Prinsip moral diakui Perlembagaan. Dua peruntukan Perlembagaan menyebut mengenainya, iaitu Fasal 10(2)(a) dan 11(5). Fasal 10(2)(a) meletakkan prinsip moral sebagai sebab untuk mengehadkan kebebasan bercakap dan bersuara. Perkara 11(5) meletakkan prinsip moral sebagai antara satu sebab kepada sekatan yang boleh dikenakan ke atas kebebasan beragama.

Walaupun hanya dua peruntukan Perlembagaan yang menyebut hal berkaitan, ia sudah cukup membuktikan kedudukan prinsip moral dalam Perlembagaan. Bahkan sekiranya disebut sekali saja pun, ia tetap pengisian penting Perlembagaan. Perlembagaan adalah dokumen utama pentadbiran negara, maka apa juga yang disebut di dalamnya adalah juga penting, walaupun tidak disebut secara berulang.
Dua peruntukan itu adalah penyungguh kepada kata-kata bahawa kita adalah bangsa dan negara yang mementingkan kesantunan.


Dari segi sejarah kerangka perundangan dan falsafah negara kita tidak terlepas pandang mengenai hala tuju negara dan bangsa. Sejak dari awal kemerdekaan lagi kita sudah merencana pengisian kemerdekaan dengan meletakkan garis panduan tertentu mengenai keperibadian warga. Kita mahu membina masyarakat bermoral dan beretika dan kita menegaskannya dalam Perlembagaan.

Wawasan 2020

Dipanjangkan prinsip moral ini ke dalam Rukun Negara dengan menjadikan kesopanan dan kesusilaan sebagai falsafah atau teras negara. Seterusnya, prinsip moral ditegaskan lagi dalam susunan strategi membentuk negara maju dalam Wawasan 2020. Wawasan 2020 mencerahkan lagi falsafah ini dengan meletakkan tujuan negara untuk membentuk warga negara yang teguh dengan nilai agama dan kerohanian serta mendokong nilai etika yang paling tinggi.

Dalam konteks agama Islam yang dilangsungkan dalam peruntukan Perlembagaan sebagai agama negara, prinsip moral tidak perlu dihurai lagi. Ajaran Islam dan prinsip moral begitu sinonim dan jelas. Akhlaq al-kareemah atau akhlak yang mulia adalah sebahagian daripada tiga komponen syariah atau ajaran Islam, selain daripada ketuhanan atau tauhid dan hubungan antara manusia atau muamalat.
Kita sudah maklum bahawa Islam adalah cara hidup yang mencakupi setiap langkah dan tindakan. Oleh itu, sekiranya kita menegaskan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, secara langsung, kita juga menegaskan mengenai prinsip moral itu.

Sumber rujukan seharian

Oleh itu, dalam kaitan prinsip moral dan kehidupan masyarakat Malaysia, Perlembagaan hendaklah dijadikan sumber rujukan. Sehingga kini, rata-rata rakyat Malaysia memahami konsep ketinggian atau keluhuran Perlembagaan. Ia sudah jelas dalam pemahaman kita. Kita juga sudah maklum dan faham bahawa polisi atau undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah tidak berperlembagaan dan boleh diisytihar sebagai tidak sah.

Di samping pemahaman itu, kita juga perlu mengambil perhatian bahawa Perlembagaan mempunyai fungsi yang lebih luas daripada konotasi undang-undang tertinggi negara. Fungsi lain Perlembagaan ialah, ia menggariskan prinsip asas, falsafah dan dasar atau manifesto negara.

Dengan kata lain, Perlembagaan bukan semata-mata rujukan berkenaan ketetapan suatu undang-undang atau polisi kerajaan saja. Perlembagaan juga berfungsi sebagai sumber rujukan kepada sistem masyarakat atau cara hidup masyarakat. Malah, manifesto itulah juga yang menjadi pencorak kepada tamadun yang mahu kita bina.

Dalam konteks ini, kita perlu melihat Perlembagaan menerusi kaca mata asal atau sejarah penciptaan dan pengenalannya. Secara ringkas, Perlembagaan diwujudkan bagi menstabilkan keadaan masyarakat dari segi hala tujunya. Ini bukan bermakna menstabilkan masyarakat dari segi perundangan saja, tetapi juga dari segi sosialnya. Perlembagaan berfungsi untuk mengatur sistem kemasyarakatan serta menegaskan prinsip yang mahu dimanifestasi dan dicapai dalam masyarakat negara terbabit.

Penentu prinsip moral

Dengan fungsinya sebagai manifesto negara, Perlembagaan boleh menentukan prinsip moral masyarakat yang mahu dicipta. Fungsi ini amat berkait dengan prinsip ketinggian atau keluhuran Perlembagaan. Sekiranya Perlembagaan itu mahu dijadikan sumber menstabilkan masyarakat, maka ia hendaklah menjadi rujukan tertinggi, barulah ia kebal dan berkesan.

Selepas memahami tujuan dan fungsi Perlembagaan kita perlu menerima bahawa manifesto yang dibawanya perlu diambil berat oleh semua. Pelaksanaan manifesto itu adalah tanggungjawab pemerintah atau kerajaan.

Dalam konteks prinsip moral manifesto ini juga tanggungjawab setiap warga. Maka, setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab melaksanakan manifesto atau hala tuju negara sebagai kehendak Perlembagaan yang menjadikan prinsip moral sebagai terasnya.

Penulis ialah Prof Madya di Universiti Islam Antarabangsa