Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

15 November 2014

Teknologi Hijau

RAMAI antara kita yang sering mendengar tentang teknologi hijau dan ia sering dikaitkan dengan alam sekitar. Namun kita tidak begitu jelas apa yang dimaksudkan dengan teknologi hijau.
Teknologi Hijau atau lebih dikenali sebagai teknologi mesra alam menggariskan pelbagai kaedah untuk mengurangkan impak kepada alam sekitar. Teknologi merupakan aplikasi pengetahuan ke arah penambahbaikkan aktiviti manusia secara praktikal. Justeru, Teknologi Hijau boleh dirumuskan sebagai aplikasi pengetahuan untuk menambah baik kaedah-kaedah yang boleh mengurangkan dan membendung impak negatif kepada alam sekitar yang disebabkan oleh aktiviti manusia.

■ APAKAH PERKARA-PERKARA YANC PATUT DIUTAMAKAN DALAM TEKNOLOGI HIJAU?
Teknologi hijau mempunyai pelbagai cabang. la merangkumi pengambilan sumber daripada alam sekitar hingga kepada cara menguruskan sisa harian. Antara cara tersebut ialah perolehan hijau, pembuatan hijau, pembungkusan hijau, dasar sifar sisa dan sebagainya. Kesimpulannya, Teknologi Hijau adalah saling berkaitan dalam pelbagai cara sehingga kepada kehidupan harian kita sebagai pengguna.

► Intipati Dasar Teknologi Hijau
• Tenaga - mencari kaedah bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga yang tidak boleh diperbaharui serta menggalakkan kecekapan tenaga
• Alam Sekitar - Memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar
• Ekonomi - Meningkatkan pembangunan ekonomi Negara melalui penggunaan teknologi
• Sosial - Meningkatkan kualiti hidup untuk semua

► Amalan Hijau yang boleh dilakukan oleh pengguna
• Bawa beg sendiri ketika membeli belah bagi mengurangkan penggunaan beg plastik
• Berbasikal atau berjalan kaki sekiranya jarak perjalanan adalah berdekatan. la baik untuk kesihatan.
• Gunakan pengangkutan awam dengan kerap. Pembebasan karbon adalah jauh lebih rendah melalui kaedah ini.
• Tutup peralatan elektrik jika tidak digunakan. Gunakan tenaga dan bahan api secara efisyen. Amalkan kecekapan tenaga, layari www.switch.org.my mendapatkan kaedah mengamalkan kecekapan tenaga.

Amalkan 3R (Mengurangkan, Mengguna Semula dan Mengitar Semula) dapat mengurangkan kemusnahan sumber alam. 
Praktiskan dan sokong kaedah perkebunan secara organik
Perkebunan secara ini, yang tidak menggunakan bahan kimia, dapat memastikan alam sekitar tidak tercemar.
• Beli barangan tempatan. Kita dapat menjimatkan wang, menyokong ekonomi tempatan serta mengurangkan pembebasan karbon disebabkan pengangkutan barangan jarak jauh.
• Kurangkan atau hentikan menggunakan barangan pakai buang. la hanya menghasilkan sisa pepejal. Bahan-bahan ini kadang kala tidak boleh terurai dalam jangkamasa yang pendek.
• Gunakan air secara bijak kerana ia juga merupakan sumber yang semakin berkurangan. Penggunaan semula air serta penuaian air hujan merupakan kaedah efektif untuk mengurangkan penggunaan air di rumah.
• Belilah barangan mesra alam yang diiktiraf. Produk-produk ini kurang memberi kesan kepada pencemaran alam sekitar berbanding dengan barangan biasa. Dengan cara ini anda dapat menjamin masa depan yang sejahtera untuk generasi akan datang.
• Jalankan projek-projek atau aktiviti-aktiviti bertemakan alam sekitar di kawasan kediaman, tempat kerja dan masyarakat setempat.

02 November 2014

Pengurusan Lestari Hutan Menyelamatkan Bumi


Ditulis oleh Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin.

Dewasa ini didapati kemusnahan hutan sama ada akibat kebakaran mahupun pembangunan yang tidak terkawal telah banyak memberi kesan buruk kepada bumi dan juga hidupan yang menghuninya. Sejak akhir-akhir ini kita dapat lihat telah banyak ancaman yang terpaksa dilalui oleh manusia akibat pemusnahan hutan dan juga kegiatan pembakaran hutan yang berlaku secara berleluasa. Bencana seperti tanah runtuh, ribut taufan, banjir dan sebagainya kerap berlaku akibat penggondolan hutan yang tidak terkawal oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab, dan lebih buruk lagi ia turut mempengaruhi cuaca dunia secara menyeluruh.
Daripada hasil kajian secara saintifik, didapati suhu udara di sekitar ekosistem hutan adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan kawasan yang gondol tanpa ekosistem hutan. Ini kerana, hutan merupakan unsur utama yang mengawal suhu bumi daripada terus meningkat dan sekaligus memainkan peranan penting dalam mengawal berlakunya ‘kesan rumah hijau'.

Hutan yang mempunyai keluasan dan bentuk yang pelbagai mempunyai keupayaan dalam menurunkan suhu di sesuatu kawasan. Malah, satu kajian lepas juga telah mendapati bahawa kemampuan penyejukan bagi sebatang pokok adalah bersamaan dengan lima buah pendingin udara yang beroperasi selama 20 jam sehari. Jadi, bayangkanlah apa akan jadi kepada suhu bumi jika kawasan hutan terus diteroka tanpa adanya usaha untuk menggantikan semula hutan yang telah ditebang. Pastinya suhu bumi akan meningkat dengan mendadak dan seterusnya menyumbang kepada berlakunya pemanasan global.

Seperti yang kita sedia maklum, pemanasan global akan membawa kepada pelbagai kesan buruk yang lain seperti berlakunya kejadian banjir yang tidak dijangka. Misalnya kejadian banjir yang berlaku di negeri Kedah dan Perlis pada bulan Disember 2005 yang mana telah mengakibatkan berlakunya kemusnahan kepada lebih 30,000 hektar sawah padi yang menunggu masa untuk dituai. Akibat kejadian banjir tersebut, para petani terpaksa menanggung jumlah kerugian yang besar. Malah, kejadian banjir seumpama itu turut juga berlaku di negeri Johor dua tahun lepas, yang mana ia turut merosakkan kediaman penduduk, harta benda, hasil tanaman dan juga pelbagai kemudahan infrastruktur di negeri terbabit.

Ekoran daripada kejadian banjir itu, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membaik pulih kerosakan-kerosakan yang berlaku sepanjang tempoh tersebut. Alangkah ruginya kita kerana terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar hanya semata-mata untuk bencana yang berlaku akibat kerakusan tangan kita sendiri yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Jika bencana seumpama itu tidak berlaku, mungkin kita boleh gunakan wang tersebut untuk tujuan-tujuan lain yang lebih bermanfaat kepada kita.

Bukan itu sahaja, malah penebangan hutan secara tidak mapan juga akan turut mengancam spesies hidupan liar dan juga tumbuh-tumbuhan terutamanya spesies herba yang cukup bernilai dalam industri ubat-ubatan tradisional dan kira-kira 40% ubatan moden yang berasal daripada alam semulajadi. Apa yang lebih membimbangkan lagi, jika habitat hidupan liar tidak dikekalkan, mereka akan menceroboh ke kawasan penempatan manusia dan akan memasuki ladang serta merosakkan tanaman-tanaman para petani dan juga peladang. Hakikatnya binatang-binatang liar tersebut bukan penceroboh, malah manusia yang bersifat penceroboh.

Manakala bagi hutan bakau pula, kemusnahannya akan memberi kesan langsung kepada ekosistem marin dan sosioekonomi di sesuatu kawasan yang terlibat. Ekoran daripada keadaan tersebut, ia bukan sahaja memberi kesan jangka panjang, malah ia juga amat sukar untuk dipulihkan jika tidak dihentikan dengan kadar yang segera. Selain itu, kemusnahan hutan bakau secara berterusan pula akan mengundang pelbagai risiko bencana alam yang lebih dasyat seperti ribut taufan dan sebagainya. Malah ketiadaan kawasan ekosistem hutan bakau sebagai benteng pantai akan lebih memburukkan lagi risiko-risiko bencana yang berlaku. Misalnya, salah satu punca kadar kematian yang besar telah dicatatkan semasa kejadian taufan Narjis yang melanda Myanmar baru-baru ini adalah disebabkan oleh ketiadaan hutan bakau yang boleh bertindak sebagai penampan. Ini kerana, kebanyakan hutan bakau yang terdapat di Delta Irrawady telah musnah sejak beberapa dekad yang lampau akibat eksploitasi berlebihan bagi tujuan projek kolam udang dan juga pertanian. Malah situasi yang sama turut berlaku semasa kejadian tsunami pada tahun 2004 di Acheh, Indonesia.

Oleh yang demikian, adalah amat penting bagi setiap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam memastikan pengurusan dan penggunaan sumber hutan dilaksanakan secara berhemat dan lestari demi memelihara kestabilan ekosistem serta dapat mengekalkan kepelbagaian biologi yang sedia ada. Sebagai makhluk yang dikurniakan akal, kita sepatutnya sedar betapa kita telah banyak menyebabkan kerosakan di atas muka bumi ini. Jadi sudah tiba masanya untuk kita mengambil peranan dan tanggungjawab untuk mengatasi segala kerosakan yang telah kita lakukan, di samping mempergiatkan lagi usaha-usaha dalam memakmurkan bumi dan alam sekitar yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T. kepada kita.

Senjata Nuklear Ancaman Besar Kepada Dunia


Ditulis oleh Suzalie Bin Mohamad. 

Bom nuklear pertama kali digunakan semasa Perang Dunia II di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun pada tahun 1945. Lebih 70,000 orang di Hiroshima dan 40,000nya di Nagasaki terkorban serta merta dalam peristiwa tersebut. Menurut kronologi kajian berkaitan senjata nuklear, pembuatan bom nuklear sudah bermula seawal tahun 1938 lagi. Penemuan ini mendorong penyelidikan senjata nuklear semakin rancak apabila bahan radioaktif seperti uranium ditemui oleh Marie Curie. Bermula dari penemuan ini, ia menjadi realiti setelah penemuan dan persamaan yang dihasilkan oleh Einstein berjaya dipraktikkan.


Ukuran pencapaian dalam bidang sains dan teknologi termasuk teknologi nuklear yang telah mengkategorikan negara di dunia ini kepada negara sedang membangun dan mundur. Justeru itu, kita menyaksikan sains dan teknologi nuklear menjadi wahana kepada sesetengah negara untuk menunjukkan kekuatan sehingga menekan negara-negara kecil yang dianggap lemah kerana terkebelakang dalam bidang sains dan teknologi nuklear. Model pembangunan Barat yang diasaskan kepada sains dan teknologi itu telah menjadi mekanisme paling berkesan untuk mengekalkan atau mengembangkan dominasi Barat ke seluruh dunia.


Lima negara kuasa utama nuklear yang diiktiraf iaitu Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat telah memiliki kemudahan simulasi ujian letupan nuklear, mereka boleh terus mengeluarkan senjata tersebut dengan melakukan ujian di dalam makmal tanpa melanggari perjanjian yang telah ditandatangani iaitu Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Menyeluruh (CTBT) dan Perjanjian Prolifirasi Nuklear (NPT).


Menurut The World Nuklear Handbook (1988), terdapat kira-kira 50,000 senjata nuklear di seluruh dunia dan sebahagian besarnya dimiliki oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet Union (Russia), sementara selebihnya terdapat di United Kingdom, Peranchis dan China. Teknologi nuklear mencakupi agenda strategik global untuk mengusai politik antarabangsa. Dari sudut politik, penemuan teknologi nuklear telkah melakar konsep seperti pertahanan rintang, kemusnahan pasti bersama (MAD) perlumbaan senjata, kawalan senjata dan perlucutan senjata sebahagian besarnya berpunca dari teknologi ini. Kesan ini kekal sebagai kesan penting sehingga ke hari ini yang mana senjata nuklear mendominasi strategik global kuasa-kuasa besar dunia untuk mengawal keseimbangan politik antarabangsa.


Perkembangan teknologi persenjataan nuklear telah mendorong negara-negara maju mempertahankan kedudukannya sebagai kuasa dominan dunia. Negara yang bercita-cita menjadi kuasa utama dan mengekalkan statusnya, perlu mempunyai keupayaan untuk bertanding dan menjadi jaguh dalam mengamalkan pembaharuan dalam teknologi pertahanan berasaskan nuklear. 


Pembangunan senjata nuklear menjadi lebih rancak bila berlakunya perlumbaan dan permusuhan antara negara-negara. Negara yang telahpun mengekalkan kedudukan mereka sebagai sebuah negara yang memliki senjata nuklear akan terus melakukan penerokaan baru untuk mencanggihkan penemuan lama. Negara-negara ini akan berada dalam situasi berlumba-lumba bagi mengekalkan keupayaan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi. Keadaan ini akan menyebabkan kontroversi yang memungkinkan perang nuklear apabila keseimbangan sudah tidak dapat dikawal lagi. 


Penularan dan penjualan teknologi pertahanan berasaskan nuklear merupakan satu fenomena masa kini dalam industri ketenteraan. Ia disebabkan oleh keupayaan senjata nuklear berbanding senjata konvensional. Penularan atau prolifirasi senjata nuklear boleh berlaku apabila sebuah negara yang asalnya tidak memliki senjata ini mendapat atau membangunkan teknologi ini secara rasmi ataupun tidak. Ia juga boleh berlaku dalam keadaan di mana sebuah negara memiliki senjata tersebut dan menyimpannya di luar pangkalan persempadanan negara seperti kedudukan senjata nuklear milik Amerika Syarikat yang terletak di Eropah Barat dan juga Asia Timur. Prolifirasi teknologi nuklear perlu dikawal dengan sebaik mungkin kerana dibimbangi teknologi persenjataan nuklear disalahguankan oleh-oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawap. Amaran ini diperjelaskan di dalam al-Quran surah Ar-Ruum ayat 41 yang berbunyi "Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".


Dalam logika peperangan, konsep cegah rintang menjadi begitu popular semasa Perang Dingin berlaku antara Amerika dan sekutunya dan Russia. Pertembungan kuasa dwipolar antara kedua-duanya telah mencetuskan keadaan cegah rintang (deterance). Istilah ini menjadi sangat penting di awal era senjata nuklear, idea bahawa kekuatan yang kukuh akan menghalang musuh daripada menyerang telah mempengaruhi pertumbuhan teknologi persenjataan berasaskan tenaga nuklear. Namun apabila dua buah negara mempunyai kekuatan yang hampir sama, berlaku satu keadaan genting di mana persepsi dan perasaan takut wujud sekiranya berlaku perang maka kemusnahan itu pasti merugikan kedua-dua pihak. Keadaan cegah rintang di zaman Perang Dingin memperlihatkan bahawa kedua-dua buah negara antara Amerika dan Rusia, saling berlumba-lumba untuk menghasilkan senjata yang lebih hebat. Ditambah pula dengan kepesatan pertumbuhan bidang teknologi dan kepakaran tertentu dalam bidang nuklear telah menyebabkan pembangunan teknologi tersebut tidak dapat dielakkan.


Selain dalam Perang Dingin, keadaan cegah rintang ini juga wujud antara negara Pakistan dan India sekarang ini. Dalam persaingan ini, Pakistan perlu memiliki senjata nuklear setelah India memilikinya. Pakistan perlu mengambil tindakbalas tersebut untuk menyahut cabaran yang mungkin ditempuhinya. Apa yang berlaku seterusnya ialah senjata nuklear dan status kuasa nuklear ini menjadi penyebab atau halangan kepada kedua-dua negara ini untuk terlibat dalam peperangan besar-besaran sesama mereka. Namun wujud masalah di mana kedua-dua negara terus menjalankan pembangunan nuklear untuk mencapai keseimbangan. Ini dapat dilihat di mana India dan Pakistan berjaya membangunkan peluru berpandu masing-masing iaitu Pritvi milik India yang mempunyai jarak 150-250 km, manakala Pakistan mempunyai peluru berpandu Ghauri dan peluru Ghaznavi yang sangat berkesan untuk menghalang India dari bersikap lebih berani dan agresif daripada menyerang Pakistan dan wilayah-wilayahnya.


Pembangunan teknologi nuklear memang tidak dapat dielakkan terutama sekali dalam kalangan negara kuasa nuklear. Mereka sentiasa mempunyai perasaan curiga, persepsi dan perasan terancam serta berada dalam keadaan dilemma. Kuasa ketenteraan terbesar seperti Amerika Syarikat serta lain-lain negara nuklear sepatutnya terlebih dahulu mengambil langkah awal  untuk melucutkan atau melupuskan senjata nuklearnya sebelum mendesak negara-negara lain berbuat demikian sekiranya keamanan dunia ingin dicapai.  


Mereka menghalang pembangunan dan ujian teknologi nuklear yang dilakukan India dan Pakistan dengan memberi alasan bahawa kedua-dua negara itu miskin dan perlu menggunakan sumber domestik mereka untuk pembangunan rakyat bukannya kepada pembangunan persenjataan nuklear, sedangkan negara Perancia dan China mengadakan ujian nuklear sesuka hati tanpa mendapat sebarang tekanan yang kuat daripada Amerika atau badan-badan dunia yang bertanggungjawab menghalang pembangunan teknologi nuklear secara haram. Keadaan ini menyebabkan ketidak-seimbangan kerana seolah-olah negara Perancis dan China dan anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu berhak menjadi kuasa nuklear.   


Walau bagaimanapun, manusia nampaknya tidak pernah merasa puas dan belajar daripada keterlanjuran yang pernah berlaku yang menyebabkan jutaan manusia menjadi korban akibat ledakan bom nuklear, apatah lagi sekiranya berlaku peperangan nuklear. Oleh itu masyarakat antarabangsa, khususnya pemimpin-pemimpin dunia harus bersatu tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan untuk mendesak semua kerajaan mengharamkan peperangan dan mengheret pemimpin-pemimpin yang gila berperang ke mahkamah keadilan jenayah perang antarabangsa.  Sekiranya kita tidak memulai langkah ini, satu hari nanti pasti perang nuklear akan berlaku yang akan memusnahkan kehidupan manusia di muka bumi ini. Rasullullah ada bersabda memperingati kita supaya jangan mensia-siakan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini dengan hadis berbunyi “Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya, Bagaimana mensia-siakannya?. Rasulullah menjawab, apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” 

Institusi raja tetap dibatasi undang-undang

Oleh Shamrahayu A Aziz

Kita sering mendengar tentang kelebihan dan peranan yang dimaktubkan undang-undang kepada raja-raja. Agak jarang sekali kita diberikan penerangan tentang perkara yang menunjukkan tentang ketidakbolehan atau disabilities raja-raja.

Justeru, ada dalam kalangan khalayak yang silap faham tentang kelebihan raja-raja sehingga beranggapan bahawa raja-raja berada di luar undang-undang. Ini tidak benar. Undang-undang, secara tersurat atau tersirat telah memperuntukkan beberapa ketidakbolehan raja-raja.

Amat penting juga untuk disebut tentang ketidakbolehan raja-raja ini bagi kita faham tentang sempadan kedudukan dan kelebihan raja-raja dan sekali gus mengelakkan silap faham tentang kedudukan raja-raja. Ini juga penting untuk diseimbangi antara hak dan tanggungjawab raja-raja sebagai Ketua Utama Negara mengikut perisytiharan dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.

Kekebalan raja-raja

Kita sedia maklum tentang imuniti atau kekebalan raja-raja Melayu telah berubah dengan pindaan Perlembagaan yang mendatangkan banyak kontroversi, atau dianggap sebagai krisis Perlembagaan pada tahun 1993. Dahulunya raja-raja tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang dalam mana-mana mahkamah atas sifat peribadi.

Pindaan berkenaan telah membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas raja-raja. Kedudukan undang-undang pada masa ini ialah baginda raja-raja boleh dibawa ke Mahkamah Khas atas sifat peribadi dengan mengambil kira peraturan atau tatacara tertentu, seperti keizinan daripada Peguam Negara (lihat Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan).

Seperti yang kita maklum, dalam perkembangan semasa, institusi raja menjadi perhatian setiap lapisan rakyat dan dalam era internet ini kita sudah saksikan pelbagai kenyataan dan keberanian sesetengah pihak mempersoalkan institusi raja. Sekiranya institusi raja ini masih kebal dan berada di luar undang-undang, maka ia mampu mendatangkan mudarat atau mencabar institusi itu.

Apabila diperhatikan kesan pindaan terhadap kekebalan raja-raja, saya fikir pindaan itu mampu mengukuhkan institusi raja; sama ada pada peringkat Persekutuan, institusi Yang di-Pertuan Agong atau juga institusi raja pada peringkat negeri.

Berbalik kepada ketidakbolehan raja-raja, perkara ini disebut dengan jelas dalam Perkara 34 Perlembagaan Persekutuan. Secara konvensyen atau prinsip undang-undang perlembagaan mengenai konsep raja berperlembagaan juga baginda raja tidak mempunyai kedudukan yang bebas daripada undang-undang atau meletakkan mereka di atas undang-undang.

Peruntukan Perlembagaan

Bagi mendekatkan pembaca kepada peruntukan Perlembagaan, saya petik Perkara 34 yang bertajuk "Ketidakbolehan Yang di-Pertuan Agong, dsb untuk dibaca dan dianalisis oleh pembaca. Perkara 34 ini memperuntukkan;

"(1) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsinya sebagai Raja Negerinya kecuali fungsinya sebagai Ketua agama Islam. (2) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memegang apa-apa jawatan yang baginya ada apa-apa saraan. (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.

"(4) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menerima apa-apa jua jenis emolumen yang kena dibayar atau terakru kepadanya sebagai Raja Negerinya di bawah peruntukan Perlembagaan Negeri itu atau peruntukan mana-mana undang-undang Negeri.

(5) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh, tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, meninggalkan Persekutuan selama lebih daripada lima belas hari, kecuali semasa lawatan Negara ke suatu negara lain.

"(6) Fasal (2) dan (3) hendaklah juga terpakai bagi Raja Permaisuri Agong.

"(7) Jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh undang-undang menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong selama tempoh melebihi lima belas hari, maka Fasal (1) hingga (5) hendaklah terpakai baginya sepanjang tempoh itu sebagaimana Fasal-Fasal itu terpakai bagi Yang di-Pertuan Agong.

"(8) Tiada apa-apa jua dalam Fasal (1) boleh menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada menjalankan apa-apa kuasa yang terletak hak padanya sebagai Raja Negerinya sama ada berseorangan atau bersama-sama dengan mana-mana pihak berkuasa lain - (a) bagi meminda Perlembagaan Negeri itu; atau (b) bagi melantik seorang Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja sebagai ganti mana-mana Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang telah mati atau yang tidak berupaya kerana apa-apa sebab untuk masing-masing melaksanakan tugas jawatan Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja".

Penulis ialah Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

24 October 2014

Akta Hasutan sedia ruang perbetul masyarakat


Oleh Shamrahayu A Aziz

  
Sama ada kritikan atau protes menentang sistem politik feudal atau juga sistem demokrasi, ia sentiasa berlaku di seluruh dunia; daripada peringkat paling rendah sehinggalah pada peringkat paling tinggi. Dalam pentadbiran, perkara ini sudah menjadi asam garam.

Jelas, keadaan ini berlaku kerana bukan mudah untuk pemimpin memuaskan hati atau memenuhi permintaan setiap lapisan, kelompok dan kumpulan dalam kepemimpinannya. Justeru, setiap pemimpin, secara peribadi atau dalam kapasiti jawatannya, sentiasa berdepan khalayak dan pemerhatian awam. Khalayak ada hak, bahkan tanggungjawab untuk membuat penilaian serta membentuk pendapat sendiri dan seterusnya membuat kritikan kepada pemimpin.

Kita perlu sedar selagi pemimpin itu manusia, tidak mungkin dia maksum atau bebas daripada melakukan kekhilafan. Manusia itu tidak mutlak kebijaksanaannya. Bahkan manusia dalam golongan ulama atau ilmuwan juga begitu.

Justeru, dalam kerangka sistem demokrasi atau apa juga sistem pentadbiran, undang-undang tidak boleh melarang atau menghalang khalayak untuk menasihati atau menegur pemimpin dan kepemimpinannya.


Undang-undang hendaklah menyediakan ruang untuk menasihati pemimpin. Hak pemimpin ke atas yang dipimpin ialah mendapat nasihat, manakala tanggungjawab yang dipimpin kepada pemimpin pula ialah memberi nasihat yang baik, betul dan benar.

Bukan benci membenci

Namun, undang-undang tidak boleh membenarkan sesiapapun membenci atau menghasut orang lain untuk benci membenci antara satu sama lain, termasuk membenci pemerintah. Sebarang kekhilafan hendaklah dinasihati.

Sikap benci membenci dalam apa juga keadaan, kepada sesiapa juga, tidak boleh dibenarkan. Hadis ketujuh dalam kumpulan hadis 40 Imam al-Nawawi menjelaskan peri penting nasihat. Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie ra. bahawa Nabi SAW bersabda: "Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitab-Nya, untuk Rasul- Nya, untuk imam Muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya" (Hadis riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis ini, benarlah hak pemimpin ialah untuk dinasihati dan tanggungjawab yang dipimpin ialah untuk menasihati menerusi tatacara dan tatasusila tertentu. Al-Quran pula mengisahkan mengenai kezaliman dan kekufuran Firaun.

Pada masa sama al-Quran menyediakan tatacara kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk menasihati Firaun dengan 'qawlan layyinan', yakni kata-kata yang lembut supaya Firaun beringat dan berasa takut akan azab Allah jika masih berdegil. Pembaca boleh merujuk Ayat 44 Surah Taha sebagai contoh, yang mana maksudnya: "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata lemah lembut, semoga ia beringat atau takut."

Menegur atau memberi nasihat kepada pemimpin bukan kerana bencikan mereka, tetapi kerana mahukan mereka kembali kepada cara kepemimpinan yang dapat mendekatkan kepemimpinannya kepada keimanan dan kembali kepada tujuan kepemimpinan yang benar dan diredai Allah.

Perkara 43(3) Perlembagaan meletakkan prinsip kebertanggungjawaban pemimpin. Mereka bertanggungjawab atas segala bentuk atau tindakan dalam kepemimpinannya. Perlembagaan juga meletakkan prosedur tertentu bagi membolehkan nasihat disampaikan kepada pemimpin.

Ruang dalam Akta Hasutan

Sementara itu dalam undang-undang yang menjadi perhatian berkaitan kepentingannya ketika ini, iaitu Akta Hasutan, kita masih mendapat ruang untuk menasihati pemimpin. Tidak semua yang diperkatakan mengenai raja dan kerajaan, sebagai pimpinan tertinggi negara, mempunyai kecenderungan menghasut.

Akta Hasutan, walaupun memberikan kuasa kepada pendakwaan segala bentuk kecenderungan menghasut, tetapi akta ini masih menyediakan ruang kepada khalayak untuk menasihati pemimpin.

Perkara ini dapat dilihat dengan jelas dalam seksyen 3(2) Akta Hasutan. Fasal 3(2)(a) membenarkan khalayak untuk menunjukkan mana-mana raja telah dikelirukan. Fasal 392)(b) juga memberi ruang kepada khalayak untuk menunjukkan kesilapan atau kecacatan dalam manamana kerajaan dalam pelaksanaan peruntukan berkaitan kewarganegaraan, Bahasa Melayu, keistimewaan Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu. Justeru menegur raja atau kerajaan dalam fasal ini boleh dikategorikan sebagai ruang untuk khalayak menasihati pemimpin, bukan menghasut untuk membenci mereka.

Awasi Ancaman Internet

Minda Pengarang BH 6/10/14
Awasi ancaman internet elak jadi mangsa jenayah siber
Salah guna akses kemudahan internet diakui cabaran besar kepada pihak berkuasa terutama masyarakat kita ketika ini. Penggunaan kemudahan teknologi kom-puter untuk tujuan jenayah dilihat semakin mem-bimbangkan serta wajar menyedarkan pengguna internet supaya lebih berhati-hati untuk mengelak da-ripada menjadi mangsa. Lebih-lebih lagi dengan kecurian berjuta-juta ringgit daripada tindakan meng-godam mesin pengeluaran wang automatik di Johor, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur baru-baru ini. Ia juga berdasarkan pendedahan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr Amiruddin Abdul Wahab. Katanya, kegiatan penipuan adalah insiden kesela-matan siber yang kerap dan paling banyak dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999, khususnya yang mem-babitkan kehilangan wang. Pada tahun 2009, 3,564 kes dilaporkan, 8,090 kes (2010), 15,218 kes (2011), 9,986 (2012) dan 10,636 kes pada tahun lalu. Jika mengambil kira angka keseluruhan aduan yang kemudian diambil tindakan, pusat bantuan itu menerima 55,634 kes sehingga September lalu. Selain itu, salah laku penggunaan teknologi siber turut membabitkan penye-lewengan lain termasuk menghasut, memfitnah, me-ngugut selain membuat provokasi membabitkan isu kaum serta agama. Pihak lain pula mengambil ke-sehipatan daripada kelemahan keselamatan tertentu internet dengan mengeksploitasi urusan perniagaan di laman web terutama jual beli dalam talian hingga pengguna selain kehilangan wang tidak mendapat barangan yang ditempah.
Eksploitasi lain termasuk menghantar e-mel palsu mahupun melalui aplikasi sosial seperti WhatsApp dengan memaklumkan kononnya penerima menang loteri atau pelaburan tertentu. Terbaharu ialah pendedahan MYCERT mengenai ancaman virus Zeus. Virus itu memperdaya pengguna untuk mendapatkan nom-bor telefon mereka bertujuan meletakkan malware yang boleh mencuri data sensitif termasuk fail dan log masuk telefon bimbit. Oleh sebab itu, adalah penting untuk pengguna sentiasa mengemaskini perisian antivirus mereka. Kita tahu bahawa pihak polis dan institusi kewangan tempatan selain berjaga-jaga dengan semua bentuk salah laku dan jenayah siber ini, turut mengambil langkah untuk mencegahnya daripada berterusan. Lebih-lebih lagi ada 19.2 juta pengguna dalam talian di Malaysia dengan 15.6 juta daripada mereka aktif dalam laman Facebook. Namun, kita yakin pihak berkuasa keselamatan dan institusi perbankan negara memiliki keupayaan memastikan sebarang salah laku penggunaan sistem siber dapat ditangkis. Semua perlakuan mereka tertakluk kepada Akta Ko-munikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Kom-puter 1997, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, Akta Hasutan 1948 dan Akta Fitnah 1957- Apa yang penting ialah pengguna terus melaporkan penyelewengan kepada pihak berkuasa dan di mana perlu mereka patut terlebih dulu mendapatkan pengesahan dalam sebarang transaksi di talian. Kesedaran tinggi mengenai keselamatan saja cara untuk selamat daripada menjadi mangsa jenayah siber.

06 October 2014

Usaha Malaysia Banteras Rasuah


Ketika berucap pada Perasmian Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat Kuasa Anti Rasuah Antarabangsa pada 4 Oktober 2012, Perdana Menteri menegaskan azam dan usaha kerajaan Malaysia untuk membasmi rasuah. Usaha membanteras rasuah ditetapkan sebagai satu daripada tujuh komponen Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Pelbagai langkah susulan dirintis termasuk penubuhan 14 mahkamah khas rasuah. Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan SPRM 2013, menunjukkan tahap keyakinan rakyat terhadap keberkesanan SPRM telah meningkat daripada 64 peratus ke 65.8 peratus; dan tahap sokongan masyarakat kepada SPRM turut meningkat daripada 86.4 peratus dalam tahun 2012 kepada 87.3 peratus dalam tahun 2013. Usaha terus dirintis untuk memperkemaskan undang-undang di samping meningkatkan kapasiti dan capability agensi penguat kuasa.
Undang-undang dan agensi penguat kuasa adalah instrumen yang perlu dilengkapi dengan program yang komprehensif lagi holistik. Memahami latar belakang pelaku rasuah akan memberikan kelebihan kepada petugas untuk berupaya memberikan preskripsi dan diagnostik yang tepat.
Kategori pelaku rasuah
Secara simplistik, pelaku rasuah terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama, adalah kumpulan yang terdesak, terpaksa melakukannya kerana kesempitan hidup, ketidakupayaan mengimbangkan gaji untuk membiayai keperluan asas harian.
Data Laporan Model Ekonomi Baru menunjukkan, 80 peratus isi rumah di negara ini berpendapatan kurang RM5,000 sebulan; 40 peratus isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 sebulan; 78.6 peratus penyimpan KWSP berpendapatan kurang RM3,000 sebulan. Tahap keupayaan pelaburan dalam kalangan majoriti Bumiputera boleh dimanifestasikan dengan data yang menunjukkan 75 peratus penabung Amanah Saham Bumiputera memiliki purata tabungan hanya RM611 seorang.
Permintaan Presiden CUEPACS agar bank membekalkan lebih banyak not RM10 dalam mesin ATM, memberikan petanda bahawa pada masa tertentu, sebilangan pemilik kad ATM, tidak pun mempunyai baki minimum RM50 dalam akaun masing-masing.
Data menyentuh agihan sangat membimbangkan dalam usaha gigih negara mahu mencapai taraf negara maju dengan sasaran pendapatan perkapita RM48,000 pada tahun 2020. Agihan tidak seimbang dan jurang pendapatan yang lebar akan mewujudkan persekitaran yang boleh menyuburkan budaya petty corruption.
Apakah opsyen yang ada dalam kalangan pegawai awam mahupun swasta jika gaji tidak dapat menampung perbelanjaan hidup harian? Majoriti yang berada dalam kategori ini, sebenarnya, tidak mahu melakukan rasuah. Ada yang melakukan kerja kedua, berniaga di pasar malam, memandu teksi secara sambilan, menjual kuih, mengambil upah menjahit serta melakukan pelbagai kerja sampingan untuk mencukupkan pendapatan. Akibatnya mereka tidak cukup rehat - mereka keletihan, menyebabkan mereka menjadi petugas yang lesu ketika bertugas lalu menjejaskan produktiviti.
Inilah hakikat senario semasa di dalam negara. Bilangan yang tergolong dalam kategori ini akan semakin bertambah jika formula berkesan tidak diperkenalkan terutama memberikan fokus kepada aspek perumahan, makanan, pengangkutan serta khidmat kesihatan dan rawatan perubatan yang kosnya semakin hari semakin meningkat.
Negara tidak boleh berada dalam minda penafian akan realiti sebenar yang sedang berlaku. Ia cabaran besar kepada negara. Ia bukan sakit tekak yang bersifat sementara, boleh diubati dengan gula-gula strepsil. Ia penyakit sosial yang serius, memerlukan rawatan intensif daripada doktor dan pakar bedah sosial, memerlukan formula perubatan dari farmasi sosial yang berupaya merangka dasar sosial yang komprehensif lagi holistik untuk dilaksanakan.
Pelaku rasuah kategori kedua terdiri daripada kalangan yang bersifat tamak - bersifat haloba; secara umumnya daripada kumpulan atasan, berjawatan penting, bernafsu tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah - gaya hidup megah. Pelaku rasuah dalam kategori ini amat licik, melakukan rasuah secara sofistikated, bijak membersihkan tangannya daripada sebarang lumpur kekotoran, tidak mudah untuk disabitkan, di samping sebahagian mempunyai hubungan intim dengan orang atasan.
Usaha perangi rasuah fokus dua aspek
Usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek. Aspek pertama LANGKAH PUNITIF YANG TEGAS DAN TIDAK SELEKTIF, dilaksanakan tanpa gentar - tanpa pilih kasih; aspek kedua: LANGKAH PREVENTIF UNTUK MENGUKUHKAN INTEGRITI. TEGAS dan TIDAK SELEKTIF adalah dua kata kunci penting yang wajib dijadikan prinsip. Negara mempunyai contoh yang boleh dijadikan tanda aras dan rujukan, dijadikan sumber inspirasi dan sumber kekuatan untuk berani bertindak.
Majistret pertama yang dilantik di Pulau Pinang lebih 200 tahun lalu pada era pemerintahan kolonial, dipecat kerana melakukan rasuah. Pada era kepemimpinan Tunku Abdul Rahman Putra, Menteri Pelajaran merangkap Menteri Kesihatan pada tahun 1964, Abdul Rahman Talib kalah dalam perbicaraan kes sivil melawan S P Seenivasagam, memberi implikasi Abdul Rahman Talib terlibat dengan rasuah. Abdul Rahman Talib mengundur diri dari menjadi anggota Jemaah Menteri.
Sokongan terhadap parti pemerintah, PERIKATAN, merosot pada Pilihan Raya Umum 1969. Tun Abdul Razak peka membaca mesej rakyat. Tun Abdul Razak meneliti isu-isu utama yang dijadikan peluru menyerang Parti Perikatan dan kerajaan semasa kempen pilihan raya; lalu segera bertindak melakukan langkah pembetulan. Imej kerajaan berkaitan rasuah ditangani tanpa bertangguh. Tun Abdul Razak tidak memberi perlindungan kepada anggota pentadbiran dan ahli parti yang terpalit dengan rasuah. Atas nasihat Datuk Harun Hashim, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) melalui Ordinan Darurat No. 22, memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), membekukan aset orang yang disyaki melakukan rasuah.
Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Said didedahkan memiliki hampir satu perpuluhan dua juta ringgit (RM1,138,403); tiga ratus tiga puluh ribu ringgit (RM329,979) disita kerana didapati diperoleh secara rasuah. Ahmad Said meletakkan jawatan pada Februari 1970.
Pada Julai 1970, Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri diarah bercuti dua bulan; selepas itu beliau digantikan dengan Mahmood Sulaiman. Pada peringkat Persekutuan, Khaw Kai Boh diarah berundur daripada menjadi anggota Jemaah Menteri pada September 1970.
Pada era kehebatan Rom, pemerintahan diktator diizinkan undang-undang untuk dilantik bagi tempoh enam bulan dalam situasi negara menghadapi krisis; selepas itu kuasa hendaklah dikembalikan kepada rakyat.
Cincinnatus, Jeneral Bersara, yang diserahkan kuasa memerintah secara diktator adalah contoh pemimpin Rom yang tidak gilakan pangkat mahupun sanjungan. Cincinnatus dilantik memimpin ketika Rom menghadapi krisis; selepas Rom kembali tenteram, walaupun rakyat Rom memohon agar dia terus memimpin, Cincinnatus, menolaknya, dan mengembalikan kuasa kepada rakyat.
Machiavelli merujuk sifat sedemikian sebagai ciri mulia; sifat seorang pemimpin yang memiliki kekebalan serta daya tahan daripada melakukan rasuah kerana tidak haloba untuk mengekalkan kuasa. Sifat terpuji Cincinnatus, sebenarnya menjelma pada Tun Abdul Razak yang mindanya tidak boleh dirasuah dengan sifat tamak mempertahankan kuasa.
Sebagai Pengarah MAGERAN, pasca tragedi 13 Mei, Tun Razak memiliki kuasa mutlak. Apabila negara kembali aman, meskipun dipohon untuk tidak membubarkan MAGERAN, Tun Abdul Razak memilih untuk mengembalikan kuasa kepada institusi rakyat; sistem demokrasi berparlimen dihidupkan semula.
Pada era pimpinan Datuk Hussein Onn, Datuk Harun Idris pada tahun 1976 disabitkan kesalahan rasuah. Datuk Harun dibicarakan di hadapan Paduka Ayahanda Beta, ketika itu Hakim Raja Azlan Shah. Hakim Raja Azlan Shah menghadapi tugas berat. Tertuduh, bukan sahaja mempunyai sokongan politik, tetapi seorang individu yang baginda kenal. Ketika menjatuhkan hukuman antara lain Hakim Raja Azlan Shah menyatakan:
"It is painful for me to have to sentence a man I know. I wish it were the duty of some other judge to perform that task. To me this hearing seems to re-affirm the vitality of the rule of law. But to many of us, this hearing also suggests a frightening decay in the integrity of some of our leaders.
It has given horrible illustrations of Lord Acton's aphorism 'power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely', and has focussed concern on the need of some avowed limitations upon political authority.
..the law is no respector of persons. Nevertheless it will be impossible to ignore the fact that you are in a different category from any person that I have ever tried. It would be impossible to ignore the fact that, in the eyes of millions of our countrymen and women, you are a patriot and a leader. Even those who differ from you in politics look upon you as a man of high ideals. You had every chance to reach the greatest height of human achievement. But half-way along the road, you allowed avarice to corrupt you. It is incomprehensible how a man in your position could not in your own conscience, recognise corruption for what it is. In so doing, you have not only betrayed your party cause, for which you have spoken so eloquently, but also the oath of office which you have taken and subscribed before your Sovereign Ruler, and above all the law of which you are its servant".
Utama kedaulatan undang-undang
Penghakiman itu mengandungi bukan sekadar kata-kata mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukum, ia turut mengandungi komponen nasihat, teguran, peringatan dan amaran, agar dijadikan teladan. Tentulah berat bagi Hakim Raja Azlan Shah untuk menzahirkan ungkapan kata-kata sedemikian keras - sedemikian tegas terhadap tertuduh yang turut baginda kenali; tetapi Hakim Raja Azlan Shah perlu lebih mengutamakan kedaulatan undang-undang dan kepentingan umum daripada kenalan.
Bertindak secara tegas lagi tidak selektif bukan satu opsyen, tetapi satu kemestian. Allah SWT telah memperlihatkan contoh panduan. Nabi Adam adalah ciptaan Ilahi, dimuliakan, dikurniakan status tinggi hingga malaikat diperintahkan sujud kepadanya. Namun apabila peraturan gagal dipatuhi, hukuman dilaksanakan oleh Ilahi secara tegas lagi segera; Nabi Adam Alaihissalam diperintah keluar dari syurga.
Demikian tegasnya prinsip melaksanakan keadilan dalam Islam yang tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan baik diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahupun ibu bapa. Perintah yang terkandung di dalam ayat itu diperkukuhkan lagi dengan u hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah binasa orang yang sebelum kamu ia itu sekiranya yang mencuri itu yang berpangkat tinggi, lalu mereka dibiarkan sahaja; tetapi jika yang mencuri itu mereka yang lemah, lalu dengan segera dijatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, yang aku di dalam kekuasaan Nya, kalaulah Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya ku kudungkan tangannya."
Tingkat integriti
Aspek preventif memerlukan usaha meningkatkan integriti agar insan dibina dengan ketahanan dalaman, tidak terpengaruh oleh dorongan nafsu. Sifat tamak adalah faktor yang sering kali menjerumuskan manusia melakukan dosa. Islam menganjurkan insan untuk mengamalkan sifat kesederhanaan, menjauhkan diri daripada sifat bermegah dan bermewah; tercatat peringatan Ilahi dalam Kisah Nabi Hud Alaihissalam, pada ayat 128 Surah Asy-Syu'araa.
Betapa dinding ketahanan iman ditembusi kerana tarikan untuk mendapatkan kuasa. Nafsu gilakan kuasa nyata boleh menewaskan kewarasan akal. Memperkukuhkan iman adalah benteng pertahanan yang wajib dibina untuk meningkatkan daya tahan insan daripada tergelincir dengan tarikan kebendaan - tarikan kemewahan serta tarikan kepada pangkat dan tarikan kepada kuasa. Insan wajib diperingatkan dengan firman Allah SWT yang terkandung dalam ayat 35 Surah Al-Anbiyaa bermaksud: "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
David Owen, dalam karyanya, 'The Hubris Syndrome: Bush, Blair and the Intoxication of Power', melakukan analisis perlakuan rasuah daripada lensa seorang doktor perubatan; Owen menyifatkan perlakuan rasuah yang berlaku kerana gilakan kuasa adalah satu penyakit mental.
Mahatma Ghandi memerhatikan bahawa kuasa membuatkan manusia menjadi tuli dan buta; lalu keputusan dilakukan berdasarkan naluri; kepuasan peribadi mengatasi kepentingan awam; sebarang pendapat bercanggah, meskipun datang daripada kenalan rapat, dianggap bersuara musuh - dianggap mengancam kedudukannya; lalu pelbagai tindakan dilakukan untuk menghapuskan apa jua tentangan.
Kehidupan dunia adalah ujian. Pangkat dan jawatan adalah ujian. Amanah dan tanggung jawab juga ujian. Menegak yang makruf dan menentang yang mungkar adalah tuntutan. Setiap janji diungkapkan, setiap perkara dilakukan atau tidak dilakukan akan diperiksa pada hari kebangkitan; ketika itu tidak ada peguam bela untuk membela dosa yang dilakukan, begitu juga amanah yang gagal disempurnakan. Memerangi rasuah adalah jihad, yang perlu disemaikan di hati sanubari insan.
Semoga Allah SWT memberikan petunjuk dan kekuatan kepada setiap anggota Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, gigih menyempurnakan tugas berat membasmi rasuah.

17 August 2014

Tangani masalah tujuh kelompok baharu di bandar


Sabtu, 16 Ogos 2014 @ 10:01 PM Oleh Shaharudin Idrus

Kedinamikan sosial kesan proses dan ledakan globalisasi serta 'googlelisasi' yang berlaku memungkinkan wujudnya kelompok baharu dikenali precariat atau kelompok yang mudah terancam, terutama dari segi ekonomi dan sosial untuk meneruskan hidup khususnya di kawasan bandar dengan tekanan dan bebanan kos hidup yang tinggi.

Ada sekurang-kurangnya tujuh kelompok precariat yang jika tidak difahami dan ditangani dengan sebaik-baiknya akan mengancam kestabilan ekonomi, sosial dan politik negara. Mereka ialah kelompok terpelajar lepasan universiti yang tidak mempunyai atau mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian. Jumlah mereka agak tinggi.

Kelompok ini akan mencari pekerjaan bersesuaian bidang dan kelayakan dimiliki. Ada majikan tidak mampu membayar gaji mengikut kelayakan akademik mereka. Ada juga amat memilih pekerjaan supaya hampir dengan bidang akademik dipelajari. Justeru, jumlah ini akan meningkat saban tahun dengan ribuan graduan baharu.

Ibu tunggal
Kelompok kedua ialah ibu tunggal yang hilang tempat bergantung sama ada bercerai hidup mahupun bercerai mati. Jika diperhatikan kadar perceraian di negara ini agak tinggi terutama dalam kalangan orang muda yang berkahwin berpunca daripada pelbagai faktor.

Jumlah wanita bercerai adalah lebih 90 ribu, manakala jumlah lelaki lebih daripada 30 ribu. Bagi wanita berumur 25-54 tahun adalah 65,025 iaitu kira-kira 71.7 peratus. Natijahnya, ibu tunggal ini terpaksa menampung kehidupan dan menyara anak yang masih kecil serta bersekolah dengan bekerja di sektor tertentu. Keadaan ini akan bertambah parah terutama bagi ibu tunggal berpendidikan rendah dan berpendapatan kecil. Jika ketika masih bersama suami pun hanya cukup makan dan keperluan seharian, apatah lagi selepas berpisah.

Kelompok selanjutnya ialah pendatang asing (bertaraf sah dan tidak sah) yang mencari rezeki di sini. Ada sesetengahnya selepas kontrak tidak disambung lagi, tetapi masih tidak mahu pulang dengan harapan mendapat kerja dengan majikan lain. Justeru, dalam tempoh mencari pekerjaan baharu itu, mereka tidak mampu menampung kehidupan.

Satu kelompok lagi ialah mangsa pemerdagangan manusia. Kumpulan ini akan bertindak balas akibat dari tekanan dihadapi ketika diri mereka diperdagangkan. Kelompok ini menjadi bahan dagangan pihak tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan keuntungan mudah yang berlipat kali ganda. Jumlah kelompok ini sukar ditentukan memandangkan kegiatan pemerdagangan ini berlaku secara sembunyi. Biasanya kelompok ini juga akan terbabit dengan kegiatan seperti pelacuran dan penagihan dadah.

Warga tua
Kelompok kelima ialah warga tua yang tidak mempunyai pendapatan atau pencen tetap. Malaysia akan mengalami jumlah penduduk tua yang semakin meningkat daripada jumlah penduduk negara menjelang tahun 2021 apabila penduduk tua mencapai 7.1 peratus dan pada tahun 2030 diunjurkan penduduk warga tua ini meningkat kepada 9.7 peratus daripada keseluruhan penduduk negara pada masa itu. Kelompok ini memerlukan kemudahan fizikal dan mental berbeza kerana faktor umur. Kemudahan tempat tinggal, kemudahan penjagaan kesihatan, keperluan pakaian pakai buang yang diperlukan untuk meneruskan sisa usia.

Kumpulan keenam ialah pelarian UNCHR yang tidak diketahui negara asal mereka disebabkan ketiadaan dokumen sah menyatakan negara asal. Mereka berada di lokasi tertentu untuk meminta derma dengan membawa sijil yang tiada kesahihan. Ada kumpulan tidak bertanggungjawab mengeksploitasi mereka untuk mengaut keuntungan mudah dan akhirnya terjebak dalam masalah sosial lain pula.

Kumpulan terakhir ialah gelandangan yang merempat di tepi jalan dan tinggal di bawah jambatan. Kelompok ini tiada tempat tinggal tetap, tidak mempunyai kerja dan pendapatan tetap atau disingkirkan keluarga sendiri. Kelompok ini dilihat mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya dari pihak kerajaan.
Kewajaran memahami tujuh kelompok ini amat diharapkan daripada pelbagai pihak berkuasa, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan untuk bersama-sama bertindak menangani isu sosial dibawa mereka dengan pendekatan berbeza.

Penulis ialah Felo Penyelidik/Pensyarah Kanan, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia)

09 August 2014

Ringkasan PPPM 2013-2025























https://twitter.com/cikgunikmie

Virus EBOLA













25 July 2014

Peristiwa tragis sepatutnya perkukuh semangat patriotisme

2014/07/24 - 08:04:17 AM
Shamrahayu A Aziz

Tahun 2014 boleh dianggap tahun tragis buat Malaysia. MH370 dan MH17 adalah dua musibah besar menimpa negara. Sebagai sebuah negara kecil dari segi geografi dalam peta dunia tragedi itu sangat hebat untuk Malaysia.

Amat getir untuk dihadapi Malaysia. Selain dua peristiwa ini kita juga bersedih kerana gugurnya anggota keselamatan kita di perairan Sabah. Peristiwa Lahad Datu juga musibah besar untuk kita. Seluruh warga Malaysia bersedih atas peristiwa duka ini.


Kita tidak tahu dan kita tidak pasti apakah perancangan musuh negara. Apa yang kita pasti ialah, cabaran sedang dihadapi negara ketika ini bukan perkara main-main. Bukan calang-calang. Kita tidak boleh leka. Kelekaan kita yang sebentar saja akan mengundang tragedi lagi.

Antara perkara utama yang mesti letak dalam susunan kepentingan ialah perpaduan warga kita. Perpaduan dan persefahaman antara kita warga Malaysia hendaklah menjadi menu utama dalam setiap perlakuan dan tindakan kita. Walaupun perpaduan ini kedengarannya agak cliché, ia adalah satu perkara yang sentiasa perlu diperingat dan diperhangat. Walaupun kita pernah merasai perpaduan, kita tidak boleh memastikan kita akan dapat mengekalkan atau mempertahankannya sampai bila-bila.


Teruskan usaha ke arah perpaduan

Oleh itu, usaha ke arah perpaduan itu tidak boleh dihentikan walaupun seketika. ‘Apparatus’ yang diterima pakai dalam mengukuhkan perpaduan juga hendaklah dapat disesuaikan dengan keadaan dan keperluannya.
Agak sedih untuk disebutkan bahawa kita masih menjumpai kenyataan yang tidak berfaedah kepada perpaduan hatta dalam hal musibah MH370, MH17 serta Lahad Datu. Berkaitan dengan musibah ini kita masih dapat membaca kenyataan yang memburukkan, bukan membaik keadaan atau perpaduan. Kalau kita menamakan kita sebagai rakyat Malaysia yang matang, rakyat Malaysia yang faham tentang kecintaan kepada negara, kita tidak patut dihidangkan dengan kenyataan berbaur perkauman.

Mengambil semangat proses kemerdekaan dan membentuk negara, kita boleh bersatu, kita boleh dan mampu mencapai perpaduan. Dalam proses ini kita sedar bahawa cabaran dalam proses kemerdekaan itu bukan kepalang juga beratnya. Cabaran perkauman, cabaran keagamaan, cabaran ekonomi, cabaran keselamatan bukannya tiada. Cabaran perkauman, terutamanya persoalan kewarganegaraan dan keistimewaan Melayu. Begitu juga dengan cabaran bersifat keagamaan.

Cabaran ini bergerak serentak dengan cabaran terhadap kedudukan bangsa Melayu dan agamanya serta kedudukan agama Islam. Cabaran ekonomi berkaitan dengan kedudukan ekonomi negara di bawah penjajahan.
Cabaran keselamatan tidak perlu dihuraikan lagi. Kita merdeka dalam keadaan darurat yang bukan saja bermaksud kepayahan kehidupan dari segi makan pakai, tetapi dari segi keselamatan nyawa – antara hidup dan mati. Kita bimbangkan keselamatan negara dan rakyat juga.

Sekiranya kita membilang satu persatu cabaran berkenaan, kita akan menjadi takjub dengan keupayaan orang dulu menghadapi dan menyelesaikan cabaran berkenaan dan seterusnya merealisasikan satu kemerdekaan dan kedaulatan negara untuk kita warisi. Kejituan tujuan dan kemurnian perjuangan serta kewibawaan mereka, perpaduan menjadi saksi kepada kejayaan dan seterusnya membuahkan kejayaan kita mencapai kemerdekaan.


Hala tuju sama


Apa yang jelas dalam perpaduan semasa proses kemerdekaan ialah kita mempunyai hala tuju yang saman iaitu kita mahu bebas daripada pentadbiran atau penjajahan. Kita juga mahukan kedaulatan negara untuk mentadbir negara dengan sendiri. Dengan kata lain, matlamat yang jelas boleh menjamin perpaduan yang jitu.

Berbalik kepada perpaduan yang perlu kita perkukuh, tragedi dan ujian Allah kepada kita dalam jarak masa dekat ini, kita hendaklah mengambil peluang ini untuk mencapai perpaduan yang lebih jitu demi negara.

Kita mengekalkan formula perpaduan dengan berpaksikan kepada kecintaan dan semangat patriotisme terhadap negara. Kita tidak perlukan lagi kenyataan berbaur perkauman untuk menyelesaikan tragedi dan menghadapi musibah ini. Kita perlukan sokongan antara satu satu sama lain.

Peristiwa tragis ini sepatutnya boleh menyatukan rakyat Malaysia demi memberi kekuatan bukan saja kepada keluarga mereka yang terbabit, tetapi juga kepada tanah air tempat tumpahnya darah kita Malaysia.

Kita tidak perlu menunggu musibah lain lagi untuk membentuk perpaduan. Peristiwa ini telah memberikan kita ruang yang cukup besar untuk membentuk perpaduan.


Penulis ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM

15 July 2014

Teknologi Nano






03 July 2014

Perbaiki institusi tadbir cantas rasuah

Perbaiki institusi tadbir cantas rasuah
2014/07/01 

Kejayaan basmi penyakit sosial berperingkat perlu kerjasama semua pihak

Sudah menjadi kelaziman tatkala saya menghadiri majlis sosial, pasti ada yang merengus-rengus berkongsi pengalaman mereka menyogok wang kerana terdesak menyelesaikan sesuatu masalah. ‘Itulah Idris, gejala rasuah masih berleluasa di negara ini, makanya kita terus gagal untuk maju,’ keluh mereka kepada saya. 

Biasalah, orang yang pernah mengalami pengalaman seperti ini pasti tidak yakin dengan kesungguhan kerajaan untuk membanteras gejala rasuah. Keluh-kesah yang dilantunkan di media sosial menunjukkan betapa rakyat hampa dengan sistem yang mereka anggap tidak jujur, berwibawa dan telus. 
Alangkah mudahnya jika kemakmuran dan kekayaan sesebuah negara hanya bergantung pada pencegahan rasuah. Namun, jika benarlah kemantapan ekonomi diraih hanya dengan membasmi penyakit ini, sudah tentulah semua negara di dunia akan berpegang pada satu teori ekonomi semata-mata.

Rasuah ialah ibu segala penyakit. Wabak rasuah menulari semua lapisan masyarakat, tidak kiralah kita ini orang baik atau tidak. Sejujurnya, ramai daripada kita yang pernah terlanjur memberi, menerima atau paling tidak pun, hampir terdorong terbabit dengan rasuah. 

Saya mula mengerti maksud ‘ketelusan’ dan ‘nilai murni’ ketika membesar di rumah panjang. Keinginan melakukan sesuatu kesalahan sentiasa menerkam di hati, namun dapat dibendung kerana terlalu ramai mata-mata yang memerhati dan menunggu peluang membuka aib diri ini! Tiada pilihan melainkan mendidik peribadi agar patuh dengan nilai-nilai murni yang teguh dipegang oleh komuniti.

Menginstitusi kaedah tadbir urus secara berkesan

Bagi membasmi penyakit rasuah ini hingga ke akar umbi, kita mesti menginstitusikan kaedah tadbir urus dan kewibawaan dengan berkesan. Kaedah penyelesaian secara ‘ad hoc’ hanya merawat simptom, tetapi tidak mencantas akar umbi penyakit ini. Kaedah jangka panjang adalah menghapuskan secara berperingkat kelaziman yang sudah berakar umbi selama berdekad-dekad lamanya. Ini bukan perkara mudah dan semestinya memerlukan gabungan tenaga semua pihak – kerajaan, badan korporat dan rakyat. 
Rasuah wujud dalam tiga kategori utama, iaitu rasuah dalam hal ehwal kawal selia/pelaksanaan, dalam isu perolehan dan rasuah dalam pembiayaan politik. Beberapa usaha yang dilaksanakan sudah menampakkan kejayaan, namun kekangan masih dilihat:

1. Menghindari rasuah dalam hal ehwal pelaksanaan 

Setakat ini, kami melaksanakan 196 projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berperanan sebagai penunjuk laluan bagi mengubah proses - yakni dengan memperkemas semua kelulusan bagi projek dan mengurangkan birokrasi bagi meminimumkan ruang untuk berlakunya rasuah.

Sementara itu, PEMUDAH berhasil menambah baik persekitaran perniagaan menerusi rombakan khusus dan mewujudkan automasi dalam proses perniagaan. Apabila proses perniagaan ditawarkan dalam talian dengan hampir tiada langsung campur tangan pegawai pelaksana, kami berupaya mengurangkan kebarangkalian pelakuan rasuah.
Peruntukan Liabiliti Korporat dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga akan memastikan pemantauan rasuah lebih ketat dalam sektor swasta. Dengan pindaan itu, bukan hanya pekerja, malah syarikat terbabit juga akan dipertanggungjawabkan bagi salah laku rasuah dalam syarikat mereka. 

Kemaraan kita dalam tinjauan Doing Business oleh Bank Dunia sehingga mampu menduduki tangga ke-6 pada peringkat dunia dalam tahun 2014 ialah bukti kejayaan ini. Tahun 2010, kita berada di tangga ke-23, tahun 2012 di tangga ke-18 dan tahun 2013 di tangga ke-8. Selain itu, kita melonjak tiga anak tangga dengan menduduki tangga ke-16 dalam tinjauan Starting a Business pada tahun 2014, dikukuhkan lagi dengan lonjakan 56 anak tangga ke tangga ke-43 dalam tinjauan Dealing with Construction Permits. Semua pengiktirafan ini menunjukkan kita berupaya menyempitkan ruang bagi salah laku rasuah dengan begitu drastik. Inilah tanda penambahbaikan yang telah kami jalankan dan masih banyak usaha yang akan kami laksanakan. 

2. Ketelusan yang lebih tinggi dalam proses perolehan 

Penarafan oleh Jabatan Audit Negara Malaysia pada tahun 2013 memberikan penarafan 92 peratus kepada kerajaan dalam Indeks Akauntabiliti Perolehan Kerajaan. Penarafan membanggakan! Tetapi, kegagalan pematuhan sebanyak lapan peratus itu pula kerap dibangkitkan. 

Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mengemukakan laporan Jabatan Audit Negara secara terperinci yang dibentangkan di Parlimen tiga kali setahun.

Siasat fakta tak konsisten dalam Laporan Audit

Baru-baru ini, Tan Sri Dr Ali Hamsa selaku Ketua Setiausaha Negara memulakan satu inisiatif sesama Ketua-ketua Setiausaha bagi menyiasat fakta yang tidak konsisten dalam Laporan Audit Negara yang diketengahkan ketika sesi soal jawab bersama pihak media. Saya berharap agar langkah siasatan seperti ini akan mengorak suatu era baharu yang menerapkan amalan perolehan lebih berhemat dalam kalangan kerajaan. 

Pelancaran Paparan Susulan Laporan Audit dalam talian baru-baru ini bagi mengesan isu yang diketengahkan juga dapat membantu mewujudkan persekitaran perolehan dengan akauntabiliti yang lebih tinggi. 

Begitu juga dengan penubuhan Putrajaya Inquisition yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, sesi tindakan itu bertujuan menyelesaikan kes dalam Laporan Audit Negara yang belum dapat diselesaikan setelah begitu lama. 

3. Pembiayaan politik 

Pelbagai kajian membuktikan Rasuah Tertinggi, yakni salah laku rasuah oleh pegawai atasan kerajaan atau individu sehingga mengganggu-gugat hal ehwal pemerintahan pusat dalam negara berkemungkinan rasuah yang paling membimbangkan. Kami sependapat dan sehubungan itu kami mencadangkan agar: 

1. Semua dana yang bertujuan membiayai parti politik mesti disimpan dalam akaun rasmi parti dan bukannya akaun individu. 

2. Pengeluaran resit sejurus saja dana disalurkan ke parti politik adalah diwajibkan.

3. Semua sumbangan mestilah direkodkan dengan teliti dan akaun kira-kira mestilah mematuhi Standard Perakaunan Am yang diterima pakai. Akaun parti mestilah diaudit oleh juruaudit luar. 

4. Sekiranya dana dikutip atau dipegang orang ketiga bagi pihak persatuan politik, semua dana itu mestilah disalurkan ke akaun parti dalam tempoh 14 hari selepas kutipan dibuat.

Pembangkang lengahkan sokongan

Sungguhpun Barisan Nasional memeterai pengisytiharan sokongannya terhadap inisiatif ini, pembangkang pula sengaja melengah-lengahkan sokongan mereka dan masih enggan memberikan komitmen. Saya harap mereka akan menimbang inisiatif ini.

Sentimen yang sering dilontarkan berkenaan isu rasuah adalah mendakwa bahawa jika kita berupaya menyekat ketirisan yang berlaku dalam sistem kerajaan, maka tiada lagi keperluan untuk pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi. Menurut pelontar sentimen ini, penghapusan rasuah semata-mata sudah mampu menyelesaikan masalah kewangan Malaysia. 

Kita lihat dulu perangkaan terbabit. Satu kajian Bank Dunia (tahun 2010) menganggarkan bahawa salah laku rasuah di Malaysia merugikan kerajaan dalam sekitar RM10 bilion setahun, satu jumlah bersamaan satu atau dua peratus GDP. 
Kerugian sebanyak ini belum cukup mampu mengimbangi hutang negara kerana bayaran subsidi kita saja mencecah RM40 bilion setahun. – meneruskan pembaharuan fiskal dan mendepani gejala rasuah sekali gus. 

Berbalik kepada perkampungan Bario tadi, itulah komuniti yang paling selamat dan paling jujur yang tak mungkin anda temui di tempat lain. Orang di sini serta gaya hidup mereka langsung tidak ternoda, ibarat sungai dan gunung-ganang di daerahnya. Meskipun begitu, Bario juga bergelut dengan pahit getir kemiskinan dalam kehidupan hariannya. 

Alangkah mudahnya jika kemakmuran dan kekayaan sesebuah negara hanya bergantung pada pencegahan rasuah. Namun, jika benarlah kemantapan ekonomi diraih hanya dengan membasmi penyakit ini, sudah tentulah semua negara di dunia akan berpegang pada satu teori ekonomi semata-mata.

Kemakmuran negara terhambat bukan hanya disebabkan rasuah. Lihat sahajalah Bario. 

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif bagi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sebarang komen yang bersifat adil dan telus amat dialukan di idrisjala@ pemandu.gov.my)

28 May 2014

Perlembagaan: Amal kebebasan bersuara secara berhemah

Amal kebebasan bersuara secara berhemah

Hak asasi punca peruntukan Perlembagaan kian rapuh

Kebebasan bersuara sentiasa menjadi tajuk hangat. Ia bukan isu asing. Setiap lapisan masya-rakat bijak berhujah tentang kebebasan bersuara, terutama da-lam hal politik dan agama. Fenomena media sosial juga menyumbang kepada perubahan reka bentuk dan pemahaman tentang kebebasan bersuara.
Sekiranya diteliti dalam apa juga as-pek kebebasan bersuara, seperti kebebasan menulis di ruang maya, berhim-pun, menubuhkan persatuan atau me-nyertai pertubuhan, kebebasan bercakap dalam Parlimen atau mana-mana Dewan Perundangan, semuanya berubah de-ngan begitu pantas.
Dari aspek Perlembagaan Persekutu-an, peruntukan harfiah berkaitan kebebasan tersebut tetap serupa sejak mula ia digubal. Perkara 10 menjamin tiga kebebasan utama iaitu kebebasan bercakap, berkumpul dan berpersatuan.
Kebebasan ini masih tertakluk kepada beberapa perkara yang boleh ditentukan oleh Parlimen berkaitan sekatan kebebasan ini tidak berubah. Tetapi reali-tinya, selepas gelombang hak asasi me-landa, pemakaian peruntukan Perlembagaan dan syarat dalam Perlembagaan ini menjadi begitu rapuh sekali.
Ubah undang-undang
Berkaitan penyebaran prinsip hak asasi yang mementingkan kebebasan ini, wa-laupun tidak ada perubahan mengenai peruntukan Perlembagaan, Parlimen ba-nyak mengubah undang-undang yang da-hulunya meletakkan syarat ketat kepada kebebasan bersuara, seperti perubahan peruntukan dalam Akta Polis serta Akta Mesin Cetak dan juga pengenalan un-dang-undang baharu bagi menggantikannya. Semua ini menjelaskan dimensi baharu kebebasan bersuara. Kelihatannya sekarang, kebebasan bersuara dalam pelbagai aspek semakin terbuka.
Namun begitu keterbukaan dalam hal kebebasan bersuara ini tidak juga mengubah peruntukan berkaitan kebebasan bersuara ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Dalam hal berkaitan kebebasan bersuara Ahli Parlimen atau ADUN, kita melihat peruntukan dalam Perkara 63 dan 72 Perlembagaan Persekutuan.
Kedua peruntukan ini lebih kurang serupa, iaitu ahli Dewan tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan mahkamah atas apa juga pernyataan atau undian yang dibuat bagi tujuan prosiding majlis perundangan tersebut kecuali jika dia dituduh bagi kesalahan di bawah undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau preroga-tif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III (berkaitan ke-warganegaraan), Perkara 152 (bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, 153 (Ke-istimewaan Melayu) atau 181 (berkenaan kedaulatan raja-raja Melayu) melainkan yang berhubungan pelaksanaannya.
Ahli majlis tiada imuniti
Ahli majlis perundangan juga tidak mempunyai imuniti walaupun bagi tu-juan perbahasan atau presiding Dewan dikira sebagai kesalahan dalam Akta Ha-sutan. Peruntukan Perlembagaan ini (63(4)) ditambah dalam Perlembagaan selepas peristiwa 13 Mei 1969. Tujuan penambahan amat jelas, iaitu bagi mengawal kebebasan bersuara dalam Par-limen, supaya perbahasan tidak diresapi api perkauman. Pindaan ini pernah dicabar kerana dikatakan bercanggah struktur asas Perlembagaan dan tidak boleh dipinda. Bagaimanapun, mahkamah tidak menerima hujah struktur asas itu.
Selain itu, walaupun ahli Dewan di-benarkan bersuara tentang apa juga berkenaan raja, mereka tidak boleh me-nganjurkan penghapusan institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara atau menganjurkan penghapusan kedudukan Raja sebagai Raja berperlembagaan di negeri.
Ini jelas dalam Fasal 63(5) Perlembagaan. Pindaan Perlembagaan untuk memasukkan peruntukan ini dibuat pada tahun 1993 selaras dengan pindaan berkaitan imuniti raja.
Walaupun Perlembagaan membuat sebegini, belum wujud peruntukan khu-sus dalam undang-undang jenayah, te-rutama Kanun Keseksaan mengenai perkara ini. Berbanding kedudukan demo-krasi berparlimen, telah diwujudkan peruntukan khusus mengenainya dalam Kanun Keseksaan dengan pindaan 2012.
Perlembagaan hanya meletakkan dua sekatan ke atas kebebasan bersuara bagi prosiding Majlis Perundangan, tetapi Perlembagaan tidak melarang percakapan kasar, keras atau bercanggah dengan budaya atau seumpamanya. Hanya Dewan diberikan kuasa mengawal selia ahlinya supaya kebebasan bersuara dalam Dewan Perundangan tidak mengundang pertelingkahan dan mencemar keharmonian.
Kebebasan bersuara dan sekatani dalam Perlembagaan masih serupa, ttetapi perundangan sekitarnya banyak tberu-bah mengikut peredaran dan tunttutan masyarakat. Namun, kita hendaklalti me-ngambil perhatian bahawa kebebasan bersuara hendaklah dilaksana untuk ke-baikan, bukan untuk keburukan.

Penulis ialah Profesor Madya di Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.