Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

31 January 2010

Tangani Stres dengan Amalkan 10B

Tekanan atau stres hidup sudah menjadi lumrah kehidupan zaman moden, yang dihadapi oleh semua peringkat umur, tidak kira jantina, bangsa dan agama. Bukan hanya golongan dewasa yang dilimpahi stres di tempat kerja, rumah, jalan raya dan pergaulan masyarakat, malahan kanak-kanak juga dibelenggu pelbagai punca stres. Akan tetapi stres adalah satu perkara yang biasa dalam kehidupan manusia yang normal dan setiap orang akan mengalami stres pada sesuatu masa dalam kehidupannya. Stres adalah hakikat kehidupan yang tidak boleh dielakkan. Stres adalah respons fizikal, emosi dan mental yang berlaku kepada seseorang apabila tuntutannya tidak dapat dipenuhi.

Apakah itu stres?

Stres adalah reaksi tubuh badan terhadap rangsangan yang tidak menyenangkan seperti bunyi yang kuat, bau yang busuk atau kata-kata kesat. Stres berlaku apabila tuntutan tidak setanding dengan kebolehan dan kemahiran daya tindak seseorang. Stres juga boleh diertikan sebagai faktor fizikal dan emosi yang menyebabkan tekanan ke atas minda dan tubuh badan. Ia mungkin mengakibatkan penyakit seperti darah tinggi, penyakit jantung koronari dan kemurungan.



Apakah punca-punca stres?

Punca-punca stres terdiri daripada :

Dalam diri
- Cita-cita dan harapan yang terlalu tinggi
- Rasa tidak selamat
- Pengalaman zaman kanak-kanak
- Peristiwa dalam kehidupan
- Perwatakan / personaliti
- Dilema dalam membuat keputusan
- Stres keibubapaan

Sosial
- Berpindah rumah
- Konflik keluarga, penceraian, krisis hidup
- Stres perkahwinan dan rumah tangga
- Perhubungan interpersonal yang bermasalah
- Masalah di tempat kerja
- Cabaran kehidupan di kota atau di bandar
- Masalah/ perubahan persekitaran
- Masalah kewangan

Psikologi
- Jenis Personaliti
- Tragedi
- Hilang orang yang dikasihi
- Kurang keyakinan diri
- Takut untuk gagal

Biologi
- Penyakit fizikal yang kronik
- Perubahan dalam tubuh (remaja)
- Kenali tanda-tanda stres anda…

Tanda-tanda fizikal
- Kering mulut
- Gementar
- Sakit kepala
- Masalah tidur
- Perubahan selera makan
- Cepat letih
- Lenguh-lenguh badan
- Jantung berdebar-debar
- Pernafasan semakin laju
- Sakit perut
- Cirit-birit
- Sakit-sakit badan yang kurang jelas puncanya
- Letih lesu

Tanda-tanda psikologi
- Gelisah
- Hilang sabar
- Mudah marah
- Lemah semangat
- Risau dan bimbang
- Kurang minat dan tumpuan terhadap aktiviti seharian
- Mudah lupa
- Takut gagal
- Rendah diri
- Keresahan
- Tidak merasa seronok
- Bosan
- Low mood dan murung

Tanda-tanda tingkah laku
- Merokok berlebihan
- Penggunaan ubat-ubatan yang tidak terkawal
- Memikir atau bercakap tentang mencedera atau membunuh diri
- Tingkahlaku impulsif dan agresif (buli, vandalisme)
- Penyalahgunaan dadah dan alkohol
- Masalah tabiat makan
- Amalkan tips mudah tangani stres serta merta...Amalkan 10B

Bertenang

Bertenang boleh membantu mengurangkan stres dengan menghentikan kitaran stres di peringkat permulaan.

Bernafas secara dalam

Pernafasan melalui abdomen adalah cara pernafasan terbaik, kita bernafas dengan lebih perlahan, panjang dan lebih dalam.

Berkata : Relakslah.... Kata-kata ini sedikit sebanyak dapat membantu mententeramkan perasaan dan mengurangkan stres.

Beribadat

Berzikir, berdoa dan beribadat memberi sokongan emosi dan melegakan perasaan.

Berkongsi perasaan/masalah dengan seseorang

Perasaan/ masalah adalah sesuatu yang tak sepatutnya dipendam, sebaliknya harus dikongsi dengan orang yang dipercayai seperti bercakap dengan ahli keluarga atau kawan-kawan. berkongsi perasaan/ masalah akan melegakan dan mengurangkan stres dalam diri.

Berurut

Dalam keadaan stres, otot-otot di leher, kepala dan bahu akan tegang tanpa disedari. Berurut (leher, bahu, kepala, kaki) boleh melegakan otot dan melancarkan perjalanan darah.

Berehat & mendengar muzik

Berehat sambil mendengar muzik yang lembut akan menenangkan fikiran.

Beriadah

Aktiviti riadah seperti berkelah, berenang, mendaki bukit/gunung, berkhemah, melakukan hobi atau aktiviti yang disukai boleh menenangkan fikiran dan mengurangkan stres.

Bersenam

Bersenam dapat meningkatkan pengeluaran hormon endorfin, dan akan mengurangkan ketegangan otot dan stres.

Berfikiran Positif

Berfikiran positif ialah melihat kebaikan dalam mana-mana situasi bersifat negatif. Tumpukan kepada perkara yang baik dan apa yang boleh dilakukan dalam situasi tersebut.

Dengan melakukan kaedah 10B, kesan fizikal stres seperti denyutan jantung laju, marah, rasa gelisah, gementar dan sakit kepala dapat dikurangkan.

http://hsmanjung.moh.gov.my/modules/news/article.php?storyid=13

Berwuduk hilangkan rasa marah

Berwuduk hilangkan rasa marah

PERNAHKAH anda marah kerana disakiti atau berasa hati? Namun, bagi mengawal keadaan anda tidak perlu menonjolkan emosi tersebut. Menegur tidak salah tetapi anda perlu belajar mengawal perasaan marah. Sifat marah yang tidak terkawal boleh mengakibatkan kerosakan.

Marah memang sifat semula jadi manusia, berpunca daripada keadaan tidak adil, disindir, dihina, dituduh bukan-bukan, diperalat, difitnah dan diancam kehilangan sesuatu yang berharga.

Jika kita berhadapan dengan orang sedang marah, cubalah hadapi dengan langkah berikut:

  • Beri peluang orang sedang marah itu bercakap atau meluahkan terlebih dahulu punca kemarahannya.
  • Ketika berhadapan dengan individu sedang marah, jangan menyampuk dan merendahkannya.
  • Kaji punca kemarahannya dan cuba atasi. Sekiranya berpunca daripada kesilapan kita, mintalah maaf daripadanya.
  • Cubalah bertanya beberapa soalan bagi membantu menyelesaikan masalahnya. Terima kemarahannya dengan tenang.
  • Cara mengatasi marah dalam Islam ialah:

  • Mengubah Posisi. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.” (Riwayat Muslim)
  • Berwuduk. Rasulullah SAW bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud).
  • Minum air.
  • Mendiamkan diri ketika marah.
  • Berlindung kepada Allah daripada syaitan.
  • Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.
  • Berfikiran positif.
  • Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; mengelakkan daripada memekik atau bertindak garang.
  • Bawa bertenang seperti menarik nafas.
  • Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan.

  • Mingguan Malaysia, 31/1/2010

    Bioteknologi Pertanian

    Skop Penyelidikan


    Bioteknologi pertanian telah dikenalpasti sebagai salah satu teknologi penting yang diperlukan dalam proses transformasi pertanian. Kepakaran dalam pelbagai bidang bioteknologi pertanian seperti biologi molekul, kejuruteraan genetik, diagnostik, teknologi bioreaktor dan biokeselamatan dapat menjana teknologi terkini dalam sektor pertanian.

    Terdapat tiga skop penyelidikan di bawah kluster bioteknologi pertanian iaitu:


    Skop Penyelidikan

    1. Biologi Molekul dan Kejuruteraan Genetik


    Biologi Molekul dan Kejuruteraan Genetik berperanan untuk membangun dan mempromosikan teknologi kejuruteraan genetik bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti tanaman dan hasilannya. Di antara teras penyelidikan yang terlibat adalah teknologi omik, kejuruteraan genetik tumbuhan, teknologi kultur tisu dan penanda molekul.


    Teknologi ’Omics’ merangkumi disiplin yang luas seperti sains dan kejuruteraan genetik untuk menganalisis perhubungan interaksi maklumat biologi termasuk genomik, proteomik dan metabolomik. Matlamat utama ’Omics’ ialah pemetaan gen-gen, protein dan metabolit; memanipulasi tapakjalan untuk memahami jaringan pengawalaturan sistem biologi.


    Kejuruteraan genetik tumbuhan membolehkan manipulasi gen dalam keadaan terkawal terhadap sesuatu tumbuhan dengan tujuan penambahbaikan hasil, meningkatkan kandungan bahan aktif berfaedah, kerintangan terhadap penyakit dan serangan serangga perosak serta toleransi terhadap keadaan persekitaran melampau.


    Kultur tisu pula melibatkan pertumbuhan dan pemeliharaan sel, tisu dan organ primordial secara in vitro untuk penghasilan bahan tanaman tulen/klon, pembiakan mikro, pembiakbakaan tumbuhan secara besar-besaran dan penghasilan bahan tanaman bebas penyakit. Proses ini juga diperlukan dalam transformasi dan kejuruteraan genetik tumbuhan.


    Penanda biomolekul merupakan fragmen DNA yang boleh dikenalpasti pada lokasi yang spesifik di dalam genom. Ia digunakan untuk menanda kedudukan gen tertentu atau pewarisan ciri spesifik yang berkait kepada penanda molekul dalam kacukan hibrid. Matlamat utama adalah untuk membolehkan pemilihan individu-individu yang mempunyai ciri-ciri yang diingini.


    Antara penyelidikan yang sedang dijalankan bertujuan:


    1) Meningkatkan kualiti tanaman;

    • Pemanjangan tempoh jangka hayat buah betik Eksotika
    • Pemanjangan tempoh segar bungaan orkid
    • Mengubahsuai warna kulit buah limau bali

    2) Menghasilkan tanaman yang rintang terhadap penyakit;

    • Menghasilkan baka betik Eksotika rintang terhadap `Papaya Ring Spot Virus’ (PRSV)
    • Menghasilkan varieti markisa rintang terhadap virus (Passion fruit Mosaic Virus, PVMV)
    • Menghasilkan buah nenas rintang terhadap penyakit ‘Black heart’
    • Menghasilkan varieti padi rintang terhadap penyakit merah padi dan penyakit hawar seludang

    3) Penerokaan bidang genomik dan bioinformatik dalam pencarian gen-gen baru;

    • Gen-gen berkaitan peningkatan hasil daripada spesies padi liar O. rufipogon
    • Profil ekspresi gen yang terlibat dalam kemasakan buah betik eksotika
    • Profil ekspresi gen yang terlibat dalam penghasilan penyakit dieback pada buah betik
    • Profil ekspresi gen yang terlibat dalam penghasilan haruman pada bunga cempaka
    • Pengasingan gen anti-fungal daripada bakteria dan tumbuhan
    • Pengekstrakan bahan anti virus daripada pokok dukung anak
    • Gen-gen yang terlibat dalam pembungaan awal pokok duku


    Skop Penyelidikan


    2. Biopemprosesan


    Penyelidikan dalam bidang Biopemprosesan memfokuskan kepada penggunaan sumber biologi seperti mikroorganisma, enzim, sel tumbuhan dan haiwan bagi menukarkan bahan mentah atau substrat kepada pelbagai jenis produk makanan serta produk bukan makanan baru yang ditambah nilai. Objektif penyelidikan dalam bidang biopemprosesan ialah untuk menghasilkan teknologi dan produk baru yang mudah, mampu diperolehi serta tahan lama. Penyelidikan biopemprosesan tertumpu kepada tiga teras utama iaitu teknologi fermentasi dan mikrob, teknologi enzim, serta teknologi kultur sel dan metabolit tumbuhan.


    Teknologi fermentasi dan mikrob melibatkan penggunaan sumber organik oleh mikroorganisma bagi penghasilan sel mikrob, enzim dan metabolit. Teknologi fermentasi juga telah digunakan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti produk makanan melalui proses pengawetan (penapaian) makanan, penghasilan produk baru berasaskan biologi (bahan bio-ramuan) serta bahan perisa makanan. Kajian teknologi fermentasi dan mikrob kini telah beralih kepada “pembangunan makanan berfungsi” (functional food) dan makanan yang berasaskan kesihatan (health oriented food) atau nutraseutikal. Antara kajian yang dijalankan:

    • Penghasilan komponen anti-oksidan daripada buah-buahan peraman.
    • Membangunkan enzim penghadaman baru daripada sumber mikrob yang diperolehi daripada makanan peraman tradisional.
    • Membangunkan enzim penghadaman daripada buah-buahan dan tumbuhan tempatan.
    • Penghasilan komponen anti-kolesterol daripada pemeraman beras merah.
    • Membangunkan cendawan tempatan yang berpotensi bagi penghasilan b-glucan.
    • Membangunkan hidrolisat kanji sebagai substrat bagi penghasilan bakteria asid laktik sebagai makanan tambahan.
    • Membangunkan penghasilan etanol daripada nira nipah.

    Teknologi enzim melibatkan penggunaan enzim bagi menukarkan substrat kepada produk baru dan mempunyai nilai tambah, memperbaiki citarasa dan ciri fizikal sesuatu produk supaya ia boleh digunakan dalam proses atau industri seperti industri makanan, kosmetik dan farmaseutikal. Teknologi enzim telah diaplikasikan bagi menjalankan projek-projek berikut :

    • Pengubahsuaian minyak kelapa bagi meningkatkan kandungan monolaurin.
    • Bioprospek, penambahbaikan dan penghasilan enzim lipase baru bagi pengubahsuaian minyak.
    • Penambahbaikan minyak kelapa dara dengan ciri antimikrob.
    • Penghasilan enzim transglutaminase halal dari Physarum polycephalum menerusi teknologi rekombinan.

    Teknologi kultur sel dan metabolit tumbuhan digunakan bagi menghasilkan produk bernilai daripada sumber tumbuhan di dalam makmal berbanding di ladang melalui sistem kultur sel dan bioreaktor. Kaedah ini dapat menjimatkan masa serta mengatasi segala masalah yang timbul di ladang.

    Antara projek penyelidikan yang melibatkan teknologi kultur sel dan metabolit tumbuhan;

    • Pembangunan teknologi bioreaktor tumbuhan untuk penghasilan sebatian wangian daripada Cempaka Putih (Michelia alba)
    • Penghasilan produk kaya antioksidan daripada buah-buahan tempatan


    Skop Penyelidikan


    3. Biodiagnosis Dan Biokeselamatan


    Penyelidikan dalam bidang biodiagnostik dan biokeselamatan bertujuan bagi memenuhi keperluan pembangunan dan penghasilan alat diagnostik tempatan untuk diaplikasikan dalam sektor pertanian dan makanan. Pembangunan teknologi diagnostik dan biosensor memainkan peranan penting dalam proses pemantauan bahan tercemar dalam makanan dan hasil pertanian seperti penggunaan antibiotik secara berlebihan bagi haiwan ternakan, mengesan sisa racun perosak organofosfat di dalam sayur-sayuran dan pengesanan awal penyakit Ganoderma boninense pada pokok kelapa sawit. Gabungan kedua-dua teknologi ini membolehkan proses pemantauan dijalankan dengan lebih cepat, tepat, murah dan tidak merbahaya kepada persekitaran. Penyelidikan tertumpu kepada tiga teras utama iaitu biodiagnostik, biosensor dan nanoteknologi.


    Biodiagnostik menekankan kepada pembangunan produk-produk biodiagnostik tempatan. Pembangunan produk-produk biodiagnostik ini berasaskan antibodi poliklonal, asid deoksiribonukleik (DNA) dan enzim. Bagi pembangunan produk diagnostik berasaskan antibodi poliklonal, proses pengimunan bagi penghasilan antibodi poliklonal perlu dilakukan di rumah haiwan dan keberkesanan antibodi yang terhasil boleh diuji menggunakan kaedah asai immunoserapan berangkai-enzim (ELISA) . Bagi produk-produk biodiagnostik yang melibatkan DNA dan enzim, keberkesanan produk biodiagnostik yang terhasil boleh diuji menggunakan kaedah tindakbalas berantai polimerase (PCR) dan pengasaian enzim. Pembangunan produk-produk ini bukan sahaja boleh mengurangkan kos import malah ianya setanding dengan produk sediada di pasaran antarabangsa.


    Biosensor memainkan peranan yang penting khususnya dalam bidang kawalan kualiti dan keselamatan makanan serta hasil pertanian. Teknologi biosensor merupakan gabungan antara reseptor biomolekul contohnya antibodi, enzim, mikrob dan jaringan sel dengan mikroelektronik.Perubahan sifat fizikal-kimia pada reseptor biomolekul tersebut akan mengekspreskan maklumat yang akan diterjemahkan menjadi isyarat elektronik. Kelebihan penggunaan teknologi biosensor bukan sahaja pada penjimatan masa dan kos yang jauh lebih murah, tetapi ianya juga adalah mudah alih di mana penggunaan teknologi ini tidak terhad hanya di dalam makmal sahaja, malah turut boleh digunakan di kawasan kajian lapangan.


    Nanoteknologi merupakan satu bidang penyelidikan baru. Ia didefinisikan sebagai satu bidang kajian dan penghasilan alat atau perkakas bersaiz nanometer iaitu satu perbililion meter. Bidang penyelidikan ini tidak hanya terhad kepada bioteknologi sahaja, tetapi ia juga boleh diperluas dan diaplikasi kepada beberapa cabang penyelidikan lain termasuk “nanomaterial” dan “nano-chips” yang boleh diaplikasikan dalam proses pemantauan dan kawalan makanan dan hasilan pertanian.

    Antara penyelidikan yang sedang dijalankan bertujuan bagi:

    • Mengesan sisa racun perosak organofosfat di dalam sayur-sayuran menggunakan teknologi sol-gel.
    • Mengesan sisa antibiotik dalam produk daging ayam segar.
    • Mengesan makanan terubahsuai secara genetik (GM) dalam produk kacang soya.
    • Mengesan serangan awal kulat Ganoderma boninense pada pokok kelapa sawit.
    • Mengesan bahan pencemar pertanian menggunakan alat biosensor gentian optik.


    http://www.mardi.gov.my/biopertanian/skop

    30 January 2010

    Atasi kesusahan, kesempitan dengan banyak beristighfar

    RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka." (Hadis riwayat Abu Daud)

    Islam menggalakkan kita memperbanyakkan beristighfar, selalu bertaubat kerana sebagai manusia biasa kita tidak terlepas daripada dosa. Rasulullah SAW sendiri sentiasa beristighfar lebih 70 kali setiap hari sedangkan baginda adalah rasul yang maksum atau dipelihara daripada dosa besar dan kecil.

    Orang yang sentiasa beristighfar kepada Allah akan merasakan dirinya sentiasa dekat kepadanya-Nya. Bahkan akan timbul perasaan tenang dan dapat mengecapi hidup dengan penuh rasa yakin serta bebas daripada perasaan putus asa atau lemah.

    Dosa itu adalah penyakit dan ubatnya adalah istighfar. Oleh itu bagi mengelakkan hati daripada lalai seseorang itu hendaklah sentiasa membanyakkan istighfar. Ini kerana kita tidak mengetahui bilakah masanya keampunan daripada Allah itu akan berlaku.

    Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

    Selawat ke atas Rasulullah perintah wajib

    Selawat ke atas Nabi SAW adalah perintah wajib daripada Allah SWT. Selawat ke atas Nabi-nabi yang lain tidak diperintah, cuma adabnya apabila kita menyebut nama mana-mana Nabi atau Rasul adalah elok kalau diucapkan selamat atau sejahtera ('Alaihi al-Salam).

    Manakala apabila kita mendengar orang menyebut Rasulullah atau apa-apa nama baginda hendaklah berselawat ke atas baginda (Sallallahu alaihi wa sallam). Bagi mereka yang tidak mengendahkan selawat ke atas baginda digolongkan dalam golongan yang bakhil dan rugi serta macam-macam ancaman lain.

    Maka ada beberapa perkara yang perlu diketahui umum kenapa wajib kita berselawat ke atas Nabi SAW berbanding Nabi-Nabi yang lain.

    1- Apabila seseorang itu berselawat ke atas Rasulullah SAW kerana menurut perintah Allah SWT sedang Allah juga berselawat ke atas baginda maka selawat Allah SWT bermaksud pujian dan kemuliaan baginda berbanding Rasul dan Nabi yang lain. Manakala selawat manusia ke atas baginda bermaksud doa supaya Allah SWT mengangkat kedudukan baginda ke tempat yang lebih terpuji.

    2- Sebagai mentaati perintah Allah SWT ke atas hamba-hambanya agar berselawat ke atas baginda SAW. Dalam surah al-Ahzab Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SWT); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)

    Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa berterusan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Juga bermaksud kedudukan baginda serta kenikmatan yang diperoleh baginda sama ada di dalam alam barzakh mahupun di dalam syurga adalah sentiasa bertambah dan lebih mulia berbanding dengan Nabi-nabi yang lian.

    Sekali gus para ulama berpendapat bahawa Allah SWT hanya berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW secara khusus berbanding dengan Nabi-nabi yang lain. Adapun Nabi dan Rasul-rasul yang lain menerima ucapan kesejahteraan dengan ucapan salam tanpa selawat. Di dalam sepotong hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat yang bernama Bashir bin Sa'ad: Kami diperintah Allah agar mengucapkan selawat ke atas kamu wahai Rasulullah, maka bagaimana caranya kami harus mengucapkan selawat itu, lalu baginda diam terlalu lama sehingga ada yang mengharap alangkah baiknya kalu dia tidak bertanya soalan itu kepada baginda. Kemudian barulah baginda bersabda bahawa: " Ya Allah selawatlah atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau telah memberikan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan anugerahi ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau anugerahi Nabi Ibrahim dan ahli keluarga Nabi Ibrahim di dalam alam sekelian, sesungguhnya engkau adalah yang Maha terpuji lagi Maha Mulia. Kemudian ucapkanlah salam sebagaimana yang telah kamu ketahui. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasaie, al-Tarmidzhi).

    3- Berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah wajib berdasarkan ayat di atas. Kewajipan ini ditunaikan melalui solat lima waktu yang menjadi selawat itu wajib dalam setiap tasyahud.

    3- Baginda Rasulullah SAW adalah penutup seluruh Anbiya, baginda telah menyempurnakan syariat bagi panduan hidup manusia.

    4- Baginda Rasulullah SAW adalah pemilik syafaat di mahsyar, bagi mereka yang taat kepada perintah Allah dan Rasulul-Nya juga memperbanyakkan selawat ke atas baginda akan mendapat syafaat.

    5- fadilat selawat yang sangat agung, melalui selawat Allah menjanjikan keampunan, kelapangan, keberkatan, kerahmatan dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang menanti orang yang banyak berselawat.


    Utusan Malaysia Online, 29/1/2010

    28 January 2010

    Fenomena biasa atau peringatan Allah?

    BERLARI tanpa arah, menangis dan menjerit. Itulah gambaran jika berlaku bencana yang melanda bumi seperti gempa, tsunami, banjir besar dan taufan.

    Suasana turut diselubungi perasaan pilu kerana masing-masing tinggal sehelai sepinggang selain meratapi ahli keluarga serta sanak-saudara yang terkorban.

    Renung kejadian 12 Januari lalu apabila gempa bumi berkekuatan 7 skala ritcher menghentam kota Haiti. Akibatnya, ribuan nyawa terkorban dan banyak bangunan ranap menyembah bumi.
    Keadaan seperti padang jarak padang tekukur. Mayat bergelimpangan tanpa sesiapa mempedulikannya kerana masing-masing mahu menyelamatkan diri sendiri.

    Allah berfirman yang bermaksud: "Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan (demikianlah) perbuatan Allah yang membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya, sesungguhnya Ia amat mendalam pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Naml ayat 88).

    Begitulah betapa hebat kejadian ciptaan Allah yang mampu merubah apa saja bentuk musibah sebagai peringatan kepada manusia. Mungkin juga ada benarnya sesetengah pihak beranggapan bumi ini sudah tua dan semakin hampir ke penghujungnya.

    Berdasarkan pengalaman lalu, beberapa siri bencana seperti tsunami, mereka yang terselamat mengatakan kejadian yang dialami seolah-olah dunia mahu kiamat.

    Allah Taala berfirman bermaksud: "Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dan daripada kehidupan dunia, sedang mereka lalai mengenai (kehidupan) akhirat." (Ar-Rum: 7).

    Apa yang berlaku adalah sebahagian kecil peringatan yang Allah tunjukkan kepada manusia supaya mereka mengambil iktibar dan tidak menyimpang daripada Islam.

    Umat dan nabi sebelum Rasulullah s.a.w Allah timpakan azab pada masa itu juga. Ini yang berlaku kepada kaum Nabi Lut yang melakukan perbuatan homoseksual dan bertentangan dengan ajaran Islam.

    Kaum Nabi Nuh, Allah tenggelamkan bumi ini kerana mereka ingkar perintah Allah. Begitu juga pada zaman Nabi Musa, Allah menenggelamkan Firaun dan pengikutnya di laut kerana kedegilan menerima ajaran Islam.

    Kita pasti tidak lupa dengan kejadian tsunami yang melanda Acheh pada Disember 2004 yang mengorbankan lebih 126,000 nyawa.

    Gegaran itu melepasi 9 skala ritcher disenaraikan sebagai gempa bumi paling dahsyat pernah berlaku di Indonesia dalam tempoh 40 tahun.

    Maha Suci Allah! Begitulah perancangan Allah yang di dalamnya terkandung pelbagai pengajaran yang sering dilupakan manusia.

    Allah berfirman bermaksud: "Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Surah al-Mulk ayat 1).

    Apabila mengaitkan dengan kejadian bencana alam akhir-akhir ini, apakah ia sekadar fenomena biasa seperti yang saintis perkatakan atau Allah mahu manusia mengambil iktibar daripadanya?
    Allah berfirman yang bermaksud: "Timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah mahu rasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat." (Ar-Rum: 41).

    Rasulullah s.a.w bersabda: "Jika timbul maksiat pada umatku, Allah akan menyebarkan azab seksa kepada mereka. Ummu Salamah lantas bertanya : Wahai Rasulullah, apakah pada waktu itu tidak ada orang yang soleh? Baginda menjawab : Ada! Ummu Salamah bertanya lagi : Apa yang akan Allah perbuat kepada mereka? Baginda menjawab : Allah akan menimpakan kepada mereka azab sebagaimana yang ditimpakan kepada orang yang berbuat maksiat, kemudian mereka akan mendapatkan keampunan dan keredaan daripada Rabbnya" (riwayat Imam Ahmad).

    Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata Al-Quran tegas menjelaskan sebab utama terjadinya peristiwa buruk di atas muka bumi adalah disebabkan perbuatan manusia itu sendiri.

    "Pelanggaran sistem Allah yang ada di laut dan darat menjadi penyebab terjadinya musibah.
    "Ada mengatakan musibah sekadar peristiwa bersifat alami (natural), tidak kaitan dengan persoalan agama, yang lainnya mengatakan musibah adalah ketentuan dan takdir Allah tiada kaitan dengan dosa. Sebahagian lagi mengatakan musibah terjadi disebabkan dosa manusia," katanya.

    Beliau berkata pendapat yang terakhir itu tidak dapat dinafikan kerana memang ada peringatan Rasulullah s.a.w.

    "Terdapat lima penyebab datangnya azab dan seksa Allah (hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah) serta 15 perkara yang mendatangkan musibah dan bala bencana (Riwayat Tirmizi).

    "Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila berlaku 15 perkara itu, tunggulah datangnya malapetaka berupa taufan merah (kebakaran), tenggelamnya bumi dan apa yang di atasnya ke dalam bumi (gempa bumi dan tanah runtuh) dan perubahan atau penjelmaan daripada satu bentuk kepada bentuk yang lain" (Riwayat Tirmizi, 2136).

    Badli Shah berkata, perbuatan manusia juga menyebabkan ekosistem alam sekitar rosak, maka Allah memberikan teguran serta peringatan kepada manusia.

    "Allah menurunkan musibah dan bencana bagi menunjukkan Dia masih sayang kepada hamba-Nya dan mahu manusia kembali semula ke pangkal jalan.

    "Tidak kira sama ada gempa bumi, banjir, kemarau, tsunami dan penyakit, semua pelanggaran syariat Allah di alam semesta ini akan mengakibatkan kemurkaan Allah. Semakin besar pelanggaran manusia ke atas sistem dan syariat Allah, semakin besar peristiwa alam yang Allah timpakan ke atas mereka," katanya.

    Allah berfirman bermaksud: "Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang menggegar dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri" (Al-Ankabut : 40).

    Katanya, jalan terbaik bagi mengelak kemurkaan Allah ialah segera bertaubat dan memohon keampunan.

    Ibnu al-Qayyim juga menukilkan ucapan Ali bin Abu Talib dalam kitab Al-Jawabul Kafi : "Tidaklah turun musibah kecuali dengan sebab dosa dan tidaklah musibah diangkat Allah kecuali dengan bertaubat."
    Oleh Mohd Fadly
    2010/01/22

    Perkara yang tidak boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong

    Perkara 34 dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukan:"
    34. Perkara-perkara yang tidak boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

    · (1) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan tugas-tugasnya sebagai Raja Negerinya kecuali tugas-tugasnya sebagai Ketua Agama Islam.

    · (2) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memegang apa-apa jawatan yang baginya apa-apa saraan.

    · (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mengambil bahagian dengan giat dalam apa-apa enterprais perniagaan.

    · (4) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menerima apa-apa jua jenis pendapatan yang kena dibayar atau terakru kepadanya sebagai Raja Negerinya di bawah peruntukan Perlembagaan Negerinya itu atau peruntukan mana-mana Undang-Undang Negeri.

    · (5) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh, dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja, meninggalkan Persekutuan selama lebih daripada lima belas hari, kecuali atas lawatan Negara ke suatu negera lain.

    · (6) Fasal-fasal (2) dan (3) hendaklah juga dipakai bagi Raja Permaisuri Agong.

    · (7) Jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan atau mana-mana orang lain yang dibenarkan oleh undang-undang menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong selama tempoh lebih daripada lima belas hari maka Fasal (1) hingga (5) hendaklah dipakai baginya selama tempoh itu sebagaimana Fasal-fasal itu dipakai bagi Yang di-Pertuan Agong.

    · (8) Tiada apa-apa jua dalam fasal (1) boleh menahan Yang di-Pertuan Agong daripada menjalankan, sebagai raja bagi negerinya, apa-apa kuasa yang terletak padanya sama ada seorang diri atau bersama-sama dengan pihak berkuasa lain:
    · (a) bagi meminda Perlembagaan Negerinya; atau
    · (b) bagi melantik seorang Pemangku Raja atau ahli Jemaah Pemangku Raja sebagai ganti seseorang Pemangku Raja atau ahli, mengikut mana yang berkenaan, yang telah mati atau yang tidak berupaya oleh kerana apa-apa sebab menjalankan kewajipan-kewajipan jawatan Pemangku Raja atau ahli Jemaah Pemangku Raja."

    27 January 2010

    Lain-Lain Tugas Penting Yang di-Pertuan Agong

    Lain-Lain Tugas Penting Yang di-Pertuan Agong


    · Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata

    Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Pemerintah Tertinggi bagi Angkatan Bersenjata Persekutuan, seperti yang diperuntukan dalam Perkara 41 yang berikut:


    "41. Perintah tertinggi angkatan tentera.

    Yang di-Pertuan Agong ialah Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan."


    · Kuasa Pengampunan


    Yang di-Pertuan Agong juga merupakan sumber pengampunan dan mempunyai kuasa untuk mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan juga bagi semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. Hal ini diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:


    "42. Kuasa bagi mengampun, dsb.

    (1) Yang di-Pertuan Agong adalah berkuasa mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman mengenai segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh Mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Gabenor sesuatu Negeri adalah berkuasa mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman mengenai segala kesalahan lain yang dilakukan di Negerinya."


    (2) Tertakluk kepada Fasal (10), dan tanpa menyentuh mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan berhubung dengan remitan hukuman kerana berkelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberi oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri bagi meremit, menggantung atau mengurangkan hukuman bagi sesuatu kesalahan boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu telah dijatuhkan oleh mahkamah tentera atau oleh sesuatu mahkamah sivil yang menjalankan bidang kuasa dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan, dalam apa-apa hal lain, kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Gabenor bagi Negeri di mana kesalahan itu telah dilakukan.


    (3) Jika sesuatu kesalahan telah dilakukan kesemuanya atau sebahagiannya di luar Persekutuan atau di beberapa buah Negeri atau dalam hal keadaan yang boleh menimbulkan waham di mana kesalahan itu telah dilakukan, maka bagi maksud-maksud Perkara ini kesalahan itu hendaklah disifatkan sebagai telah dilakukan di Negeri di mana kesalahan itu telah dibicarakan. Bagi maksud Fasal ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, hendaklah masing-masing dianggap sebagai suatu Negeri.


    (4) Kuasa-kuasa yang tersebut dalam Perkara ini:

    (a) iaitu, setakat mana kuasa-kuasa itu boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong, ialah antara tugas-tugas yang peruntukan mengenainya boleh dibuat oleh undang-undang persekutuan di bawah Perkara 40(3);

    (b) iaitu, setakat mana kuasa-kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Gabenor sesuatu Negeri, hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu mengikut Fasal (5).


    (5) Jemaah Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap Negeri hendaklah mengandungi Pegua

    m Negara Persekutuan, Ketua Menteri Negeri itu dan tidak lebih daipada tiga orang ahli lain yang dilantik oleh Raja atau Gabenor; tetapi Peguam Negara boleh dari semasa ke semasa dengan suratcara mewakilkan tugas-tugasnya sebagai seorang ahli Jemaah itu kepada seseorang lain, dan Raja atau Gabenor boleh melantik seseorang untuk menjalankan bagi sementara tugas-tugas seseorang ahli Jemaah yang dilantik olehnya yang tidak hadir atau tidak berupaya menjalankan tugasnya.


    (6) Ahli-ahli Jemaah Pengampunan yang dilantik oleh Raja atau Gabenor hendaklah dilantik bagi tempoh selama tiga tahun dan boleh dilantik semula, tetapi pada bila-bila masa boleh meletakkan jawatan sebagai ahli jemaah.


    (7) Seseorang ahli Dewan Negeri atau ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik oleh Raja atau Gabenor untuk menjadi ahli Jemaah Pengampunan atau untuk menjalankan bagi sementara tugas-tugas seseorang ahli Jemaah.


    (8) Jemaah Pengampunan hendaklah bermesyuarat di hadapan Raja atau Gabenor dan Raja atau Gabenor itu hendaklah mengetuai mesyuarat itu.


    (9) Sebelum Jemaah Pengampunan memberi nasihatnya mengenai apa-apa perkara ia hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.


    (10) Walau apa pun yang tersebut dalam Perkara ini, kuasa bagi mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman atau meremit, menggantung atau mengurangkan hukuman-hukuman yang dijatuhkan oleh mana-mana Mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang yang mengawal hal ehwal ugama Islam di Negeri atau Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua ugama Islam dalam Negeri itu.


    (11) Bagi maksud Perkara ini, maka hendaklah ditubuhkan hanya satu Jemaah Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan peruntukkan-peruntukkan Fasal (5), (6), (7), (8) dan (9) hendaklah dipakai mutates mutandis bagi Jemaah Pengampunan di bawah Fasal ini kecuali bahawa sebutan mengenai “Raja atau Yang di-Pertua Negeri” hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai “Ketua Menteri negeri itu” hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.


    (12) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, jika kuasa-kuasa yang tersebut dalam Perkara ini:

    (a) kena dijalankan oleh Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri dan dikehendaki dijalankan berkenaan dengan dirinya atau isterinya, anak lelakinya atau anak perempuannya, kuasa-kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu di bawah Perkara ini dan yang hendaklah dipengerusikan olehnya;


    (b) dikehendaki dijalankan berkenaan dengan Yang di-Pertuan Agong, Raja sesuatu Negeri, atau Konsortnya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa-kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Majlis Raja-Raja dan peruntukan-peruntukan yang berikut hendaklah terpakai:

    (i) apabila menghadiri mana-mana prosiding di bawah Fasal ini, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh disertai oleh Perdana Menteri dan Raja-Raja lain tidak boleh disertai oleh Menteri-Menteri Besar mereka;

    (ii) sebelum membuat keputusannya tentang apa-apa perkara di bawah Fasal ini, Majlis Raja-Raja hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah diberikan oleh Peguam Negara tentang perkara itu;

    (c) dikehendaki dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri berkenaan dengan anak lelakinya atau anak perempuannya mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa-kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Raja sesuatu Negeri yang dinamakan oleh Majlis Raja-Raja dan Raja itu hendaklah bertindak mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang relevan yang ditubuhkan di bawah Perkara ini.


    (13) Bagi maksud perenggan (b) dan (c) Fasal (12), Yang di-Pertuan Agong atau Raja Negeri yang berkenaan, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi anggota Majlis Raja-Raja.


    · Hak Keistimewaan orang-orang Melayu dan Bumiputera Di Sabah dan Sarawak


    Salah satu tanggungjawab yang penting oleh Yang di-Pertuan Agong ialah menjaga hak istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Hal ini dijelaskan dalam Fasal 153 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:

    "153. Perezapan quota mengenai perkhidmatan, permit dsb., untuk orang Melayu.


    (1) Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukkan Perkara ini."


    · Sumber Penghormatan dan Kebesaran


    Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan sumber penghormatan dan kebesaran. Baginda mengurniakan anugerah dan penghormatan kepada warganegara dan bukan warganegara serta mengurniakan darjah kebesaran kepada ketua-ketua negara asing dalam istiadat pengurniaan bintang-bintang bersempena dengan Hari Keputeraan Baginda.

    · Fungsi diplomatik

    Sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong melantik diplomat-diplomat Malaysia di luar negara dan juga menerima mengadap diplomat-diplomat asing yang ditugaskan di Malaysia sebelum diplomat-diplomat asing itu mula menjalankan tugas mereka.

    · Selain daripada tugas-tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong, baginda juga bercemar duli menghadiri pelbagai majlis dan acara.