Followers
Carian dalam Blog ini
12 January 2011
10 January 2011
09 January 2011
Generasi terbilang
Generasi terbilang
Itulah wawasan warga pendidikan
jana insan jadi cemerlang, gemilang dan terbilang
seimbangkan pembangunan jasmani emosi rohani dan intelek
cabaran warga pendidik bina insan berminda kelas pertama bertaraf glokal
agenda jayakan wawasan negara maju menjelang 2020 mengikut acuan Malaysia
mampukah?
dengan gejala sosial yang kian meruncing
dengan sikap masyarakat yang kian membisu
dengan pemimpin kian menjaga periuk nasi sendiri
kata Tuah takkan melayu hilang di dunia
namun ciri-ciri kemelayuan kian layu
ditelan arus globalisasi
terbenam di dasar laut penjajahan moden
berpegang teguhlah kepada syariat Ilahi
moga generasi diwarisi terbilang dunia dan akhirat.
CNM, 7/1/11, 11.52 am
08 January 2011
05 January 2011
01 January 2011
Air mata duka
Air mata duka
Sapulah air mata duka
keringkan dengan selendang senda
hiasi pipimu dengan ukiran wajah ria
air mata duka racun jiwa
merosakkan nurani rasa
sengsara datang memenjara
hati merana di lubuk kisah lara
ingauan semalam lepaskan dengan redha
penuhi masa dengan mengingati yang Esa
kerana Firman-Nya
Dengan mengingati-Ku hati jadi tenang.
CNM, 31/12/2010, 22.35 pm
Mabuk cinta di laut kasih
Mabuk cinta
di laut kasih
mengasyikkan
tautan cinta bersimpul mati
tak terungkai dibadai gelora
tak karam dilambung gelombang.
Kasih disiram kata setia
kasih dibajai kata cinta
kasih digembur kata asmara
kekal bersemi ke hujung nyawa
selagi laut kasih bergelora bersulam senda
mudahan tidak hilang bersama cahaya senja.
Itulah nafas keyakinan diri
setelah kasih sayang membanjiri
daripada sang ratu yang bertahta di hati
menyulam cinta di garis-garis senja yang tak bertepi
menyanyikan lagu rindu di bawah indahnya warna pelangi
mengutip bunga-bunga asmara ditaburi keperaduan kasih abadi.
CNM, 31/12/2010, 21.20 pm
Jika jiwa didustakan
Jika jiwa didustakan
Jiwa itu perlu dibaja dengan ketabahan
jiwa itu perlu disiram dengan keyakinan
jiwa itu perlu digembur dengan kata-kata hikmat
jiwa itu perlu dikenyangkan dengan makanan rohaninya.
Malam-malam dulu yang sepi mengikat indah
rungkaikan simpulan tali-talinya
bentangkan lebaran putih bersih
coretkan garis-garis perjalanan musim baru.
Bukalah mata pada luasnya alam pertemuan
jangan ditoleh lagi pada malam-malam sepimu
pandanglah pagi hening berirama kicau si murai
tinggalkan sejarah malam yang tercoret dalam diari dukamu.
Sementelah sukma bangkit di dinihari
dendangkan jiwa itu dipermulaan hari dengan ayat-ayat suci
gugurkan sepi yang mencengkam dengan wuduk
laksanakan solat taubat kembali putihkan lebaran amalan
moga datang bertandang rasa kasih pada yang mencipta
dirahmati dengan kurniaan segugus ketenangan.
Dewasalah dengan segedung pengalaman
yang dikutip sepanjang jalan keremajaan
moga lorong-lorong cabaran
dilolosi dengan penuh keyakinan
meniti waktu-waktu keemasan
dalam keteguhan iman.
CNM, 30/12/2010, 13.13pm
29 December 2010
Tahniah Rimau Malaya
Setelah berhempas pulas
menyerang hendap
dalam senyap
kau membenam taring
ketangkasanmu mengelak sambaran garuda
menangkis cakaran
mematahkan paruh patukan
akhirnya garuda kecundang jua
kukunya kau patahkan
terima kasih
bawa pulang
maruah piala kemenangan
ke bumi Malaya.
CNM, 29/12/2010, 22.39 pm
Amukan Garuda
Setelah tiga biji telur dipecahkan
hati-hatilah rimau Malaya
garuda pasti cuba mencabut taringmu
sayapnya pasti menebarkan kekuatan
paruhnya pasti memagut keras
kuku yang tertinggal pasti mencakar kasar
nantikan terjahan dengan lompat tangkasmu
serangan hendap yang senyap
pantas, tangkas itulah senjatamu
jangan biarkan garuda meluka wajah
kerana luka itu pasti merencat gerak
tunjukkan taringmu masih berbisa
membaham apa saja bagai singa kelaparan
membenam musuh dengan gagah bermaruah
bukan seperti kata orang rimau tak berkuku
hebat mengaum cengkaman sudah lemah
bawa pulang daging kemenangan
bersama kuku garuda yang telah kau patahkan.
CNM, 28.12.2010, 17.40 pm
Rimba lara
Rimba lara
Rimba yang gelita
membutakan mata penuh hiba
menanti penuh setia
mengharap datangnya pembawa berita
berteduh di silara pohon cemara
membisikan seribu kata
tiada dusta
tiada cerca
lalu menyinar cahaya
membuka buta mata
di kelopak sengsara.
CNM, 26/12/2010, 22.30 pm