Followers

Carian dalam Blog ini

29 December 2011

DNA Dapat Selamatkan Kanak-kanak Daripada Diperdagang

DNA Dapat Selamatkan Kanak-kanak Daripada Diperdagang

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Kanak- kanak merupakan harta yang tidak ternilai harganya, namun masih ada sesetengah manusia berhati binatang, sanggup meletakkan harga ke atas mereka yang tidak berdosa itu.

Saban hari terpapar di dada akhbar, kaca televisyen, corong radio dan layaran internet kisah kanak-kanak diperdagangkan. Entah apa yang tersirat di wajah dan hati yang penuh dengan kesedihan itu.

Mereka disuruh memegang senjata untuk membunuh orang lain, dipaksa menjual tubuh di lorong-lorong gelap, bekerja tanpa mengenal erti penat lelah di kilang serta ladang - dalam erti kata lain, menjadi hamba pada zaman yang serba moden ini.

Persoalannya, bagaimana untuk menghentikan perhambaan zaman moden kanak-kanak ini dan seterusnya memastikan manusia berhati binatang yang menganiaya mereka itu dibawa ke muka pengadilan?

"Sungguh pun mereka ini bukan anak kandung kita, sanggupkah kita melihat mereka diperlakukan sedemikian?" soal Dr Jose A. Lorente, Pengarah Makmal Pengenalan Genetic, University of Granada di Sepanyol.

Dr Lorente ditemubual Bernama selepas bengkel DNA-Prokids : The Use of DNA to Fight Human Trafficking (Penggunaaan DNA Untuk Membanteras Pemerdagangan Manusia) di sini, satu program yang diasaskan olehnya pada tahun 2004 untuk membanteras pemerdagangan kanak-kanak.

Apa yang menarik tentang program itu ialah penggunaan DNA dalam menyelamatkan 'hati-hati yang tidak berdosa' itu.

DNA PENYAMBUNG KASIH KELUARGA

"Bagi manusia, DNA memang sesuatu yang istimewa. Semua ahli sesebuah keluarga berkongsi DNA serupa. DNA kita serupa dengan DNA anak-anak dan ibu bapa kita.

"Begitu indah ciptaan rangkaian DNA ini sehinggakan membolehkan kita mengesan balik keluarga dan asal-usul keturunan kita. Jadi, inilah asas kepada program kami yang dinamakan DNA-Prokids," katanya.

Dalam merealisasikan matlamat memerangi pemerdagangan kanak-kanak, DNA-Prokids mengumpul DNA daripada dua kumpulan iaitu DNA daripada kumpulan kanak-kanak dan DNA daripada kumpulan yang kehilangan anggota keluarga mereka.

Menurut Dr Lorente, DNA kumpulan kanak-kanak itu diambil daripada kanak-kanak yang ditemui tinggal di jalanan, rumah perlindungan, rumah anak yatim dan pusat pengambilan anak angkat yang ditubuhkan secara haram.

"Jadi, kami lakukan padanan silang antara dua kumpulan DNA. Jika kami jumpa padanan, kami akan hubungi pihak berkuasa serta-merta untuk menghubungkan semula kanak-kanak itu dengan keluarga mereka," katanya.

DNA-Prokids juga mampu memberikan satu alat bagi pihak berkuasa membanteras aktiviti pemerdagangan kanak-kanak serta membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

"Kami sudah punyai semua teknologi yang diperlukan untuk menjayakannya. Persoalannya, bagaimanakah cara untuk menggalakkan semua negara di dunia untuk turut terlibat dalam mencipta satu pangkalan data DNA yang besar?" katanya.

MEMBANGUN PANGKALAN DATA DNA

Dr Lorente berkata masalah utama yang dihadapi DNA Prokids dalam membangunkan sebuah pangkalan data DNA seluruh dunia ialah kerahsiaan maklumat terhadap identiti pemilik DNA itu.

Sudah tentu setiap negara di dunia ini tidak mahu memberikan apa-apa maklumat berbentuk identiti rakyatnya kepada agensi asing seperti DNA-Prokids, apatah lagi maklumat identiti daripada DNA.

"Untuk mengatasi masalah ini, kami telah menyediakan dua set pangkalan data DNA. Satu disimpan oleh negara asal, di mana ia mengandungi semua maklumat identiti seperti nama, gambar dan kod DNA.

"Set kedua dipegang DNA-Prokids. Ia merupakan pangkalan data sedunia yang hanya mengandungi kod DNA dan nombor rujukan. Tiada maklumat pengenalan," katanya.

Padanan DNA akan dilakukan pada pangkalan data DNA-Prokids itu yang mengandungi dua kumpulan DNA iaitu kanak-kanak dan ibu bapa. Apabila padanan ditemui, DNA-Prokids akan memberitahu negara terlibat bagi negara itu mengambil tindakan selanjutnya.

Menurut Dr Lorente sejak program DNA-Prokids memulakan program perintis pengumpulan DNA pada 2006 di Guatemala, program itu berjaya menemui 480 padanan dan berjaya mengelakkan sebanyak 220 pengambilan anak angkat secara haram.

"Antara pencapaian kami yang paling membanggakan adalah di Haiti, tahun lepas. Selepas gempa bumi, 25 kanak-kanak Haiti diculik ke Bolivia. Melalui program DNA-Prokids, kami berupaya menemui semula 13 daripada mereka yang dilaporkan hilang oleh ibu bapa mereka di Haiti.

"Pihak berkuasa di Bolivia dan Haiti berjaya menghalang pemerdagangan kanak-kanak ini menggunakan DNA-Prokids, dan akhirnya dalang di sebalik penculikan itu berjaya diberkas hasil bukti yang disediakan oleh DNA-Prokids," kata Dr Lorente.

Kerjasama dua negara amat penting dalam memastikan kejayaan DNA-Prokids. Bagi Dr Lorente, adalah misi utama dalam hidupnya memastikan DNA-Prokids mencapai lebih banyak kejayaan bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak dikembalikan kepada keluarga yang menyayangi mereka.

PENGUMPULAN DNA SELURUH DUNIA

"Kini terdapat 2,700 DNA dalam pangkalan data kami, dan kami perlu menyelamatkan lagi ramai kanak-kanak," kata Prof Dr Arthur J. Eisenberg, Pengerusi Jabatan Forensik dan Penyiasatan Genetik dari University of North Texas, Amerika Syarikat.

Dr Eisenberg yang merupakan seorang daripada saintis utama DNA-Prokids berkata program itu akan membantu negara yang menyertainya mengumpul dan menganalisis DNA yang diperlukan.

"Ini hanya boleh dibuat dengan menghantar sampel DNA kepada DNA-Prokids. Kami akan melakukan ujian dan menghantar balik data DNA itu kepada negara asal. Bagi negara yang mempunyai kemudahan ujian DNA, kami akan mencari cara untuk berkongsi pangkalan data DNA bersama-sama.

"Kami juga menyediakan kit pengumpulan DNA secara percuma ke negara itu. Perkongsian maklumat ini tidak akan membahayakan kerahsiaan genetik peribadi kerana hanya bentuk pengenalan bernombor akan digunakan," katanya.

Mengulas mengenai cadangan mengembangkan pangkalan data DNA-Prokids dengan perkongsian kod DNA daripada projek pengumpulan data penduduk dunia lain, Dr Eisenberg berkata ia mustahil untuk dilakukan.

"DNA yang kami kumpul diberi secara sukarela, jadi kami hanya dapat menggunakannya untuk membanteras pemerdagangan kanak-kanak. Lagipun, data DNA lain tidak sesuai kerana berlainan jenis dan teknologi," katanya.

Menurut Dr Eisenberg, media memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat tentang adanya program ini bagi membantu pencarian kanak-kanak yang hilang dan kepentingan program ini kepada setiap negara di dunia.

"Orang ramai patut tahu ada cara lain yang lebih berkesan untuk mencari kanak-kanak hilang. Pihak berkuasa pula patut sedar DNA-Prokids merupakan satu cara lain yang boleh digunakan untuk menangani pemerdagangan kanak-kanak," katanya.

MASA HADAPAN DNA-PROKIDS

"Pada masa hadapan, kami harap agensi penguatkuasaan undang-undang seperti pihak imigresen dapat menguji DNA di lokasi. Ini akan mengambil masa hanya 45 minit berbanding tiga jam bagi satu sampel sekarang.

"Jadi, bila mereka mendapat hasil, mereka boleh menyemak silang dengan mudah dengan pangkalan data DNA-Prokids dalam beberapa saat sahaja.

"Saya ada tiga anak perempuan dan empat orang cucu, dan tidak boleh membayangkan hidup tanpa mereka. Bayangkan pula perasaan ibu bapa mangsa," kata Dr Eisenberg.

Pada masa ini Brazil, Guatemala, Indonesia, Mexico, Nepal, Philiphines, Sri Langka and Thailand telahpun menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) untuk menyertai DNA-Prokids.

Malaysia bersama lapan lagi negara lain Colombia, El Salvador, Honduras, India, Korea, Paraguay, Peru dan Vietnam sedang dalam perbincangan untuk menandatangani MOU dengan DNA-Prokids.

Mengakhiri temubual dengan Dr Lorente dan Dr Eisenberg, penulis sempat berterima kasih atas usaha dilakukan mereka dan berharap dengan lebih banyak negara menyertai DNA-Prokids, perbuatan keji memperdagang kanak-kanak dapat dihapuskan buat selamanya.

-- BERNAMA