Followers

Carian dalam Blog ini

02 November 2014

Institusi raja tetap dibatasi undang-undang

Oleh Shamrahayu A Aziz

Kita sering mendengar tentang kelebihan dan peranan yang dimaktubkan undang-undang kepada raja-raja. Agak jarang sekali kita diberikan penerangan tentang perkara yang menunjukkan tentang ketidakbolehan atau disabilities raja-raja.

Justeru, ada dalam kalangan khalayak yang silap faham tentang kelebihan raja-raja sehingga beranggapan bahawa raja-raja berada di luar undang-undang. Ini tidak benar. Undang-undang, secara tersurat atau tersirat telah memperuntukkan beberapa ketidakbolehan raja-raja.

Amat penting juga untuk disebut tentang ketidakbolehan raja-raja ini bagi kita faham tentang sempadan kedudukan dan kelebihan raja-raja dan sekali gus mengelakkan silap faham tentang kedudukan raja-raja. Ini juga penting untuk diseimbangi antara hak dan tanggungjawab raja-raja sebagai Ketua Utama Negara mengikut perisytiharan dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.

Kekebalan raja-raja

Kita sedia maklum tentang imuniti atau kekebalan raja-raja Melayu telah berubah dengan pindaan Perlembagaan yang mendatangkan banyak kontroversi, atau dianggap sebagai krisis Perlembagaan pada tahun 1993. Dahulunya raja-raja tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang dalam mana-mana mahkamah atas sifat peribadi.

Pindaan berkenaan telah membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas raja-raja. Kedudukan undang-undang pada masa ini ialah baginda raja-raja boleh dibawa ke Mahkamah Khas atas sifat peribadi dengan mengambil kira peraturan atau tatacara tertentu, seperti keizinan daripada Peguam Negara (lihat Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan).

Seperti yang kita maklum, dalam perkembangan semasa, institusi raja menjadi perhatian setiap lapisan rakyat dan dalam era internet ini kita sudah saksikan pelbagai kenyataan dan keberanian sesetengah pihak mempersoalkan institusi raja. Sekiranya institusi raja ini masih kebal dan berada di luar undang-undang, maka ia mampu mendatangkan mudarat atau mencabar institusi itu.

Apabila diperhatikan kesan pindaan terhadap kekebalan raja-raja, saya fikir pindaan itu mampu mengukuhkan institusi raja; sama ada pada peringkat Persekutuan, institusi Yang di-Pertuan Agong atau juga institusi raja pada peringkat negeri.

Berbalik kepada ketidakbolehan raja-raja, perkara ini disebut dengan jelas dalam Perkara 34 Perlembagaan Persekutuan. Secara konvensyen atau prinsip undang-undang perlembagaan mengenai konsep raja berperlembagaan juga baginda raja tidak mempunyai kedudukan yang bebas daripada undang-undang atau meletakkan mereka di atas undang-undang.

Peruntukan Perlembagaan

Bagi mendekatkan pembaca kepada peruntukan Perlembagaan, saya petik Perkara 34 yang bertajuk "Ketidakbolehan Yang di-Pertuan Agong, dsb untuk dibaca dan dianalisis oleh pembaca. Perkara 34 ini memperuntukkan;

"(1) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsinya sebagai Raja Negerinya kecuali fungsinya sebagai Ketua agama Islam. (2) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memegang apa-apa jawatan yang baginya ada apa-apa saraan. (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.

"(4) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menerima apa-apa jua jenis emolumen yang kena dibayar atau terakru kepadanya sebagai Raja Negerinya di bawah peruntukan Perlembagaan Negeri itu atau peruntukan mana-mana undang-undang Negeri.

(5) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh, tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, meninggalkan Persekutuan selama lebih daripada lima belas hari, kecuali semasa lawatan Negara ke suatu negara lain.

"(6) Fasal (2) dan (3) hendaklah juga terpakai bagi Raja Permaisuri Agong.

"(7) Jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh undang-undang menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong selama tempoh melebihi lima belas hari, maka Fasal (1) hingga (5) hendaklah terpakai baginya sepanjang tempoh itu sebagaimana Fasal-Fasal itu terpakai bagi Yang di-Pertuan Agong.

"(8) Tiada apa-apa jua dalam Fasal (1) boleh menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada menjalankan apa-apa kuasa yang terletak hak padanya sebagai Raja Negerinya sama ada berseorangan atau bersama-sama dengan mana-mana pihak berkuasa lain - (a) bagi meminda Perlembagaan Negeri itu; atau (b) bagi melantik seorang Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja sebagai ganti mana-mana Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang telah mati atau yang tidak berupaya kerana apa-apa sebab untuk masing-masing melaksanakan tugas jawatan Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja".

Penulis ialah Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

No comments: