Oleh Haslin Gaffor
BELURAN (Sabah), 17 Mac (Bernama) -- Seorang guru yang telah mengajar di kawasan pedalaman selama hampir 25 tahun masih mendapati banyak lagi yang perlu dilakukan beliau untuk membantu pelajar luar bandar.
Hassan Mentiak, guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Lubang Buaya, yang terletak di kawasan terpencil di sini memulakan karier sebagai guru di sekolah yang sama sebagai guru sandaran pada 1986.
Hassan yang berasal dari pekan Beluran mengingati kembali bagaimana perjalanan beliau untuk sampai ke sekolah berkenaan ketika itu, yang terpaksa melalui jalan darat dan menaiki bot, yang mengambil masa hampir satu hari.
Namun, semua itu tidak menjadi penghalang kepada beliau, yang meminati kerjaya sebagai pendidik, kerana matlamatnya adalah untuk membantu masyarakat di luar bandar keluar dari belenggu kemiskinan melalui pelajaran.
Bagaimana beliau yakin hanya melalui pelajaran, seseorang itu boleh mengubah diri dan kehidupan keluarga, berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri.
PERTAMA KALI DIHANTAR BERTUGAS
Pertama kali dihantar bertugas di SK Lubang Buaya pada 1986, dia tidak sama sekali risau mengenai lokasi sekolah berkenaan yang terletak jauh dan terpencil di luar bandar.
"Ketika itu saya hanya memikirkan untuk menabur bakti kepada anak bangsa terutama mereka yang berada di luar bandar dan membantu mereka keluar dari belenggu kemiskinan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di SK Lubang Buaya ketika lawatan kerja Anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee baru-baru ini.
Pada masa sekarang, SK Lubang Buaya, yang terletak di kawasan Sugud, masih dalam kategori antara sekolah terpencil di daerah ini dan untuk sampai ke situ mengambil masa empat jam dari sini menggunakan kenderaan hingga ke Jambatan Sungai Paitan di Jalan Sapi Nangoh-Paitan dan disusuli menaiki bot selama dua jam.
Sekolah ini membuka sesi persekolahan untuk Tahun 1 hingga Tahun 6 dan pada tahun ini akan membuka sebuah kelas untuk Pra-Sekolah.
Kampung ini dihuni kira-kira 350 penduduk terdiri daripada suku kaum dusun dengan kebanyakan mereka bekerja sendiri sebagai nelayan dan petani.
Untuk membeli barang keperluan rumah, penduduk kampung lebih tertumpu ke pekan terdekat iaitu di Kota Marudu yang mengambil masa tiga hingga empat jam untuk sampai ke situ.
CABARAN BERTUGAS
Bagi Hassan, setelah mengajar di sekolah itu sejak sekian lama, dia sudah biasa menghadapi semua cabaran itu dan kini menjadikan Kampung Lubang Buaya ini sebagai kampung keduanya.
Namun begitu, dia mahu melihat pembangunan di kampung itu terutama dalam aspek menaikkan prasarana dan kemudahan yang terdapat di SK Lubang Buaya.
Katanya masalah mendapatkan bekalan air bersih dan kekurangan kelas serta rumah guru masih dihadapi sekolah tersebut.
"Hanya terdapat sebuah rumah guru di sekolah itu dan pada masa sekarang terdapat empat guru mendiami rumah berkenaan.
"Dua lagi guru terpaksa tinggal di kelas yang diubah suai menjadi rumah, manakala seorang lagi guru tinggal bersama keluarga yang juga penduduk kampung berkenaan," katanya.
Hassan juga menjelaskan bahawa masalah utama yang dihadapi murid di sini, yang turut dialami oleh mana-mana sekolah kawasan pedalaman ialah aspek pengangkutan ke sekolah.
Katanya ramai murid menggunakan khidmat bot untuk ke sekolah dan jika berlaku banjir atau air sungai cetek, ia akan menjejaskan jumlah kehadiran murid.
KEKURANGAN PRASARANA
"Inilah masalah yang dihadapi oleh murid di sekolah ini dan bagi mengatasinya perlu ada sebuah asrama desa bagi membolehkan murid yang jauh tinggal di situ.
"Ia bukan sahaja mampu menyumbang kepada pencapaian akademik murid di sekolah tetapi dapat memastikan keselamatan mereka terjamin kerana ramai di antara mereka menggunakan bot untuk ke sekolah," katanya.
Sementara itu, anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee berkata, beliau akan memastikan projek membina rumah guru di SK Lubang Buaya akan disiapkan selepas projek itu terbengkalai.
Timbalan Pengarah Pembangunan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Yunus Charlie Charington yang turut menyertai lawatan itu memberi jaminan akan memberi perhatian terhadap perkara itu dan beliau sendiri akan membuat susulan.
Menurut Ronald masalah mendapatkan bekalan air bersih di sekolah itu juga akan diatasi dengan penambahan beberapa lagi tangki air yang berkapasiti besar bagi menampung keperluan guru dan murid.
Beliau berkata penyediaan prasarana dan kemudahan untuk pendidikan menjadi keutamaan kepada beliau kerana menyedari aspek pendidikan mampu mengubah hidup sesebuah keluarga terutama dari belenggu kemiskinan.
"Saya sendiri datang dari keluarga miskin dan berkat usaha ibu bapa menyekolahkan saya hingga ke menara gading, kini saya dapat mengubah hidup keluarga serta diri saya sendiri. Saya ingin melihat perkara yang sama bagi murid berkenaan".
-- BERNAMA
Followers
Carian dalam Blog ini
17 March 2010
Azam Seorang Guru Di Pedalaman Sabah
7 Mac, 2010 13:28 PM
Labels:
Isu pendidikan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment