Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

29 October 2011

1MALAYSIA-Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan

1. PENGENALAN
• Cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia ketika ini, memerlukan setiap negara menyusun strategi masing-masing agar tidak tersisih daripada arus kemajuan dunia dan menjadi mangsa penindasan pihak tertentu. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira keturunan dan anutan agama, perlu bergerak seiring sebagai satu bangsa, yakni Bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih maju, selamat, aman dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia.
• Bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi, termasuk dalam bidang sosial, ekonomi dan politik, maka Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak memperkenalkan Gagasan 1Malaysia yang berpaksikan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Konsep ini bertepatan dengan cita rasa rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.
• Gagasan 1Malaysia ber tujuan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, yang bertujuan menggugat kesejahteraan hidup mereka. Gagasan ini juga, jika dihayati sepenuhnya oleh semua pihak, mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman dan maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia.

2. DEFINISI
• Gagasan 1Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak: “Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;
Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.
2.1 Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :
• Gagasan 1Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing-masing.
“Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia” memberi maksud bahawa rakyat daripada pelbagai kaum dan agama perlu berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga perlu melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.
• Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.

• Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan
melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.
• Nilai tambah dan pembaharuan dalam Gagasan 1Malaysia. “Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.
• Melalui Gagasan 1Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain. Pen-dekatan mendekati rakyat, memahami masalah mereka dan bersikap mesra rakyat adalah perkara utama ditekankan oleh YAB Perdana Menteri kepada kepimpinan parti dan perkhidmatan awam.
3. PERBEZAAN ANTARA GAGASAN 1MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA
Berpandukan definisi yang dinyatakan,Gagasan 1Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:
1Malaysia adalah gagasan bagi mengharmonikan rakyat pelbagai kaum di negara ini tanpa mengubah identiti kaum-kaum tersebut. Konsep Malaysian Malaysia pula adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud itu. Keadilan yang dicanangkan dalam konsep Malaysian Malaysia diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total.
Di samping menjaga kepentingan semua kaum, Gagasan 1Malaysia juga me-nekankan soal integrasi dan pewujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa me-ngambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.
Perpaduan yang digambarkan oleh Gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.
Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan meng-anggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.
1Malaysia menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.
4. GAGASAN 1MALAYSIA
• Gagasan 1Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Gagasan 1Malaysia “Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalan-kan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
• Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
• 1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

• Maksud Rakyat Didahulukan dalam Gagasan 1Malaysia ialah merujuk kepada 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang telah disasarkan oleh kerajaan dalam konteks untuk membela dan meletakkan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan. NKRA tersebut ialah :
• Meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
• Mengurangkan kadar jenayah.
• Memerangi rasuah.


• Meningkatkan taraf hidup rakyat ber-pendapatan rendah.
• Memperkasa prasarana luar bandar dan pendalaman.
• Menambah baik pengangkutan awam.
• Sementara bagi maksud Pencapaian
Diutamakan pula merujuk kepada komitmen kerajaan dalam meletakkan sasaran terhadap pancapaian bagi setiap NKRA.

5. HUBUNGAN GAGASAN 1MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU
• Perkaitan antara Gagasan 1Malaysia dan dasar-dasar negara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dasar-dasar yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.
• Gagasan ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya 1Malaysia merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
• Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.

6. MATLAMAT
• 1Malaysia bermatlamat untuk mengekal dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
• Perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai. 1Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan rakyat Malaysia.
• Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

7. HURAIAN
• 1Malaysia membawa aspirasi untuk meningkatkan hubungan kaum bagi memastikan hubungan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum.
• 1Malaysia memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Dalam hal ini sifat jujur, kebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
• 1Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati



masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
• Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
• Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.
• Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan
kelompok sendiri. Malaysia merupakan sebuah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta
fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Setiap ahli dalam masyarakat atau kaum tidak akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan mendapat pembelaan kerajaan yang sewajarnya.

• 1Malaysia adalah pemangkin kepada pewujudan negara bangsa yang dapat melahirkan rakyat yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan antara satu sama lain. Keupayaan membina negara
bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
• Justeru pemimpin dan rakyat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi.

8. ASPEK-ASPEK UTAMA 1MALAYSIA
• 1Malaysia yang digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama seperti berikut:
8.1 Aspek Pertama – Penerapan Teras-Teras Perpaduan
• Menerapkan teras-teras perpaduan sebagai budaya dan amalan semua rakyat Malaysia. Teras perpaduan ini adalah komponen-komponen asas yang menguatkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
• Teras Perpaduan ini disandarkan kepada tiga prinsip dalam memperkukuhkan perpaduan nasional iaitu:

PRINSIP PENERIMAAN
PRINSIP KENEGARAAN
PRINSIP KEADILAN SOSIAL

8.1.1 Prinsip Penerimaan
• 1Malaysia menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

• Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan di mana penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan ikhlas tanpa ada unsur paksaan.
• Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa di mana ia berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

8.1.2 Prinsip Kenegaraan
• Konsep perpaduan, semangat nasionalisme dan cintakan negara telah diterapkan dahulu lagi oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Tunku Abdul Rahman melalui Parti Perikatan yang dipimpinnya dengan dibantu oleh Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambathan berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajah British untuk Tanah Melayu.
• Tun Abdul Razak pula mengilhamkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tujuannya adalah untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini

• Tun Hussien Onn yang sememangnya terkenal dengan usaha-usaha yang dilakukan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat sehingga diberi gelaran ‘Bapa Perpaduan’.

• Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi pula membawakan Wawasan 2020 dan konsep Cemerlang, Gemilang dan Terbilang sebagai gagasan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
• Prinsip-prinsip Kenegaraan berasaskan kepada dua perkara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Perlembagaan Persekutuan
• Seperti yang dijelaskan sebelum ini, Gagasan 1Malaysia sesungguhnya sangat berbeza dengan konsep Malaysian Malaysia. Ini kerana konsep 1Malaysia tidak sekali-kali akan menyimpang daripada kamus Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat mahupun secara tersirat.
• Malahan Gagasan 1Malaysia akan terus kekal menjunjung kesemua peruntukan teras, seperti yang telah disebutkan di dalam Perkara 3, Perkara 4, Perkara 152, Perkara 153, Bahagian 2 dan Bahagian 3.
• Antara perkara teras yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan ialah Perkara 3, (1) yang menyebutkan bahawa Agama Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
• Bagi Perkara 4, Perlembagaan memberi penegasan mengenai perkara Undang-undang Persekutuan di mana perkara (1) menjelaskan bahawa Perlembagaan ini merupakan undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan berlawanan dengan Perlembagaan ini, maka ia terbatal dengan sendirinya.
• Perkara 152 (1) merujuk kepada Bahasa
Kebangsaan Persekutuan ialah Bahasa Malaysia dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.
• Seperti yang telah disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 153 Fasal 1 “Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini”.

• Malah, jika kaum-kaum lain menghayati dengan mendalam mengenai keistimewaan hak orang Melayu seperti yang telah didokumenkan sejak dahulu lagi, maka tidak akan wujud perasaan negatif di dalam diri.
• Oleh yang demikian, usahlah mana-mana pihak berasa khuatir atau bimbang kerana Gagasan 1Malaysia ini tidak
akan sekali-kali terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh kepimpinan negara pada suatu ketika dahulu.

• Sebagai makluman, Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 merupakan undang-undang yang tertinggi di Malaysia dan mengandungi sebanyak 15 Bahagian dan 183 Perkara. Ia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang telah dibentuk berasaskan kepada dua
dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Malaysia tahun 1957.

Rukun Negara
• Ia merupakan ideologi kebangsaan Malaysia yang dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.
• Ia juga satu susunan cara ataupun prinsip hidup bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi semua aspek kehidupan bernegara untuk mencapai perpaduan kaum demi keharmonian dan kemakmuran negara Malaysia.
• Ideologi negara ini menggariskan lima prinsip yang lahir daripada aspirasi masyarakat dan negara Malaysia, dibentuk mengikut acuan Malaysia dan dimiliki bersama oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk dijadikan sebagai pedoman yang merupakan kunci kepada pembentukan masyarakat pelbagai kaum di Negara yang berintegriti.

8.1.3 Prinsip Keadilan Sosial
• Semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
• Melalui Gagasan 1Malaysia, setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.
• Namun begitu, Gagasan 1Malaysia yang mempunyai prinsip keadilan sosial bukanlah landasan bagi mana-mana pihak untuk membuat tuntutan yang keterlaluan.

8.2 PENERAPAN NILAI-NILAI MURNI
• Ketiga-tiga Teras Perpaduan ini didokongi oleh nilai-nilai murni termasuk nilai-nilai berikut:
KESEDERHANAAN RENDAH HATI (TAWADHUK’) BERBUDI BAHASA HORMAT-MENGHORMATI

8.2.1 KESEDERHANAAN
• Rakyat yang tergolong dalam kategori ini termasuklah mereka yang sederhana dari segi pertuturan, berbelanja, berpakaian, makan minum, serta sederhana dari segi aspek bekerja dan berehat.
• Bagi pertuturan, sabda Rasulullah telah menjelaskan bahawa “Bercakaplah menurut tingkat kecerdasan pendengar” • Sementara sederhana dalam bekerja dan berehat bermaksud sentiasa menganggap kerja itu adalah suatu ibadah dan melakukannya demi untuk membantu rakyat.

8.2.2 RENDAH HATI (TAWADHUK’)
• Untuk maju, sifat rendah hati juga perlu diamalkan dalam diri setiap rakyat. Sifat sedia untuk mendengar, tidak sombong, tidak ego dan tidak bongkak perlu diterapkan dalam diri kerana sesungguhnya Masyarakat Malaysia menghargai orang yang merendah diri atau Tawadhuk.

8.2.3 BERBUDI BAHASA
• Sentiasalah amalkan sifat berbudi bahasa dengan siapa jua sekalipun tanpa mengira status, kaum dan agama.

• Setiap tutur kata harus dijaga, tingkah laku harus tertib dan sentiasa bersopan santun ketika berinteraksi.

8.2.4 HORMAT-MENGHORMATI
• Setiap perbezaan yang ada di negara ini tidak kira perbezaan kaum, agama, budaya dan kepercayaan haruslah dihormati dan dihargai kerana itulah antara faktor yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik di mata dunia.
• Selain itu, hormatilah juga dengan sejarah dan perjanjian yang berlaku pada satu ketika dahulu kerana tanpa sejarah, tidak mungkin kita akan berada pada tahap kemodenan yang kita sedang alami sekarang.
8.3 Aspek Kedua - Penerapan Nilai-Nilai Aspirasi
• Nilai-nilai aspirasi yang digagaskan dalam konsep 1Malaysia ialah nilai-nilai yang perlu ada pada masyarakat progresif dan dinamik yang akan memacu negara ke arah mencapai status negara maju.
• Nilai-nilai aspirasi ini akan membantu dalam mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global dan ini seterusnya akan membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan mantap.
• Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam Gagasan 1Malaysia. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai tersebut adalah :

BUDAYA BERPRESTASI TINGGI
BUDAYA KETEPATAN
BUDAYA ILMU
INTEGRITI
KETABAHAN
KESETIAAN
KEBIJAKSANAAN
BUDAYA INOVASI

8.3.1 BUDAYA BERPRESTASI TINGGI
• Sifat memastikan setiap perkara dan setiap tugas yang dilakukan mencapai tahap yang terbaik. Sikap sambil lewa atau “acuh tak acuh” tidak boleh wujud dalam masyarakat yang berdaya maju.
• Tidak boleh wujud budaya ‘lebih-kurang’ iaitu sesuatu perkara dilakukan hanya setakat yang termampu tetapi bukan yang terbaik.
• Setiap perkara yang dijalankan haruslah mencapai tahap terbaik dan bertaraf dunia serta kepimpinan yang dijalankan adalah berasaskan prestasi.
• Pengamalan budaya cemerlang dan berprestasi tinggi akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.
• Budaya ini perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

8.3.2 BUDAYA KETEPATAN
• Sebagai rakyat sebuah negara yang berhasrat mencapai status negara maju, rakyat Malaysia perlu dikenali dengan budaya ketepatan, termasuklah menepati waktu dan mengutamakan kecekapan dalam melaksanakan semua tugas dan kewajipan.

• Perkhidmatan yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada kualiti yang bagus dan perlu dijalankan secara berterusan.
• Ketepatan juga bermaksud setiap perkara termasuk tindakan, komunikasi, janji, masa dan ukuran haruslah dilaksanakan dengan tepat.

8.3.3 BUDAYA ILMU
• Sesebuah negara hanya akan benar-benar maju dan berjaya apabila rakyatnya memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi.
Budaya ilmu ialah kecenderungan untuk sentiasa memburu pengetahuan yang terkini dan kesediaan untuk menimba ilmu sepanjang hayat. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan
dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.
• Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan penge-tahuan dari segala-galanya.
• Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu dan mem-punyai minda yang sentiasa terbuka.

8.3.4 INTEGRITI
• Rakyat Malaysia perlu memiliki integriti yang tinggi dalam melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab agar bangsa dan negara sentiasa disegani dan dihormati oleh semua pihak.
• Integriti merangkumi sifat-sifat amanah, bersih dan cekap dalam melakukan sebarang tugas dan melaksanakan tanggungjawab.

• Berusaha memperbaiki kesilapan dan setiap perkara serta tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi men-dapatkan hasil yang sempurna.
• Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan.
• Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepen-tingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

8.3.5 KETABAHAN
• Ketabahan dalam mengharungi masalah dan cabaran yang mendatang. Rakyat Malaysia seharusnya bersifat tidak mudah mengaku kalah, sebaliknya perlu memiliki keyakinan diri yang tinggi serta semangat juang yang kental dalam apa jua bidang yang diceburi.
• Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.

• Ketabahan dalam menghadapi per-ubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.
• Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya.
• Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.
8.3.6 KESETIAAN

• Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara, prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi.
Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.

• Kesetiaan sepenuhnya kepada negara Malaysia dan kesediaan untuk berbakti dan berkorban demi negara yang tercinta.

• Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan dan kecemerlangan. Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.
• Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.
• Kesetiaan perlu disertai dengan ke-upayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang kerana kesetiaan atau perhubungan yang membuta-tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai.

8.3.7 KEBIJAKSANAAN
• Cara berhadapan dengan sebarang masalah dengan penuh berhemah dan teliti agar tidak berlaku perkara-perkara yang menyinggung hati dan perasaan mana-mana pihak yang lain.
• Nilai ini juga perlu diikuti dengan kebijaksanaan membuat sesuatu keputusan dengan tepat, tahu membezakan yang baik dan buruk, memiliki pemikiran dan pandangan yang tepat, bijak meletak sesuatu kena pada tempatnya serta tidak mudah terpengaruh dengan nafsu dan kepentingan sendiri.
• Untuk memiliki nilai ini, beberapa ciri perlu dimiliki antaranya mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, cerdik, tetap dengan pendirian, memiliki kemahiran mendengar, berdisiplin dalam berfikir serta sentiasa siap sedia tanpa perlu terburu-buru.

8.3.8 BUDAYA INOVASI
• Nilai ini adalah kesediaan kita sebagai rakyat Malaysia untuk mencuba perkara baru dan berinovasi dalam apa jua lapangan yang kita ceburi. Rakyat Malaysia perlu dikenali sebagai individu-individu yang mampu menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing.


• Kita mesti berani berubah demi kebaikan, berani mencari penyelesaian baru dalam menangani masalah dan sentiasa bersedia untuk menjadi perintis dalam setiap bidang yang diterokai.

9. KESIMPULAN
• Konsep 1Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah pe-rasaan hormat-menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.
• Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana

segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
• Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui Gagasan 1Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.
• Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
• Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.
Sumber: 1MALAYSIA, Jabatan Penerangan Malaysia

Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)

1. Bilakan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan 6 National Key Result Area (NKRA)?

• Pada Isnin (27 Julai 2009), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah. Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

2. Siapakah Menteri-menteri yang bertanggungjawab menerajui 6 NKRA berkenaan?

• Bagi setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai 'lead minister' atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan. Menteri-menteri yang dilantik ialah:

I. Bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran)

II. Bagi NKRA mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri)

III. Bagi NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).


IV. Bagi NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)

V. Bagi NKRA memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman ialah Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)

VI. Bagi NKRA menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).

3. Bagaimanakah NKRA dilaksanakan?

• Perdana Menteri akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI tersebut

• KPI akan diletakkan kepada setiap 6 jurusan NKRA. Setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI nya dengan sasaran khusus agar dapat diukur. Berpandukan dengan KPI ini, segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan

• Setiap minggu PM akan berjumpa dengan setiap 'lead minister' ini bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Maknanya dalam setiap enam minggu, PM akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang direncanakan.

• Bukan itu sahaja, anggota Jemaah Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA juga tidak terkecuali daripada mempunyai KPI kerana mereka tetap dipertanggungjawabkan untuk mencapai KPI kementerian masing-masing, yang akan dinilai oleh Perdana Menteri sendiri setiap enam bulan.

• Sebagai bukti tahap kebersungguhan untuk menjayakan rencana ini, 3 bengkel khusus telah diadakan di peringkat Jemaah Menteri. Bengkel-bengkel tersebut adalah bagi merangka, memperincikan dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit. Sesungguhnya, kita komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI. Ini semua dilakukan bagi memastikan pada analisa akhir rakyatlah yang akan memperoleh faedahnya.

4. Latar belakang merevolusikan pengurusan


Perkhidmatan Kerajaan : Pencapaian Diutamakan

• Pada hari pertama dilantik menjadi Perdana Menteri, PM telah menyatakan dengan jelas bahawa kepimpinan negara di bawah panji pentadbiran kini akan membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru dan bakal menjelmakan pula sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan kepentingan rakyat.

• Pada 28hb April, PM telah mengutarakan Key Performance Indicator atau Petunjuk Prestasi Utama ringkasnya KPI, yang akan menjadi piawai kepada pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan satu amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperti kementerian atau agensi kerajaan secara objektif. KPI telah diguna pakai oleh banyak syarikat korporat dan didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat berkesan. Malah, mekanisme ini juga diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan di negara-negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada.

• Ini kerana Kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian. Hatta, kemuncak kepada penilaian rakyat berkait kepimpinan sektor awam mahupun politik adalah pencapaian. Metodologi ini juga akan membolehkan perkhidmatan awam bahkan anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif.

• Pada hari ke seratus pentadbiran PM baru-baru ini, PM telah mengumumkan 6 bidang keberhasilan utama nasional atau National Key Results Area, singkatannya NKRA. Ia menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan di peringkat kebangsaan.


5. Apakah tujuan pelaksanaan NKRA?

• Tujuan PM memperkenalkan NKRA dan KPI adalah bagi memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius, wujud di kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam.

• Puncanya ialah, PM tidak mahu rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar, akan apakah inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh Kerajaan.

• PM mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini di maklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan.

• PM turut meletakkan KPI kepada 6 jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI-nya dengan sasaran secara khusus agar dapat diukur. Dengan adanya KPI ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan.

6. Apakah perincian 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)?

1) NKRA yang pertama :Mengurangkan Kadar Jenayah

• Sesebuah negara yang menuju ambang kemajuan seperti Malaysia perlu berada dalam keadaan aman dan damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan jenayah. Walau bagaimanapun di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah secara total tidak mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari masa ke semasa kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ianya berlaku.

• Oleh yang demikian, kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri. Untuk itu, kerajaan telah mengenal pasti NKRA pengurangan jenayah dan di pecah bahagi kepada tiga bahagian iaitu:


i) Jenayah jalanan

Jenayah jalanan diberi penekanan kerana didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga anggota masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jenayah jalanan termasuklah curi ragut, samun tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api. Statistik menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng-entengan kerana ia merupakan 17% daripada keseluruhan indeks jenayah 2008. Manakala hot spots kepada jenayah jenis ini telah dikenal pasti terutamanya di empat kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Didapati, negeri-negeri ini mencatat sebanyak 72% daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan ini sebanyak 20% pada penghujung tahun 2010.

ii) Keselamatan awam

Penumpuan akan diberikan dalam hal penambahbaikan persepsi rakyat terhadap keselamatan awam di mana pasukan-pasukan sukarela yang sedia ada terutamanya RELA akan dikemas kini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur. Ini termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan. Dalam usaha ini, balai-balai yang berkaitan akan dinaiktarafkan serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan CCTV.

iii) Peningkatan Prestasi Agensi Penguatkuasaan

Untuk menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.

2) NKRA yang kedua – Memerangi rasuah

• Kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah. Seperti mana yang kita semua tahu, gejala rasuah haruslah dibendung sebelum ianya terus membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008 berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004.

• Oleh itu, untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemas kini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.

• Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun mengambil keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes tertentu. Manakala dari segi peningkatan penguatkuasaan, kerajaan telah pun menaikkan taraf badan pencegah rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif.


3) NKRA yang ketiga – Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan

• Seperti yang semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandil penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan kelancangannya. Justeru, kerajaan akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf sosioekonomi.

• Oleh itu, dalam bidang pendidikan, PM mahu memastikan anak-anak bangsa mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada internasional yang penuh cabaran ini dari kemudahan yang diberikan.

• Kerajaan akan memberikan keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.

• Adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah tetapi masih tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian. Maka, bagi menangani kemelut ini, PM telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012. Kerajaan menyedari hanya 60% sahaja anak-anak Malaysia yang dapat akses pendidikan pra sekolah, jadi KPI menjelang 2012 berharap pencapaian ini dapat dinaikkan sekurang-kurangnya kepada 80%.

• Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan dengan ini ingin menawarkan new deal atau satu Bai’ah baru kepada semua pengetua dan guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

• Selain itu , sebagai projek perintis, sebanyak 100 buah sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh, akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kerajaan akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu lagi pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun sebelum penamat 2012.


4) NKRA yang keempat – Meningkat Taraf Hidup Rakyat Yang Berpendapatan Rendah

• PM bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat RMK9. Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, lebih 11,000 telah disahkan statusnya dan telah pun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2010.

• Sehubungan ini juga, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kerajaan sentiasa mendengar rintihan serta merasai denyut nadi rakyat dan tidak sekali-kali memandang mudah soal kebajikan rakyat. Kerajaan mahu setiap bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang tepat. Oleh itu, bermula Januari 2010 semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada tiap 1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan.

• Sememangnya, sumbangan kaum wanita kepada pembangunan negara tidak dapat dinafikan. Malah, kaum hawa membentuk separuh dari penduduk Malaysia. Bersesuaian itu kerajaan berhasrat untuk melatih dan melahirkan lebih ramai jumlah usahawan wanita. Sehingga Jun 2009 sahaja, seramai 717 wanita yang berpotensi untuk dibimbing menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar telah dikenal pasti. Justeru, kerajaan dengan ini menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan wanita ini kepada seramai 4,000 orang menjelang tahun 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.

5) NKRA yang kelima : Memperkasa Prasarana Luar Bandar dan Pedalaman

• Bersesuaian dengan semangat dan konteks ajaran al Quran Surah Al-Hashr ayat 7 bahawa, janganlah hendaknya harta dan kekayaan itu beredar di kalangan orang-orang berada sahaja bahkan sepatutnya ia melimpah ke seluruh negara. Maka, atas prinsip maslahah umum juga, tiada yang sepatutnya tercicir dari merasai mahsul kemakmuran.

• Lantaran itu, pentadbiran kerajaan akan terus giat memperkasa infra luar bandar dan pedalaman. Menjelang tamatnya tahun 2010 dirancang sepanjang 750 km jalan luar bandar akan siap dibina di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini akan ditambah lagi kepada 1,500km atau dua kali ganda daripada perancangan awal. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap terlaksana sebelum penamat tahun 2012.

• Jalan-jalan yang akan dibina terdiri daripada tiga (3) kategori iaitu jalan berturap (paved), jalan kerikil (gravel) dan jalan tanah yang akan memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada hampir 2 juta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.

• Manakala di Semenanjung Malaysia pula, bagi tempoh yang sama, liputan rangkaian jalan luar bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan kesemua rakyat tinggal paling jauh pun, 5km dari kemudahan jalan berturap. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion dan bermakna jumlah peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion.

• Pada masa ini, liputan bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak masih belum memuaskan iaitu masing-masing di sekitar 62%. Justeru, Kerajaan telah menetapkan pada akhir RMK9 liputan bekalan air bagi kedua-dua negeri berkenaan akan dipertingkatkan kepada 70%. Kerajaan begitu serius untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada semua rakyat dalam tempoh terdekat ini. Jadinya, tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan bekalan air sehingga 90% di Sabah dan Sarawak pada penghujung tahun 2012. Untuk tujuan ini sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan akan membawa kemudahan kepada 60,000 buah rumah.

• Selanjutnya, memandangkan pada masa ini liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak juga masih rendah iaitu masing-masing sekitar 80% berbanding 99% di Semenanjung, Kerajaan bermatlamat untuk meningkatkan liputan bekalan elektrik di kedua-dua negeri tersebut kepada 95% pada akhir tahun 2012. Sejumlah RM3.9 bilion akan diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan membawa nikmat kepada 80,000 buah rumah. Kerajaan juga menyasarkan untuk memberi bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir tahun 2012.

• Kerajaan turut berhasrat untuk menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada golongan miskin dan sehubungan itu, Kerajaan akan membina dan membaik pulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan tersebut sehingga penghujung 2012 di seluruh Malaysia.


6) NKRA yang keenam – Menambah Baik Pengangkutan Awam dalam jangka masa sederhana

• Dalam era Malaysia melangkah sebagai sebuah negara maju, kerajaan berhasrat untuk menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan sedar bahawa usaha yang serius dan bersifat jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.

• Mengikut pada statistik Kementerian Pengangkutan, pada masa ini hanya 16% daripada penduduk Lembah Klang menggunakan sistem pengangkutan awam. Jadi, Kerajaan menyasarkan bahawa peratus ini akan ditingkatkan lagi kepada 25% pada penghujung tahun 2012. Namun, harus disedari, untuk meningkatkan peratus ini, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar, mapan dan berjangka panjang. Walau apa pun, buat langkah permulaannya, PM mengumumkan menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set “4-car-train” akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya.

Kesimpulan

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ini membuktikan Kerajaan di bawah pimpinan YB Dato Seri Najib Tun Razak begitu telus dan komited untuk melaksanakan transformasi perkhidmatan kerajaan yang bermutu tinggi kepada rakyat. Ini kerana dengan adanya NKRA ini rakyat boleh menilai keberkesanan kepimpinan YB Dato Seri Najib Tun Razak secara adil dan sistematik tanpa berdasarkan emosi ataupun persepsi semata-mata.

Selain daripada itu juga Kerajaan pimpinan YB PM telah memperkenalkan sistem pengukuran prestasi yang boleh membuktikan secara fakta keberkesanan setiap 6 bidang NKRA. NKRA ini juga merupakan manifestasi kerajaan dalam meletakkan amanah dan mandat rakyat di kedudukan tertinggi dan bermaruah di samping mencapai konsep 1Malaysia di mana, “ rakyat didahulukan dan pencapaian di utamakan.”

22 October 2011

Mewujudkan Generasi Siber Terpandu


Norkumala Binti Awang
Pegawai Penyelidik

14/10/2011 | Utusan Malaysia
Saidina Umar Al Khattab r.a pernah mengungkapkan "Ajarlah anak- anakmu dengan ilmu semasa. Sesungguhnya mereka dicipta pada suatu zaman yang bukan lagi zamanmu". Benar sekali ungkapan ini jika kita terjemahkan kepada dunia realiti pada hari ini, betapa teknologi menguasai dan merajai perkembangan dunia semasa. Jika dahulu gajet-gajet teknologi dipandang sepi, tidak canggih dan tidak menyeluruh penggunaannya tapi semuanya berubah pada zaman anak-anak kita membesar.

Pernahkah terlintas di fikiran kita bahawa tidak semua teknologi mampu menghadiahkan kemudahan, keselesaan dan kemewahan hidup? Berlakunya kekacauan pada hari ini juga disebabkan eksploitasi teknologi yang tidak berpandukan iman telah bermaharajalela dalam masyarakat kita. Angka 9 daripada 10 anak-anak kita terdedah dengan gejala negatif dunia siber kini menjawab persoalan bahawa kemudahan itu juga boleh disalahgunakan. Apa yang paling menakutkan kita adalah golongan ini merupakan kumpulan anak-anak berumur seawal usia 5 sehingga 18 tahun. Mereka merupakan generasi pelapis yang bakal mencorakkan gaya kepimpinan dunia pada masa hadapan.

Lihat sahaja fenomena yang biasa belaku, kanak-kanak yang masih kecil sudah tahu segala jenis perisian komputer, sudah mahir menggunakan telefon bimbit dan alat-alat teknologi yang lain. Atau lebih tepat lagi, mereka lebih arif daripada ibu bapa mereka sendiri. Memang wajar sekali jika anak-anak diajar mengikut perkembangan semasa tetapi jika tidak dipandu dengan suatu petunjuk yang betul, ia bakal memusnahkan. Lantas, apakah solusi yang perlu diambil agar golongan ibu bapa pada hari ini tidak dituduh melahirkan generasi techno-savvy yang buta pendidikan akhlak dan rohani?

Pendedahan dunia internet kepada anak-anak wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak agar statistik yang mencatatkan 90% kanak-kanak yang ketagih untuk melayari internet dapat dikurangkan. Ini kerana secara fitrahnya, mereka perlu dididik dengan sumber yang terpandu bukannya daripada sumber yang tidak berasas.

Penggunaan alat ICT pada hari ini tidak dapat dinafikan kepentingannya. Ia bukan sekadar internet dan komputer, malah lebih daripada itu yang dapat dimanfaatkan oleh setiap orang, antaranya perisian multimedia, animasi, power point, telefon mudah alih, gerbang sesawang, jaringan sosial internet, perpustakaan digital, perkongsian fail dan permainan atas talian.

Persoalannya, bagaimana manfaat daripada teknologi terkini terus dapat dikecapi sekiranya generasi muda sewenang-wenangnya menyalahgunakan teknologi, bukan setakat untuk mencari hiburan tetapi aktiviti melalaikan yang akan merencat pembinaan akhlak generasi Islam pada masa akan datang.

Lebih banyak masa mereka dihabiskan hanya dengan komputer kerana ketagih melayari internet contohnya permainan atas talian, facebook, twitter dan pelbagai jenis hiburan lain. Secara langsung menjejaskan kualiti pembelajaran anak-anak. Bukan setakat itu sahaja, kadangkala remaja kita membuka jaringan sosial bermula dengan perkenalan maya akhirnya membawa kepada pertemuan realiti dan seterusnya membawa kepada unsur-unsur kelalaian yang lain yang akan menjejaskan kualiti akhlak dan penampilan anak-anak.

Banyak keburukan lain yang bakal dituai sekiranya langkah-langkah pemantauan tidak diambil oleh ibu bapa selaku orang yang paling hampir dengan anak-anak. Ibu bapa perlu mengambil langkah yang segera dan tegas dengan mengehadkan masa anak-anak melayari internet. Paling penting anak-anak tidak seharusnya dimanjakan dengan pelbagai gajet teknologi terkini dan tercanggih yang akhirnya mereka memilikinya secara peribadi. Kadangkala ia menyebabkan kesukaran dalam langkah pemantauan ibu bapa tentang apakah yang dilihat oleh anak-anak dalam internet. Pemilikan secara peribadi alatan seperti komputer riba menyebabkan mereka dapat mengakses internet dengan mudah tanpa kawalan oleh sesiapa. Inilah antara penyebab yang menjawab persoalan mengapa golongan kanak-kanak ketagih untuk melayari internet.

Bagi pihak ibu bapa, lebih mudah untuk memantau aktiviti atas talian anak-anak dengan meletakkan komputer di lokasi yang senang dilihat oleh ahli keluarga yang lain. Ia merupakan langkah berjaga-jaga agar mereka tidak terdedah dengan unsur negatif dalam dunia siber. Para ibu bapa tidak seharusnya jemu untuk mengawal dan memantau aktiviti mereka apatah lagi memanjakan dengan memberi kelonggaran tanpa batasan untuk mereka melayari internet.

Semuanya bermula dari rumah. Mencegah sebelum parah mampu mengelakkan anak-anak daripada terus menerus dengan keasyikan yang melalaikan. Akhirnya, kita juga yang terperanjat apabila melihat akhlak dan moral anak-anak sudah jauh terpesong tanpa sedikitpun penerapan nilai yang baik daripada ibu bapa.

Daripada satu sudut pandang yang lain, pengusaha kafe siber juga perlu berperanan dalam usaha pemantauan aktiviti anak-anak selain daripada guru-guru di sekolah. Jika di rumah, ibu bapa memantau tapi tiada makna sekiranya anak-anak masih bebas mengakses bahan internet apabila berada di luar rumah. Oleh itu, umur anak- anak yang masuk ke kafe siber perlu dihadkan agar mereka tidak sewenang-wenangnya menggunakan internet tanpa hala tujuan.

Perkembangan dunia semasa memperlihatkan teknologi baru sentiasa dicipta hampir setiap ketika. Kita tidak mampu menyekat perkembangan tersebut atau menghalang masyarakat kita yang sentiasa inginkan perubahan tetapi perlulah seiring dengan perkembangan nilai dan akhlak murni. Oleh itu, setiap ibu bapa perlu melengkapkan kemahiran mereka terlebih dahulu agar setiap perkembangan dan aktiviti anak-anak dapat dipantau dengan mudah. Kita tidak mahu anak-anak muda kita celik IT tetapi ketagih dengan benda-benda terlarang atau pun melewati batas dalam penggunaan teknologi sehingga mengundang bencana lain.

Justeru, di sinilah peranan yang dimainkan oleh para ibu bapa, juga tidak dikesampingkan peranan para teknodaei, guru-guru dan masyarakat awam agar memandang setiap penjuru kebangkitan teknologi untuk dimanfaatkan dan tidak terus membiarkan muda-mudi kita hanyut dalam ketagihan dunia siber. Biarlah mereka semua terpandu dengan landasan Islam walaupun dilingkungi dengan segala cabaran keseronokan tiada batasan.

08 October 2011

Belanjawan 2012: Najib Umum Dasar Transformasi Nasional Pacu Negara Hingga 2020

07 Oktober, 2011 18:56 PM

Belanjawan 2012: Najib Umum Dasar Transformasi Nasional Pacu Negara Hingga 2020

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2012 berjumlah RM232.8 bilion dan mengumumkan Dasar Transformasi Nasional (DTN) bagi menaungi program-program transformasi yang telah dan akan dilaksanakan ke arah menjayakan cita-cita mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu dan maju menjelang tahun 2020.

Perdana Menteri berkata dasar itu, yang menjadi kemuncak kepada semua program dan inisiatif untuk menjadi negara maju, bermula tahun ini sehinggalah tahun 2020.

Sejak mengambil alih kepimpinan negara pada 2009, Najib memperkenalkan falsafah pentadbiran 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebelum menyusuli dengan Program Transformasi Nasional (GTP), Program Transformasi Ekonomi dan baru-baru ini, Program Transformasi Politik untuk menjadikan Malaysia negara moden, progresif dengan demokrasi yang berfungsi.

Ketika membentangkan Belanjawan 2012 bertemakan "Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara" di Dewan Rakyat pada Jumaat, Najib yang juga Menteri Kewangan, menggariskan strategi merangsangkan ekonomi, sambil menyarankan program inklusif yang peka terhadap kesejahteraan rakyat dalam menangani kos sara hidup yang meningkat.

Belanjawan kali ini cuba memberi keselesaan kepada setiap lapisan rakyat, daripada golongan gelandangan, pemandu teksi, nelayan, warga emas, peneroka Felda, penjawat awam dan pesara, golongan wanita dan belia, hinggalah kepada kalangan kontraktor dan pelabur.

Malah, Anggota-anggota Parlimen juga bakal menikmati elaun baru serta kemudahan lain.

Dalam ucapannya selama dua jam 10 minit itu, Perdana Menteri yang yakin dengan keutuhan asas ekonomi negara beserta langkah-langkah rangsangan, berkata ekonomi negara dijangka tumbuh antara 5 peratus dan 6 peratus tahun depan.

Katanya pelaburan swasta dan awam dijangka meningkat, disokong peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Belanjawan 2012 menyediakan peruntukan RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Najib berkata defisit kerajaan Persekutuan bagi 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 5.4 peratus pada 2011.

Kutipan hasil kerajaan Pusat bagi tahun 2012 diangggarkan meningkat 1.9 peratus kepada RM186.9 bilion berbanding RM183.4 bilion pada tahun 2011.

Bagi tahun 2012, Najib berkata kerajaan akan melaksanakan sejumlah projek di bawah Pakej Rangsangan Khas berjumlah RM6 bilion.

Belanjawan 2012 memberi penekanan kepada lima fokus, iaitu Meligatkan Pelaburan; Mengungguli Modal Insan, Mencerna Kreativiti Dan Mencetus Inovasi; Program Transformasi Luar Bandar; Memperkejap Perkhidmatan Awam; dan Meredakan Inflasi Dan Mengimarah Kehidupan Rakyat.

Bagi meligatkan pelaburan, kerajaan akan melaksanakan Rolling Plan Kedua dengan menumpukan kepada projek pembangunan berimpak tinggi dengan peruntukan RM98.4 bilion bagi tahun 2012 dan 2013.

Projek tersebut antaranya ialah landasan kereta api berkembar Gemas-Johor; projek lebuh raya Pantai Timur Jabor-Kuala Terengganu, Banting-Taiping, Segamat-Tangkak dan jalan Kota Marudu-Ranau; serta pembangunan semula pangkalan udara Sungai Besi.

Najib juga mengumumkan cadangan menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings sebagai sebuah lagi syarikat "blue chip" (saham mewah) perladangan sebelum pertengahan tahun depan.

Katanya setiap peneroka akan menerima "durian runtuh" yang jumlahnya akan diumumkan sebelum penyenaraian dilakukan.

Bagi mengungguli modal insan, Najib mengumumkan tahun 2012 sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional bagi menggalakkan cetusan idea bernilai komersil.

Beliau juga mengumumkan pemansuhan bayaran bagi sekolah mulai tahun depan, menjadikan pendidikan di sekolah rendah dan menengah kerajaan adalah percuma.

Bagi luar bandar, Najib menggariskan Program Transformasi Luar Bandar, bertujuan menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan serta menggalakkan generasi muda kembali berkhidmat.

Bagi sektor perkhidmatan awam, Najib mengumumkan pelanjutan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun selain kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus.

akitangan awam juga akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 manakala pesara menerima kenaikan pencen dua peratus.

Najib juga mengotakan janjinya untuk mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang, terutama makanan.

Katanya kerajaan akan mengambil langkah bersepadu menangani fenomena itu seperti meningkatkan pengeluaran beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Sambil memberi jaminan pemberian subsidi akan diteruskan, Najib sempat melemparkan sindiran kepada parti pembangkang, yang menurutnya cuba menguar-guarkan konsep negara kebajikan, sedangkan kerajaan Barisan Nasional telah pun mengamalkan konsep itu selama ini.

"Kita minta mereka ada sedikit rasa keihkhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah merekalah orang yang pertama yang menemui formula ini," katanya.

Najib berkata Belanjawan yang beliau bentangkan itu merangkumi segenap taraf sosioekonomi rakyat.

Najib berkata usaha pentadbirannya tidak hanya membabitkan pengukuhan perpaduan nasional berasaskan prinsip kepelbagaian, menambahbaik penyampaian sektor awam, proses penstrukturan ekonomi, malah menjangkau Program Transformasi Politik "yang akan menjadi saksi menyinsingnya fajar baru Malaysia".

"Di mana, perbezaan yang sihat serta membina tidak akan lagi menjadi punca pertelingkahan tidak berkesudahan. Di mana, tidak ada individu yang akan dihukum hanya sanya kerana ideologi berbeda. Di mana, anak-anak muda akan bebas untuk menggilap idealisme mereka di atas bumi Malaysia ini, demi kemajuan negara," katanya.

-- BERNAMA

Jangan Ambil Mudah Hidupan Karang

06 Oktober, 2011 12:02 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- "Unik" dan "Indah", dua perkataan ini mungkin tidak cukup untuk menggambarkan keindahan hidupan karang di dasar laut!

Setakat melihat gambar juga mungkin tidak memadai untuk menikmati kecantikan karang, antara flora dan fauna yang mewarnai kehidupan bawah laut.

Karang atau terumbu karang memang hebat!

Bagi mereka yang pernah menyelam di lokasi karang negara ini, panoramanya amat memukau dan mempersonakan.

SUKAR DILUPAKAN

Menyelam dalam air yang jernih, dikelilingi warna-warni karang pelbagai jenis serta berenang bersama ikan yang tidak akan cukup jari membilangnya!

Ini pengalaman yang begitu mengasyikkan bagi peminat snorkel seperti Ali Imran Mohd Noordin.

Meskipun telah berkali-kali menyertai ekspedisi snorkel, dia tidak pernah bosan untuk melakukannya lagi dan lagi.

Malahan rasa kagum kepada panorama bawah laut serta hidupan karang bagaikan tiada bernoktah baginya.

Setiap ekspedisi snorkel adalah suatu pengalaman baru yang sukar dilupakan bagi Ali Imran.

"Terasa diri sangat kerdil dan tenaga yang ada tidaklah sekuat mana walaupun dibanding dengan hanya ikan kecil.

"Apabila berada di bawah laut, saya seolah-olah juga memasuki satu dimensi lain dan ia benar-benar menjadikan saya begitu kagum kepada ciptaan tuhan.

"Begitu pun apabila melihat terumbu karang dapat dirasakan betapa sukar untuk membinanya kerana tumbesarannya hanya beberapa sentimeter setahun tetapi untuk merosakkannya mudah sekali," Ali Imran berkongsi pengalamannya dengan penulis.

BERI KESEDARAN

Aktiviti snorkel yang diceburi Ali Imran sejak belajar di universiti sekitar lima tahun lepas telah membawanya ke beberapa pulau iaitu Langkawi, Tioman, Redang dan Tenggol.

Setiap eksplorasi turut meningkatkan kesedarannya tentang penting aspek penjagaan dan pemuliharaan laut dan hidupannya.

Bagi anak muda yang membesar di bandaraya metropolitan Kuala Lumpur ini, pendidikan dan kesedaran itu boleh disalurkan menerusi aktiviti snorkel atau selam skuba.

Ali Imran turut berpandangan usaha itu perlu lebih digalas pihak profesional khususnya pengusaha snorkel dan selam skuba.

"Mereka perlu juga bersama-sama menghargai khazanah laut dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata," katanya.

APA ITU KARANG

Bagi mereka yang melihat karang, mungkin ada yang menganggap ia sejenis flora (keseluruhan tumbuh-tumbuhan yang hidup di satu-satu tempat atau habitat).

Telahan ini adalah salah kerana karang sebenarnya adalah fauna (keseluruhan haiwan yang hidup di satu-satu tempat atau habitat).

Ini dijelaskan Prof Dr Mohd Kushairi Mohd Rajuddin, Dekan Fakulti Sains dan Bioteknologi, Universiti Selangor (Unisel) kepada penulis dalam satu wawancara dengan Bernama di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, struktur karang terhasil daripada bahan buangan kalsium.

"Bahan buangan kalsium ini dikeluarkan dari badan polip (sejenis binatang laut yang hidup di batu karang) yang apabila berinteraksi dengan air laut maka terbentuklah kalsium karbonat yang menjadi keras seperti batu kapur.

"Dalam rangka batu karang yang telah mati, ada banyak lubang halus dan lubang ini adalah tempat tinggal polip karang.

"Polip terdiri daripada pelbagai spesies dan spesies ini membentuk struktur karang yang besar dan berlainan bentuk serta warna seperti yang boleh kita saksikan," jelasnya.

LAGI FAKTA KARANG

Satu lagi fakta yang diperjelaskan Prof Mohd Kushairi ialah pembentukan struktur karang mengambil jangkamasa yang amat lama dan ada yang usianya mencapai sehingga ribuan tahun.

Menurut beliau, karang yang pelbagai bentuk serta warna yang membiak berhampiran satu sama lain dalam kawasan yang besar disebut sebagai terumbu karang.

Bukan sahaja bentuk yang pelbagai, terumbu karang juga kata beliau adalah satu ekosistem dengan hidupan yang sama ada tinggal bersama atau di sekelilingnya.

Terumbu karang, katanya, adalah tempat pembiakan ikan justeru ia perlu dipulihara supaya tidak pupus.

Prof Mohd Kushairi berkata struktur unik karang yang bercabang-cabang bagaikan ranting pokok menjadi habitat kegemaran anak-anak ikan.

"Habitat karang juga kawasan sumber makanan untuk banyak spesies ikan sama ada ikan yang menjadikan kawasan karang tempat tinggal mereka atau spesies yang datang hanya untuk mencari sumber makanan seperti jerung.

Di samping itu, terumbu karang adalah tempat organisme lain mencari perlindungan daripada pemangsa.

EKOSISTEM HEBAT

Secara keseluruhannya, beliau berkata terumbu karang adalah kawasan ekosistem yang sungguh kaya dengan hidupan laut.

Malah, katanya, ia 10 kali lebih baik daripada hidupan hutan di darat (luas kawasan yang sama) dari segi bilangan spesies flora dan fauna.

"Kalau anda perhatikan terumbu karang, anda boleh lihat pelbagai spesies ikan yang menjadikan terumbu sebagai kediaman mereka. Ada juga sotong dan moluska.

"Moluska ini adalah kumpulan binatang yang tidak bertulang belakang serta lembut badannya dan selalunya berkulit keras seperti siput, kerang dan tiram," jelasnya.

Antara kerang yang turut menghiasi terumbu karang ialah kerang jenis besar yang menurut Prof Mohd Kushairi juga dipanggil 'kima'.

"Kerang besar ini ada enam jenis dan spesies gergasi Tridacna gigas yang lazimnya wujud bersendirian disenaraikan sebagai antara haiwan yang diancam kepupusan. Cengkerang kerang ini boleh mencapai 1 meter panjang," jelas beliau.

JENIS KARANG

Di samping salah faham yang menyatakan karang sebagai flora, satu lagi fakta mengenai karang yang juga disalah tafsir ialah ia bersifat keras, lantas kebanyakan orang menyebut batu karang.

Menurut Prof Mohd Kushairi hanya sekitar 40 peratus daripada anggaran 2,500 spesies yang terdapat dalam ekosistem karang adalah daripada jenis keras yang disebut 'hermatip'.

"Selebihnya, kira-kira 60 peratus adalah daripada jenis lembut. Karang jenis ini dipanggil oleh saintis sebagai ahermatip," jelasnya.

Ada warna hijau, merah, biru, coklat dan kuning. Ini antara warna karang yang menjadikannya begitu indah.

Prof Mohd Kushairi memberitahu hampir semua warna diperoleh daripada 'zooxantela' iaitu alga unisel (tumbuhan yang mempunyai satu sel).

Karang juga, tambah beliau memperoleh warnanya daripada tumbuhan mikroskopik yang hidup bersama karang di samping pigmen yang terdapat dalam tisu badan karang itu sendiri.

TAMAN LAUT

Apabila bercakap mengenai keindahan kawasan karang di Malaysia, pasti akan keluar nama-nama pulau seperti yang pernah dikunjungi Ali Imran dalam eksplorasi snorkelnya.

Antara pulau-pulau itu ada yang telah diwartakan kerajaan sebagai 'Taman Laut' atau 'Marine Park' iaitu Pulau Redang dan Pulau Tioman.

Menurut definasi yang diperoleh daripada laman sesawang Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM), Taman Laut adalah kawasan perairan laut yang dizonkan sejauh dua batu nautika dari tikas air surut terendah.

Definasi ini bagaimanapun mengecualikan Pulau Kapas di Terengganu, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil di Labuan yang dizonkan sejauh satu batu nautika dari tikas air surut terendah.

Taman Laut diwartakan untuk melindungi dan memulihara pelbagai habitat dan hidupan marin akuatik.

Ada aktiviti yang dibenarkan dan dilarang bagi mereka yang berkunjung ke Taman Laut dan semua peraturan ini perlu dipatuhi.

Laman sesawang JTLM menyenaraikan aktiviti yang dibenarkan di taman laut iaitu selam scuba, snorkel. fotografi dasar laut, berenang, belayar atau berkayak di samping mendaki bukit atau merentas hutan.

Mengutip karang, memijak atau mematahkan karang, mengambil cengkerang dan organisme laut (sama ada hidup atau yang telah mati) adalah dilarang sama sekali.

Aktiviti lain yang turut ditegah ialah menangkap atau membunuh ikan, menggunakan serampang ikan, mengutip pasir dan batu, melabuh sauh di atas terumbu karang, mencemar dan membuang sampah, memberi makan ikan serta membina sebarang struktur di atas air.

KEADAAN KRITIKAL

JTLM dalam laman sesawangnya turut menjelaskan langkah mewujudkan Taman Laut dibuat pada awal 1980-an apabila kerajaan menyedari penyusutan sumber perikanan dari laut.

Antara langkah yang difikir perlu dibuat bagi meningkatkan sumber perikanan ialah dengan memulihara dan melindungi kawasan terumbu karang di mana pelbagai spesies ikan komersil berlindung, membiak, mencari makan dan membesar.

Kerajaan mengenalpasti kawasan terumbu karang sebagai satu daripada habitat kritikal kerana ia terdedah kepada pelbagai ancaman semula jadi atau akibat kegiatan manusia.

Pada 1983, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad mengarahkan Kementerian Pertanian (Jabatan Perikanan) menubuhkan Taman Laut di Negara ini.

Setakat ini, sebanyak 42 buah pulau di seluruh Malaysia telah berjaya digazetkan sebagai Taman Laut sebagai usaha untuk memuliharan warisan laut Negara.

Pengwartaan Taman Laut Malaysia telah diperuntukkan di bawah Seksyen 41, sehingga Seksyen 45 Akta Perikanan 1985.

SENTIASA TERPELIHARA

Matlamat utama penubuhan Taman Laut di Malaysia adalah untuk melindungi, memulihara dan mengurus secara berterusan ekosistem marin terutama terumbu karang serta flora fauna berkaitan yang memainkan peranan utama dalam kestabilan lautan secara keseluruhan.

Langkah ini dilihat perlu supaya ekosistem marin ini akan sentiasa terpelihara daripada gangguan dan kerosakan untuk generasi akan datang.

Di samping itu, objektif penubuhan Taman Laut juga adalah untuk menerapkan kefahaman dalam kalangan penduduk negara ini supaya melindungi, mengagumi dan menikmati keindahan khazanah negara.

Perintah Penubuhan Taman Laut Malaysia 1994 dengan jelasnya menegaskan bahawa 42 buah pulau yang dinyatakan adalah kawasan perlindungan, yang terdiri daripada Kepulauan Pulau Redang dan Kepulauan Pulau Perhentian yang terletak di kawasan perairan Terengganu, Kepulauan Pulau Payar di Kedah, Kepulauan Pulau Tioman di Pahang, Kepulauan Pulau Tinggi di Johor dan Kepulauan Wilayah Persekutuan Labuan.

Di samping itu, Peraturan-peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) telah digubal di bawah Akta Perikanan, 1963. Pulau Redang, Terengganu telah diisytiharkan sebagai Kawasan Larangan Perikanan (FPA).

-- BERNAMA

Latihan Kemahiran Peluang Kedua Buat Belia Tercicir

03 Oktober, 2011 12:43 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Peluang mengikuti latihan kemahiran dalam bidang automotif sukar dilepaskan buat Asyraf Adam, 16, yang juga seorang belia tercicir.

Ketika rakan sekolah yang lain sibuk mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan, beliau pula memegang spana, bermain dengan minyak enjin dan belajar segala hal berkaitan kereta.

Asyraf antara 30 belia kumpulan pertama yang terpilih mengikuti Program Sistem Latihan Dual National di TEKAT Auto Terminal Training yang menjalin kerjasama dengan syarikat pengeluar kenderaan, Nissan.

Baginya peluang kedua yang diberikan ini tidak akan disia-siakan. Impiannya kini adalah untuk menjadi seorang juruteknik berjaya serta mempunyai bengkal kereta sendiri suatu hari nanti.

TERCICIR KERANA TIDAK MINAT BELAJAR

Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, anak ketiga daripada enam beradik ini telah menunjukkan kenakalannya sejak di sekolah rendah lagi. Bimbang dengan sikapnya itu, beliau dihantar ke sebuah sekolah menengah Tahfiz di Kota Bharu dengan harapan akan mengubah sikapnya itu.

Namun tindakan itu membuatkannya lebih tertekan dan memberontak. Hisap rokok, ponteng sekolah adalah rutin aktivitinya sehingga beliau memutuskan sendiri untuk berhenti dari alam persekolahan pada usia 14 tahun.

"Selepas tidak sekolah lagi, saya hanya habiskan masa dengan melepak dengan kawan-kawan. Bila tidak ada kerja hendak dibuat saya merempit dengan kawan-kawan," katanya.

Pernah beberapa kali terjatuh dari menunggang motosikal ketika melakukan aksi "lagak ngeri", namun sedikitpun tidak membuatkannya serik.

Hampir dua tahun membuang masa, pelawaan daripada persatuan Belia di kampungnya untuk mengikuti latihan kemahiran automotif di TEKAT menarik minatnya lebih-lebih lagi dengan syarikat kenderaan Nissan.

"Mula-mula fikir tak nak belajar lagi, tapi difikirkan semula sampai bila saya hendak merempit, atas nasihat keluarga, saya bersetuju mengikuti kursus yang ditawarkan sebab saya juga minat dalam bidang automotif," katanya.

DIBUANG SEKOLAH

Seorang lagi pelajar tercicir, yang turut mengikuti program latihan yang sama, Mohd Khairul Azwan Hamzah, 16, berasal dari Baling, Kedah.

Dibuang sekolah pada awal tahun lepas, anak keempat daripada enam beradik ini sedikitpun tidak merasa menyesal diberhentikan sekolah.

Dunia persekolahan tidak lagi dirasakan keseronokannya apabila beliau sering dijadikan sasaran buli rakan-rakan hingga sering mencetuskan pergaduhan.

"Saya selalu bergaduh di sekolah, ponteng kelas dan sekolah... banyak kali juga kena rotan. Dah tak seronok pi sekolah," ujarnya.

Setelah berhenti, masanya banyak dihabiskan dengan membantu bapanya yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di pasar malam selain melakukan pelbagai kerja kampung.

"Kesusahan mencari rezeki itu membuat saya terfikir untuk mengubah kehidupan. Bila persatuan belia kampung mencalonkan nama saya bagi mengikuti kursus kemahiran ini, saya setuju dan Alhamdulillah saya terpilih," katanya yang berharap kemahiran yang diperoleh akan mengubah hidup keluarganya.

Sementara itu, bagi Mohd Firdaus Mohd Nor, 21, beliau tidak menyangka diberi peluang mengikuti latihan kemahiran dan bakal berpeluang bekerja dengan syarikat kenderaan terkenal dari Jepun itu.

Beliau, pelajar lembam di sekolah, terpaksa meninggalkan alam persekolahan pada usia 14 tahun setelah tidak mampu untuk mengikuti pembelajaran.

"Saya susah nak masuk apa yang diajar, boleh terima tetapi sikit-sikit. Lama kelamaan saya jadi bosan dan rendah diri dengan kawan lain dan terus berhenti sekolah," katanya yang berasal dari Sungai Petani Kedah.

Katanya peluang kedua yang diberikan ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membuktikan yang beliau juga mampu melakukannya sepertimana orang lain.

"Mungkin saya agak slow sikit.... tapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan saya yakin saya boleh," ujarnya penuh semangat.

PELUANG KEDUA

Pengarah Pembangunan Perniagaan TEKAT Auto Terminal Training, Mohammad Rizan Hassan, fokus pusat latihan kemahiran TEKAT adalah untuk membantu pelajar tercicir mendapat peluang kedua dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Pandangan negatif terhadap belia tercicir harus diubah dan mereka perlu dibantu dengan memberi peluang untuk membuktikan kebolehan masing-masing.

"Ramai belia tercicir yang dibiar dan tidak dibantu sehingga mereka terjebak dalam kegiatan sosial dan jenayah. Tidak mahu perkara itu terus berlaku, TEKAT cuba menarik seberapa ramai belia tercicir yang berumur 16 hingga 25 tahun dengan mengikuti latihan kemahiran automotif di bawah Persijilan Kemahiran Malaysia," katanya.

Beliau berkata dalam program bersama Nissan, pelatih akan mengikuti latihan selama setahun, di mana tiga bulan di pusat latihan kemahiran TEKAT, manakala selebihnya akan menjalani praktikal di Tan Chong Motor, pengedar kenderaan Nissan.

"Mereka yang dipilih terdiri daripada pelbagai latar belakang dan 80 peratus daripada mereka adalah pelajar tercicir," katanya.

TEKAT yang memulakan operasinya sejak tahun 2000 memberi fokus kepada kemahiran automotif bagi menyediakan dan melahirkan tenaga kerja dalam kalangan belia untuk memenuhi keperluan industri.

Rizan berkata sehingga kini, terdapat lebih 5,000 tenaga kerja yang berkemahiran dan hampir 90 peratus daripada mereka mempunyai pekerjaan sama ada di syarikat kenderaan luar negara ataupun bengkel-bengkel kenderaan tempatan.

"Pelatih terdiri daripada semua kaum. Selain diberikan kemahiran, kami juga turut membantu mendapatkan peluang pekerjaan untuk mereka dan sehingga kini kami turut menjalin kerjasama dengan banyak syarikat kenderaan antaranya Volvo, Toyota, Perodua dan Honda," katanya.

1 BELIA 1 KEMAHIRAN

Tidak ramai belia tercicir yang mahu tampil untuk mengikuti latihan kemahiran yang disediakan di mana-mana pusat latihan kerajaan atau swasta, menurut Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Beliau berkata pada tahun lepas sahaja, kira-kira 200,000 belia tercicir seluruh negara namun peratusan mereka yang mengikuti latihan kemahiran sangat rendah.

"Ia harus dipandang secara serius oleh semua pihak untuk sama-sama membantu dalam usaha membantu melahirkan belia berkemahiran sepertimana program yang sedang dijalankan oleh Kementerian Belia dan Sukan, bagi melahirkan 1 Belia 1 Kemahiran," katanya.

Untuk mencapai matlamat itu kerjasama dengan pusat latihan kemahiran milik kerajaan dan swasta seluruh negara digerakkan untuk melatih belia tercicir mengikuti kursus yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan mereka.

Antaranya ialah TEKAT Auto Terminal Training, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Kolej Komuniti.

Mohamed Maliki berkata kelompok belia tercicir ini perlu dibantu untuk menarik mereka keluar dari 'zon selesa', kerana kebanyakan mereka mempunyai nilai estim yang sangat rendah.

"Perasaan rendah diri dalam diri kelompok belia tercicir ini telah terbentuk sejak di sekolah rendah lagi, kerana mereka ini biasanya di sekolah antara pelajar yang terkebelakang. Perasaan itu terbawa-bawa sehingga mereka tamat tingkatan 3 atau 5, akhirnya mereka merasa sukar untuk menempatkan diri dan selesa dengan apa yang mereka ada," katanya.

Pendekatan menggunakan mentor dalam kalangan mereka yang tercicir didapati dapat mempengaruhi dan menarik kelompok belia ini untuk membina kehidupan.

"Mereka selesa untuk berkongsi dengan mereka yang mempunyai pengalaman yang sama dan saya berharap lebih ramai lagi mentor dilahirkan dalam kalangan mereka yang tercicir untuk membantu menarik rakan lain," katanya.

-- BERNAMA

Intipati Belanjawan 2012


KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Berikut ialah intipati Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat hari ini:

* Pengenalan beberapa program transformasi sektoral berpayung pada Dasar Transformasi Nasional (DTN) mulai 2011-2020.

* RM238.8 bilion untuk semua rancangan pembangunan kerajaan khususnya yang menumpukan kepada kesejahteraan rakyat, di mana RM181.6 bilion ialah perbelanjaan mengurus dan RM51.2 perbelanjaan pembangunan.

* RM13.6 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* Kerajaan akan melaksanakan Pakej Rangsangan Khas, melalui Private Financing Inititative (PFI), dengan projek berjumlah RM6 bilion akan dilaksanakan.

* Tahun 2012 diumumkan sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional dan sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi melaksanakan beberapa inisiatif strategik.

* RM50.2 bilion diperuntukkan bagi sektor pendidikan dengan RM1.9 bilion peruntukan pembangunan untuk Kementerian Pelajaran yang akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah.

* Peruntukan RM1 bilion akan diwujudkan melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelengaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.

* Pemansuhan bayaran kokurikulum, kertas dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insurans Takaful sebanyak RM24.50 dan RM33.50 masing-masing bagi sekolah rendah dan menengah mulai sesi persekolahan 2012.

* Sumbangan kewangan daripada syarikat dan orang perseorangan bagi menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah akan diberi potongan cukai bagi menggalakkan orang ramai menyumbang kepada sekolah-sekolah tersebut.

* Terminal Agrobisnes Negara (TEMAN) sedia ada di Wakaf Che Yeh, Kelantan dan Gopeng, Perak akan dimajukan sebagai projek perintis Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) manakala empat lagi RTC akan dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak.

* Mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi golongan profesional seperti peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di pekan-pekan kecil dengan dana berjumlah RM100 juta disediakan oleh BSN secara pinjaman mudah dengan kadar empat peratus.

* RM110 juta bagi melaksanakan Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang melibatkan tanaman komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar.

* RM140 juta diperuntukkan kepada RISDA bagi melaksanakan program tanaman baru getah dan penanaman semula getah serta kelapa sawit yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil.

* RM5 bilion disediakan untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar bandar secara lebih komprehensif.

* RM500 juta untuk meneruskan pelaksanaan Projek Penyelengaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS), yang membuka peluang kepada hampir 29,000 kontraktor Kelas F yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor.

* RM50 juta untuk memperluaskan projek bekalan air menggunakan kaedah tadahan air hujan ke Sabah.

* RM400 juta bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air di kawasan-kawasan FELDA terpilih, selain RM50 juta untuk menambah baik kemudahan bekalan air yang melibatkan penyambungan dari estet ke paip utama sedia ada.

* RM150 juta akan disalurkan ke Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam di SME Bank untuk menambah baik perkhidmatan bas bagi masyarakat luar bandar.

* RM90 juta untuk penyediaan kemudahan asas termasuk memperluaskan projek bekalan air terawat serta program penjanaan pendapatan untuk masyarakat Orang Asli.

* Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan diperkenalkan bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM), selain menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama.

* Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. Di samping itu bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.

* Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan RM600 juta.

* Mulai tahun 2013, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak 2 peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.

* Kerajaan bersetuju melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.

* Tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 untuk penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 kepada pesara kerajaan yang mana bayaran itu akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011.

* Peruntukan RM120 juta untuk bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam dengan menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi peringkat kedoktoran falsafah kepada penjawat awam termasuk guru.

* Menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda.

* Pemberian bayaran khas sebanyak RM3,000 secara "one-off" kepada 4,300 orang kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang telah menamatkan kontrak.

* RM442 juta untuk perbelanjaan pembangunan Polis Diraja Malaysia termasuk pembinaan projek perumahan anggota polis, penambahbaikan ibu pejabat, balai dan pusat latihan.

* RM500 juta diperuntukkan di bawah program "Army Care" untuk menaik taraf dan menyelenggarakan kem dan kuarters tentera di seluruh negara.

* RM50 juta untuk melaksanakan program latihan khusus untuk anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen, bagi menceburi bidang perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta.

* Pemberian sumbangan sebanyak RM3,000 secara "one-off" kepada setiap bekas anggota serta duda dan balu anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat.

* Peruntukan RM1.1 bilion bagi pembangunan sektor pertanian.

* Memperluaskan skop pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi dengan peruntukan RM300 juta.

* Meneruskan pemberian subsidi bil elektrik berjumlah RM20 sebulan dan ke bawah yang telah dilaksanakan sejak 2009, yang memberi manfaat kepada 1 juta isi rumah.

* Lebih RM1 bilion untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) yang merangkumi bantuan kepada warga emas miskin, kanak-kanak miskin dan Orang Kurang Upaya, yang akan memberi manfaat kepada hampir 500,000 rakyat.

* Pembukaan 85 unit tambahan Kedai Rakyat 1Malaysia dengan peruntukan RM40 juta.

* Kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah di bawah Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000. Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012.

* RM443 juta bagi membina 8,000 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) disewa dan 7,000 unit PPR dimiliki.

* RM63 juta untuk memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai, selain RM40 juta bagi membaik pulih dan menyelenggarakan rumah kos rendah awam dan swasta.

* Mewujudkan Tabung Khas Perumahan Nelayan dengan peruntukan RM300 juta.

* Sektor perkhidmatan kesihatan menerima peruntukan RM15 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.8 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

* RM300 juta untuk menambah baik Hospital Kuala Lumpur (HKL) di mana RM50 juta daripadanya akan digunakan untuk membina sebuah sayap baru HKL khusus untuk rawatan pesakit luar.

* Pemilik teksi bajet persendirian diberi pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.

* Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian.

* Pemberian bantuan RM3,000 bagi melupuskan teksi lama yang berusia melebihi 7 tahun tetapi kurang daripada 10 tahun, manakala bagi teksi yang berusia 10 tahun dan ke atas, bantuan RM1,000 akan diberikan.

* Peruntukan RM320 juta bagi menjalankan pelbagai aktiviti untuk golongan belia.

* RM15 juta bagi membina 150 gelanggang futsal tambahan agar matlamat Satu Gelanggang Satu Mukim dicapai, di samping RM50 juta bagi menyediakan kemudahan padang tiruan atau "artificial turf" yang dilengkapi dengan lampu limpah di 30 lokasi terpilih di seluruh negara.

* Mulai 1 Jan 2012, semua warganegara berumur 60 tahun dan ke atas akan dikecualikan caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk klinik 1Malaysia serta pergigian milik kerajaan. Mereka juga akan diberi diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel.

* Pemberian bantuan tunai secara "one-off" RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah akibat kenaikan kos sara hidup. RM1.8 bilion diperuntukkan bagi tujuan ini.

* Bantuan persekolahan RM100 diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 di seluruh negara, selain pemberian baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.

* Membenarkan pencarum KWSP membuat pendaftaran awal untuk menunaikan ibadah haji melalui penghadangan atau "ring-fencing" Akaun 2 pencarum sebanyak RM1,300.