Followers

Carian dalam Blog ini

14 January 2010

Penjawat awam perlu profesional

SEMUA penjawat awam atau kakitangan kerajaan harus akur dan patuh kepada saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya berkhidmat secara penuh profesional tanpa didorong kecenderungan politik.

Selanjutnya, Najib dalam ucapannya semasa majlis makan malam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang turut dihadiri Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri baru-baru ini menyatakan penjawat awam mesti berpegang teguh dan kukuh kepada prinsip profesional secara total tanpa mengambil kira apa-apa pun pandangan peribadi.

Seseorang yang dilantik menganggotai mana-mana sektor dalam perkhidmatan awam tertakluk kepada dasar, peraturan, pekeliling perkhidmatan, perintah am dan lain-lain peraturan yang telah ditetapkan dan diguna pakai semasa menjalankan tugas. Ia juga meliputi semua tindakan pelantikan, penanggungan kerja, naik pangkat, tatatertib dan pengurusan prestasi penjawat awam.

Kenyataan dan saranan Perdana Menteri itu mengingatkan penjawat awam yang alpa tentang perlunya mereka bersikap profesional dalam menjalankan tugas.

Penjawat awam perlu meletakkan ke tepi perbezaan fahaman politik dan kepentingan peribadi. Pelaksanaan dasar yang dibuat oleh kerajaan hanya akan tercapai kepada matlamat yang ditetapkan sekiranya semua penjawat awam bersikap profesional, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan di dalam setiap Pelan Rancangan Malaysia hanya berjaya dicapai sekiranya semua pihak mendokong penuh dasar tersebut.
Tindakan segelintir penjawat awam yang ponteng kerja tanpa sebarang alasan bukan sahaja merugikan, malah menjatuhkan imej perkhidmatan awam.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin semasa merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia di Port Dickson pada April tahun lalu menyatakan sebanyak lima peratus kakitangan awam terlibat dengan gejala ponteng kerja. Walaupun peratusan itu dianggap kecil, namun sekiranya tiada tindakan tegas diambil, dikhuatiri ia akan memberi impak yang besar kepada jabatan tempat mereka bertugas.

Apa pula nanti persepsi orang ramai terhadap jabatan berkenaan. Sesungguhnya seseorang penjawat awam itu membawa bersamanya imej jabatan tempat mereka bekerja.
Penjawat awam yang bertugas sebagai pendidik sama ada di sektor pendidikan dan pengajian tinggi wajar menumpukan secara total kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan mengikut silibus yang telah ditetapkan tanpa memasukkan elemen-elemen yang tidak relevan dalam pengajaran mereka.

Ini penting kerana generasi muda hari ini merupakan bakal pemimpin masa hadapan. Tindakan segelintir tenaga pengajar yang mengambil kesempatan menanamkan fahaman politik sempit, 'anti-establishment', memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin tertentu dan dasar-dasar kerajaan amat mendukacitakan. Kanak-kanak dan golongan pelajar umpama kain yang putih, sekiranya warna yang diterapkan itu gelap, maka lama kelamaan pemikiran mereka akan dipengaruhi unsur gelap.

Kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia hari ini adalah hasil hubungan yang baik dan saling bertaut antara kerajaan dan penjawat awam. Dasar kerajaan mampu dilaksanakan dengan lebih berkesan dan lancar sekiranya semua penjawat awam sentiasa menyokong dan mampu menterjemahkan dasar tersebut dan menentukan setiap agenda kerajaan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

NADZIR AWANG AHMAD
Universiti Teknologi Mara Perlis
Utusan Online 14/1/2010

No comments: