Followers

Carian dalam Blog ini

14 March 2010

Perang nafsu lawan panas baran


Mohd Zawawi Yusoh
Metro
2010/02/12

ADA satu kisah yang biasa kita dengar daripada ustaz dan guru berkenaan hebatnya Saidina Ali mengawal perasaannya. Dalam satu peperangan, ketika bertempur dengan seorang musuh, beliau punya kesempatan bagi menghapuskan riwayat musuh, tetapi tiba-tiba musuh meludah ke mukanya.

Ketika mengangkat pedang untuk menetak musuh itu, tiba-tiba beliau berhenti seketika. Lalu musuh bertanya: "Kenapa kamu tidak bunuh saja aku?" Beliau menjawab: "Aku tidak ingin membunuhmu kerana perasaan marahku. Marah kerana engkau meludah ke mukaku...berperang kerana agama adalah kebenaran, tetapi berperang kerana marah adalah kerana nafsu." Tazkirah kali ini bukan hendak bercerita soal perang di medan jihad, tetapi adalah perang nafsu melawan panas baran. Lihat bagaimana hebatnya Saidina Ali mengendalikan perasaan beliau, walaupun berada dalam keadaan genting, beliau dapat membezakan antara tuntutan agama dan nafsu amarah.


Kerana bimbang bertindak tidak mengikut tuntutan agama, beliau sempat memberhentikan kelajuan kilauan tetakan pedang berkenaan kerana memiliki ketajaman rohani rabbani. "Ya Allah pilihlah kami bersama generasi hebat ini. Inilah generasi yang syaitan berputus asa menghadapi mereka. Selayaknya mereka menjadi peneroka dan pembina kecemerlangan." Lain pula halnya pada zaman kita yang serba 'hot' dan 'baran' ini. Bertindak ikut nafsu amarah, orang lain fikir kemudian, yang penting diri aku. Inilah perangai orang panas baran. Orang panas baran ini asyik hendak orang lain menjaga perasaan mereka, tetapi mereka dia tidak pula menjaga perasaan orang lain. Tidak salah untuk merasa marah, tetapi biarlah kena pada tempatnya, bukan kerana perkara kecil dan remeh. Selagi boleh bersabar, kita perlu sabar. Lebih besar ganjarannya apabila kita bersabar.


Sebenarnya panas baran, kepala angin, naik hantu yang disebabkan kesukaran menangani perasaan marah boleh menyebabkan seseorang itu hilang perasaan malu. Mereka sanggup bertindak di luar batasan dan tidak mustahil boleh mencederakan orang lain. Perasaan marah yang tidak terkawal boleh memusnahkan apa saja dan merasa orang di sekeliling mereka semua salah. Ada saja yang tidak kena. Sifat ini ibarat bom masa yang akan meletup tanpa diduga, tempat dan mangsanya. Guru yang panas baran akan ditakuti dan digeruni anak muridnya. Malah, mereka akan takut untuk menegur guru itu walaupun membuat kesalahan ejaan pada papan hitam. Peniaga yang panas baran akan kehilangan pelanggan. Suami yang panas baran akan menyebabkan perceraian. Ini disebabkan isteri tidak tahan kerana selalu kena marah dan kena pukul. Sikit-sikit naik angin dan perkara ini sudah semakin banyak berlaku. Masalah di tempat kerja dibawa ke rumah. Isteri yang panas baran pun akan memecahkan kerukunan rumah tangga juga. Asyik hendak marah tidak tentu pasal, ada saja yang tidak kena pada suami dengan mengungkit dan membanding dengan rumah tangga orang lain.


Apabila marah tidak kira tempat; kadang-kadang di pasar raya, depan orang ramai, majlis kenduri kahwin, parahlah isteri macam ini. Mak dan ayah yang panas baran akan ditakuti anak maka tidak wujud kemanisan dalam berkeluarga.


Anak takut hendak meluahkan masalah dan kemudian merasa tertekan. Sikap marah dan panas baran adalah antara pintu syaitan datang masuk ke pintu hati manusia. Nabi Muhammad s.a.w pernah berpesan tiga langkah mengatasi perasaan marah dan panas baran. Pertama, mengawal lidah iaitu berdiam diri dan mengubah posisi (misalnya, jika berdiri hendaklah duduk, kedua, dan ketiga, mengambil wuduk dan beristighfar serta membaca al-Quran).

No comments: