Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

07 October 2013

Makluman

Untuk soalan Trial Penggal 1 dan Penggal 3 2013 sila join group FB Klik sini .

harap maklum.

21 August 2013

Kebebasan Dan Hak Asasi Manusia Yang Melampau Menyekat Pembangunan Negara

Rencana Khas Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Pada masa kini terdapat sesetengah kumpulan di Malaysia bangkit mempersoalkan kebebasan dan hak asasi manusia tanpa menyedari kesan kepada pembangunan negara dan rakyat keseluruhannya.

Persepsi mereka mengenai kebebasan dan hak asasi manusia telah berubah. Kalau dahulu kebebasan dimaksudkan bebas daripada cengkaman penjajah tetapi kini ia lebih kepada kebebasan mutlak dalam konteks asas hak asasi manusia.

Jadi kebebasan dalam bersuara dan ekspresi, beragama, berkumpul dan seumpamanya kini dianggap sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia.

Inilah antara yang menjadi cabaran negara dalam proses pembangunan negara di samping mengisi dan mengekalkan semangat kemerdekaan yang telah dicapai sejak 56 tahun yang lepas.


PENGARUH BARAT

Dakyah dan ideologi yang dimainkan barat itu, kini menjadi topik di mana-mana negara dan kini menjadikan isu kebebasan sebagai isu sejagat.

Masyarakat dunia termasuk di Malaysia semakin menerima norma-norma kehidupan di barat yang lebih mengutamakan hak individu dan kumpulan kecil tertentu berbanding kepentingan umum.

Kerana itu di barat, mereka tidak peduli jika segelintir individu atau kumpulan kecil memilih gaya hidup yang bercanggah dengan norma kehidupan masyarakatnya kerana mereka bebas untuk melakukan apa sahaja atas nama demokrasi.

Contohnya isu hubungan seks luar nikah, perkahwinan sejenis dan seumpamanya.

Ini jugalah yang pernah diperjuangkan golongan aktivis sosial di Malaysia dalam Program Seksualiti Merdeka dua tahun lepas yang secara terbuka menuntut hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Pemikiran liberalisme dan pluralisme juga semakin menular dalam masyarakat hari ini terutama dalam isu kebebasan beragama. Bagi mereka agama menjadi satu kongkongan dan untuk menuju kemajuan caranya ialah dengan membebaskan diri daripada kongkongan agama dengan membawa prinsip semua ideologi dan fahaman dianggap setara, sama benar dan sah.

Kebebasan bersuara yang diiktiraf sebagai hak asasi manusia di dalam Perkara 19 Pengistiharan Hak Asasi Sejagat dan diiktiraf dalam undang-undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politik (ICCPP) turut mengundang konflik kepada masyarakat.

Penggunaan media sosial sebagai medan kebebasan bersuara hingga melangkaui sempadan terutama menyentuh nilai-nilai berkaitan budaya, agama, institusi raja jelas memberi impak yang buruk kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ini kerana, walaupun ada golongan liberal dan terbuka untuk membicarakan soal tersebut, namun majoriti masyarakat Malaysia masih lagi teguh dengan adat dan budaya serta berpegang kepada agama.

Kebebasan di alam maya yang sukar dikawal ini jugalah menjadi ancaman pengisian kemerdekaan dan tamadun yang dibina.


HAK ASASI PERLU SEKATAN

Kemerdekaan memberi ruang sesebuah negara membina tamadun dan peradabannya. Untuk mengisi kemerdekaan, rakyat dan pemimpin harus memahami nilai kemerdekaan itu sendiri.

Namun apa yang berlaku hari ini, terdapat segelintir pihak dalam masyarakat yang terlalu terikut-ikut dengan globalisasi terutama isu berkaitan hak asasi yang boleh memberi kesan baik dan buruk.

Konsep hak asasi harus difahami dengan menggunakan neraca yang tepat sekiranya kita mahu menjaga dan mengekalkan serta mengisi kemerdekaan yang ada," menurut Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz.

Ia harus menggunakan piawaian dan standard pembangunan serta perkembangannya mengikut acuan kita sendiri dan bukan mengikut peradaban lain.

Ujarnya, walau apapun perubahan falsafah, ideologi hak asasi itu, namun tidak boleh meninggalkan perkara-perkara yang boleh menjamin dan menjaga kelangsungan peradaban dan tamadun yang dibina.

"Kerana itu selama mana kita mahu menjaga kemerdekaan ini, selama itu jugalah adanya sekatan-sekatan tertentu terhadap hak asasi.

"Had ini harus diletakkan dalam budaya, adat sopan kita seperti hormat menghormati antara satu sama lain serta menghormati agama yang menjadi ciri-ciri terpenting," katanya kepada Bernama baru-baru ini.


KEMATANGAN DAN JATI DIRI

Jati diri harus dibina atas warna dan cat yang kita berikan kepada demokrasi dengan mengambil keadaan diri kita sendiri. Jika mahu mengambil hak asasi dari negara lain, ia harus dilihat bagaimana ia boleh disesuaikan dengan keadaan di negara ini, katanya.

Beliau berkata, British sendiri tidak pernah memaksa kita menggunakan undang-undang mereka, seperti Undang-undang Sivil pada tahun 1956 yang merujuk undang-undang yang sama di England yang diamalkan di Britain.

Ketika itu British meletakkan syarat, undang-undang itu harus diterima sekiranya ia bersesuaian dengan keadaan masyarakat di negara ini.

"Jelas di sini walaupun British itu penjajah, namun mereka menghormati pandangan dan keadaan masyarakat di Tanah Melayu ketika itu.

"Sekarang ramai yang berhujah perlu ikut arus permodenan hak asasi dengan mengikut apa yang ada di barat. Kita tanya semula... adakah ia bersesuaian dengan keadaan budaya dan masyarakat di sini?," katanya.

Di sinilah perlunya kekentalan jiwa masyarakat Malaysia untuk menghadapi dan memerangi apa yang tidak sesuai kerana sedia maklum, perkembangan di luar tidak dapat dihindari kerana ia adalah lumrah alam.

"Kematangan dan jati diri yang dapat menjaga maruah, harga diri negara dan bangsa supaya tidak mudah dipengaruhi elemen-elemen luar.

"Dalam peperangan memerlukan senjata sebagai benteng dan perisai. Ia boleh diumpamakan jati diri kita. Jika kita tidak mampu menyediakan perisai itu, hanya undang-undang sahaja yang boleh membantu memastikan keselamatan terus terjamin, katanya.


PENTINGNYA AGAMA

Hakikat yang terpaksa diterima, setelah 56 tahun merdeka, kita masih lagi dalam persimpangan dan tercari-cari untuk membentuk jati diri.

Shamrahayu berkata, kekuatan agama dan bangsa sebenarnya telah menjadi asas jati diri yang dipegang sejak dulu.

"Kita akan lemah dan lumpuh jika tidak berpegang kepada kedua-dua ini. Jika paksi ini tidak dituruti dan mahu mengambil nilai orang lain kerana tuntutan globalisasi, pasti kita tidak akan berjaya mengisi kemerdekaan itu," katanya.

Pentingnya agama kerana tidak ada agama di dunia ini mengajar ke arah keburukan dan perpecahan. Malah kejayaan Malaysia, sebagai sebuah negara yang kecil menjadi maju dan makmur seperti hari ini adalah kerana pegangan agama yang masih kukuh yang menjadi benteng keutuhan bangsa, katanya.

"Tempoh lebih 50 tahun merdeka, bukanlah tempoh yang terlalu panjang. Jika kita bandingkan dengan Amerika yang mencapai kemerdekaan lebih 200 tahun. Kita kini baru sampai suku atau 1/4 dan jika dibandingkan kemajuan yang kita capai kini, mungkin kita lebih cepat lagi daripada Amerika.

"Semuanya kerana kita mempunyai asas agama yang mengajak kita untuk hormat menghormati. Malah jika semua rakyat tidak kira agama menghayati agama masing-masing, walau 10 bangsa sekalipun hidup di dalam negara ini, kita tidak akan bersengketa," katanya.

Emosi dan perasaan dikawal oleh agama yang boleh meredakan persengketaan serta menifestasikan cinta dan kasih kepada negara dengan menjaga kemerdekaan yang ada.


UNDANG-UNDANG SEBAGAI PERISAI

Rakyat sesebuah negara yang masih belum matang dari segi jati diri, emosi dan pemikirannya hanya akan menggunakan sentimen apabila membangkitkan soal demokrasi, kebebasan bersuara atau hak asasi.

Ini menyebabkan kadangkala kebebasan dan hak asasi disalahgunakan secara emosi hingga menimbulkan kegelisahan dan ketegangan rakyat yang boleh membawa kehancuran kepada sesebuah negara.

Menurut Shamrahayu, apabila perisai dalam kalangan rakyat masih belum kukuh, hanya sistem perundangan yang mantap sahaja dapat menjaga rakyat dan menjadi mekanisme untuk mengekalkan dan mengisi kemerdekaan.

Mengambil contoh Akta Hasutan yang diperkenalkan bagi mengekang kegiatan komunis yang mengancam keselamatan negara pada tahun 1948. Sumbangan Akta Hasutan sangat jelas bagi menjaga keharmonian kaum, agama, insitusi raja-raja yang membolehkan kita hidup dalam keadaan aman damai seperti hari ini, katanya yang berharap penelitian rapi dilakukan kerajaan sebelum menggantikannya.

Beliau berkata sebaik mungkin individu itu harus menjaga diri mereka melalui agama, nilai-nilai budaya yang ada. Namun jika rakyat tidak mampu menjaganya, maka undang-undang dan penguatkuasaan sahaja yang boleh mengekang kebebasan melampau.

Ujarnya tidak perlu menunggu sehingga berlaku detik sukar untuk menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat kerana cabaran berterusan terus berlaku terutama penghinaan rakyat, liberalisasi, tuntutan kesamarataan yang boleh mencabar hubungan kaum dan agama di negara ini.

Tegasnya, Malaysia masih belum mampu untuk membuang semua undang-undang yang boleh menjaga keharmonian kaum yang dikatakan menyekat hak asasi manusia.

"Sentimen bangsa yang ada di Malaysia berbeza dengan apa yang ada di barat. Mereka di sana (barat) sudah berkurangan nilai dari segi moral, namun kita di sini lagi kekal dan kukuh.

"Kerana moral itulah, undang-undang yang ketat perlu bagi menjadi semangat dan roh yang boleh menjaga keamanan kita di dunia dan akhirat," katanya.


-- BERNAMA

05 August 2013

Manifesto prinsip moral Perlembagaan

Shamrahayu A Aziz

Prinsip moral diakui Perlembagaan. Dua peruntukan Perlembagaan menyebut mengenainya, iaitu Fasal 10(2)(a) dan 11(5). Fasal 10(2)(a) meletakkan prinsip moral sebagai sebab untuk mengehadkan kebebasan bercakap dan bersuara. Perkara 11(5) meletakkan prinsip moral sebagai antara satu sebab kepada sekatan yang boleh dikenakan ke atas kebebasan beragama.

Walaupun hanya dua peruntukan Perlembagaan yang menyebut hal berkaitan, ia sudah cukup membuktikan kedudukan prinsip moral dalam Perlembagaan. Bahkan sekiranya disebut sekali saja pun, ia tetap pengisian penting Perlembagaan. Perlembagaan adalah dokumen utama pentadbiran negara, maka apa juga yang disebut di dalamnya adalah juga penting, walaupun tidak disebut secara berulang.
Dua peruntukan itu adalah penyungguh kepada kata-kata bahawa kita adalah bangsa dan negara yang mementingkan kesantunan.


Dari segi sejarah kerangka perundangan dan falsafah negara kita tidak terlepas pandang mengenai hala tuju negara dan bangsa. Sejak dari awal kemerdekaan lagi kita sudah merencana pengisian kemerdekaan dengan meletakkan garis panduan tertentu mengenai keperibadian warga. Kita mahu membina masyarakat bermoral dan beretika dan kita menegaskannya dalam Perlembagaan.

Wawasan 2020

Dipanjangkan prinsip moral ini ke dalam Rukun Negara dengan menjadikan kesopanan dan kesusilaan sebagai falsafah atau teras negara. Seterusnya, prinsip moral ditegaskan lagi dalam susunan strategi membentuk negara maju dalam Wawasan 2020. Wawasan 2020 mencerahkan lagi falsafah ini dengan meletakkan tujuan negara untuk membentuk warga negara yang teguh dengan nilai agama dan kerohanian serta mendokong nilai etika yang paling tinggi.

Dalam konteks agama Islam yang dilangsungkan dalam peruntukan Perlembagaan sebagai agama negara, prinsip moral tidak perlu dihurai lagi. Ajaran Islam dan prinsip moral begitu sinonim dan jelas. Akhlaq al-kareemah atau akhlak yang mulia adalah sebahagian daripada tiga komponen syariah atau ajaran Islam, selain daripada ketuhanan atau tauhid dan hubungan antara manusia atau muamalat.
Kita sudah maklum bahawa Islam adalah cara hidup yang mencakupi setiap langkah dan tindakan. Oleh itu, sekiranya kita menegaskan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, secara langsung, kita juga menegaskan mengenai prinsip moral itu.

Sumber rujukan seharian

Oleh itu, dalam kaitan prinsip moral dan kehidupan masyarakat Malaysia, Perlembagaan hendaklah dijadikan sumber rujukan. Sehingga kini, rata-rata rakyat Malaysia memahami konsep ketinggian atau keluhuran Perlembagaan. Ia sudah jelas dalam pemahaman kita. Kita juga sudah maklum dan faham bahawa polisi atau undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah tidak berperlembagaan dan boleh diisytihar sebagai tidak sah.

Di samping pemahaman itu, kita juga perlu mengambil perhatian bahawa Perlembagaan mempunyai fungsi yang lebih luas daripada konotasi undang-undang tertinggi negara. Fungsi lain Perlembagaan ialah, ia menggariskan prinsip asas, falsafah dan dasar atau manifesto negara.

Dengan kata lain, Perlembagaan bukan semata-mata rujukan berkenaan ketetapan suatu undang-undang atau polisi kerajaan saja. Perlembagaan juga berfungsi sebagai sumber rujukan kepada sistem masyarakat atau cara hidup masyarakat. Malah, manifesto itulah juga yang menjadi pencorak kepada tamadun yang mahu kita bina.

Dalam konteks ini, kita perlu melihat Perlembagaan menerusi kaca mata asal atau sejarah penciptaan dan pengenalannya. Secara ringkas, Perlembagaan diwujudkan bagi menstabilkan keadaan masyarakat dari segi hala tujunya. Ini bukan bermakna menstabilkan masyarakat dari segi perundangan saja, tetapi juga dari segi sosialnya. Perlembagaan berfungsi untuk mengatur sistem kemasyarakatan serta menegaskan prinsip yang mahu dimanifestasi dan dicapai dalam masyarakat negara terbabit.

Penentu prinsip moral

Dengan fungsinya sebagai manifesto negara, Perlembagaan boleh menentukan prinsip moral masyarakat yang mahu dicipta. Fungsi ini amat berkait dengan prinsip ketinggian atau keluhuran Perlembagaan. Sekiranya Perlembagaan itu mahu dijadikan sumber menstabilkan masyarakat, maka ia hendaklah menjadi rujukan tertinggi, barulah ia kebal dan berkesan.

Selepas memahami tujuan dan fungsi Perlembagaan kita perlu menerima bahawa manifesto yang dibawanya perlu diambil berat oleh semua. Pelaksanaan manifesto itu adalah tanggungjawab pemerintah atau kerajaan.

Dalam konteks prinsip moral manifesto ini juga tanggungjawab setiap warga. Maka, setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab melaksanakan manifesto atau hala tuju negara sebagai kehendak Perlembagaan yang menjadikan prinsip moral sebagai terasnya.

Penulis ialah Prof Madya di Universiti Islam Antarabangsa

22 July 2013

Langkah strategik penyatuan nasional

saifuddin abdullah

Frasa “penyatuan nasional” diungkapkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam ucapan kemenangan BN di PRU13 pada 5 Mei lalu.

Selanjutnya, beliau mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan menubuhkan sebuah Majlis Perundingan Penyatuan Nasional.

Sejak dari itu hingga ketika rencana ini ditulis, sebanyak sembilan perbincangan meja bulat tentangnya, dengan menggunakan tema “pembangunan inklusif”, telah dianjurkan Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM) bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Di samping itu, Pusat Pengajian Dasar Awam (CPPS), Dewan Perhimpunan Cina Melaka dan Gabungan Bertindak Malaysia turut mengadakan perbincangan tentangnya.

Ia turut melibatkan kerjasama organisasi lain, contohnya, Razak School of Government, Institut Pengurusan Malaysia (MIM), Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur dan Akademi Belia.

Perbincangan-perbincangan yang diadakan di Lembah Klang, Melaka, Pasir Putih, Kuching dan Kota Kinabalu itu dihadiri masyarakat sivil, pemimpin komuniti, intelektual awam, pegawai kerajaan, ahli politik, ahli perniagaan, belia, wanita dan media.

Sebuah cadangan kertas dasar telah disiapkan Datuk Dr Denison Jayasooria, Felo Utama KITA-UKM, dan satu pertemuan telah diadakan dengan menteri yang berkaitan. Kini, kita menunggu ia diputuskan Kabinet.

Oleh kerana cadangan penyatuan nasional diungkapkan Datuk Seri Najib dalam bahang keputusan PRU13, maka, selagi keanggotaan dan terma rujukan majlis perundingan itu belum diumumkan, ia terbuka kepada pelbagai tafsiran.

Tetapi, pada keseluruhannya, mereka yang terlibat dalam perbincangan-perbincangan tersebut di atas bersetuju bahawa kita sememangnya perlu kepada satu bentuk perpaduan yang diberi nafas dan pendekatan baru.

Ini kerana perpaduan ialah semangat bangsa Malaysia. Tanpanya, idea Malaysia tidak bermaya. Justeru, penyatuan nasional perlu digarap bukannya sebagai tindakan politik yang impulsif, tetapi, sebagai satu kesinambungan strategik yang komprehensif. Maksudnya ialah, kalaupun tidak berlaku PRU13, ia tetap perlu dibincangkan. Kini, PRU13 menjadi katalis untuk ia disegerakan.

Sebab itu, sejak sebelum PRU13 lagi, contohnya, pada tahun 2012, CPPS, dengan kerjasama KITA-UKM dan Kementerian Pengajian Tinggi, menganjurkan 12 perbincangan meja bulat tentang isu-isu yang menjadi keprihatinan rakyat.

Perbincangan ini menjadi wahana penting untuk perundingan, perkongsian dan maklum balas antara pihak-pihak berkepentingan tentang dasar-dasar dan program-program pembangunan negara.

Catatan siri perbincangan itu telah dibukukan dengan tajuk Malaysian Issues & Concerns: Some Policy Responses (Isu-isu Keprihatinan Malaysia: Beberapa Cadangan Dasar). Ia dibahagikan kepada tiga bab, iaitu “Pembangunan Mampan”, “Isu-isu Pendidikan” dan “Keprihatinan Komuniti”.

Dalam konteks penyatuan nasional, bab tentang keprihatinan komuniti adalah yang paling relevan. Ini kerana ia membicarakan 15 perkara yang menjadi keprihatinan semua kaum, iaitu dari segi isu-isunya dan cadangan penyelesaiannya.

Lima belas perkara itu ialah:
-    Kerakyatan.
-    Memperkukuh demokrasi dan hak asasi.
-    Menangani kemiskinan dan ketidaksaksamaan.
-    Penghakupayaan melalui pendidikan dan latihan kemahiran.
-    Meluaskan peluang pekerjaan.
-    Meluaskan peluang perniagaan dan ekonomi
-    Mengatasi masalah jenayah dan keselamatan awam.
-    Meningkatkan persefahaman antara penganut agama-agama.
-    Meningkatkan perpaduan dan integrasi dalam kepelbagaian.
-    Memperkasa patriotisme dan Institusi Raja.
-    Mengoptimumkan potensi belia melalui pendekatan-pendekatan baru.
-    Organisasi masyarakat sivil dan akar umbi sebagai rakan pembangunan.
-    Keberkesanan desentralisasi dan kerajaan tempatan.
-    Meningkatkan autonomi negeri, terutamanya Sabah dan Sarawak.
-    Keberkesanan pelaksanaan urus tadbir.

Semoga majlis perundingan tersebut mendapat sambutan sewajarnya daripada semua pihak.

21 July 2013

Bencana Jerebu Sebagai Tanda Kealpaan Manusia

Ditulis oleh Azrina Binti Sobian. Posted in Berita Harian



Bulan Jun merupakan bulan yang istimewa bagi meraikan alam sekitar kita. Pada 5 Jun 2013, Hari Alam Sekitar Sedunia disambut. Tema sambutan bagi tahun ini ialah "Think, Eat and Save." Tema ini ringkas tapi penuh makna. Namun ironinya, bulan yang penuh makna bagi alam sekitar ini disambut penuh "berjerebu" oleh warga Malaysia. Dalam keadaan ini, elok juga kita meluangkan sedikit masa untuk memikirkan tentang masalah tersebut, seperti mana yang dianjurkan dalam tema sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini, sebagai satu usaha muhasabah diri.

Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat-ayat yang mengajak manusia untuk berfikir, memerhati serta melakukan pengamatan. Antaranya, di dalam surah ar-Ruum (30), ayat 24; surah ar-Ra'd (13), ayat 3 dan surah al-Jaathiyah (45), ayat 5. Sesungguhnya, akal anugerah Ilahi bukan satu perhiasan tetapi perlu digunakan semaksimum mungkin, apatah lagi menggunakan akal untuk muhasabah diri demi berhadapan dengan bencana alam ketika ini.

Masalah jerebu yang berlaku memberi terlalu banyak pengajaran dan peringatan kepada manusia yang mahu berfikir. Salah satunya adalah tentang sikap manusia. Mereka yang tidak peduli akhirnya menyebabkan kerosakan demi kerosakan kepada alam. Kata orang, "berani buat, beranilah tanggung." Jadi, manusia membakar hutan, maka manusialah yang menanggung akibat tingkah laku jahil tersebut. Ini bertepatan dengan janji Allah SWT bahawa manusia yang melakukan kerosakan, akan merasakan kesan daripada perbuatan tangannya (ar-Rum, 30: 14). Namun malangnya, mereka yang tidak bersalah turut sama "dipaksa menikmati" kesan tersebut.

Selain sikap, masalah jerebu yang berulang-ulang sejak tahun 1997 ini, menunjukkan betapa rendahnya pengetahuan manusia terhadap peranannya di dalam alam yang serba luas ini serta tidak memahami peranan setiap entiti alam yang diciptakan oleh Allah SWT. Sememangnya, perkembangan sains dan teknologi yang pesat telah banyak membantu manusia memahami peranannya serta peranan sumber alam. Namun, kenapa manusia masih mengganggu-gugat persekitarannya? Ini kerana, pengetahuan berdasarkan perkembangan sains dan teknologi tidak dapat menyemarakkan hikmah dan hemah dalam jiwa manusia semasa berinteraksi dengan persekitarannya.

Oleh itu, menyemarakkan hikmah dan hemah dalam diri manusia perlu dengan menambah ilmu agama ke dalam jiwa tersebut. Ini kerana, ilmu agama membuka mata manusia untuk memahami peranannya sebagai khalifah, tanggungjawab atau amanah, menerima konsep keadilan dalam interaksi dengan alam, konsep mizan (kesetaraan), tawazun (keseimbangan), jamal (indah) dan sebagainya. Manusia yang benar-benar faham tentang konsep-konsep ini pasti tidak tergamak melakukan kemusnahan alam kerana dia tahu bahawa tindakannya itu akan disoal dan diperhitungkan di hadapan Yang Maha Esa.

Tidak ketinggalan juga kegagalan manusia memahami konsep pencemaran merentas sempadan. Selalunya, kita hanya melihat kepada masalah-masalah alam sekitar tempatan. Misalnya, masalah sampah, penebangan hutan, tanah runtuh dan sebagainya. Ini merupakan satu pengetahuan yang terhad. Dalam keadaan dunia masa kini, pengetahuan terhadap masalah alam sekitar bersifat global atau merentasi sempadan amat penting dan kritikal. Hakikatnya, kita berkongsi alam ini dengan orang lain, di dalam mahupun di luar negara. Oleh itu, kerosakan sumber alam yang dilakukan di satu tempat akan memberi kesan kepada tempat yang lain, sama ada tempat itu di Malaysia mahupun jauh di negara orang. Oleh itu, ahli masyarakat perlu diberikan kesedaran dan pengetahuan tentang masalah alam sekitar sejagat.

Oleh sebab kita semua berkongsi alam atau bumi yang sama, maka penyelesaian terhadap permasalahan ekologi itu memerlukan kerjasama yang utuh. Dalam banyak keadaan, kita suka menyalahkan orang lain terhadap apa yang terjadi. Memanglah mudah dan mungkin menyeronokkan apabila menuding jari, namun ini tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah malah boleh menimbulkan ketegangan. Masalah jerebu yang melibatkan tiga negara di rantau Asia Tenggara ini perlu diselesaikan dengan semangat setia kawan. Negara-negara dalam rantau ini adalah berjiran dan memuliakan jiran merupakan satu tuntutan dalam Islam. Kesudian untuk bekerjasama juga merupakan satu usaha memuliakan jiran. Jika kita gagal bekerjasama dalam semangat serantau, maka bagaimanakah pula kita hendak bekerjasama dalam menangani permasalahan alam sekitar global misalnya masalah pemanasan dunia?

Penjelasan-penjelasan di atas hanya dapat difahami jika kita mahu berfikir atau bermuhasabah diri dalam menghadapi keadaan persekitaran yang tercemar kini. Apabila berlakunya sesuatu bencana seperti jerebu, kita boleh melihatnya dalam konteks hukuman Allah SWT terhadap manusia yang lalai. Ini mengingatkan kita tentang apa yang diceritakan di dalam surah al-Dukhan (ayat 9-16) tentang kaum Quraisy yang menentang serta memain-mainkan risalah yang dibawa Rasulullah SAW. Akibat kekufuran ini, kaum tersebut ditimpa bencana kemarau yang panjang sehingga mereka melihat asap antara langit dan bumi. Asap itu sungguh tebal hingga menyebabkan mereka tidak nampak rupa paras masing-masing apabila berbicara sesama sendiri. Dalam konteks ini, bencana asap itu merupakan satu hukuman terhadap sikap masyarakat Quraisy yang terus-terusan kufur kepada Allah SWT.

Dalam masa yang sama, bencana yang berlaku itu juga boleh dilihat dari sudut yang lain iaitu untuk menyedarkan dan membangkitkan manusia dari kealpaannya. Hakikatnya, manusia biasa seperti kita semua mudah lupa dan sering melakukan kesilapan. Oleh itu, kita perlu sentiasa diingatkan agar dapat kembali ke jalan yang benar. Oleh itu, perlulah kita berlapang dada menerima dugaan ini dan berusaha ke arah kebaikan.

Walau bagaimanapun, orang tua-tua berkata, apabila kita melakukan satu-satu kesilapan untuk kali pertama, maka itu dikatakan kelemahan diri. Namun, jika kesilapan yang sama diulang berkali-kali, maka itu tanda kebodohan diri. Jadi, jangan biarkan masalah jerebu berulang kembali kerana ini menunjukkan betapa kita berulang-ulang melakukan kesilapan yang sama. Apakah maksudnya di sini? Tepuk dada tanyalah selera!

Jerebu: Bukan Sekadar Musibah Sebaliknya Tersembunyi Hikmah

Ditulis oleh Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin. Posted in Utusan Malaysia

 
Serangan jerebu yang melanda Negara sejak tiga minggu lepas seolah-olah mengulangi kembali peristiwa jerebu pada tahun 1997 apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi yang dicatatkan adalah mencecah 750 dan jarak penglihatan yang tinggal adalah kira-kira 50 meter sahaja. Sebagaimana lazim, punca jerebu pada kali ini juga adalah akibat daripada kebakaran ladang dan hutan yang berlaku di negara jiran kita iaitu di Wilayah Riau, Indonesia. Pada kali ini, Singapura juga tidak terkecuali merasai bahang daripada jerebu yang tercetus.

Ancaman jerebu yang berlaku sedikit sebanyak telah membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia dan Singapura kerana sesak nafas dek terpaksa menyedut asap yang dibawa dari negara terbabit. Apatah lagi, akibat daripada jerebu yang telah dicetuskan, ia turut menjejaskan aktiviti seharian yang boleh merugikan kedua-dua negara yang terlibat. Lebih buruk lagi apabila masing-masing saling tuding-menuding menyalahkan antara satu sama lain. Keadaan ini pastinya boleh mengundang berlakunya ketegangan dalam hubungan dua hala antara negara-negara yang terlibat jika tiada langkah sewajarnya diambil untuk membolehkan masalah jerebu diselesaikan dengan baik.

Seharusnya dalam situasi yang berlaku ini, sikap suka menyalahkan antara satu sama lain perlu dielakkan sama sekali. Lebih-lebih lagi pabila ia melibatkan negara serumpun yang pastinya saling memerlukan antara satu sama lain dalam merencana perancangan  pembangunan pada masa hadapan, serta melibatkan negara yang dihuni oleh rakyat yang majoritinya beragama Islam. Sebaliknya, setiap daripada kita perlu memandang musibah yang berlaku dari sudut positif iaitu sebagai ujian daripada Allah SWT yang memberi peluang untuk kita belajar sesuatu bagi memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Setidak-tidaknya dengan peringatan dan ujian Allah SWT, ia akan menyedarkan kita daripada terus lalai dan alpa dalam setiap tindak tanduk kita selaku khalifah di atas muka bumi.  

Ia bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil, berbuat kebaikan, serta memberi  bantuan kepada kaum kerabat; dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar kamu dapat mengambil pelajaran" (Surah an-Nahl, 16: 90).

Sememangnya tidak dinafikan bahawa jerebu yang dialami begitu merimaskan rata-rata kita sehingga telah membantutkan segala percaturan aktiviti yang telah dirancang dan menjejaskan kesihatan segelintir kita. Namun demikian, sebagaimana yang dinukilkan di dalam ayat di atas, setiap musibah yang berlaku pasti mengandungi hikmah yang tersembunyi yang tidak kita sedari. Misalnya, dalam konteks jerebu yang sering rata-rata kita pandang dari sudut negatif sebenarnya terkandung banyak kebaikan yang tersirat disebaliknya.

Antaranya, sesekali apabila diuji dengan jerebu yang menyesakkan nafas, pastinya ia akan menerbitkan rasa syukur yang tidak terhingga dalam diri kita dengan nikmat udara bersih dan segar yang dihirup selama ini. Jika sepanjang kehidupan, kita hanya menyedut udara tanpa pernah memikirkan betapa nikmat udara merupakan anugerah terbesar dalam kehidupan kita, pastinya mulai saat ini kita akan lebih menghargai nikmat udara bersih yang kita kecapi. Apabila timbulnya kesedaran serta keinsafan mengenai perkara ini, pastinya ia dapat mendorong kita supaya lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan tidak sewenang-wenangnya melakukan aktiviti-aktiviti tidak sihat yang boleh mencemarkan udara seperti pembakaran terbuka dan sebagainya. 

Seterusnya, pelajaran yang boleh kita ambil daripada dugaan jerebu ini adalah untuk kita muhasabah diri dan merenung kembali setiap perlakuan kita terhadap alam sama ada ia baik atau pun buruk. Sesungguhnya, dalam setiap inci musibah yang berlaku pastinya sedikit sebanyak adalah bertitik tolak daripada kesilapan dan kealpaan kita sendiri. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat) (Surah ar-Rum, 30: 41).

Justeru, dalam situasi jerebu yang melanda, setiap negara yang terlibat seharusnya tidak beremosi menuding jari sesama sendiri. Sebaliknya, pendekatan yang lebih berhemah perlu diambil agar tidak memburukkan lagi keadaan. Umpamanya, perbincangan perlu dilakukan antara ketiga-tiga negara bagi memperoleh penyelesaian terbaik untuk menghentikan jerebu yang melanda dan mencari jalan
bagi mengelakkan perkara seumpama ini daripada berulang. Ini memandangkan, kebakaran hutan yang berlaku di negara jiran kita, Indonesia bukanlah kali pertama. Malah, ia kerap kali berlaku sehingga negara jiran yang lain turut terkesan.

Dengan tercetusnya jerebu, setidak-tidaknya ia membuka ruang untuk setiap negara yang terlibat memikirkan perancangan teliti yang perlu dilaksanakan secara bersama bagi membendung permasalahan ini agar ia tidak menyerang lagi pada masa akan datang. Dalam aspek ini, jika kita memandang sesuatu musibah dari sudut positif, maka pengakhirannya juga akan jadi positif. Dalam erti kata lain, jika ketiga-tiga negara yang terlibat memandang serangan jerebu sebagai suatu ujian yang membuka peluang positif untuk mengeratkan lagi hubungan sesama sendiri, maka pertikaian sama sekali tidak akan berlaku. Malahan, usaha secara bersama dan sikap saling bantu membantu dalam menangani masalah jerebu seperti usaha pembenihan awan dan sebagainya akan lebih merapatkan lagi hubungan sesama negara serumpun.

Dalam menghadapi serangan jerebu, ia merupakan ruang terbaik untuk masing-masing muhasabah diri bahawa kita hanyalah makhluk yang lemah dan tidak sempurna. Sebagai manusia biasa pastinya kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Apa yang penting, kita bersedia belajar daripada setiap kesilapan yang lepas untuk menjadi insan yang lebih baik. Oleh yang demikian, sama-samalah kita mengambil pengajaran daripada ujian jerebu ini dari sudut yang positif yakni tersembunyi hikmah di sebaliknya agar kita mampu melakukan transformasi diri dengan lebih ikhlas. Sesungguhnya, terdapat kebaikan yang sering kita lupa dan abaikan di sebalik setiap musibah yang menimpa.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ada mengaitkan mengenai apa yang manusia sangka baik, mungkin buruk bagi diri mereka. Manakala, apa yang mereka sangka buruk, maka baik bagi mereka sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "...dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui(semua itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya"(Surah al-Baqarah, 2: 216).

19 July 2013

Shisha Haram



Shisha Haram Bagi Umat Islam - Jawatankuasa Fatwa


KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan shisha adalah haram bagi umat Islam.

Selain menghisap shisha, muzakarah yang bersidang pada Rabu lepas, turut melarang umat Islam daripada menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti berkaitan shisha.

Ini diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dalam kenyataan hari ini.

"Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar daripada Kementerian Kesihatan dan meneliti maklumat serta bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudaratan besar yang dihadapi akibat shisha...maka muzakarah bersetuju memutuskan shisha adalah haram," katanya.

Abdul Shukor menjelaskan penggunaan shisha akan memberi kesan dan kemudaratan besar dari segi kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi akan datang.

Muzakarah khas itu, katanya, mendapati semua dapatan saintifik menerusi pelbagai kajian komprehensif yang dilakukan di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa berjaya membuktikan shisha memberi kesan amat berbahaya dan penularannya amat membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja dan wanita.

"Dalam hal ini, muzakarah menasihatkan seluruh umat Islam supaya tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti berkaitan shisha kerana pengharamannya adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada Al-Quran dan hadis serta kaedah Fiqhiyyah," kata Abdul Shukor.

Ini, katanya, bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari'yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara seperti mana tuntutan syarak.

"Shisha jelas memudaratkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai perkara buruk atau keji yang perlu dihindari oleh semua umat Islam," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Shukor berkata muzakarah khas itu juga kecewa terhadap perlakuan pihak-pihak yang sengaja menimbulkan isu bagi mencetuskan kemarahan umat Islam, sekali gus menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.

"Muzakarah khas berpandangan siri-siri penghinaan yang dilakukan golongan tidak bertanggungjawab ini semacam sudah dirancang dan sengaja dilakukan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang amat mulia bagi umat Islam," katanya.

Menurutnya, perbuatan yang dilakukan golongan itu telah melampaui batas kesabaran umat Islam.

"Dengan pelbagai penghinaan yang dilakukan sebelum ini, kita tidak mahu lagi kata-kata atau perlakuan biadap dan tidak bertamadun oleh rakyat Malaysia atau mana-mana warga asing dipandang sebelah mata tanpa diambil tindakan tegas dan hukuman maksimum mengikut undang-undang sedia ada," katanya.

Abdul Shukor menekankan tindakan tegas dengan kadar segera perlu dilaksanakan pihak berkuasa supaya perbuatan menghina Islam tidak terus berulang selain menjadi pengajaran buat semua.

Beliau menarik perhatian perbuatan menghina dan mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kemarahan umat Islam dan kemudian memohon maaf sudah menjadi mainan pihak-pihak berkaitan, dan ini tidak harus dibiarkan berlaku.

Justeru, Abdul Shukor berkata muzakarah khas itu menggesa umat Islam supaya bersatu dalam menghadapi niat jahat pihak-pihak yang biadap itu demi mempertahankan kesucian agama dan maruah umat Islam di negara ini.

-- BERNAMA

Isu Jerebu

Tangani Isu Pembakaran Dan Jerebu Di Indonesia Dengan Penuh Berhemat - Apimi



GAMBAR HIASAN
Oleh Ahmad Fuad Yahya

JAKARTA, 19 Julai (Bernama) -- Persatuan Pelabur Perladangan Malaysia di Indonesia (APIMI) mahu isu pembakaran dan jerebu di Indonesia ditangani dengan penuh berhemat.

Pengerusi APIMI Datuk Abdul Wahab Maskan berkata perkara ini adalah penting kerana isu itu melibatkan negara anggota Asean terutama Indonesia, Malaysia dan Singapura.

"Isu tahunan mengenai pembakaran dan jerebu perlu ditangani secara berhemat oleh semua kerajaan yang terlibat dan jadikannya sebagai agenda utama apabila kerajaan berkaitan bertemu semasa mesyuarat dua hala atau mesyuarat Asean sebelum musim tompokan panas (pembakaran)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berharap satu pasukan petugas khas tetap mengenai pembakaran dan jerebu ditubuhkan kerajaan berkaitan bagi memastikan anggota yang menghadapi masalah itu dibantu sedaya mungkin.

"Kerjasama antara K dengan K (kerajaan dengan kerajaan) adalah sangat penting dan ia disokong platform P dengan P (perniagaan dengan perniagaan). P dengan P sepatutnya bukan satu isu bagi Kumpulan Minyak Sawit Indonesia Malaysia (IMPOG). Topik itu akan dibincangkan antara wakil kedua buah negara," katanya.

Abdul Wahab berkata semua pihak yang terlibat dalam pembakaran dan jerebu perlu bekerjasama mencari jalan penyelesaian kepada isu itu danbukan mencari pihak mana untuk dipersalahkan.

Beliau berkata Malaysia melalui K dengan K, sentiasa menyokong usaha kerajaan Indonesia untuk mencari penyelesaian dan menghentikan pembakaran dan jerebu.

Anggota APIMI, katanya, sentiasa menjadi operator yang bertanggungjawab dan sentiasa melaksanakan amalan terbaik seperti operator-operator perladangan yang dihormati di Indonesia manakala pihak berkuasa pada umumnya bertanggungjawab dan responsif kepada keperluan pelabur perladangan di Indonesia.

Beliau mengesahkan bahawa syarikat Malaysia pada umumnya tidak bersalah dalam soal pembukaan tanah di Indonesia menggunakan pembakaran menyebabkan jerebu yang menjejaskan Singapura dan Malaysia baru-baru ini.

Katanya sesetengah anggota APIMI yang dituduh menyebabkan pembakaran di Riau bulan lepas menjelaskan mereka tidak bersalah dan sentiasa komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan mereka mengenai punca pembakaran di Riau.

Abdul Wahab berkata laporan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan dan ia terbukti bahawa mereka tidak terbabit.

"Saya memberi jaminan bahawa anggota-anggota APIMI pada umumnya selama ini mempunyai dasar pembakaran sifar. Mereka memberi jaminan bahawa mereka mematuhi prosedur makluman dalam menguruskan perladangan masing-masing dan juga sentiasa diingatkan setiap awal tahun agar bersedia berhubung isu tompokan panas dan langkah-langkah mengatasi isu seperti menyediakan bahan bercetak atau buletin kepada anggota," katanya.

Beliau berkata anggota APIMI juga mempunyai Prosedur Operasi Standard mereka sendiri bagi memastikan mereka mengelak daripada kegiatan pembakaran terbuka dan ada pasukan petugas khas bagi membantu pihak berkuasa jika pembakaran terbuka dilakukan pihak lain.

"Dalam mesyuarat agung APIMI baru-baru ini, anggota persatuan mengesahkan bahawa mereka mengamalkan pembakaran sifar bagi sebarang aktiviti di dalam lingkungan ladang mereka dan menyokong ISPO (Indonesian Sustainable Palm Oil) yang melarang pembakaran terbuka dalam aktiviti menanam semula dan menekankan persekitaran dan amalan perladangan mesra alam," katanya.

Kenyataan itu dibuat setiausaha agung meja bulat mengenai kelestarian minyak sawit (RSPO) pada 5 Julai juga membuktikan tiada seorangpun anggota APIMI terbabit dalam pembakaran dan jerebu di Riau.

Beliau berkata RSPO, menjalankan analisis dengan bantuan pakar penyelidik antarabangsa dan seorang saintis dan penemuan menunjukkan tiada satu syarikat pun yang dituduh terbabit menyebabkan kebakaran di Riau.



-- BERNAMA

Jata Negara


Jata Negara Malaysia merupakan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Reka bentuk Jata Negara telah diusahakan oleh Jabatan Ukur dengan menggunakan enam warna.

Jata Negara menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan. Bintang bersama-sama anak bulan pula sebagai lambang Agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris pula sebagai lambang Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Bahagian sebelah kiri perisai menandakan Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka mewakili Melaka. Kedua-dua buah negeri tersebut adalah sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat suatu ketika dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu; warna-warna hitam dan putih adalah warna Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam, putih dan kuning warna Perak; merah, hitam dan kuning adalah warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini adalah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang asal. Dua ekor harimau juga merupakan lambang bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia. Cogan “Bersekutu Bertambah Mutu” ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Kontrak Sosial

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kontrak Sosial?
Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah.
Mengapa Isu Kontrak Sosial Timbul?
Isu ini timbul mungkin kerana kontrak sosial ini telah dibentangkan kepada masyarakat sebagai satu persetujuan antara elit pada masa tertentu, dalam keadaan tertentu. Ini menyebabkan generasi baru menganggapnya sebagai tidak lagi relevan. Sebahagian masyarakat bukan Melayu juga menganggapnya kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan. Ia suatu pemberian yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu yang merupakan imigran atau keturunan imigran.Oleh sebab itu generasi bukan Melayu sekarang menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka juga tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera adalah sebahagian daripada kontrak sosial. Oleh kerana bukan Melayu diberikan kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberikan perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa. Kepada mereka kompromi ini terikat kepada masa tertentu, jadi mereka tidak nampak relevannya sekarang.

Adakah Kontrak Sosial Terkandung Dalam Perlembagaan?
Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan, persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu.

Apakah Perkara Penting Perlu Difahami Dalam Kontrak Sosial?
Rakyat Malaysia perlu memahami kontak sosial dengan jelas berdasarkan kepada fakta sejarah. Kontrak sosial harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada empat perkara utama iaitu - perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan.

Apakah Hubung Kait Kontrak Sosial Dengan Negara dan Bangsa Malaysia?
Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan negara kita serta menentukan sifat bangsa dan negara Malaysia.Malaysia adalah Negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan terbuka kepada bukan Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara dan diberikan jus soli.Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus difahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.
Sumber Maklumat:- Bahagian Pengurusan Maklumat Strategik, Kementerian Penerangan Malaysia



KONTRAK SOSIAL MALAYSIA
1. Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu.
2. Hanya berkata ini akan sebabkan kita dituduh bersifat perkauman.
3. Untuk terangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia saya terpaksa imbas semula sejarah.
4. Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini dengan penerimaan oleh mereka pemerintahan Raja-Raja Melayu.
5. Pada mulanya penduduk yang tinggal di Negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain.
6. Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sikitpun merasa tergugat dengan bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan jurang kekayaan dan kemajuan di antara tetamu asing ini dan rakyat Raja-Raja Melayu. Mereka tidak terfikir yang orang asing yang menetap di negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan.
7. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi mereka.
8. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam hutan. Apabila Jepun serah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di kawasan pedalaman dan isytihar yang mereka adalah pemerintah negara ini. Mereka menangkap ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada mereka ini dibunuh.
9. Orang Melayu di kampung-kampung membalas dengan membunuh orang Cina di kawasan luar bandar. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi.
10. Di dalam keadaan tegang ini British mencadang penubuhan Malayan Union yang akan memberi "tetamu-tetamu" ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu.
11. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka paksa British untuk kembali keapda keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang baru.
12. Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.
13. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya menekan Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.
14. British terus beri tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal kerakyatan bagi orang bukan Melayu.
15. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh kerana kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa letak calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC.
16. Begitu sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.
17. Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat memberi kemerdekaan.
18. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.
19. Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.
20. Ianya merupakan agihan yang sama rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini.
21. Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.
22. Sekolah rendah Cina dan Tamil juga boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengajar. Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya di sekolah menengah swasta.
23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.
24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.
25. Demikian walaupun Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil tetap bebas digunakan di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal sekalipun tidak terdapat jaminan seperti ini yang termaktub di dalam Perlembagaan.
26. Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja.
27. Difahamkan bahasa Cina yang di maksudkan di dalam persefahaman tersebut adalah dialek-dialek Cina yang ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China. Demikian bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya Hindi atau Urdu atau apa-apa bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan di India. Tetapi para pendidik aliran Cina kemudiannya mengguna Bahasa Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu Mandarin.
28. Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-masing tanpa apa-apa halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan Kerajaan. Tiada tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak menekankan tentang ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun sebut tentang bantuan Kerajaan terhadap agama lain. Namun sokongan dan bantuan tetap diberikan.
29. Kuota ditetapkan bagi kakitangan Kerajaan (Malayan Civil Service) dimana orang Melayu akan mendapat empat tempat bagi setiap satu yang diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak mungkin terdapat cukup bilangan orang Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.
30. Hasilnya pada awal kemerdekaan terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu yang mengisi jawatan dalam Divisyen Satu.
31. Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen bagi orang Melayu. Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen hanya untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.
32. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-Pertuan Agong akan dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama lima tahun.
33. Raja-raja akan menjadi Raja berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis atau Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.
34. Persetujuan yang paling penting ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan dengan Raja Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom. Harus diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi ke atas Negeri-negeri Melayu dengan kuasa diletak pada Pejabat Kolonial di London.
35. Sebelum ini Negeri-negeri Melayu diperintah secara feudal di mana Raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah tentu tetamu juga tidak mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik. Warganegara British keturunan Cina dan India juga tidak mempunyai apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli Kehormat Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.
36. Keputusan untuk melaksana sistem Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu langkah radikal di dalam pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu. Ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang diwakili parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada ketiga-tiga masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak menyatakan persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.
37. Suruhanjaya Reid diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya akan dimasukkan kedalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya Perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang merdeka pada tahun 1957.
38. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk Malaysia kontrak sosial ini di panjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah dan Sarawak di beri taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga perkataan Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan orang Bumiputera Sabah, Sarawak daripada yang berketurunan pendatang. Kerana Bahasa Melayu dugunakan secara meluas di negeri-negeri Borneo tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan semuanya orang Islam ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan apabila perkataan Bumiputera diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang Melayu tetap tidak berubah.
39. Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.
40. Kesemua tindakan susulan oleh Kerajaan adalah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya pencetus kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di setiap Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati kontrak sosial ini.
41. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini.
42. Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.
43. Selama 50 tahun tidak ada sesiapa yang menyoal kontrak sosial ini. Malahan hari ini pun majoriti kaum Cina dan India dan Bumiputera Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak menerima kontrak sosial ini.
Sumber: Laman Web Tun Mahathir

18 July 2013

Istilah kehakiman



Istilah kehakiman

1Afidavit
Pernyataan bertulis atas nama seseorang membuat pengakuan dalam kes sivil / kes jenayah.

2Alibi
Bukti yang menunjukkan pada masa kesalahan yang dipertuduhkan, tertuduh berada di tempat lain.

3Appointee
Orang yang dilantik akan diberi faedah apabila kuasa pelantikan dikuatkuasakan.

4Assumpsit
Tindakan Common Law diambil atas seseorang yang melanggar janji/menipu.

5Autre conuict
Alasan menghalang pandakwaan jenayah apabila banduan itu mendakwa bahawa dia telah dibicarakan dan disabitkan untuk kesalahan yang sama masa itu.

6Bail
Jaminan iaitu tertuduh diikat jamin dan dikehendaki hadir ke mahkamah pada waktu yang ditetapkan, sekiranya tertuduh gagal hadir, maka wang cagaran penjamin dirampas.

7Bailiff
Orang yang dilantik oleh mahkamah untuk menyampaikan writ/ saman kepada seseorang.

8Bona fide
Dengan baik hati dan jujur tanpa fraud atau penyertaan dalam perbuatan yang salah.

9By-law/bye-law
Undang-undang kecil dibuat oleh pihak berkuasa untuk penyelarasan.

10Certiorari
Permohonan terhadap Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rendah

11Common Law
Sebahagian undang-undang England yang dirangka dan ditadbir oleh mahkamah lama Common Law berasaskan amalan masyarakat Negara itu dan dalam bentuk lisan.

12Consensus ad idem
Persetujuan atas perkara yang sama dalam membentukkan kontrak.

13Coroner
Seorang yang ditugaskan menyiasat keadaan kematian seseorang yang mati dibunuh atau mati dalam keadaan mencurigakan.

14Cy-pres
Doktrin memboleh mahkamah mengarah pelaksanaan niat seseorang pewasiat menerusi cara yang hampir dihajati apabila didapati pewasiat telah membuat sesuatu niat yang umum.


15Deed
Surat perjanjian bertujuan membuktikan persetujuan dibuat oleh pihak-pihak terbabit.

16De facto
Dari segi persoalan fakta

17Defendan
Tertuduh dalam kes perbicaraan.

18Ekstrinsik
Keterangan lain yang diberi berkaitan dengan sesuatu dokumen bertulis.

19Ex parte
Permohonan oleh plaintif (penuntut) untuk mendengar kes tanpa kehadiran defendan (tertudh)

20Fustus officio
Kesalahan yang sama tidak boleh diulang bicara di mahkamah yang sama selepas keputusan telah dibuat oleh mahkamah berkenaan.

21Habeas Corpus
Writ diperoleh daripada mahkamah yang mengarah seseorang yang berada dalam tahanan pihak berkuasa dihadapkan ke mahkamah untuk mendengar dan membela dirinya.

22Injuksi
Perintah mahkamah supaya defendan melakukan /tidak melakukan sesuatu perkara.

23Levi
Pengutipan dan pengumpulan wang secara paksa menerusi cukai.

24Mandamus
Writ dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi mengarah seseorang/ sesebuah badan menjalankan kewajipan untuk orang awam.

25Mandatory
Hukuman yang patut dilaksanakan. Biasanya melibatkan kesalahan yang berat.

26Mortage
Gadai janji

27Penalty
Dendaan / pembayaran wang dibuat kerana mungkir janji atau sesuatu yang bertentangan dengan syarat dalam kontrak.

28Petition
Rayuan bertulis kepada kerajaan atau mahkamah.

29Plaintif
Seseorang yang mengambil tindakan undang-undang terhadap tertuduh.



30Prima facie
Keterangan yang berhubung dengan fakta yang diterima mahkamah sebagai bukti kesalahan tertuduh.

31Status quo
Berada pada kedudukan asal

32Quarantine
Pengasingan seseorang di tempat khas akibat wabak penyakit berjangkit.

33Saman
Dokumen dengan nama tertuduh dikehendaki menghadirkan diri di Mahkamah pada masa yang ditetapkan.

34Sheriff
Melaksanakan arahan-arahan hakim dalam perbicaraan.

35Sapina
Arahan terhadap seseorang untuk hadir ke mahkamah kerana berkaitan dengan perbicaraan.

36Ultra vires
Perbuatan yang melampaui batas undang-undang

37Void
Terbatal kerana sah

38Waran
Perintah diberi kepada pihak berkuasa untuk menahan seseorang/ menghadapkannya ke mahkamah

39Writ
Dokumen dikeluarkan atas nama YDA disertakan dengan cop mohor kerajaan / mahkamah memerintah seseorang melakukan sesuatu / menghalangnya daripada melakukan sesuatu. Contohnya, writ dikeluarkan memerintahkan defendan hadir dari kes sivil.

Proses Pilihan Raya



Proses pilihan raya
Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil di Malaysia melibatkan enam peringkat iaitu pengeluaran writ, penamaan calon, kempen pilihan raya, pengundian, penjumlahan rasmi undi dan pengumuman keputusan pilihan raya.
(i)Pengeluaran Writ
Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau terdapat kekosongan di luar jangka, SPR akan mengeluarkan writ iaitu surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Pada masa yang sama satu notis pilihan raya akan diwartakan dan ditampal di tempat-tempat yang mudah untuk semakan orang ramai. Notis tersebut akan mengandungi tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang akan dijalankan.
(ii)Penamaan Calon
Pada hari penamaan calon yang ditetapkan, diantara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi, Pegawai Pengurus akan menerima borang-borang penamaan dari calon, pencadang atau penyokong atau ketiga-tiga sekali. Selain dari penyerahan tiga salinan borang penamaan, calon, pencadang atau penyokong perlu juga menyertakan deposit pilihan raya dan Borang Akaun Berkanun iaitu Borang 5 untuk calon bagi ahli Dewan Rakyat dan Borang 5A untuk calon bagi Ahli Dewan Undangan Negeri. Borang-borang ini perlu dimatikan setem di Pejabat Duti Setem.
Kertas-kertas penamaan yang diterima akan di pamerkan dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan dibuat bantahan oleh mereka yang layak iaitu calon dan pemilih yang terdaftar di kawasan berkenan. Apabila selesai urusan tersebut Pegawai Pengurus akan mengistiyarkan calon-calon yang layak bertanding. Jika hanya seorang saja calon yang layak, Pegawai Pengurus akan mengumumkan calon tersebut menang tanpa bertanding.

(iii)Kempen Pilihan Raya
Selepas sahaja urusan penamaan calon selesai, calon-calon atau wakilnya bolehlah memulakan urusan kempen yang terdiri daripada pemasangan poster, ceramah-ceramah, pengedaran risalah dan kempen dari rumah ke rumah. Aktiviti kempen ini perlu dihentikan pada jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi.
Untuk tujuan kempen, calon-calon dikehendaki membayar deposit bahan kempen sebanyak RM5,000 bagi pilihan raya Parlimen dan RM3,000 bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri. Begitu juga pemasangan poster ia perlu membayar sejumlah wang kepada pihak berkuasa tempatan. Bagi membolehkan calon-calon mengadakan ceramah terbuka mereka perlu mendapat kelulusan dari pihak polis.

(iv)Pengundian
Pada hari mengundi yang telah ditetapkan, pemilih-pemilih yang namanya ada didalam daftar pemilih akan keluar mengundi di pusat-pusat mengundi yang telah ditetapkan. Pada amnya masa mengundi yang telah ditetapkan oleh SPR ialah antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang diseluruh negara. Namun demikian ada juga kawasan yang masa mengundinya dipendekkan atas alasan keselamatan dan kesukaran pengangkutan terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Setiap pusat mengundi biasanya mempunyai lebih dari satu tempat mengundi. Ianya diketuai oleh seorang Ketua Tempat Mengundi dan dibantu oleh dua hingga empat orang pembantu.
Bagi pengundi-pengundi tidak hadir atau kalangan yang layak mengundi secara pos, mereka boleh mengundi lebih awal dari hari mengundi yang ditetapkan. Namun demikian semua kertas undi yang telah ditandakan perlu sampai ke Pejabat Pegawai Pengurus pada jam 5.00 petang hari mengundi tersebut.

(v)Penjumlahan Rasmi Undi
Sebaik saja urusan pengundian selesai, Ketua Tempat Mengundi akan membuat pengiran kertas undi. Keputusan pengiraan undi ini akan dimasukkan kedalam borang 14. Semua borang 14 ini akan dibawa kepada Pegawai Pengurus untuk dibuat Penjumlahan Rasmi Undi. Pegawai Pengurus setelah menyemak Borang 14 ini dan jika didapati betul beliau akan mengumumkan kepada orang ramaisatu persatu dan jika terdapat keraguan beliau akan menyemak semula dengan Borang 13 Penyata Kertas Undi.
Apabila semua keputusan Borang 14 - Penyata pengundian Selepas Pengiraan Undi dan Borang 15 - Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Kertas Undi Pos diterima dan diumumkan, beliau akan menjumlahkan keseluruhan keputusan untuk menentukan pemenangnya.

(vi)Pengumuman Keputusan Pilihan Raya        
Setelah selesai menjumlahkan Borang 14 dan 15, Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya itu akan mengisytiharkan calon yang mendapat undi majoriti dan mengesahkannya sebagai wakil yang terpilih bagi bahagian pilihan raya yang berkenaan. Keputusannya tidak boleh dipertikaikan. Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya boleh mengemukakan di Mahkamah Pilihan Raya melalui petisyen pilihan raya.