norlaila@hmetro.com.my
2010/02/28
Benarkah ada pil makanan tambahan yang benar-benar memberi kesan positif secara langsung kepada otak? Atau adakah ia hanya strategi pemasaran untuk menarik orang membeli? Tidakkah makanan yang kita ambil setiap hari tidak mencukupi atau tidak mampu merangsang keupayaan otak?
Sebenarnya kita tidak perlu bergantung kepada pil makanan tambahan kerana makanan seimbang (mengandungi tiga hingga lima hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan) sudah cukup untuk membekalkan semua khasiat diperlukan badan, termasuk otak untuk berfungsi dengan baik, kata Ketua Perunding Pemakanan Hospital Assunta, Lau Wai Hon.
Ini kerana sayur-sayuran dan buah-buahan mengandungi banyak antioksidan, iaitu bahan penting yang sangat penting untuk merangsang aktiviti neuron dalam otak.
Neuron atau sel saraf adalah sel yang teruja oleh ‘arus elektrik’ dalam otak; bertanggungjawab memproses dan memindahkan maklumat melalui isyarat elektro kimia.
Isyarat dan maklumat ini dipindahkan dari satu neuron (sel saraf) ke neuron lain melalui ruang kecil antara sel yang dipanggil sinaps. Neuron boleh diumpamakan seperti cabang pokok yang mempunyai banyak ranting halus (dendrit) dan ranting ini bertugas menerima isyarat. Isyarat akan dipindahkan dengan bantuan pergerakan ion natrium dan potasium untuk sampai ke ranting lain (pada neuron atau sel saraf lain). Pergerakan ion ini akan membentuk gelombang elektrik yang membolehkan isyarat melalui sinaps untuk disampaikan ke neuron sebelahnya.
Ini sebabnya kita perlu mengambil makanan seimbang dengan melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana ia bukan saja mengandungi vitamin yang bertindak sebagai antioksidan, tetapi turut membekalkan pelbagai garam galian (mineral), termasuk natrium dan potasium bagi membolehkan sel otak berfungsi secara optimum.
“Pemilihan makanan sangat penting untuk memastikan seluruh badan menerima semua khasiat diperlukan, bukan hanya pada otak. Namun memang diakui makanan, terutama yang kaya dengan bahan antioksidan, boleh merangsang aktiviti neuron di samping memberi sumbangan kepada sel lain dalam badan. “Cara paling praktikal ialah mengamalkan pemakanan seimbang. Bagaimanapun, dengan gaya hidup moden yang sibuk dan kerap makan di luar (atau bergantung kepada masakan di restoran), ramai tidak dapat menerapkan konsep pemakanan seimbang dalam hidup mereka. Jika perkara ini berlarutan, akan timbul masalah kekurangan zat walaupun berlebihan makan.
Antara pilihan sayur-sayuran dan buah-buahan:
l Ungu — beri, terung, kubis merah, akar bit
l Hijau (berdaun) — sayur berdaun hijau, ulam, sawi, kangkung
l Putih (bawang) — semua jenis bawang
l Hijau (cruciferous) — kubis, brokoli, brussels sprout, pak choy
l Merah/jingga/kuning — tomato, lobak merah, keledek, labu, lada benggala merah/kuning, buah-buahan
Walaupun kebanyakan kajian mengenai makanan yang baik untuk otak merujuk kepada buah-buahan atau sayur-sayuran di luar negara, ia tidak bermakna sayur dan buah tempatan kurang berkhasiat. Yang diperlukan sekarang ialah lebih banyak kajian berkaitan penyembuhan penyakit ke atas sayur dan buah tempatan supaya ia boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh penduduk negara ini.
“Lebihkan pengambilan makanan penuh iaitu makanan yang tidak diproses atau ditapis, atau mengalami pemprosesan atau penapisan minimum. Contohnya sayur-sayuran, buah-buahan dan beras perang. Kurangkan makanan yang diproses seperti makanan berasaskan tepung, gula, beras putih, sosej, daging burger dan naget.
“Kurangkan juga penggunaan perisa makanan segera yang semakin banyak di pasaran. Ini termasuk perencah masakan segera, kiub ayam atau ikan bilis, monosodium glutamat (MSG) dan beraneka jenis sos kerana ia mengandungi banyak garam dan bahan awet. Sebaliknya, gantikan perencah ini dengan rempah semula jadi seperti serbuk lada hitam, cengkih, kayu manis, bunga lawang, jintan, daun sup, daun bawang, kunyit, halia, lengkuas atau serai yang boleh menaikkan rasa masakan,” katanya.
Pil makanan tambahan
Menurut Lau, jika sukar mengamalkan pemakanan seimbang, kekurangan zat boleh ditampung dengan mengambil pil makanan tambahan.
Untuk otak, pilih pil makanan tambahan mengandungi kumpulan vitamin B yang boleh membantu mengurangkan tekanan. Dalam keadaan kekurangan zat, pil makanan tambahan tidak lagi berfungsi sebagai pelengkap, sebaliknya menjadi menjadi rawatan untuk mengelak pelbagai masalah kesihatan jika kekurangan zat berterusan.
Bagaimanapun, pil makanan tambahan tidak perlu jika kita bersedia melakukan perubahan pemakanan ke arah lebih baik. Memang diakui, mengambil pil makanan tambahan lebih mudah berbanding mengamalkan pemakanan seimbang, tetapi Lau mengingatkan kita supaya lebih berhati-hati sebelum membeli produk yang mendakwa menawarkan pelbagai manfaat kesihatan.
“Kebanyakan dakwaan itu adalah strategi pemasaran. Kita perlu lihat siapa pengeluarnya, adakah ia dikeluarkan pengusaha yang mempunyai prestasi cemerlang dalam penghasilan pil makanan tambahan. Pada masa sama, pastikan kuantiti atau dos vitamin yang dibekalkan dalam setiap biji pil supaya tidak alami masalah berlebihan dos. “Bagi vitamin larut air, ia boleh dikeluarkan dari badan melalui air kencing tetapi bagi vitamin yang larut lemak, ia akan berkumpul dalam badan dan sukar disingkir. “Ini penting, terutama bagi individu yang sememangnya ada masalah kesihatan. Justeru, sebelum mengambil makanan tambahan, termasuk persediaan tradisional seperti herba, rujuk dulu kepada doktor,” katanya.
Makanan yang baik saja tidak cukup untuk meningkatkan keupayaan otak (daya ingatan, tumpuan dan kepekaan) kerana minda kita perlukan rangsangan dalam bentuk mental dan fizikal. Keadaan ini sama bagi semua peringkat umur, sama ada kanak-kanak atau orang dewasa.
“Jangan cepat terpengaruh dengan dakwaan pengeluar produk yang mengatakan barangan mereka diperkaya asid eikosapentanoik (EPA) dan asid dokoheksanoik (DHA) khususnya untuk kanak-kanak. “Memang kajian membuktikan dua asid ini boleh membantu merangsang aktiviti neuron, tetapi ia tidak menjanjikan seseorang kanak-kanak yang mengambil produk mengandungi bahan ini akan jadi pandai. “Mereka masih perlu belajar bersungguh-sungguh dengan memberi perhatian dalam kelas, mengulang kaji dan membuat latihan di rumah untuk berjaya dalam peperiksaan. “Ini antara teknik untuk merangsang aktiviti sel otak supaya ia menjadi lebih aktif. Makanan saja tidak akan membuatkan seseorang menjadi pandai. “Keadaan ini juga sama pada pesakit strok. Apabila seseorang diserang strok (serangan otak akibat salur darah ke otak tersumbat atau pecah), ada bahagian dalam otak yang rosak dan mengakibatkan pesakit hilang satu-satu kemahiran. “Antara pendekatan yang digunakan dalam rawatan strok ialah merangsang otak mereka dengan menggalakkan pesakit melakukan pelbagai aktiviti dan biasanya ia membabitkan rutin harian. “Apabila mereka melakukan satu-satu perkara berulang kali, ia akan merangsang sel otak untuk berfungsi dengan lebih baik,” katanya.
Malah banyak kajian menyarankan kita selalu merangsang otak dengan aktiviti yang mencabar minda seperti teka silang kata, menyelesaikan masalah matematik mudah, bermain Sahibba, membuat kerja kreatif atau banyak membaca.
Apa perlu dilakukan untuk mengekal dan meningkatkan kemampuan minda?
Lau berkata, perkara paling asas ialah mengamalkan gaya hidup sihat, mengambil pemakanan seimbang, jangan terlebih makan atau makan pada lewat malam. Sajian terakhir mestilah sekurang-kurangnya tiga jam sebelum tidur untuk memberi cukup masa kepada sistem pencernaan memproses makanan. Jika makan sejurus sebelum tidur, sistem pencernaan masih bekerja ketika tidur dan ini akan membuatkan badan tidak cukup rehat.
“Kurangkan kopi walaupun ada kajian yang mengatakan biji kopi mengandungi antioksida yang boleh merangsang minda. Bagaimanapun, lebih baik jika tidak minum kerana biasanya orang minum kopi secara berlebihan, bukan sekadar secawan sehari. Bahan sampingan dalam kopi seperti gula, jika diambil berlebihan, akan mendatangkan kemudaratan.
“Apabila memasak, pilih kaedah sihat seperti kukus, rebus atau bakar. Elak sayur-sayuran dimasak terlalu lama kerana bahan antioksidan seperti vitamin mudah musnah oleh suhu tinggi,” katanya.
Pada masa sama Lau juga menyarankan kita bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Senaman adalah cara paling mudah dan murah untuk melancarkan aliran darah, sekali gus boleh memperbaiki daya tumpuan, kepekaan dan ingatan. Makan ikut waktu dan mesti bersarapan. Sarapan adalah sumber tenaga pertama selepas badan berpuasa selama enam hingga lapan jam ketika kita tidur.
Sarapan membekalkan tenaga penting yang membantu otak untuk lebih aktif. Malah, ada kajian menunjukkan individu yang bersarapan kurang terdorong memilih makanan banyak lemak ketika sajian selanjutnya (tengah hari dan malam) yang secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah berat badan berlebihan.
Antara saranan diberi pakar pemakanan meningkatkan fungsi otak ialah:
l Lebihkan pengambilan ikan — protein ikan, terutama ikan laut dalam yang mengandungi asid lemak omega 3, boleh membantu mengekalkan kemampuan minda, mengurangkan risiko dementia dan kehilangan ingatan
l Makan kekacang dan sedikit coklat — Ia kaya dengan vitamin E (antioksidan), tetapi jangan ambil berlebihan kerana ia mengandungi banyak lemak
l Lebihkan sayur-sayuran berwarna dan buah-buahan
l Galakkan anak makan telur — kuning telur kaya dengan kolin yang membantu daya ingatan.
l Susu dan yogurt — produk tenusu kaya dengan protein dan vitamin B yang sangat diperlukan untuk pertumbuhan tisu otak, neurotransmiter dan enzim
l Tidur malam secukupnya (enam hingga lapan jam)
l Kerap bersenam
l Kurangkan makanan ringan
l Berhenti merokok — Kajian ke atas kakitangan kerajaan di Britain menunjukkan perokok mempunyai prestasi kerja yang kurang cemerlang berbanding individu tidak merokok.
l Meditasi untuk merehatkan badan dan menenangkan fikiran — bagi umat Islam, sembahyang dan lain-lain ibadat adalah cara terbaik untuk mententeramkan jiwa.
No comments:
Post a Comment