang menonton konsert The Beatles mampu mendendangkan lagu-lagu tersebut walaupun selepas konsert itu tamat.

Kejadian itu nyata cukup terkesan di dalam mindanya. Sebabnya, beliau yakin pendedahan dan pembelajaran menyeronokkan seperti konsert itu sebenarnya mampu mempertingkatkan memori seseorang kanak-kanak.

Populariti Buzan mula meletup sekitar 1970-an selepas beliau memperkenalkan teknik Peta Minda menerusi buku pertamanya, Use Your Head. Hakikatnya, Peta Minda lahir daripada pengalaman peribadinya.

Cara otak berfungsi

Sewaktu berada di universiti pada lingkungan usia 20-an, Buzan mendapati tahap pembelajaran dan memorinya bertambah teruk biarpun lambakan nota yang diperlukan telah disalin.

Namun, klimaks pencarian jawapan untuk masalahnya itu berlaku apabila beliau cuba mendapatkan bahan bacaan mengenai fungsi otak di perpustakaan. Sayang sekali, bahan-bahan yang dicari itu tiada dan Buzan sebaliknya diarahkan ke bahagian psikologi oleh pustakawan.

Sedar akan ketiadaan bahan bacaan seperti itu dan gagal mengenal pasti punca kepada masalahnya, dia mula mengkaji cara otak berfungsi. Pada ketika itulah baru beliau nampak satu masalah besar pada nota-nota tersebut.

"Nota-nota saya nampak tidak berwarna-warni dan bosan! Patutlah saya tidak ingat!" ceritanya kepada Kosmo! sambil mengakui beliau memasang impian untuk menjadi orang yang bijak.

Malah, satu statistik ringkas juga pernah mendedahkan manusia melupakan 80 peratus daripada maklumat terperinci bahan yang dipelajari dalam tempoh 24 jam.

Buzan kemudiannya bereksperimen dengan ringkasan dan memadatkan nota-nota ke dalam kata kunci utama serta konsep. Ringkasan bergelar Peta Minda yang pada asalnya direka untuk membantu memperbaiki tahap memori diri itu kini menjadi antara peralatan paling popular dalam kalangan golongan pendidik.

Teknik pembelajaran Peta Minda membolehkan kita melihat imej dan jalinan-jalinan pengetahuan secara serentak. Rangkaian imej dan jalinan kaitan di antaranya sekali gus memudahkan pembaca mengingati sejumlah maklumat dalam masa yang singkat.

Nota Peta Minda

Peta Minda lazimnya bermula dengan satu imej di tengah-tengah kertas sama ada menggunakan lakaran tangan mahupun perisian komputer. Daripada imej tengah atau konsep pusat, ia memancar keluar seakan-akan cabang-cabang pokok ataupun urat-urat darah yang mengalir dari jantung. Cabang-cabang atau urat-urat itu melambangkan apa yang terkandung di dalam fikiran anda.

"Saya dapati daya ingatan bertambah baik apabila pelbagai warna dan imej digunakan untuk mencatatkan nota pada Peta Minda," tambahnya.


KONSEP, warna dan imej dapat membantu meningkatkan keupayaan fungsi otak. - Gambar hiasan


Tidak hanya terhad kepada satu-satu subjek pembelajaran, Peta Minda sesuai diaplikasikan dalam apa juga bidang, baik untuk matematik, geografi, sejarah mahupun bagi tujuan menilai sesuatu situasi dan masalah.

Selain diaplikasikan oleh golongan masyarakat normal, Buzan turut menyarankan agar teknik Peta Minda diperkenalkan kepada kelompok masyarakat istimewa. Golongan yang mengalami masalah pembelajaran seperti disleksia dan autistik didapati lebih mudah menyerap sesuatu tugasan setelah didedahkan kepada teknik tersebut. Lebih-lebih lagi dalam membuka fungsi kedua-dua belah otak mereka.

Seorang pensyarah kanan di IAB, Audrey Lim Bee Yoke yang ditemui Kosmo! berkata, beliau telah mencuba sebahagian daripada aspek integrasi fungsi kedua-dua belah otak anak autistiknya.

"Saya gunakan konsep, warna dan imej seperti yang disarankan oleh Buzan kerana saya percaya otak seharusnya berfungsi secara sinergetik dan bukan hanya tertumpu kepada sebelah otak. Memang dia memberi tindak balas terhadap warna yang digunakan," katanya sambil memberitahu usaha tersebut adalah sebahagian daripada beberapa intervensi untuk anaknya.

Buzan yang dilantik sebagai Resident Thinker di Kolej Wellington, Britain, memberitahu, Peta Minda boleh diperkenalkan kepada anak seawal usia setahun. Malah, teknik tersebut dikatakan telah dipraktikkan oleh si kecil sejak dalam kandungan ibu.

Hari ini, teknik tersebut digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat di serata dunia termasuk syarikat-syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500. Dengan 98 buah buku nukilannya yang mencecah jualan jutaan naskhah di seluruh dunia, Buzan kini boleh tersenyum puas.

Menerusi kejayaan bukunya yang diterbitkan di lebih 150 buah negara dan diterjemahkan ke dalam 30 bahasa, siapa lagi yang layak digelar guru pembangunan otak dan kreativiti jika bukan Buzan.


Tony Buzan


Kehadirannya di Malaysia kali ini sebenarnya bersebab. Buku Panduan Kemahiran Belajar Buzan dalam versi Bahasa Malaysia yang pertama dilancarkan sempena program Meneroka Minda-Minda Hebat anjuran IAB.

Ia merupakan satu siri daripada empat buah buku Buzan terbitan Utusan Publications & Distributors (UP&D) Sdn. Bhd. yang akan dilancarkan pada tahun ini. Tiga buah buku yang lain ialah Buku Memori, buku Peta Minda dan Peta Minda untuk Bisnes.

Belum bercadang untuk meninggalkan dunia penyelidikan fungsi otak, Buzan ingin terus memberi inspirasi bahawa dengan formula yang betul, bahawa imaginasi juga boleh menjadi realiti.

No comments: