Followers

Carian dalam Blog ini

Showing posts with label Tra-GD. Show all posts
Showing posts with label Tra-GD. Show all posts

21 August 2011

Tragedi 19 : tak cukup menginsafkan kah?



JELI 20 Ogos – Hasrat tiga sahabat berkonvoi menaiki kenderaan berasingan untuk memancing di Tasik Banding, Perak tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut selepas kenderaan mereka bertembung dengan sebuah lori di sini hari ini.

Kemalangan di Kilometer 88.3, Jalan Kota Bharu-Gerik, berhampiran Gemang, Ayer Lanas itu berlaku pukul 8.10 pagi.

Dalam nahas tersebut, kereta Perodua Kancil dipandu Zazemi Mat Jusoh, 27, dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori membawa muatan tilam.

Kereta mangsa itu kemudian diseret sejauh 35 meter sebelum rakannya, Aniq Arshad Mohd. Roseli, 18, yang menunggang motosikal muncul dan merempuh kedua-dua kenderaan tersebut.

Zazemi yang berasal dari Bukit Gading, Tanah Merah dan Aniq Arshad, dari Kuala Krai maut akibat cedera parah di seluruh badan manakala pemandu lori tersebut, Abu Hassan Husin, 34, dan kelindannya, Karna Bahadut, 42, hanya cedera ringan.

Rakan kedua-dua sahabat itu, Mohd. Zaid Mohd. Zamri, 17, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, mereka bertiga merancang untuk memancing di Tasik Banding dengan membawa kenderaan masing-masing yang mana dia sendiri turut menggunakan motosikalnya.

“Kereta dipandu Zazemi berada paling depan diikuti motosikal Aniq sebelum saya mengekori di belakang, menyebabkan mereka berdua sama-sama terlibat dalam nahas itu.

“Kami memilih untuk membawa motosikal disebabkan lokasi tempat memancing itu hanya boleh dimasuki menggunakan motosikal kerana jalannya sempit,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Tahun Satu maut manakala ibu dan adiknya cedera parah akibat dirempuh lori yang terbabas di kilometer 27 Jalan Jerteh-Keruak, dekat persimpangan Felda Tenang, Hulu Besut di sini kira-kira 7.15 pagi ini.

Nik Nur Madhiah Sakeri, 7, pelajar Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, Pasir Putih, Kelantan meninggal dunia setelah empat jam dirawat di Hospital Daerah Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Zakaria berkata, ibu dan adik lelaki pelajar itu, Raja Juriah Raja Saamun, 38, dan Nik Mohd Amar Zulkarnain, 2, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan.


18 August 2011

Tragedi 18 : tak cukup menginsafkan kah?



SRI AMAN 17 Ogos - Sembilan lelaki warga Indonesia maut manakala seorang lagi parah apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Jelukong, Engkilili dekat sini awal pagi ini.

Nahas ngeri itu berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi ketika SUV jenis Toyota Rush itu yang menghala ke Kuching dipercayai hilang kawalan akibat kabus tebal.

Ia kemudian bertembung dengan sebuah lori pengangkut buah dan sayur yang datang dari arah bertentangan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan lori dinaiki dua lelaki tempatan terbabas manakala SUV tersebut remuk teruk menyebabkan sembilan daripadanya maut di tempat kejadian.

Mangsa yang terbunuh ialah Juhran, 26; Asmadi, 51; Yusran Said, 29; Maulidi Jabiah, 25; Ilham Tamrin, 27; Ilham Muzani, 26; Jafri Annuar, 26; Junaidi Tamrin, 38, dan Muslimin Jabiah, 25.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan bersama rakannya hanya mengalami cedera ringan.

Kesemua mayat serta mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber polis, siasatan awal pihaknya mendapati kesemua warga Indonesia terbabit mempunyai permit kerja dan pasport serta memasuki negara ini secara sah.

Pihak polis juga dikatakan sedang berhubung dengan pihak Konsulat Kedutaan Indonesia bagi menguruskan penghantaran pulang mayat mangsa.

"Punca sebenar kemalangan masih disiasat. Turut menjadi persoalan adalah jumlah penumpang yang begitu ramai dalam sebuah kenderaan itu," katanya.


06 August 2010

Tra-GD 17 : tak cukup menginsafkan ke?

Tiga beradik terbunuh kereta bertembung


Kemalangan maut antara kereta Kancil dan BMW di laluan Bandar Jengka - Kampung Awah berhampiran Felda Jengka 14, Maran, Pahang yang mengorbankan empat orang, semalam.


KUANTAN 5 Ogos - Tiga beradik dan seorang rakan mereka terbunuh selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan mewah jenis BMW di Kilometer 47.5, Jalan Temerloh-Bandar Jengka dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, mangsa, Fatin Atikah Muhamed Faizal, 16, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Jengka (HJ) manakala dua adiknya, Fatin Atifah, 15, dan Muhammad Faiz Danial, 6, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi rakan mereka yang berada di tempat duduk belakang kereta Perodua Kancil, Muhammad Azlan Abdul Talib, 21, turut meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shabudin berkata, seorang lagi rakan mereka dalam kereta itu, Shawal Ruddin Hambali, 19, mengalami cedera parah selepas patah paha kirinya.

"Bagaimanapun, pemandu kereta mewah tersebut, Nor Fazidah Abd. Majid, 28, yang merupakan jurujual kereta mengalami kecederaan di pinggang dan kini dirawat di HJ bersama Shawal Ruddin.

"Kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Fatin Atikah yang merupakan pelajar tingkatan empat dari arah Temerloh bertembung dengan kereta Nor Fazidah yang dipercayai memasuki laluan bertentangan," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pondok polis di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini hari ini.

Menurut Ahmad Johari, ketika kejadian, Fatin Atikah bersama dua orang adik dan dua rakannya dalam perjalanan dari rumahnya di Felda Jengka 8 menuju ke Bandar Jengka.

"Kereta BMW yang dipandu Nor Fazidah pula dalam perjalanan menuju ke Temerloh dari Jerantut," katanya.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku di jalan yang lurus dan cuaca dalam keadaan baik.

Polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

03 August 2010

Wanita maut sebelum sempat bersalin


BEGINILAH keadaan kereta Proton Wira yang dinaiki Azian bersama suami dan anaknya selepas terlibat dalam kemalangan di Tampin semalam.


TAMPIN - Hasrat seorang wanita untuk melahirkan anak kelimanya di Hospital Tentera Darat (HTD), Kem Syed Sirajuddin Gemas tidak kesampaian apabila dia maut selepas kereta Proton Wira yang dinaiki terlibat dalam kemalangan sebelum dia sempat sampai di hospital itu.

Kejadian pukul 9.15 pagi semalam di Kilometer 9, Jalan Gemas-Rompin di sini itu mengakibatkan Azian Abdul Wahab (gambar), 40, isteri kepada Yusri Ahmat, 36, seorang anggota tentera meninggal dunia selepas kereta yang dipandu suaminya itu bertembung dengan sebuah treler.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama suami dan seorang anak lelaki berusia satu tahun dalam perjalanan dari Felda Palong 3 ke HTD.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Wooi Kooi Cheang memberitahu, kejadian itu dipercayai berlaku apabila treler terbabit memasuki laluan bertentangan ketika cuba memotong sebuah jentolak di situ.

"Treler itu yang tidak sempat masuk ke laluannya semula telah bertembung dengan kereta mangsa menyebabkan Azian maut manakala dua lagi parah," katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Amran Abdul Wahab, 41, dari Felda Palong 9 berkata, arwah dijadualkan bersalin pada Ahad ini.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

31 July 2010

Tra-GD 15: tak cukup menginsafkan ke?



Seorang tukang sapu wanita terbunuh selepas kereta Proton Pesona dinaikinya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sehingga menyebabkan besi itu menembusi kereta mangsa di Kilometer 81, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini, petang kelmarin.


Oleh Shahrul Nizam Mohamad

2010/07/31


KUALA LIPIS:
.
NGERI...keadaan kereta dinaiki mangsa yang ditembusi besi penghadang jalan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang, Halimah Hamat, 57, dari Gua Musang, Kelantan yang bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Kebangsaan Tengku Muhamad Fakhri Petra, Kelantan maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

Suami mangsa, Yusuf Che Hamid, 60, yang bekerja sebagai tukang kebun di sekolah yang sama dikatakan mengalami cedera ringan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, turut cedera anak saudara mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang, Nuraiman Azhar, 7.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa bersama suaminya dikatakan dalam perjalanan menghala ke Seremban, Negeri Sembilan dari Gua Musang, dipercayai untuk menziarahi saudaranya.

Katanya, kereta Proton Pesona dipandu Yusuf dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar besi penghadang jalan mengakibatkan besi itu menembusi kereta mangsa.

24 July 2010

Tra-GD 14 tak cukup menginsafkan kah?

Lelaki tersepit sejam dalam kereta remuk



2010/07/23

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tersepit hampir sejam selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kereta lain yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Kinabalu di sini, pagi semalam.

REMUK..kenderaan yang terbabit kemalangan, semalam.
REMUK..kenderaan yang terbabit kemalangan, semalam.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Tengku Amri, 20-an, terpaksa menanggung kesakitan akibat kakinya tersepit selepas bahagian depan keretanya remuk. Dalam kemalangan kira-kira jam 5 pagi berhadapan Masjid Negara itu, sebuah kereta Perodua Kembara yang dipandu seorang ‘awang hitam’ memasuki jalan bersebelahan dengan melanggar tembok konkrit sebelum merempuh kereta mangsa.


Mangsa yang tersepit masih sedarkan diri, namun cedera di kepala dan mengadu sakit dada manakala ‘awang hitam’ terbabit tidak cedera.


Orang ramai cuba membantu mengeluarkan mangsa, tetapi gagal kerana papan pemuka yang remuk menghimpit kedua-dua kakinya.


Difahamkan, ketika orang ramai cuba mengeluarkan mangsa, lelaki warga Afrika terbabit melarikan diri.


Pasukan Bomba dan Penyelamat serta polis trafik yang mendapat maklumat kejadian terbabit tiba kira-kira 15 minit selepas itu dan mengeluarkan mangsa.


Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan.

21 July 2010

Tra-GD 13 tak cukup menginsafkan kah?

Kulit kepala terkoyak

Oleh Salman Hamat

2010/07/21

JOHOR BAHRU: Biarpun kulit kepala terkoyak, manakala kaki dan tangannya patah, seorang wanita yang terlanggar penghadang konkrit di persimpangan lampu isyarat di Jalan Pantai Lido di sini, semalam, masih mampu bertenang ketika tersepit dalam Proton Iswara yang dipandunya.

REMUK...keadaan kereta dipandu wanita selepas melanggar tiang lampu  isyarat.
REMUK...keadaan kereta dipandu wanita selepas melanggar tiang lampu isyarat.
Mangsa menunggu kira-kira 30 minit sebelum dikeluarkan dari keretanya yang remuk oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Tun Seri Lanang kira-kira jam 9.10 pagi.

Wanita itu, Siti Hasmalizam Md Ali, 22, cuba dikeluarkan orang ramai sejurus kejadian, namun gagal berikutan tersepit dalam kenderaan terbabit serta bimbang tindakan itu mungkin menambahkan kecederaannya.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Larkin, K Sevam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 9.15 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian bersama dua jentera dan 15 anggota.

“Ketika sampai kami dapati wanita tersepit di bahagian pemandu, usaha mengeluarkan mangsa dilakukan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan pada kaki yang patah bertambah teruk.

“Walaupun mengalami kecederaan agak parah, mangsa tenang dan mengadu sakit selepas dia dikeluarkan serta dipindahkan ke atas pengusung,” katanya.

18 July 2010

Tra-GD 12 tak cukup menginsafkan kah?



PORT DICKSON - Tiga orang termasuk sepasang suami isteri maut manakala empat lagi parah dalam satu kemalangan ngeri membabitkan dua buah kereta di Kilometer 7.2, Jalan Linggi-Rantau di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.40 petang itu, pasangan suami isteri, Ibrahim Bachik, 68, dan Zainab Long, 64, maut selepas kereta Proton Saga BLM yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Proton Satria Neo yang dipandu Mohd. Khalid Ibrahim, 55, yang turut maut.

Kejadian tersebut turut menyebabkan isteri Khalid, Rosella Abdullah, 40, dan dua anak serta seorang menantu mereka cedera parah.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Baljeet Singh berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga yang menghala ke Linggi cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya tetapi gagal lalu bertembung dengan kereta Proton Satria Neo.

"Ibrahim dan Zainab maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala pemandu Proton Satria Neo pula meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban," katanya.

Kata Baljeet, tiga mangsa yang mengalami kecederaan parah ialah Nor Mohd. Fadli Mohd. Khalid, 24, Norashima Yahya, 20, dan Hazlijam Md. Hashim, 25. Semua mereka kini dirawat di HTJ.


09 June 2010

Tra-GD 11 tak cukup menginsafkan kah?

Enam sekeluarga korban nahas


SEORANG lelaki melihat keadaan kereta Proton Iswara yang mengorbankan enam sekeluarga selepas ia bertembung dengan sebuah treler di Pekan semalam.


PEKAN - Kegembiraan seorang wanita membawa empat anak dan seorang adik lelakinya menaiki kereta Proton Iswara yang baru dibeli bertukar tragedi apabila kesemua mereka maut selepas kenderaan itu bertembung dengan sebuah treler membawa muatan papan kelmarin.

Norfaizah Mansor, 31, dan empat anaknya iaitu Nor Sahera Atikah Mohd. Saudi, 13, Nor Sofiana, 10, Nor Suhaila Asirah, 7, serta Mohd. Shahrul Amir, 3, mati di lokasi kejadian.

Turut terbunuh ialah adik lelaki Norfaizah, Mohd. Saiful, 14, yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Keratong 2, Rompin.

Kejadian pukul 8.45 malam di Kilometer 78, Jalan Kuantan-Muadzam Shah berhampiran Kampung Runchang di sini itu berlaku apabila kereta yang dipandu Norfaizah bersama sebuah lagi kereta di hadapannya cuba memotong sebuah lori.

07 June 2010

Tra-GD 10 tak cukup menginsafkan kah?



Tiga maut langgar tembok plaza tol


2010/06/07

BUTTERWORTH: Tiga orang termasuk seorang remaja perempuan maut ditempat kejadian selepas kereta jenis Proton Satria Neo yang dinaiki mereka terbakar selepas merempuh tembok penghadang laluan 'Touch & Go' Plaza Tol Sungai Dua menghala ke Kepala Batas pada jam 2.30 pagi tadi.

Remaja perempuan, berusia 14 tahun dari yang duduk dibahagian belakang parah manakala dua lelaki yang identitinya masih belum diketahui rentung selepas bahagian depan kereta mereka terbakar.
Semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas.

05 June 2010

Tra-GD 9 tak cukup menginsafkan kah? Rentung kaki tersepit

Rentung kaki tersepit

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Shanty Nur Shaffizan Shafee
am@hmetro.com.my
2010/06/04

KUALA LUMPUR: Amat memilukan apabila seorang wanita meraung meminta tolong gagal diselamatkan sebelum mati terbakar apabila kenderaan dipandunya dirempuh sebuah kereta lain dan lori dari belakang.

Mangsa dikenali Slorina a/k Joseph, 27, yang tersepit hanya mampu melambai tangan meminta tolong sebelum Perodua Myvi dipandunya dijilat api dalam kemalangan kira-kira 3.25 pagi semalam. Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning, berkata kemalangan itu berlaku berhampiran jejantas Jalan Cheras susur bulatan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan (PPUKM). Menurutnya, ketika kejadian sebuah Toyota Vios dinaiki seorang lelaki dan wanita dipandu laju dari Kajang ke pusat bandar raya. “Kereta terbabit dipercayai dipandu terlalu laju sehingga ia terbabas ke pembahagi jalan dan merempuh tiang lampu serta memasuki laluan bertentangan.


“Pada masa sama Perodua Myvi dipandu seorang wanita datang dari arah pusat bandar raya terus dirempuh kuat Toyota Vios terbabit yang melayang ke laluan bertentangan,” katanya. Menurutnya, lebih mengerikan apabila sebuah lori yang mengekori Myvi itu tidak sempat mengelak menyebabkan lori berkenaan merempuh kereta wanita itu.


“Rempuhan kuat itu menyebabkan Myvi terbabit remuk sebelum pemandunya tersepit di dalam kenderaan. Lebih mencemaskan apabila pelanggaran itu mengakibatkan kebakaran pada Myvi terbabit. “Mangsa yang ketika itu masih sedarkan dirikan diri cuba menyelamatkan diri namun kakinya tersepit. Akibatnya mangsa hanya mampu meraung dan menjerit meminta tolong,” katanya.


Difahamkan ketika kejadian orang ramai termasuk pemandu lori yang merempuh wanita terbabit cuba memberikan bantuan kecemasan namun api terlalu marak dengan cepat.


“Akibatnya mangsa hangus sebelum sempat bomba datang memadamkan kebakaran,” katanya.


Menurutnya, pada peringkat awal polis gagal mengenal pasti identiti pemandu wanita yang hangus 80 peratus tubuhnya. Malah, usaha mengenal pasti identiti mangsa turut menemui jalan sukar apabila nombor pendaftaran kenderaan terbabit hangus.


“Namun berdasarkan siasatan pada nombor casis kereta itu, polis dapat menjejak pemiliknya iaitu lelaki yang menetap di Melaka yang meminjamkan keretanya kepada seorang lelaki yang menetap di sini. “Siasatan lanjut mendapati dia adalah teman lelaki mangsa yang meminjamkan kereta itu dan dia bergegas ke PPUKM bagi mengesahkan identiti mangsa,” katanya.


Sementara itu, katanya, kereta Toyota Vios dinaiki dua mangsa dikenali Chen Yoke Xing, 24, dan Chong Kar Jun, 17, adalah pelajar sebuah kolej dandanan rambut.


“Mangsa yang terselamat dilaporkan kritikal di PPUKM selepas cedera di kepala. Pada masa sama polis masih menyiasat sama ada pemandu Toyota Vios terbabit dalam keadaan mabuk ketika kejadian,” katanya yang kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana cuai.

18 April 2010

Tra-GD 7... tak cukup menginsafkan ke?



Tra-GD 1 KERETA Toyota Estima yang dinaiki bekas vokalis kumpulan Spin, Achik atau nama sebenar, Murad Md Shari, 28, dan sepupunya Salihin Md Salleh, 29, terbakar selepas terbabas dan melanggar tiang papan tanda di Kilometer 13, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) di Mantin, petang semalam. Dalam kemalangan itu, Achik terbunuh manakala Salihin patah tangan kiri dan kaki kanan. Mangsa dikeluarkan dari kenderaan oleh orang ramai sebelum terbakar.
Apr 18, 2010 5:07 am

********************************************

Tra-GD 2 Lambaian akhir

Oleh MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD dan ARIFIN SALLEH
am@hmetro.com.my
2010/04/18

MASJID TANAH: “Kami sempat melihat mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Saga melambai meminta bantuan tapi tak berkata apa-apa sebelum api marak secara tiba-tiba,” kata seorang anggota Bomba dan Penyelamat yang cuba menyelamatkan mangsa kemalangan ngeri meragut tiga nyawa di Jalan Baru Solok Duku, Tanjung Bidara, di sini, pagi semalam.

Namun api yang marak menyebabkan Che Ku Mohd Hakimi maut di tempat kejadian dengan kesan terbakar hampir 70 peratus tubuhnya.


Dua lagi mangsa yang terbunuh itu ialah Syed Al-Amin Abdul Jalil, 25, yang memandu kereta Perodua Viva dan isterinya, Rohana Hassan, 23. Bapa tiri Rohana, Jaidal Ibrahim, 30-an, parah dan kini dirawat di Hospital Kem Terendak manakala anak sulungnya, Siti Syaria Waldina, 10 bulan terselamat.


Dalam kemalangan kira-kira jam 6.50 pagi, Che Ku Mohd Hakimi dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Ayer Hitam Darat, Tanjung Bidara selepas membeli barangan keperluan untuk kedai runcit bapa mentuanya di pasar awam Masjid Tanah, manakala Syed Al-Amin bersama keluarga dan rakannya itu dari arah Port Dickson menuju ke pusat bandar.


Che Ku Mohd Hakimi yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Kuala Linggi meninggalkan seorang balu, Norashikin Wahid, 31, yang juga guru di Sekolah Rendah Pengkalan Balak dan dua anak, Che Ku Wafiq Shahmi berusia tiga tahun dan Che Ku Syafi, 10 bulan.

Syed Al Amin pula pekerja kontrak di sebuah syarikat di Alor Gajah dan menetap di Sungai Udang.


Menurut ibu saudara Che Ku Mohd Hakimi, Azizah Md Yassin, 54, dia diberitahu mengenai kemalangan itu oleh seorang jiran selepas resah menunggu kerana anak saudaranya lewat pulang berbanding biasa.


“Selalunya ipar dia yang pergi ke pasar awam di Masjid Tanah tapi entah kenapa pagi ini (semalam) dia beriya-iya hendak pergi seorang diri, menyebabkan saya rasa pelik. Saya juga sedikit terkilan sebab dia baru saja buat kenduri doa selamat minggu lalu kerana berpindah ke rumah baru,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.


Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka apabila puluhan ahli keluarga kedua-dua mangsa terbabit menunggu bedah siasat dilakukan. Norashikin yang sebak dan mendukung anak bongsunya enggan ditemubual.


Sementara itu, bapa tiri Syed Al Amin, Habil Mohammad, 65, berkata arwah anak tirinya bersama isteri dan cucunya dalam perjalanan balik menziarahi keluarga mentuanya di Port Dickson.


“Baru petang semalam (kelmarin) saya berbual dengan arwah dan dia beritahu hendak melawat keluarga mentua di Port Dickson memandangkan dia kini bercuti,” katanya.


Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian satu daripada kenderaan terbabit.

Katanya, polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan, termasuk dakwaan saksi bahawa kereta Proton Saga dari arah pasar Masjid Tanah dikatakan cuba membuat pusingan U di satu jalan lurus mendaki bukit sebelum dirempuh oleh kereta Perodua Viva.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

21 March 2010

Tra-GD 6....tak cukup menginsafkan ke....?



1. KUALA PILAH: Seorang peneroka dan isteri serta cucu lelakinya terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 17 Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran Kawasan Rekreasi Ulu Bendul, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Roslley meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah manakala isterinya Roziah Shamsudin, 42; yang duduk di sebelah pemandu serta cucu mereka, Mohd Danish Zaquan Mohd Zaidi, 12 bulan, mati di tempat kejadian.


Turut berada di dalam kereta dipandu Roslley ialah dua anak perempuan, Nurul Zailin, 21, dan Nurul Shamimi serta menantu, Nurul Saidatul Akmal Samsudin, 18. Keluarga malang itu dalam perjalanan ke Terminal 1, Seremban untuk menghantar Nurul Zailin ke Pulau Pinang.

************************************************

2. KERETA Perodua MyVi yang dinaiki tiga wanita tersangkut pada tembok perangkap sampah Sungai Batu selepas terbabas dari MRR II, berhampiran Batu Caves, sebelum terjunam ke dalam sungai tersebut, 21 Mac. Ketiga-tiga mangsa terselamat. - Utusan

***************************************************

Anggota Bomba dan Penyelamat Baling memeriksa kereta yang terlibat dalam kemalangan yang meragut dua nyawa di Kilometer 59.1 Jalan Kulim-Gerik dekat Kuala Pegang, Kedah, semalam.

3. 15 maut dalam 8 nahas


KUALA LUMPUR 20 Mac - Nahas jalan raya tidak mengira waktu dan tempat. Dalam tempoh 24 jam lalu, seramai 15 maut dalam lapan kemalangan di seluruh negara.

Tragedi yang meragut paling banyak nyawa berlaku di BETONG, SARAWAK- lima terbunuh apabila sebuah Land Rover polis yang membawa mayat seorang mangsa kemalangan motosikal bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra.

Kejadian berlaku di Kilometer 100, Jalan Sarikei-Sri Aman kira-kira pukul 2.15 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Supritendan Mohd Bukhori Saffai berkata, lima yang terbunuh dalam kemalangan itu ialah Omar Bilu, 67; Ngalambang Ranggau, 30; Robert Unya Mathew Intai, 33; dan Chaong Rangau, 39, manakala Lans Koperal Lee Kui San, 57, pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ngalambang memandu Naza Citra itu dan ketika kejadian dia bersama dua rakannya iaitu Robert Unya dan Chaong manakala Kui San memandu Land Rover terbabit.

"Land Rover itu dalam perjalanan menghantar jenazah mangsa kemalangan motosikal ke Hospital Betong iaitu cucu kepada Omar, Zainul Zuhri Amit, 20.

"Empat ahli keluarga Zainul Zuhri yang menaiki kenderaan itu cedera parah dan kini dirawat di Hospital Umum Sarawak," katanya.

Menurutnya, Zainul Zuhri sebelum itu maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh tiang di Simpang Senggalang, Jalan Debak Laut kira-kira pukul 11.20 malam tadi.

Di KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN, tiga daripada enam sekeluarga terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah-Seremban, tidak jauh dari Taman Rekreasi Ulu Bendul malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, kereta Proton Saga yang dinaiki dalam perjalanan dari Felda Serting Hilir 1 ke Seremban bertembung dengan kereta Proton Iswara Aeroback dari arah bertentangan.

Mereka yang terbunuh ialah pemandu, Roslley Hassan, 48; isterinya, Roziah Shamsudin, 42, dan cucu mereka, Mohamad Danish Zaquan Mohd. Zaidi yang berusia setahun lima bulan.

Roziah dan Mohamad Danish maut di tempat kejadian manakala Roslley pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Supritendan Jaafar Baba berkata, kemalangan pukul 9.30 malam itu turut mencederakan dua lelaki dan seorang wanita yang menaiki kereta Iswara Aeroback.

Di Kilometer 269, Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Seremban, seorang wanita warga Britain, Mariam Roslan, 72, terbunuh apabila kereta yang dipandunya terbabas, pukul 2 petang ini.

Di BALING, KEDAH, dua pemandu kereta maut apabila kenderaan mereka bertembung antara satu sama lain di Kilometer 59.1, Jalan Kulim-Gerik dekat Kuala Pegang malam tadi.

Kedua-dua mereka ialah Mohd. Ishafudin Mohd. Razali, 32, yang berasal dari Felda Teloi Timur dan Mohd. Hisham Che Hashim, 25, dari Labu Besar Kulim.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hassan berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.30 malam apabila kereta Proton Saga dipandu Mohd. Ishafudin bertembung dengan Proton Wira dipandu Mohd. Hisham.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Baling untuk menerima rawatan tetapi disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian," kata beliau.

Di KUALA LUMPUR, dua terkorban dalam kemalangan berasingan yang berlaku di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Dalam kejadian pertama, seorang pemandu MPV Toyota Unser meninggal dunia apabila kenderaannya merempuh sebuah lori yang diletakkan di lorong kecemasan lebuh raya itu berdekatan Kepong.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, Sikandar Hayat Khan Abdul Rahim, 19, dari Kajang, Selangor maut manakala rakannya, Muhammad Kamil Hasnafar Ali Khan, 18, cedera parah dalam kemalangan yang berlaku pukul 8 pagi itu.

Dalam satu lagi kemalangan yang berlaku di MRR2 berhampiran Zoo Negara, pukul 4.30 petang, seorang wanita maut manakala tiga lagi parah apabila sebuah Proton Iswara terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Waja.

Menurut Ketua Trafik Daerah Ampang Jaya, Deputi Supritendan Nordin Mahmod, Nurul Adibah Mohammed Hazim, 19, dari Alor Gajah yang menumpang Iswara itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan itu yang gagal dikawal sebelum terbabas.

Di KUANTAN, Pahang, seorang juruteknik maut selepas kereta Proton Satria yang dipandunya terbabas ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah Proton Wira di Kilometer 210, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan berdekatan persimpangan Bunga Cengkih hari ini.

Mohd. Fariz Mohd. Nor, 30, dari Ulu Ceka, Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Sementara itu, seramai 41 penumpang nyaris maut apabila bas yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam tali air di Kilometer 42, Jalan Kuantan-Kemaman, awal pagi ini.

Kemalangan pukul 3.45 pagi berlaku ketika bas terbabit dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Berang, Terengganu.

Sumber; utusan online 21/3/2010

26 February 2010

Tra-GD 5....tak cukup menginsafkan ke....?

Pemandu maut, van rempuh belakang lori dekat Tapah

26/02/2010 8:51pm

TAPAH 26 Feb. – Seorang pemandu van terbunuh manakala penumpangnya cedera parah selepas van mereka merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 331 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt. Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian kira kira pukul 3 petang tadi dikenali sebagai Mohd. Fazli Mohamad, 27, berasal dari Alor Setar, Kedah.

Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tapah, katanya kepada pemberita.

Roslan berkata, mangsa yang cedera pula dikenali sebagai Mohamad Ramli Zamri, 30, dari Kampung Sri Gala, Hulu Selangor.

Kejadian dikatakan berlaku apabila van tersebut dipandu begitu rapat dengan lori berkenaan, sehingga pada satu ketika merempuh lori itu. – Bernama

**************************************************

Lelaki rentung kereta yang dipandunya terbakar

26/02/2010 2:42pm

IPOH 26 Feb. - Seorang lelaki yang memandu sendirian rentung selepas kereta yang dipandunya terbakar di Kilometer 19, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat Pos Slim di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mangsa dikenali sebagai Balwinder Singh, 48, ditemui terbaring di luar keretanya dipercayai cuba menyelamatkan diri kira-kira pukul 7.45 pagi tadi.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Azisman berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke sini apabila kereta jenis Mercedez Benz yang dipandu sendiri tiba-tiba terbakar.

Ketika kejadian mangsa dipercayai terperangkap dalam kereta yang turut musnah dalam kebakaran itu.

Tiada sebarang pengenalan diri ditemui di tempat kejadian dan polis sedang mengesan waris mangsa.

Siasatan awal polis mendapati kejadian itu tiada unsur jenayah kerana tiada kecederaan pada badan mangsa.

Polis mengklasifikasi kes itu sebagai mati mengejut. - Bernama


17 February 2010

Tra-GD 4....tak cukup menginsafkan ke....?



PEMANDU Che Zani Mansor yang cedera masih berada di dalam kereta Peroduanya selepas beliau terbabit dalam kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Kota Bharu-Pasir Mas, Kota Bharu, Kelantan, 17 Februari. - Utusan/Rizalman Nor.

****************************************************

13 maut dalam nahas jalan raya semalam



2010/02/18

KUALA LUMPUR: Hari ke-11 Ops Sikap ke-21 semalam mencatatkan 13 lagi kematian dengan penunggang dan pembonceng motosikal adalah mangsa korban teramai sebanyak enam kes di seluruh negara.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Superintendan Rasdi Ramli berkata, empat kematian lagi membabitkan pengguna kereta, dua pejalan kaki serta seorang pengguna basikal.


"Jumlah itu menjadikan angka yang maut setakat ini meningkat kepada 168 orang," katanya dalam dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata, lima kemalangan maut itu berlaku di jalan persekutuan, dua masing-masing di jalan negeri dan lain-lain jalan, serta satu di lebuh raya.


Beliau berkata, jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 385 kes diikuti jalan persekutuan (271 kes), jalan negeri (150 kes), lebuh raya (100 kes) dan jalan-jalan lain (57 kes) menjadikan jumlah kemalangan keseluruhan 963 kes semalam.


Katanya, dalam operasi semalam sebanyak 14,364 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-21 yang bermula Ahad lalu sempena Tahun Baru Cina akan berakhir pada 21 Februari ini.-Bernama


08 February 2010

Tra-GD 3....tak cukup menginsafkan ke....?



BEBERAPA anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam satu kemalangan ngeri melibatkan enam sekeluarga di Kilometer 252.3 Lebuh Raya Utara Selatan, dekat Plaza Tol Senawang, dekat Seremban, Negeri Sembilan, 8 Februari. - Utusan




NAHAS ngeri membabitkan enam sekeluarga rentung apabila kereta BMW yang dinaiki mereka terperosok di bawah treler yang berhenti di lorong kecemasan di KM252.4 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan berdekatan kawasan rehat Senawang, Seremban, kira-kira jam 1.30 pagi tadi. Sehingga pagi ini identiti semua mereka belum dikenal pasti lagi. - Foto Owee Ah Chun, BH

05 February 2010

Tra-GD 2....tak cukup menginsafkan ke....?



TERBALIK...keadaan treler kontena yang terbalik merintangi Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Senawang arah utara selepas terbabit dalam kemalangan yang membabitkan sebuah teksi dan enam kereta. - Gambar Owee Ah Chun



SEBUAH treler seberat 10 tan terbakar jam 8.30 pagi di kilometer 458.7 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Ipoh berhampiran dengan Restoran Jejantas Sungai Buloh. Treler berkenaan membawa muatan buahan import dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Pasar Borong Kuala Lumpur. Bomba dengan satu jentera dari Balai Bomba Damansara dengan lapan anggota berjaya mengawal kebakaran sepuluh minit kemudian. Foto: Azahan Rosli



ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan di Lebuhraya Utara- Selatan, susur Bukit Tagar, Hulu Selangor. Kemalangan itu meragut nyawa Ketua Penolong Pengarah Siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah Komesial Bukit Aman, Datuk Mohd Hazam Abdul Halim, malam tadi

Sumber: Metro Online

03 February 2010

Tra-GD....tak cukup menginsafkan ke....?





Sumber foto: Arkib BH

Salam 1 Malaysia,

Kita di paparkan saban hari dengan foto kemalangan ngeri di seluruh pelusuk tanah air, namun tra-GD seperti foto di atas tetap berlaku. Sudah hilangkah nilai sopan-santun, tolak ansur yang di banggakan warga negara timur sebaik saja memegang stereng...?