Followers

Carian dalam Blog ini

17 July 2016

Masa Depan Malaysia Dalam Krisis Laut Cina Selatan


Ketika ramai rakyat Malaysia menyangka bahawa lanskap politik nasional sudah cukup ganas berkocak tatkala ini, rupa-rupanya di ‘belakang rumah’ mereka ada ribut dan badai yang lebih dahsyat, yang hanya menanti masa untuk datang menderu.

Kemelut politik di Malaysia di antara Dato’ Seri Najib dan penyokongnya serta Tun Dr Mahathir dan penyokongnya telah mencuri perhatian segenap lapisan rakyat Malaysia semenjak hujung tahun lepas lagi. Tanpa kita sedari, krisis pertikaian antara pelbagai negara termasuklah Malaysia sendiri di Laut Cina Selatan semakin rancak berlaku, dan mula menunjukkan pelbagai perkembangan yang sepatutnya menggusarkan kita.

Aktiviti Ketenteraan Meningkat

Hari demi hari berlalu, tiada tanda bahawa ketegangan perseteruan antara US dan China dalam membina pengaruh mereka di kawasan Laut Cina Selatan akan mereda. Malah dalam perkembangan terkini, pergerakan kedua-dua belah pihak kelihatan semakin agresif dalam menunjukkan taring ketenteraan mereka.

US giat mengarahkan kapal-kapal tentera mereka masuk ke perairan Laut Cina Selatan, selain mula meletakkan jet-jet pengebom strategik (strategic bombers) di pengkalan di Australia. China yang sudahpun membina pengkalan tentera di kepulauan Paracel sejak beberapa tahun lepas, mengejutkan ramai pihak apabila mereka dilaporkan sudahpun menghantar ‘HQ-9 anti-air missiles’ di kepulauan tersebut.

Meskipun kedua-dua kuasa besar tersebut memberi kenyataan bahawa aktiviti ketenteraan bukanlah pilihan mereka dalam isu pertikaian di Laut Cina Selatan, pergerakan yang sedang berlaku kelihatan sebaliknya.

Bolehkah Perang Meletus?

Di dalam sebuah penerbitan CFR (Council on Foreign Relations) berkenaan pertembungan antara US dan China di Laut China Selatan, pertembungan secara bersenjata atau secara ketenteraan disebut sebagai sebuah situasi yang tinggi kemungkinannya untuk berlaku.

Menurut penerbitan tersebut, berdasarkan situasi sedia ada, terdapat sekurang-kurangnya tiga pertembungan bersenjata yang mungkin berlaku.

Pertembungan yang pertama, iaitu yang paling tinggi kemungkinan untuk berlaku dan juga yang paling merbahaya jika tercetus ialah di antara US dengan China sendiri. Berdasarkan perkembangan sekarang, sebarang kesilapan kecil atau salah faham di peringkat politik boleh menjadi punca untuk pertembungan ini meletus. Krisis politik yang besar boleh terhasil dan seluruh rantau ini akan menerima implikasi secara ketenteraan.

Yang kedua ialah di antara China dengan Filipina. Filipina yang juga merupakan pengkalan besar US di Asia Tenggara dilaporkan ingin meneroka sumber gas asli di kawasan Reed Bank, tidak jauh dari Palawan. Jika Filipina berkeras untuk meneruskan usaha penggalian ini tidak mustahil China akan memberikan respon balas yang agresif. Manakala yang ketiga ialah di antara China dengan Vietnam. Vietnam juga dilaporkan turut berhasrat menggali minyak di perairan Laut Cina Selatan, khususnya di kawasan yang sedang dipertikaikan. Jika China memberi amaran kepada Vietnam dan amaran ini tidak dihiraukan, kemungkinan besar akan berlaku serangan ke atas Vietnam oleh China.

Implikasi Kepada Malaysia

Malaysia tidak terlepas daripada menerima provokasi dan tekanan daripada kedua-dua belah pihak, khususnya China yang semenjak beberapa tahun lepas mengambil pendekatan yang lebih ‘physically provocative’ dalam isu di Laut Cina Selatan. Terkini, 100 bot yang berdaftar dengan China dikesan berada di kawasan perairan Malaysia yang terlibat dalam pertikaian hak di Laut China Selatan.

Memandangkan Malaysia turut merupakan salah sebuah negara utama yang terlibat secara langsung dalam mempertahankan hak ke atas sebahagian kawasan di Laut Cina Selatan, sebarang konflik dan krisis ketenteraan yang berlaku akan turut membabitkan Malaysia samada Malaysia sudah bersedia atau tidak.

Terdapat pengulas yang menyebut bahawa tidak mustahil negara-negara yang terbabit di rantau ini menerima implikasi seperti yang diterima oleh negara-negara di Timur Tengah, seperti Syria khususnya, yang telah berubah menjadi medan pertempuran oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Jika melihat kembali kepada sejarah, Vietnam pernah menerima implikasi yang sama di era 60-an apabila ia menjadi medan pertempuran kuasa US dan kuasa Soviet.

Implikasi utama yang boleh diramalkan ialah penghakisan kedaulatan rakyat dan kerajaan di negara-negara yang terbabit. Jika di Malaysia, secara khusus bangsa Melayu-Islam adalah kelompok yang paling banyak akan menerima impak kerana secara sosio-sejarah bangsa ini tidak pernah memberikan kesetiaan selain daripada tanah air mereka sendiri. Berbeza dengan rakyat berbangsa lain yang memiliki sejarah kesetiaan kepada kuasa di tanah air mereka seperti bangsa Cina misalnya. Bahkan sehingga kini jika diteliti dalam lanskap politik negara, terdapat parti-parti politik yang terang-terangan lebih menjayakan agenda kuasa besar seperti US dan China berbanding menjayakan pembinaan negara dan integrasi nasional yang berkesan.

Oleh kerana itu, negara kita juga mungkin akan menyaksikan timbulnya pertembungan dan perpecahan antara rakyat yang akhirnya akan membuka laluan kepada kuasa luar campur tangan dalam melakar rupa bentuk baru kepada negara dan menyusun cengkaman baru ke atas negara, khususnya dalam bentuk penguasaan hasil bumi (seperti minyak dan gas asli) serta penguasaan politik dan ekonomi.

Diplomasi Sebagai Jalan Keluar?

Kebarangkalian untuk Malaysia menjadi medan pertempuran jika meletusnya pertempuran di Laut Cina Selatan adalah amat tinggi memandangkan kedudukan Malaysia serta sempadan perairannya yang berada di tengah-tengah Asia Tenggara.

Tambahan pula, krisis politik dalaman sedia ada di Malaysia yang melibatkan ahli politik dan parti politik yang mewakili kehendak-kehendak kuasa besar US dan China, serta keterikatan Malaysia kepada perjanjian seperti TPPA, sebenarnya telah meletakkan Malaysia di dalam keadaan yang amat ‘fragile’ dan ‘vulnerable’ kepada sebarang cetusan api pertembungan ketenteraan di Laut Cina Selatan.

Dato’ Seri Najib cuba mempamerkan sikap optimis dalam ucapannya di Sunnyland, US, pada Februari yang lalu apabila beliau menasihatkan semua pihak dalam krisis Laut Cina Selatan untuk bertenang dan mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh menambah ketegangan. Begitu juga kenyataan Datuk Seri Hishamuddin yang meminta semua pihak untuk mematuhi deklarasi mengenai tatalaku (DoC) pihak-pihak di Laut Cina Selatan.

Jelas sekali ini adalah sekadar kenyataan politik yang agak jauh daripada menyentuh krisis sebenar yang sedang memuncak di Laut Cina Selatan, apatah lagi menggariskan langkah-langkah yang lebih kukuh dan tegas dalam memastikan kedaulatan negara tidak terancam sekiranya pertembungan ketenteraan meletus kelak.

Dalam keadaan ‘terikat tangan’ dengan perjanjian TPPA yang dikemukakan oleh US, serta kemasukan pelaburan skala besar yang bertali-arus daripada China, ditambah lagi dengan kucar-kacir politik yang melibatkan salahlaku ramai pemimpin negara, adakah mungkin negara ini mampu merayu dan berdiplomasi agar kuasa-kuasa besar tunduk dan patuh dengan peraturan dan undang-undang yang tidak menguntungkan kuasa-kuasa besar tersebut? Adakah negara ini mampu mempertahankan kedaulatannya daripada dirobek oleh kuasa-kuasa besar tersebut yang inginkan penguasaan ke atas hasil bumi yang kaya di negara ini dan di rantau ini?

Dalam situasi sekarang, jawapan kepada persoalan tersebut amat-amat merisaukan.

Oleh:
Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
Chief Operating Officer IRIS Institute

Kenapa Ringgit Malaysia Jatuh (Siri 2)

Pengenalan

Semasa artikel ini ditulis, kejatuhan Ringgit Malaysia sudah mencecah ke paras tertinggi sejak tahun 1998, iaitu pada paras RM4.0455 untuk setiap 1USD. Kejatuhan Ringgit Malaysia ini tetap berlaku walaupun terdapat ulasan dari sebahagian juruanalisa yang menyatakan bahawa Ringgit Malaysia tidak akan mencecah kadar tukaran RM4 untuk setiap 1USD pada tahun ini.

 Apabila Ringgit Malaysia mencecah ke paras RM4 untuk setiap 1USD, terdapat banyak respon negatif daripada pengguna laman sosial yang mengatakan tentang keburukan kejatuhan Ringgit Malaysia yang mana seolah-olah Malaysia berada di ambang krisis ekonomi. Namun sebenarnya kejatuhan RM sahaja bukanlah sebuah petanda yang kukuh (solid) untuk mengatakan Malaysia akan mengalami krisis ekonomi dalam masa yang terdekat. Antara faktor lain yang perlu kita ambil kira adalah pertumbuhan KDNK negara, kadar eksport menurun, kadar import bertumbuh dengan pesat, current account balance yang lemah, dan lain lain lagi.

 Pada siri kali ini, kita akan membincangkan bagaimana faktor-faktor yang disebutkan atau tidak disebut dalam siri pertama, menyebabkan kejatuhan Ringgit Malaysia secara spesifik. Untuk memudahkan para pembaca, kita akan membahagikan faktor-faktor ini kepada dua; faktor luaran (external factors) dan faktor dalaman (internal factors).

 Faktor Luaran 1 – Kejatuhan Harga Minyak Dunia

rm1

Pada  tahun 2014, harga minyak dunia mengalami kejatuhan mendadak di mana pada Januari 2014, harga minyak berada pada paras USD106 setong dan secara beransur-ansur mengalami kejatuhan sehingga ke paras USD50 setong pada hari ini. Kejatuhan harga minyak dunia juga adalah disebabkan oleh masalah permintaan (demand) dan bekalan (supply) yang mana terdapat lebihan minyak yang dihasilkan oleh pengeluar minyak dunia. Ekonomi terbesar dunia, AS dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini telah berjaya mengeluarkan minyak yang mencukupi untuk kegunaan domestiknya dan mengurangkan kebergantungan kepada OPEC sebagai pengeluar utama minyak dunia. Manakala ekonomi kedua terbesar dunia, iaitu China sedang mengalami kelembapan ekonomi, menyebabkan bekalan minyak dunia melebihi permintaan (demand) dan menekan harga ke bawah.

 Apabila berlakunya kejatuhan harga minyak dunia, ia memberi impak negatif kepada matawang komoditi (Commodity currency) seperti Ringgit Malaysia. Matawang komoditi adalah nama yang diberikan kepada matawang yang bergantung kepada hasil pengeluaran bahan mentah sebagai sumber utama perbendaharaan negara. Disebabkan Malaysia bergantung kepada hasil pengeluaran bahan mentah, terutamanya sumber petroleum maka Ringgit Malaysia cenderung untuk bergerak selari dengan pergerakan harga minyak mentah.

 Selain daripada kejatuhan harga minyak, kejatuhan harga komoditi lain seperti Minyak Sawit Mentah (Crude Palm Oil) dan getah turun memberi kesan terhadap Ringgit Malaysia kerana Malaysia adalah pengeluar Minyak Sawit Mentah terbesar dunia selepas Indonesia. Walaupun kejatuhan harga minyak mentah (Crude Oil) dan Minyak Sawit Mentah memberi kesan terhadap bajet kerajaan Malaysia, Kita tidak akan membincangkan topik tersebut kerana fokus kita adalah untuk memahami pergerakan Ringgit Malaysia berbanding matawang lain.

 Faktor Luaran 2 – Jangkaan (Anticipation) kenaikan Interest Rates US

rm2

Interest rates adalah salah satu monetary policy yang digunakan untuk mempengaruhi keseluruhan aktiviti dalam ekonomi bagi memastikan kadar permintaan dan bekalan berada pada paras yang stabil. Daripada carta di atas kita dapat lihat bahawa interest rates yang dikenakan oleh The Federal Reserves of US (The Fed) semakin menurun dari tahun 2006, dan pada tahun 2009 kadar interest rates adalah pada hampir 0%. Apa yang berlaku pada tempoh tersebut sebenarnya adalah salah satu tindakan yang diambil oleh The Fed untuk membangunkan ekonomi AS yang lumpuh kerana Krisis Ekonomi Dunia pada tahun 2008.

Namun sehingga ke hari ini, The Fed masih tidak menaikkan interest rates kerana data yang diperoleh tentang aktiviti ekonomi domestiknya tidak memberangsangkan dan dengan menaikkan kadar interest secara tergopoh gapah akan menyebabkan ekonomi AS jatuh ke dalam krisis susulan yang tidak diingini.

 Sejak awal tahun ini, The Fed mula memberikan petunjuk untuk menaikkan kadar interest di mana The Fed akan membuat pertemuan berkala bagi menganalisa situasi ekonomi AS dan membuat keputusan samada untuk menaikkan atau membiarkan kadar interest untuk satu tempoh yang belum diketahui. Apabila The Fed memberikan petunjuk tersebut, maka para pelabur dari luar AS yang sedang memegang Europe and Japanese low yielding bonds, akan beralih kepada bond AS kerana memberi pulangan yang lebih baik. Ini menyebabkan matawang kebanyakan negara lain di dunia jatuh dan matawang AS pula semakin kuat. Secara mudah, fenomena kejatuhan Ringgit ini bukanlah disebabkan oleh kelembapan ekonomi Malaysia, tetapi disebabkan oleh faktor rangsangan (catalyst) dari jangkaan kenaikan interest rates oleh The Fed.

Persoalan samada The Fed akan benar-benar menaikkan kadar interest adalah soalan yang tidak diketahui jawapannya kerana terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira oleh The Fed. Antaranya, apabila kadar interest dinaikkan, maka kos peminjaman (borrowing cost) akan meningkat dan menyebabkan syarikat akan menjadi tidak kompetitif.

Ada juga kemungkinan kadar pengangguran semakin bertambah selepas kenaikan kadar interest kerana syarikat akan menghadapi kenaikan dalam kos pengoperasian lantas mengambil tindakan untuk memberhentikan pekerja. Setakat ini data kadar pengangguran di AS masih tidak menunjukkan tanda yang positif. Pasaran Saham AS juga akan terjejas kerana kebanyakan syarikat diniagakan di pasaran saham adalah Multinational Corporation (MNC‘s) yang mempunyai operasi di kebanyakan negara seluruh dunia. Dengan eksport yang semakin tidak kompetitif, juruanalisa Wall Street menjangkakan pendapatan syarikat ini makin berkurangan. Selain itu, apabila USD semakin kuat, ia menyebabkan eksport AS semakin mahal dan permintaan kepada eksport AS semakin berkurang.

 Perbandingan antara negara Asia dengan USD – majoriti negara turut terkesan

RM3
Secara jelas di sini kita dapat lihat bahawa matawang negara lain di Asia juga mengalami kejatuhan, dan kesemua matawang di atas adalah matawang negara yang mempunyai ekonomi yang jauh lebih besar dari Malaysia seperti Jepun, Singapura, Korea Selatan, dan Indonesia. Secara ringkas, situasi yang dihadapi oleh Malaysia adalah sama seperti negara-negara lain kerana faktor penyumbang terbesar kejatuhan Ringgit Malaysia adalah faktor luaran iaitu jangkaan kenaikan interest rates AS

Faktor dalaman – Fitch negative outlook

 Credit rating agency adalah agensi yang bertanggungjawab untuk menetapkan credit rating, di mana ia menentukan keupayaan penghutang membayar kembali hutang dengan membuat bayaran berkala dan kebarangkalian untuk bankrap. Terdapat 3 Credit Rating Agency  terbesar dunia yang membuat penetapan credit rating setiap negara iaitu Moody’s, Standard & Poor dan juga Fitch. Pada bulan Julai 2014, salah sebuah credit rating agency dunia, Fitch telah membuat semakan semula rating outlook Malaysia daripada stabil kepada negatif.

Antara punca utama yang menyebabkan Fitch membuat semakan semula adalah disebabkan oleh bajet defisit yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia telah mencecah 53.3% per GDP pada hujung tahun 2012. Fitch berpendapat bahawa agak sukar untuk kerajaan Malaysia mencapai target interim 3% defisit untuk tahun 2015 sekiranya tiada tindakan konsolidasi diambil untuk menangani isu ini. Semakan semula Fitch terhadap outlook Malaysia membawa maksud secara tidak langsung bahawa ekonomi Malaysia tidak kukuh dan terdedah kepada external shock.

 Pihak Kerajaan kemudiannya mengumumkan untuk mengambil tindakan rasionalisasi subsidi dalam usaha untuk mencapai target defisit yang ditetapkan. Antara tindakan yang diambil oleh kerajaan adalah dengan memperkenalkan sistem harga petrol apungan terkawal (managed float) yang mana harga minyak akan diselaraskan mengikut purata harga minyak mentah pada bulan sebelumnya. Selain itu, kerajaan juga mengambil langkah proaktif dengan membuat penyelarasan semula bajet 2015 pada bulan Januari 2015 yang mana pengurangan bajet kerajaan sebanyak RM5.5 Billion telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disebabkan oleh kejatuhan harga minyak dunia.

 Pada bulan Julai 2015, Fitch mengumumkan bahawa outlook untuk Malaysia telah disemak semula daripada negatif kepada stabil. Antara faktor yang menyebabkan semakan semula itu adalah kerana Fitch berpendapat langkah rasionalisasi subsidi dan perlaksanaan GST oleh pihak kerajaan bakal menunjukkan kesan yang positif dan menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara.

 Sungguhpun Fitch memberikan negative outlook kepada Malaysia, agensi rating yang lain seperti Standard&Poors memberikan pendapat yang berbeza yang menyatakan bahawa outlook Malaysia masih lagi di tahap yang stabil. Sejauh mana impak yang dibawa oleh tindakan Fitch terhadap ekonomi Malaysia di mata pelabur asing tidak dapat ditentukan dan saya yakin impaknya hanya minimal.

 Tambatan Matawang Ringgit kepada US Dollar

Terdapat cadangan untuk menambat Ringgit kepada US Dollar apabila melihat kadar tukaran Ringgit Malaysia ke US Dollar mencecah angka RM4 untuk setiap 1 USD, namun adakah cadangan tersebut sebenarnya dapat menyelesaikan masalah kejatuhan Ringgit Malaysia?

 Apabila kita menambat Ringgit Malaysia ia tidak bermakna matawang Ringgit tidak akan jatuh lagi, tetapi ia akan menyebabkan Bank Negara Malaysia terikat untuk mempertahankan matawang kita daripada kenaikan atau kejatuhan dengan melakukan transaksi jual dan beli.

Sekiranya matawang Ringgit Malaysia semakin menaik berbanding matawang luar, (semakin sedikit RM yang boleh dibeli oleh matawang luar), maka BNM mempunyai tanggungjawab untuk menjual Ringgit untuk mengurangkan kenaikan Ringgit dan supaya Ringgit kembali kepada harga asal tambatan. Ini tidak menjadi masalah kerana BNM hanya perlu menjual matawang domestik.

Apabila matawang Ringgit Malaysia semakin menurun seperti masa yang ada sekarang, BNM perlu mempertahankan Ringgit dengan membeli matawang asing, menggunakan foreign reserves yang dimiliki oleh BNM serta menguatkuasakan capital control. Pembelian matawang asing menggunakan reserves akan menyebabkan masalah yang besar kerana foreign reserves yang dimiliki oleh BNM akan susut dengan kadar yang amat pantas, bergantung kepada volatility tukaran matawang asing.

 Selain itu, cadangan untuk menambat matawang kepada USD dilihat tidak praktikal kerana secara asasnya, ekonomi Malaysia masih kukuh dengan kadar pertumbuhan ekonomi kuarter kedua 2015 yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.9%, melebihi sasaran 4.5%. Dengan kejatuhan Ringgit, pasaran domestik akan terus menjadi pemacu kepada ekonomi negara dan menjadikan barangan eksport Malaysia jauh lebih murah berbanding barangan daripada AS.

Seperti yang telah dibincangkan diatas, faktor luaran lebih banyak mempengaruhi pasaran matawang, jadi dengan menambat Ringgit, kita tidak menyelesaikan masalah asal kejatuhan Ringgit iaitu isu bekalan (supply) dan permintaan (demand) minyak dunia serta isu kenaikan kadar interest oleh The Fed pada September atau Disember ini. Kita akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai impak kejatuhan matawang kepada ekonomi domestik pada siri seterusnya.


Muhamad Nur Farhan
Penganalisis CAPE

Kenapa Ringgit Malaysia Jatuh? (Siri 1)


Pengenalan

Kejatuhan Ringgit Malaysia (RM) yang berlaku sejak awal tahun ini adalah antara perkara yang hangat dipaparkan di dada akhbar dan media massa. Topik ini bertambah hangat apabila matawang kita jatuh ke paras terendah sejak krisis ekonomi Asia pada September 1998 iaitu pada kadar tukaran 1 USD bersamaan RM3.8718, sebelum ditutup pada RM3.8537 per 1 USD petang Selasa yang lalu.

Kejatuhan RM telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya apabila hal ini dikaitkan dengan situasi politik negara. Pada masa kini terdapat beberapa kemelut politik dalam negara yang dikatakan menjadi punca utama kejatuhan RM; antaranya ialah kontroversi yang melibatkan syarikat milikan penuh Kementerian Kewangan Malaysia iaitu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) serta rombakan kabinet yang melibatkan pemecatan mengejut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyidin Yassin, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, beserta beberapa menteri lain yang mengkritik pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.

Persoalannya, adakah benar konflik politik dalaman negara yang menjadi faktor utama kejatuhan RM? Atau terdapat faktor lain yang turut menyumbang kepada perkara ini?

Siri analisis kali ini akan cuba untuk memberi gambaran sebenar tentang apakah yang berlaku di sebalik kejatuhan matawang negara kita dengan harapan ia dapat difahami oleh rakyat. Namun sebelum itu penting untuk kita faham   mengenai konsep asas tukaran matawang asing, sebelum beralih kepada persoalan tersebut.

 Apakah itu kadar tukaran wang asing?

Definisi kadar tukaran wang asing atau ‘foreign exchange’ adalah transaksi yang melibatkan tukaran matawang sesebuah negara kepada matawang negara lain. Harga matawang di antara dua negara ini akan bergantung kepada permintaan dan tawaran matawang tersebut. Sistem foreign exchange terbahagi kepada 2 jenis iaitu ‘Fixed (Pegged) Exchange Rate’ dan ‘Floating Exchange Rate’.

Fixed exchange rate adalah sistem yang mana kadar tukaran matawang tidak berubah dan dikawal oleh Bank Pusat sesebuah negara. Apabila berlakunya pertambahan atau pengurangan terhadap permintaan matawang, Bank Pusat akan menjual atau membeli matawang negara tersebut supaya harga matawang negara tersebut tidak berubah. Sistem ini pernah digunakan oleh Malaysia sewaktu Krisis Ekonomi Asia pada tahun 1998 yang mana kita menambat RM 3.80 untuk setiap 1USD. Sistem ini memerlukan simpanan (reserves) yang besar untuk Bank Negara Malaysia campurtangan sekiranya berlaku volatility yang terlalu tinggi pada RM berbanding matawang asing.

Sementara itu, floating exchange rate pula adalah kadar tukaran yang ditentukan oleh permintaan dan tawaran terhadap kadar tukaran tersebut. Apabila terdapat pertambahan permintaan untuk sesebuah matawang, nilai matawang tersebut akan bertambah berbanding dengan matawang lain. Pertambahan permintaan ini boleh dipandu oleh imports and eksport, pendapatan relatif, kadar inflasi relatif, dan spekulasi.

 Faktor-faktor yang mempengaruhi kadar tukaran wang

Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi pasaran matawang sesebuah negara tetapi faktor-faktor ini hanya memberi kesan terhadap negara yang mengamalkan floating exchange rate regime sahaja. Antaranya adalah kadar inflasi negara, kadar interest rates, public debt, dan kestabilan politik serta ekonomi. [1]

1. Kadar inflasi sesebuah negara memberi kesan secara terus terhadap permintaan matawang negara tersebut. Sekiranya negara A mempunyai kadar inflasi yang tinggi, ia bermaksud kuasa membeli pengguna matawangnya merosot berbanding negara lain yang mempunyai kadar inflasi yang jauh lebih rendah.

Sebagai contoh kita ambil Malaysia dan Indonesia sebagai perbandingan. Jadual di bawah menunjukkan kadar inflasi di Malaysia dan Indonesia sejak dari tahun 2010 sehingga 2014 dan kita dapat lihat trend di Indonesia semakin meningkat dan jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. Kesan dari kadar inflasi ini dapat dilihat daripada exchange rate RM dan Rupiah seperti carta di bawah yang mana RM semakin kuat (strengthening) berbanding Rupiah.

Kadar Inflasi di Malaysia dan Indonesia[2]

Negara 2010 2011 2012 2013 2014
Malaysia 1.7 3.2 1.7 2.1 3.1
Indonesia 5.1 5.4 4.3 6.4 6.4
Kadar tukaran RM ke Rupiah
Kadar tukaran RM ke Rupiah


2. Hutang awam (public debt) yang tinggi oleh pihak kerajaan untuk membiayai projek mega akan menyebabkan kadar inflasi meningkat. Apabila kadar inflasi meningkat, ia akan menyebabkan harga matawang negara A jatuh kerana inflasi menghakis kuasa membeli menggunakan matawang tersebut. Selain dari itu, kadar hutang yang tinggi juga akan menyebabkan para pelabur asing lari kerana bimbang negara tersebut akan bankrup dan tidak dapat memenuhi keperluannya. Di sinilah peranan rating agency international sangat penting dalam menilai rating hutang negara, adakah masih pada paras yang sihat atau tidak dan ia mempengaruhi penentuan kadar tukaran matawang negara A itu.

Sebagai contoh, European Union sedang berdepan dengan masalah beberapa buah negara yang mempunyai kadar public debt yang tinggi seperti Greece, Cyprus, Italy, Spain dan Portugal. Greece berada di penghujung talian hayat dan bakal diishtiharkan muflis sekiranya tiada tindakan yang strategik diambil untuk menyelesaikan masalah ekonominya. Apabila Greece berdepan dengan masalah kadar hutang yang tinggi, para pelabur asing sudah bertindak lebih awal dengan menjual kesemua bon kerajaan Greece dan membuat pelaburan di negara lain[3]. Ada sesetengah ahli ekonomi menjangkakan krisis ekonomi Greece berkemungkinan besar akan menyebabkan domino effect terhadap ekonomi negara di bawah European Union. Jadi, kadar hutang negara yang terlalu tinggi tidak sihat untuk pertumbuhan ekonomi dan menyebabkan pelabur asing tidak berminat untuk melabur di negara tersebut.


3. Kestabilan politik dan ekonomi adalah antara faktor yang menentukan kenaikan dan penurunan kadar matawang negara yang mana negara yang tidak mempunyai struktur pemerintahan dan ekonomi yang kukuh menyebabkan pelabur asing kehilangan keyakinan dan melarikan modal mereka ke negara yang lebih stabil.

Sebagai contoh, Thailand adalah antara negara yang mempunyai masalah kestabilan politik di mana sejak tahun 1930 telah berlaku 12 coup d’état dan 7 cubaan menjatuhkan pemerintahan Thailand namun tidak berhasil. Apabila berlaku protes jalanraya dan cubaan coup d’etat, kesemua pekerja akan diarahkan untuk pulang ke rumah dan menanti hasil penggulingan, adakah akan ada kerajaan baru atau tidak[4]. Dengan ketidakstabilan politik di Thailand, telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi Thailand jatuh ke 2.9% pada tahun 2013, jauh lebih rendah dari negara ASEAN lain seperti Filipina. Indonesia dan Vietnam.[5] Foreign Direct Investment di Thailand juga jatuh lebih teruk berbanding Indonesia pada tahun 2014. Secara ringkas, kestabilan sesebuah negara amat penting kerana ia menambah keyakinan pelabur luar untuk melabur.


4. Selain daripada faktor di atas, interest rates juga memainkan peranan penting terhadap pergerakan sesebuah matawang, yang mana kadar interest yang tinggi menawarkan para peminjam pulangan yang lebih baik berbanding negara lain. Maka, kadar interest yang tinggi akan menarik modal asing ke negara A, meningkatkan permintaan terhadap matawang negara A sekaligus menaikkan harga matawang A. Kita akan bincang dengan lebih lanjut tentang faktor yang terakhir ini di siri yang akan datang.


Kesimpulan

Faktor-faktor yang menentukan pergerakan matawang tidak tertakluk kepada yang disebutkan di atas sahaja, terdapat juga faktor yang tidak dibincangkan di sini kerana penerangannya yang agak kompleks. Untuk siri seterusnya, kita akan menggunakan faktor yang dibincangkan di atas dalam menerangkan situasi yang berlaku kepada matawang RM.

Muhamad Nur Farhan
Penganalisis CAPE

13 July 2016

China 'tidak iktiraf' keputusan Tribunal Timbang Tara


THE HAGUE: China bersifat angkuh apabila 'tidak menerima dan mengiktiraf' keputusan Tribunal Timbang Tara dalam kes tuntutannya ke atas Laut China Selatan dengan Filipina.

Agensi berita Xinhua pada Selasa melaporkan reaksi berkenaan, tanpa disertakan identiti sumber, berikutan Tribunal yang berpangkalan di The Hague itu memutuskan bahawa China tidak mempunyai hak sejarah di sembilan titik garisan di kawasan berkenaan.

Sebelum ini isu tuntutan China di kawasan laut berkenaan telah mencetus ketegangan di Asia Tenggara.

Tribunal Timbang Tara di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu juga menegaskan, China telah melanggar kedaulatan Filipina di Laut China Selatan kerana tuntutan itu.

"China telah melanggar hak kedaulatan Filipina dalam zon ekonomi eksklusif dengan tindakannya campur tangan dalam eksplorasi petroleum dan perikanan Filipina, selain membina pulau-pulau buatan serta gagal menghalang nelayan-nelayan China daripada menangkap ikan di zon  tersebut," ujar satu kenyataan.

Tribunal Timbang Tara tolak tuntutan Beijing ke atas Laut China Selatan

Tribunal Timbang Tara tolak tuntutan Beijing ke atas Laut China Selatan

THE HAGUE: China tidak mempunyai asas undang-undang untuk membuat tuntutan 'hak sejarah' ke atas gugusan pulau di Laut China Selatan.

Perkara yang sekian lama mencetus ketegangan di Asia Tenggara itu diputuskan Tribunal Timbang Tara yang berpangkalan di The Hague pada Selasa, lapor AFP.

"Pihak tribunal merumuskan bahawa tiada asas undang-undang bagi China untuk mendakwa hak-hak sejarah di sembilan titik garisan di kawasan laut berkenaan," ujar Tribunal itu dalam satu kenyataan.

Ketegangan di Asia Tenggara

Sebelum ini, Kumpulan tujuh menteri-menteri luar (G7) pernah menyuarakan kebimbangan tentang pertelingkahan maritim di Asia, berikutan tindakan pengawalan wilayah dan aktiviti ketenteraan China.

Beijing mendakwa mempunyai kuasa ke atas semua kawasan Laut China Selatan walaupun dakwaan yang bertentangan turut dibuat oleh Brunei, Malaysia, Vietnam, Taiwan dan Filipina.

Pada 17 Februari lalu, pemimpin-pemimpin ASEAN mengulangi pendirian mahukan satu penyelesaian damai terhadap tuntutan wilayah bertindih ke atas Laut China Selatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu isu itu mestilah diselesaikan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

Bukan itu sahaja, ketegangan pertikaian Laut China Selatan turut menjadi tumpuan utama dalam perbincangan antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry dan Menteri Luar China, Wang Yi.

Pada 15 Jun lepas, Malaysia dan negara ASEAN lain tidak mengiktiraf tuntutan China terhadap tuntutan bertindih di Laut China Selatan kerana ia tidak selaras dengan peruntukan undang-undang antarabangsa.
Negara-negara Asia Tenggara dan Washington khuatir sekiranya China mengenakan kawalan ketenteraan di keseluruhan Laut China Selatan.

Beijing dalam bulan-bulan kebelakangan ini telah membina struktur yang besar termasuk sistem radar dan pangkalan udara di kawasan-kawasan yang dipertikaikan.

Percepatkan Terima COC, Elak Ketegangan Di Laut China Selatan

Percepatkan Terima COC, Elak Ketegangan Di Laut China Selatan - Penganalisis

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) — ASEAN perlu berbincang dengan China bagi mempercepat pencapaian Kod Tata Cara (CoC) mengenai Laut China Selatan ketika meningkatnya ketegangan dan kebimbangan keselamatan.

Ini susulan tercapainya keputusan bersejarah oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) di The Hague hari ini terhadap China berhubung pertikaian maritimnya dengan Filipina, kata penganalisis Malaysia.

Geostrategis Prof Dr Azmi Hassan berkata keputusan itu sewajarnya menjadi pendorong bagi ASEAN, terutama empat negara pembuat tuntutan yang mendesak China menerima CoC.

Beliau berkata penggubalan dan pemuktamadan CoC, yang terhasil dari Perisytiharan Tata Cara (DoC) Pihak-pihak di Laut China Selatan ditandatangani pada 2002 oleh 10 negara anggota ASEAN, telah berlarutan begitu lama tanpa kelihatan banyak kemajuan.

Selain Filipina, negara-negara penuntut ASEAN yang lain ialah Brunei, Malaysia dan Vietnam.

"ASEAN perlu mengambil langkah berani dan menggunakan kelebihan itu (keputusan mahkamah) bagi memaksa China menandatangani CoC.

"Tidak ada lagi sebab untuk China menangguhkannya," kata beliau.

Bercakap kepada Bernama, Azmi berkata ketika negara-negara penuntut ASEAN mesti tegas dalam mendesak hak mereka, negara-negara anggota perlu berhemah ketika berurusan dengan China dan tidak mencetuskan provokosi seterusnya.

"ASEAN juga perlu berusaha bersama untuk mengendurkan ketegangan," katanya.

Dalam keputusan bersejarah itu, tribunal tersebut menetapkan bahawa China tidak mempunyai hak dari segi sejarah terhadap perairan Laut China Selatan yang kaya dengan sumber itu.

Ia juga memutuskan bahawa China tidak mempunyai asas perundangan untuk menuntut sumber dalam apa yang dipanggil garisan "sembilan sempang".

China tidak menyertai atau mengiktiraf prosiding itu sejak ia bermula tahun lepas, dan menyifatkan keputusan itu sebagai 'unilateral', pendirian yang dilihat banyak pemerhati sebagai menunjukkan tentangan yang mungkin memburukkan keadaan.

Azmi meramalkan keputusan PCA itu tidak akan menghalang strategi China, malahan, mungkin mempercepat pembinaan fasiliti negara itu di Scarborough Shoals.

Seorang lagi penganalisis, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dari Jabatan Kajian Antarabangsa, Universiti Malaya, berkata China tidak akan 'kow tow' (tunduk) kepada keputusan PCA itu.

Sebaliknya beliau meramalkan republik itu akan meningkatkan kehadiran tenteranya di wilayah itu sebagai menentang keputusan berkenaan.

Beliau berkata ini mungkin pula menyebabkan tindak balas oleh Filipina dan negara-negara penuntut yang lain.

"Ini kerana China tidak saja rasa tersinggung dengan keputusan itu tetapi juga melihatnya sebagai percubaan oleh Barat membantut strategi utamanya untuk menjadi sebuah superpower global yang lebih besar.

"Dan oleh kerana China telah menggunakan begitu banyak tenaga dan wang, termasuk membina fasiliti di kawaan berkenaan, saya lihat ia tidak akan tunduk kepada keputusan itu, atau begitu mudah berundur dari kawasan itu," kata beliau.

— BERNAMA

02 July 2016

Dialog Antarabangsa Langkawi


Dialog Antarabangsa Langkawi atau Langkawi International Dialog, (LDI) merupakan mesyuarat rasmi dan tidak rasmi antara barisan pemimpin Malaysia dengan pemimpin negara dari benua Afrika . Lokasi dialog ini diadakan di pulau Langkawi .
Asal

Dialog Antarabangsa Langkawi dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 1995 bagi merapatkan hubungan dengan negara-negara Afrika yang menghadapi masalah yang hampir sama iaitu kemiskinan, dan masalah negara yang pernah dijajah.
Dr Mahathir Mohamad tidak mahu negara membangun dikongkong oleh gagasan dan wawasan dari negara barat semata-mata. Kita mestilah keluar dari pemikiran polisi antarabangsa yang tersekat kepada negara Barat semata-mata. Mentaliti negara dijajah dan bekas negara penjajah hendaklah dihapuskan.

Perkongsian Komanwel mengenai Pengurusan Teknologi (CPTM) ditubuhkan melalui Persidangan Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).
Perkongsian Pintar diasaskan oleh Malaysia. Selepas LID, wujud pula SAID di Selatan Afrika dan kini CID di Carrebean.
Perkongsian pintar ini terbuka dan melibatkan ahli-ahli politik, kakitangan awam, ahli perniagaan, pemimpin buruh, pengamal media, ahli akademik, aktivis budaya dan badan-badan bukan kerajaan .
Matlamat

LID diadakan dengan tujuan :
LID menggalakkan berkongsi kepintaran atau perkongsian pintar. Jangan harapkan Barat kerana mereka ada agenda tersembunyi. Jiran yang baik ialah jiran yang membantu.
Membincangkan masalah dunia yang dihadapi bersama di kalangan negara membangun.
Merapatkan komunikasi antara Malaysia dengan negara-negara Afrika yang nampaknya senada dalam isu-isu global dan menghadapi kuasa-kuasa besar.
mempromosikan pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa khususnya dari negara Afrika. Sejak Persidangan CHOGM diadakan di pulau Langkawi pada 1998 dan banyak lagi persidangan antara pemimpin dunia diadakan di pulau itu, matlamat menjadikan sektor pelancongan sebagai sumber pendapatan semakin berjaya.

LID 2007
LID 2007 diadakan selama 3 hari mulai 6 Ogos - 8 Ogos 2007 . Lokasi utama ialah di Berjaya Langkawi Beach and Spa Resort . Kira-kira 500 peserta dari 40 buah negara. Turut hadir ialah 10 ketua negara dan kerajaan dari Afrika. LID 2007 adalah edisi ke-8.
Turut hadir
Dari Malaysia : Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Syed Hamid Albar,Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz
Ketua kerajaan : Presiden Namibia Hifikepunye Pohambe
Menteri Perusahaan dan Perdagangan Zambia Felix Mutati
Raja Mswati III dari Swaziland
Presiden Zambia Levy Mwanawasa

Isu-isu

Kemiskinan global
Kemiskinan global dapat diatasi hanya melalui pembinaan infrastruktur pendidikan. Setiap remaja tidak kira lelaki mahupun wanita hendaklah mendapat pendidikan minimum 11 tahun sebagaimana di Malaysia. Anak perempuan tidak harus dibezakan atau dibiarkan ketinggalan , menjadi suri rumah sahaja.

Pemikiran kreatif dan progresif hendaklah digalakkan . Budaya kerja yang positif selaras dengan globalisasi hendaklah digalakkan . Jangan mudah terpengaruh dengan 'perangkap' ekonomi barat yang akhirnya negara sedang membangun berada dalam keadaan 'tergantung' secara berterusan. Modal insan yang menyanjung intelektual dan pemikiran terbuka hendaklah diperhebatkan.
Ledakan ICT dapat memudahkan pemindahan idea dan pendidikan jarak jauh atau tele sidang.

Rancangan Tanah
Tanah adalah sumber paling penting dalam sesebuah negara bagi menyelesaikan masalah ekonomi. Tanah-tanah subur yang telah dimiliki oleh peladang Eropah hendaklah dimiliknegara secara bijaksana. Rancangan pembangunan tanah hendaklah sampai kepada golongan yang benar-benar miskin dan prosesnya mestilah telus.

Sistem perladangan ala Felda telah menarik perhatian negara Colombia, Nigeria dan Sierra Leone .Minyak kelapa sawit Felda kini 2 juta tan matrik setahun dan belum mampu memenuhi permintaan negara luar.


Masalah ekonomi
Kredit mikro kepada golongan miskin secara terancang dan dipantau dari semasa ke semasa dapat meningkatkan keupayaan dan keyakinan dan tidak lagi rasa rendah diri.
Pihak swasta bukanlah musuh. Sebaliknya swasta hendaklah dijemput sebagai penasihat kewangan, rakan kongsi dan rakan untung bersama. Setiap institusi kewangan, agensi kerajaan dan masyarakat awam hendaklah celik kewangan. Jika tidak , akan berlaku ketirisan , penyelewengan dan salah urus tadbir.

Kurangkan karenah birokrasi dan cakap tidak serupa bikin. Sebaliknya lebihkan tindakan daripada janji kerana rakyat semakin bijak menilai kerajaan yang telus dan utuh.
Bank Negara Malaysia mencadangkan penubuhan panel Penasihat Kewangan (FIA) di kalangan negara Afrika bagi mengurangkan kemiskinan di Afrika. Panel ini mengandungi direktori ,maklumat konfrehensif dan pakar ekonomi mikro dan ekonomi makro.

Sehingga kini, penyertaan kumpulan berpendapatan rendah dalam perancangan ekonomi hanya 20 % di Afrika dan 30 % di Asia. Pengalaman kredit mikro di Bangladesh, Indonesia dan India hendaklah dimanfaatkan. 22 juta dari 25 juta penduduk Malaysia telah mempunyai akaun simpanan di bank. 16 juta telah memperolehi pinjaman mikro dan makro.

Kejayaan Bank Grameen dari Bangladesh hingga di iktiraf oleh PBB hendaklah dicerna dan diterapkan. Penduduk miskin tidak mampu meminjam kerana tidak ada cagaran seperti tanah. Mereka yang miskin akan terus miskin jika dibiarkan berdikari. Selama ini Perbankan konvensional gagal memberi kredit mikro sehingga mereka terdedah kepada orang tengah yang lintah darat.
Ketika ini 1.1 bilion rakyat dalam kemiskinan tegar iaitu menerima pendapatan kurang AS$2 sehari.

Masa depan LID
Sehingga 2007, LID telah diadakan sebanyak 8 kali dan merupakan acara tahunan bagi Perkongsian Komanwel Bagi Pengurusan Teknologi (CPTM).
LID 2007 turut menjemput Laos, Kemboja dan Thailand.
Selepas LID, wujud pula Dialog Antarabangsa Selatan Afrika (SAID). Kemudian Dialog Antarabangsa Perkongsian Pintar Carribean turut mengambil format yang sama.
Pada masa depan diharap negara-negara bukan Komanwel British turut disertakan. Bahasa menjadi halangan utama untuk dialog yang berkesan.
Kemiskinan di Afrika diganggu-gugat oleh ketidakstabilan politik. Mereka harus belajar mengurangkan konflik dan politiking , demonstrasi dan lain-lain yang hanya melambangkan 'tak stabil'.

Peranan Malaysia
Pelaburan Malaysia di Negara Selatan-Selatan berjumlah AS$4.8 bilion (RM17.6 bilion) pada tahun lepas berikutan usaha kerajaan menggalakkan lebih banyak firma tempatan melabur di negara membangun.

Malaysia telah mewujudkan hubungan rapat dan kerjasama dengan banyak negara Selatan-Selatan dalam bidang pengilangan, perkhidmatan, perbankan dan kewangan, pemasaran komoditi, pertukaran maklumat, kerjasama teknikal dan perdagangan.

Kerajaan Malaysia menawarkan insentif kepada firma-firma untuk melabur di seberang laut, khususnya di negara Selatan-Selatan. Ini termasuk perbelanjaan permulaan yang dikecualikan cukai.
Kerajaan Malaysia telah mengadakan 56 Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA) dengan banyak negara membangun untuk menggalakkan pelaburan antara Malaysia dan negara-negara berkenaan.