Followers

Carian dalam Blog ini

06 July 2013

Agensi PBB

Agensi PBB
1. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO)

merupakan sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berusaha menghapuskan kelaparan. FAO merupakan satu forum neutral setiap negara berunding dan berbahas tentang dasar-dasar. FAO juga membantu negara-negara sedang memaju dengan memajukan pertanian, perhutanan dan perikanan demi menjamin bekalan makanan yang berkhasiat kepada semua penduduk dunia.

2. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)

merupakan sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menangani isu-isu buruh. Organisasi ini ditubuhkan pada 1919 melalui Persetiaan Versailles dan sebagai organ Liga Bangsa-bangsa. Selepas PBB ditubuhkan, ILO telah menjadi agensi pertubuhan tersebut.

Seperti dinyatakan oleh ketua pengarahnya, "matlamat utama ILO adalah untuk menggalakkan peluang bagi wanita dan lelaki mendapat pekerjaan yang memuaskan dan berhasil, dengan keadaan bebas, adil, selamat dan bermaruah." Kerja ILO dibahagikan kepada empat sektor, iaitu (1) piawaian dan prinsip asas dan hak dalam pekerjaan, (2) pekerjaan (employment), (3) perlindungan sosial dan (4) dialog sosial.

3. Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD)

merupakan badan antara kerajaan tetap yang ditubuhkan pada 1969. UNCTAD merupakan organ utama Perhimpunan Agung PBB dalam menangani isu perdagangan, pelaburan dan pembangunan.

Menurut laman web rasmi UNCTAD, matlamat pertubuhan ini adalah untuk "memaksimumkan peluang perdagangan, pelaburan dan pembangunan negara-negara sedang membangun dan membantu mereka mengintegrasikan diri dalam ekonomi dunia dengan saksama."

Kini, UNCTAD mempunyai 193 negara ahli dan beribu pejabat di Geneva, Switzerland. UNCTAD mempunyai 400 orang kakitangan dan belanjawan sebanyak AS$75 juta setahun. Setiausaha Agungnya ialah Dr. Supachai Panitchpakdi dari Thailand, iaitu bekas ketua pengarah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

4. UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB, bahasa Inggeris: UN Educational, Scientific and Cultural Organization)

ialah sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ditubuhkan pada tahun 1945. Tujuan penubuhannya adalah untuk menyumbang ke arah kedamaian dan keselamatan dengan mempromosikan kerjasama antarabangsa melalui bidang pendidikan, sains dan kebudayaan.

Secara keseluruhannya, sebanyak 191 buah negara telah menyertai UNESCO. Organisasi ini berpusat di Paris, dengan lebih 50 pejabat setempat dan beberapa institusi diseluruh dunia. Lima program utama UNESCO adalah: pendidikan, sains semula jadi, sains manusia dan sosial, kebudayaan, dan komunikasi dan maklumat. Projek yang menerima penajaan UNESCO termasuklan kemahiran menulis dan membaca, teknikal, dan program latihan kepada guru-guru; program sains antarabangsa; promosi kebebasan bersuara dan media yang bebas; projek sejarah kebudayaan setempat, promosi kepelbagaian budaya didunia; perjanjian kerjasama antarabangsa untuk kebudayaan dunia dan warisan semulajadi dan untuk memelihara hak asasi manusia; dan percubaan untuk menyatukan rangkaian antarabangsa.

5. Tabung Kanak-kanak PBB (bahasa Inggeris: United Nations Children's Fund) atau lebih dikenali sebagai UNICEF

merupakan badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memberi bantuan kemanusiaan dan perkembangan kepada kanak-kanak di seluruh dunia. UNICEF beribu pejabat di New York.

UNICEF bergantung kepada sumbangan kewangan daripada kerajaan-kerajaan dan juga penderma peribadi. Program-programnya menekankan perkhidmatan menjaga kesihatan dan kebajikan kanak-kanak di peringkat masyarakat. UNICEF dianugerahkan Hadiah Nobel pada 1965.

6. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (B. Inggeris: World Health Organisation WHO)

merupakan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertugas menjalankan penyelidikan dan mengambil tindakan-tindakan tertentu bagi menjamin kesihatan penduduk sedunia. Agensi ini ditubuhkan pada 7 April 1948.

Di samping mengkoordinasikan usaha-usaha antarabangsa mengawal wabak penyakit epidemik seperti SARS, malaria dan AIDS, WHO juga mngadakan program-program mencegah dan merawati penyakit-penyakit tersebut. WHO memberi sokongan kepada pembuatan dan pembahagian vaksin dan ubat farmasi. Ia sudah hampir menyiapkan penghasilan vaksin malaria, schistosomiasis dan ingin menghapuskan wabak polio dalam tahun-tahun yang akan datang.

WHO juga menaja kempen menggalakkan pemakanan buah-buahan dan sayur-sayuran, serta kempen antirokok.

WHO menjalankan penyelidikan sama ada medan elektromagnetik di sekeliling telefon bimbit membahayakan kesihatan. Kadang-kala, laporan WHO menimbulkan kontroversi. Pada April 2003, ia mengesyorkan supaya gula yang dimakan patut kurang daripada 10% daripada makanan keseluruhan. Hal ini menimbulkan kemarahan industri gula.

WHO menyusun sistem Pengelasan Penyakit Antarabangsa (ICD) yang diikut oleh industri perubatan di seluruh dunia.

Ia juga boleh dikatakan bertindak sebagai pemerhati kepada dasar-dasar ubat atau dadah (drugs) yang digubal oleh Suruhanjaya Ubat Narkotik.

Sumber: https://ms.wikipedia.org/wiki/Pertubuhan_Bangsa-Bangsa_Bersatu

No comments: