Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

16 January 2010

Ekosistem kian tenat

Ekosistem Marin Yang Kian Tenat


Ekosistem marin kita kian tenat dan tidak selamat lagi untuk hidupan yang menghuninya! Ini bukan hanya momokan sang penyair, namun ia merupakan satu hakikat yang terpaksa kita hadapi dan telah banyak terbukti di depan mata kita pada hari ini. Isu tumpahan minyak di perairan kita, dan menjadikan laut sebagai tempat membuang pelbagai jenis sampah sarap tidak boleh dipandang enteng. Malah ia merupakan perkara yang perlu diberi perhatian yang khusus dan sewajarnya memandangkan ia telah lama berlaku dan masih lagi berterusan sehingga ke saat ini.

Pemahaman yang cetek dan kurangnya kesedaran mengenai aspek penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar khususnya ekosistem marin di kalangan masyarakat kita lebih memburukkan lagi keadaan. Hari demi hari, hidupan yang menghuni ekosistem marin semakin terancam dan terpaksa berjuang serta bertarung nyawa untuk meneruskan kehidupan dalam persekitaran yang kian tercemar.

Akibat daripada pencemaran ekosistem marin yang semakin tidak terkawal, ia telah menyumbang kepada kemerosotan mutu air dan habitat hidupan marin yang seterusnya telah memberi kesan buruk kepada pelbagai jenis hidupan marin, yang mana terpaksa berhadapan dengan ancaman kepupusan. Antara beberapa spesies hidupan marin yang kritikal berhadapan dengan ancaman kepupusan pada hari ini adalah spesies dugong, paus, ikan lumba-lumba, yu dan penyu. Situasi ini berlaku semuannya angkara amalan tidak adil manusia yang tidak pernah sedar akan bahana yang terpaksa dihadapi di kemudian hari akibat daripada keterlanjuran sikap mereka terhadap alam sekitar.

Baru-baru ini berita mengenai seekor anak ikan paus yang mati terdampar di beting pasir Kuala Sungai Nenasi, Pekan begitu menggemparkan dan mengejutkan kita. Apa yang lebih menyedihkan lagi apabila kematian anak ikan paus seberat 3 tan dengan panjang 10 meter itu adalah berpunca daripada bahan buangan seperti plastik sampah, penutup botol minuman dan gumpalan tali nilon yang dimakan oleh haiwan eksotik tersebut. Bahan buangan tersebut dipercayai telah menyebabkan usus ikan tersumbat dan sakit sehingga mengakibatkannya tidak berdaya untuk berenang ke habitat asal yang seterusnya membawa kepada kematian spesies mamalia tersebut.

Alangkah malangnya jika apa yang terjadi kepada anak ikan paus ini turut sama akan berulang kepada spesies-spesies marin yang lain. Patutkah kita terus berdiam diri dan memandang sepi satu persatu hidupan marin terus menjadi mangsa keacuhan sikap dan budaya kita yang sentiasa mengambil mudah dalam setiap tindak tanduk kita? Inginkah kita melihat nasib yang menimpa spesies burung Dodo di Pulau Madagascar yang pupus pada sekitar penghujung kurun ke-20 turut sama menimpa spesies ikan paus? Atau mahukah kita melihat spesies ikan paus dan spesies-spesies marin lain yang kian terancam turut mengikut jejak badak sumbu dan spesies burung merak hijau yang telah pun pupus? Tegarkah kita untuk terus membiarkan ekosistem marin yang bukan sahaja menjadi habitat pelbagai hidupan, malah merupakan tempat pergantungan hidup kita dalam mendapatkan bekalan makanan terus dinodai oleh sikap tidak bertanggungjawab kita sehinggakan tiada lagi ruang selesa untuk hidupan-hidupan marin tersebut meneruskan kesinambungan hidup? Sanggupkah kita untuk menyaksikan unsur keseimbangan ekologi bumi ciptaan Allah S.W.T. untuk melancarkan kelanggsungan hidup manusia dan makhluk hidupan lain lenyap? Sudah tentu jawapannya tidak sama sekali, kerana mana mungkin kita tergamak melihat kemusnahan berlaku secara berterusan di depan mata kita ke atas ekosistem dan khazanah alam kita tanpa sebarang pembelaan. Sewajarnya kita perlu memikirkan bagaimana penyelesaian terbaik dalam menghadapi kemelut alam sekitar yang tidak pernah ada titik noktahnya sejak sekian lama.

Oleh yang demikian, ancaman teruk yang dialami oleh hidupan marin kita perlu ditangani dengan segera dalam memastikan hikmah ekologi yang semakin terhakis dapat diperbaiki dan dipulihkan. Justeru, kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini perlu sedar akan tanggungjawab kita dalam memelihara keindahan dan kebersihan alam sekitar kita khususnya ekosistem marin yang begitu banyak menyumbang kepada kita, di samping memastikan khazanah marin yang semakin hari semakin tercemar dan merosot, dapat dipulihara.

Sudah menjadi lumrah alam, manusia sebagai makhluk yang diberi kelebihan akal fikiran dan roh, maka adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk memperbetulkan segala kesilapan untuk kembali kepada tugas hakiki sebagai hamba yang dipertanggungjawabkan di atas muka bumi. Ini kerana, setiap kejadian di atas muka bumi ini dikhususkan untuk memanfaatkan manusia dan seluruh isi alam. Tetapi manusia yang ditugaskan untuk memakmurkan bumi sendiri yang menyebabkan kemusnahannya.
Tugas memakmurkan bumi perlulah dipupuk dari seawal usia lagi. Ibarat kata pepatah, kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kata pepatah ini sangat sesuai dalam melakarkan kepentingan menerapkan kesedaran memelihara dan memulihara alam sekitar yang merupakan khazanah yang sangat berharga kepada kita dan generasi akan datang yang bakal mewarisinya. Justeru, kita perlulah cuba berusaha mendekati alam dan mengenalinnya dengan lebih dekat agar kita tahu untuk menghargainya. Sebagaimana Sayyid Qutub melalui tafsir Fi Zhilalil Quran pernah berkata: "Mengenai kekuatan alam, sikap manusia yang Muslim ialah berusaha mengenalinya dan bersahabat dengannya (alam), bukan takut dan memusuhinya. Ini kerana kekuatan manusia dan kekuatan alam adalah bersumber dari iradah dan kehendak Allah S.W.T., sentiasa tunduk patuh pada iradah dan kehendaknya serta saling membantu dan memerlukan untuk bersama-sama menuju kepada Allah Penciptanya'.

Sesungguhnya tanpa kesedaran dan keprihatinan setiap lapisan masyarakat, pastinya usaha memelihara alam sekitar yang kian terancam saat ini mungkin tidak akan berhasil dan dapat dizahirkan dengan sebaik mungkin jika tiada pihak yang berusaha melestarikannya. Setiap manusia perlu sedar bahawa pada hakikatnya tiada kejadian dan makhluk yang kekal di atas muka bumi ini. Manusia yang sememangnya lemah dan mudah terpengaruh serta tunduk pada hawa nafsu, tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan tiada yang sempurna dalam melaksanakan amanah Allah bagi memakurkan bumi. Namun demikian, usaha yang berterusan disusuli dengan sentiasa mensyukuri nikmat alam yang dikurniakan Ilahi, pastinya mampu melahirkan insan yang tahu menghargai nikmat alam yang sangat berharga bukan sahaja kepada manusia, bahkan juga kepada isi alam seluruhnya.
Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik
02/01/2009
http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=1713&cmd=resetall

No comments: