Frasa “penyatuan nasional” diungkapkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam ucapan kemenangan BN di PRU13 pada 5 Mei lalu.

Selanjutnya, beliau mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan menubuhkan sebuah Majlis Perundingan Penyatuan Nasional.

Sejak dari itu hingga ketika rencana ini ditulis, sebanyak sembilan perbincangan meja bulat tentangnya, dengan menggunakan tema “pembangunan inklusif”, telah dianjurkan Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM) bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Di samping itu, Pusat Pengajian Dasar Awam (CPPS), Dewan Perhimpunan Cina Melaka dan Gabungan Bertindak Malaysia turut mengadakan perbincangan tentangnya.

Ia turut melibatkan kerjasama organisasi lain, contohnya, Razak School of Government, Institut Pengurusan Malaysia (MIM), Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur dan Akademi Belia.

Perbincangan-perbincangan yang diadakan di Lembah Klang, Melaka, Pasir Putih, Kuching dan Kota Kinabalu itu dihadiri masyarakat sivil, pemimpin komuniti, intelektual awam, pegawai kerajaan, ahli politik, ahli perniagaan, belia, wanita dan media.

Sebuah cadangan kertas dasar telah disiapkan Datuk Dr Denison Jayasooria, Felo Utama KITA-UKM, dan satu pertemuan telah diadakan dengan menteri yang berkaitan. Kini, kita menunggu ia diputuskan Kabinet.

Oleh kerana cadangan penyatuan nasional diungkapkan Datuk Seri Najib dalam bahang keputusan PRU13, maka, selagi keanggotaan dan terma rujukan majlis perundingan itu belum diumumkan, ia terbuka kepada pelbagai tafsiran.

Tetapi, pada keseluruhannya, mereka yang terlibat dalam perbincangan-perbincangan tersebut di atas bersetuju bahawa kita sememangnya perlu kepada satu bentuk perpaduan yang diberi nafas dan pendekatan baru.

Ini kerana perpaduan ialah semangat bangsa Malaysia. Tanpanya, idea Malaysia tidak bermaya. Justeru, penyatuan nasional perlu digarap bukannya sebagai tindakan politik yang impulsif, tetapi, sebagai satu kesinambungan strategik yang komprehensif. Maksudnya ialah, kalaupun tidak berlaku PRU13, ia tetap perlu dibincangkan. Kini, PRU13 menjadi katalis untuk ia disegerakan.

Sebab itu, sejak sebelum PRU13 lagi, contohnya, pada tahun 2012, CPPS, dengan kerjasama KITA-UKM dan Kementerian Pengajian Tinggi, menganjurkan 12 perbincangan meja bulat tentang isu-isu yang menjadi keprihatinan rakyat.

Perbincangan ini menjadi wahana penting untuk perundingan, perkongsian dan maklum balas antara pihak-pihak berkepentingan tentang dasar-dasar dan program-program pembangunan negara.

Catatan siri perbincangan itu telah dibukukan dengan tajuk Malaysian Issues & Concerns: Some Policy Responses (Isu-isu Keprihatinan Malaysia: Beberapa Cadangan Dasar). Ia dibahagikan kepada tiga bab, iaitu “Pembangunan Mampan”, “Isu-isu Pendidikan” dan “Keprihatinan Komuniti”.

Dalam konteks penyatuan nasional, bab tentang keprihatinan komuniti adalah yang paling relevan. Ini kerana ia membicarakan 15 perkara yang menjadi keprihatinan semua kaum, iaitu dari segi isu-isunya dan cadangan penyelesaiannya.

Lima belas perkara itu ialah:
-    Kerakyatan.
-    Memperkukuh demokrasi dan hak asasi.
-    Menangani kemiskinan dan ketidaksaksamaan.
-    Penghakupayaan melalui pendidikan dan latihan kemahiran.
-    Meluaskan peluang pekerjaan.
-    Meluaskan peluang perniagaan dan ekonomi
-    Mengatasi masalah jenayah dan keselamatan awam.
-    Meningkatkan persefahaman antara penganut agama-agama.
-    Meningkatkan perpaduan dan integrasi dalam kepelbagaian.
-    Memperkasa patriotisme dan Institusi Raja.
-    Mengoptimumkan potensi belia melalui pendekatan-pendekatan baru.
-    Organisasi masyarakat sivil dan akar umbi sebagai rakan pembangunan.
-    Keberkesanan desentralisasi dan kerajaan tempatan.
-    Meningkatkan autonomi negeri, terutamanya Sabah dan Sarawak.
-    Keberkesanan pelaksanaan urus tadbir.

Semoga majlis perundingan tersebut mendapat sambutan sewajarnya daripada semua pihak.