Followers

Carian dalam Blog ini

13 January 2010

Sumbangan Biodiversiti dalam kehidupan

Sejauh Manakah Sumbangan Biodiversiti Terhadap Kehidupan Sejagat?

Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik
03/10/2007

Biodiversiti memberi sumbangan yang sangat besar dan tidak ternilai kepada kehidupan manusia sejagat. Ia menjadi penyumbang kepada sejumlah besar bekalan makanan (yang diperolehi daripada spesies flora dan fauna yang wujud) dalam kehidupan seharian kita. Malah sepanjang sejarah, manusia sangat bergantung kepada biodiversiti bagi meneruskan kelangsungan hidup. Sebagai contoh, penangkapan ikan dunia tahunan (dengan kadar purata 100 juta tan metrik) menggambarkan bahawa ia membekal sumber protein yang sangat penting kepada kehidupan manusia dengan lebih daripada 20% populasi di Afrika dan Asia bergantung kepada ikan sebagai sumber protein utama mereka. Sementara itu, haiwan daratan pula membekalkan hasil makanan seperti telur, susu, daging dan sebagainya kepada kita melalui sektor penternakan.
Biodiversiti liar pula menyediakan pelbagai sumber bahan mentah dan makanan merangkumi buah-buahan, kekacang, bijirin, cendawan, madu, rempah ratus, dan bahan perisa. Sumber bekalan makanan liar ini sangat penting kepada kita terutamanya apabila bekalan makanan daripada hasil pertanian menemui kegagalan. Dengan adanya biodiversiti liar, ia menjadi penampung kepada kegagalan sesetengah sistem pertanian maju. Sebagai contoh, daya pengeluaran hasil tanaman pertanian dunia membangun adalah dikekalkan melalui penyerapan lazim gen daripada penghubung liar hasil tanaman ini. Gen liar ini memberikan ketahanan terhadap serangga perosak dan penyakit yang mana ia dapat mengawal ancaman secara berterusan kepada tuaian. Dengan adanya gen liar yang bertindak sebagai pembiakbaik tumbuhan, ia membantu menghasilkan tumbuhan bermutu dan mengeluarkan hasil tinggi yang sekaligus menjana pendapatan berjuta-juta ringgit dalam sektor pertanian global. Jika spesies berkenaan pupus, maka kolam gen yang berpotensi bagi pertanian masa depan juga akan musnah.
Bukan itu sahaja, malah sehingga kini tumbuhan liar masih menjadi sumber makanan berjuta-juta penduduk pedalaman yang miskin dan juga masyarakat orang asli. Sebagai contoh, penduduk di kawasan pedalaman Thailand menjalankan aktiviti memungut dan mengumpul tumbuhan liar untuk dijadikan sumber makanan semasa musim hujan. Manakala bagi penduduk di bandar Iquitos, Peru pula, buah-buahan daripada enam puluh spesies tumbuhan liar dipungut untuk dijual di pasar-pasar. Walaupun para petani boleh membeli dan menanam biji benih yang telah diubahsuai secara genetik (GM) menggunakan teknik molekular terkini, namun produktiviti makanan masih lagi bergantung kepada biodiversiti tumbuhan yang harus dikekalkan oleh amalan pertanian tradisional. Bagi biodiversiti marin di Sabah misalnya, rumpai laut dan ikan diternak sebagai salah satu industri yang besar dan sangat menyumbang kepada ekonomi negara.
Biodiversiti juga menjadi penyumbang kepada sumber ubat-ubatan yang wujud pada hari ini baik ubat-ubatan tradisional mahupun ubat-ubatan moden. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa 80% daripada penduduk dunia membangun bergantung kepada ubat-ubatan tradisional yang diperoleh terutamanya daripada spesies tumbuh-tumbuhan. Di Asia Tenggara misalnya, penyembuh tradisional menggunakan sejumlah 6, 500 spesies tumbuhan berbeza untuk merawat malaria, ulser perut, siflis dan penyakit-penyakit lain. Malah, biodiversiti juga kritikal kepada sektor kesihatan ‘rasmi' dunia membangun. Hasil tinjauan yang direkodkan menunjukkan bahawa sebanyak 150 preskripsi dadah digunakan di United States dan 118 daripadanya adalah berasaskan sumber biodiversiti. Daripada jumlah tersebut, didapati sebanyak 74% adalah diperolehi daripada spesies tumbuh-tumbuhan. Ini sekaligus telah meningkatkan penggunaan spesies tumbuhan dalam bidang perubatan. Kebiasaannya bahagian-bahagian yang berguna daripada spesies tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan adalah seperti bahagian batang, akar, pucuk, daun dan ubi. Struktur dan kandungan ubat yang dihasilkan daripada spesies tumbuh-tumbuhan adalah bergantung kepada jenis penyakit yang hendak diubati.
Bagi spesies-spesies daripada ekosistem marin seperti sepan, batu karang dan rumpai laut, selain menyumbang sumber makanan, ia juga boleh digunakan dalam pelbagai jenis industri seperti sektor perubatan dan juga bioteknologi. Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, spesies batu karang dikatakan amat sesuai digunakan bagi menggantikan tulang berbanding dengan besi. Selain itu, hasil kajian lain yang dijalankan oleh ahli biologi marin telah mendapati bahawa spesies sepan mempunyai komponen anti bakteria dan sangat sesuai digunakan dalam ubatan anti bakteria. Manakala dalam bidang bioteknologi pula, saintis telah mendapati batu karang mempunyai kompaun yang boleh melindungi kulit daripada pancaran ultra violet (ultralembayung) yang sangat sesuai digunakan dalam industri alat solek iaitu untuk penghasilan krim penahan sinaran matahari.
Bagi mikrob dan sebahagian spesies haiwan pula menyumbang sebahagian daripada ubatan termasuk Penicilin (yang dihasilkan daripada fungus Penicillium notatum) dan beberapa dadah termasuk anesthetics yang dihasilkan daripada rembesan kulit spesies katak pokok. Sumbangan sumber ubatan daripada komponen biodiversiti adalah mewakili pecahan yang terlalu kecil daripada spesies bumi yang diselidiki secara langsung untuk keperluan perubatan. Proses penyelidikan secara berterusan sentiasa menemukan sumber ubatan baru yang lebih baik. Sebagai contoh, satu kajian ke atas spesies siput telah dapat mengenalpasti sejenis ubat penahan sakit yang lebih berkesan daripada morfin tanpa memberi kesan ketagihan kepada pesakit.
Selain itu, biodiversiti turut menyumbang sebahagian besar sumber pendapatan kepada manusia sejagat. Sumbangan-sumbangan yang disebutkan di atas sekaligus turut menyediakan faedah ekonomi secara menyeluruh dalam kehidupan manusia. Ia juga sangat penting dan menjadi penyumbang secara langsung kepada sumber pendapatan dan pembangunan ekonomi sesebuah negara. Satu contoh yang jelas ialah ‘bioprospek' iaitu pencarian ke atas hasil biotik yang tidak diketahui kegunaan spesifik seperti pestisid semulajadi, toksin antifungal dan enzim. Penemuan senarai hebat sumber ‘serbaneka' yang disumbangkan oleh biodiversiti juga merangkumi kebanyakan bahan binaan yang sangat penting daripada bahan balak dan bukan balak dalam sektor perhutanan, gentian, bahan bakar, damar, rotan, haruman, bahan pewarna dan getah. Walaupun hasil keluaran tersebut bernilai rendah, namun pada umumnya ia sangat berguna kepada masyarakat dan penjanaan ekonomi sesebuah negara.
Malah bagi sesetengah negara, biodiversiti memberi sumbangan ekonomi yang besar melalui aktiviti pelancongan dan rekreasi. Ekosistem marin misalnya boleh dijadikan kawasan tarikan bagi aktiviti pelancongan seperti taman laut yang boleh menjana kepada pembangunan ekonomi yang besar kepada sesebuah negara. Bagi mereka yang menghabiskan percutian sambil menikmati alam semulajadi dianggarkan menyumbang sekurang-kurangnya 500 bilion setahun sumber pendapatan kepada negara yang dilawati. Sebagai contoh, ekosistem terumbu karang di Florida menjana sumber pendapatan sebanyak 1.6 billion setahun hanya melalui aktiviti pelancongan sahaja. Bahkan biodiversiti juga turut memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi sesebuah negara melalui aktiviti penyelidikan, terutamanya melalui hasil penyelidikan yang dikomersialkan dan dipasarkan ke peringkat global.
Biodiversiti juga turut memberi sumbangan terhadap nilai budaya dan agama. Adalah bukan sesuatu yang aneh jika manusia ingin menghabiskan masa yang banyak untuk mendekati alam. Ini kerana, manusia secara naluri memperoleh kepuasan estetik dan rohani daripada biodiversiti dan persekitaran yang didiami. Malah ada kajian mendapati bahawa emosi yang baik dapat ditambah apabila kita menyelami keindahan alam semulajadi. Dalam agama Islam sendiri pun menggalakkan kita sebagai makhluk di bumi ini mencintai keindahan alam semulajadi kita. Dengan kata lain, ia memberi sumbangan yang penting dari aspek sosial misalnya untuk menjalankan kegiatan rekreasi luar seperti memburu, memancing, berkhemah, berkhelah, menerokai sumber biodiversiti dan menikmati keindahan alam. Bukan itu sahaja, bahkan hubungan yang rapat antara manusia sejagat dan biodiversiti juga turut digambarkan melalui seni, agama dan adat resam pelbagai budaya manusia. Warisan kerohanian kita ini akan hilang selamanya jika kita sebagai khalifah Allah di bumi ini tidak menjaganya dengan baik dan membiarkan kemusnahan dilakukan secara berterusan ke atas biodiversiti kita.
Dengan menghayati sumbangan-sumbangan yang cukup besar yang diperolehi daripada komponen biodiversiti, ia jelas menggambarkan bahawa manusia sangat bergantung kepada sumber biodiversiti untuk meneruskan kelangsungan hidup dan pembangunan. Kewujudan biodiversiti jangka panjang sangat perlu dalam memastikan pencapaian berterusan terhadap pembangunan manusia sejagat. Justeru itu, komponen biodiversiti perlu dipelihara terutamanya dalam mengekalkan sesuatu habitat kerana setiap satu spesies yang menghuninya mempunyai nilai yang tersendiri terhadap kehidupan sejagat. Nasib biodiversiti kita pada masa hadapan adalah bergantung kepada bagaimana manusia mengolah dan menggunakannya pada hari ini. Penggunaan sumber biodiversiti secara terkawal dan disusuli dengan program pemuliharaan akan mampu menyelamatkan khazanah biodiversiti yang kita pinjam daripada anak cucu kita. Dalam mengekalkan kelebihan biodiversiti yang ada, aspek yang penting adalah bagaimana kita menggalas cabaran yang melanda biodiversiti dan kehidupan kita setiap hari. Jika kita mampu memikul tanggungjawab menjaga khazanah alam yang diamanahkan kepada kita dengan baik, Insya Allah ia akan dapat dipelihara dan dikekalkan untuk turut dinikmati oleh generasi seterusnya.

No comments: