Followers

Carian dalam Blog ini

12 January 2010

Ancaman Terhadap Biodiversiti

Ancaman Terhadap Biodiversiti


Pada hari ini kepelbagaian kehidupan atau biodiversiti negara berhadapan dengan pelbagai krisis yang memberi ancaman besar dan menyumbang kepada kemerosotan dan kehilangannya. Dalam keadaan tersebut, terdapat banyak unsur yang menyumbang kepada kemusnahan khazanah yang tidak ternilai ini sama ada unsur secara langsung ataupun unsur tidak langsung.
Pemusnahan habitat umpamanya merupakan unsur utama yang menyumbang kepada kehilangan biodiversiti kita pada hari ini. Jika dilihat di negara kita sendiri habitat hutan telah banyak dimusnahkan untuk tujuan pembangunan, perumahan dan sebagainya. Dalam ruang lingkup ini, ahli biologi menganggarkan bahawa kawasan seluas 10 km2 mengandungi dua kali ganda banyak spesies dengan kadar purata kawasan 1 km2. Langkah mengurangkan ekosistem kepada satu per sepuluh jumlah asal akan menyebabkan sesetengah daripada spesies mengalami kepupusan. Sebagai contoh, haiwan aras tertinggi dalam kitar makanan seperti singa, beruang, harimau, gajah dan sebagainya memerlukan habitat yang luas bagi memastikan jumlah spesies terus dapat dikekalkan.

Unsur kemusnahan biodiversiti yang seterusnya ialah pencerobohan spesies, iaitu pengenalan secara tiba-tiba spesies asing dalam sesuatu ekosistem yang boleh mengganggu aliran biasa ekosistem tersebut, yang mana ia sekaligus akan memberi kesan buruk kepada spesies asal yang menghuni dalam ekosistem tersebut. Pengenalan spesies asing ini bukan sahaja memberi kesan buruk kepada flora dan fauna, bahkan ia juga turut menjejaskan kegiatan manusia. Satu contoh jelas yang telah dikenalpasti ialah peristiwa pencerobohan spesies ubur-ubur di Lautan Atlantik. Pencerobohan spesies ini telah menyebabkan persaingannya dengan spesies asal yang mana kini ia terdiri daripada 95% jumlah biojisim lautan tersebut, dan ia merupakan satu bencana yang memberi kesan besar terhadap ekonomi di kawasan tersebut. Sementara itu, pada abad lampau didapati 70% spesies ikan air tawar di Amerika Syarikat telah mengalami kepupusan akibat daripada pengenalan spesies luar biasa (exotic species). Begitulah besarnya pengaruh dan kesan daripada pencerobohan spesies asing ke atas spesies asal di dalam sesuatu ekosistem yang mana, sekiranya terus dibiarkan ia akan membawa kepada kepupusan yang lebih besar lagi ke atas spesies-spesies lain.

Selain itu, pencemaran juga turut menjadi penyumbang utama kepada kemusnahan biodiversiti kita. Pencemaran bahan kimia ke atas spesies air tawar, laut dan tanah misalnya boleh membawa kepada lenyapnya jumlah dan spesies di dalam sesuatu ekosistem. Bahan-bahan yang terhasil daripada usaha-usaha pertanian, seperti baja dan racun serangga pula, boleh meresap ke dalam akuifer dan sungai yang akhirnya akan sampai ke laut dan akan meracuni hidupan laut. Keadaan ini sekaligus akan mengancam sumber makanan kita yakni ikan yang kita sedia maklum merupakan sumber protein utama dalam kehidupan kita. Bukan itu sahaja, malah lebih buruk lagi ia akan turut mempengaruhi dan merencatkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Manakala pencemaran atmosfera pula boleh menyumbang kepada perubahan iklim mendadak yang dijangka akan mengakibatkan gangguan ke atas taburan spesies, dan seterusnya membawa kepada kepupusan biodiversiti yang sedia ada.

Pada hari ini perubahan iklim dunia menjadi mawdu' hangat yang sering diperdebatkan oleh peminpin-pemimpin dunia dalam mana mana persidangan. Malah perkara ini turut dibincangkankan dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-62 baru-baru ini, yang mana sangat bersesuaian dengan tema perhimpunan tersebut iaitu "Masa Depan Di Tangan Kita: Menghadapi Cabaran Kepimpinan Terhadap Perubahan Iklim". Perkara ini sebenarnya bukan perkara yang baru, malah jika diimbas kembali, kesan daripada perubahan iklim lebih sedekad yang lepas misalnya telah menyebabkan suhu dunia meningkat antara 0.3 dan 0.6 oC yang mana ia merupakan peningkatan terbesar dalam jangkamasa 1000 tahun, dan daripada peningkatan suhu ini ia telah menyebabkan ‘kesan rumah hijau' (greenhouse effect). Malah akhbar ada melaporkan kajian terbaru IPCC menjangkakan bahawa suhu purata Malaysia akan meningkat antara 0.6 oC hingga 4.5 oC menjelang tahun 2060. Jangkaan ini amatlah membimbangkan dan jika ia menjadi kenyataan bermakna biodiversiti kita akan berhadapan dengan pelbagai ancaman yang lebih besar lagi.

Bukan itu sahaja, malah akibat perubahan iklim ini juga telah memberi kesan yang ketara kepada paras air laut yang mana ia telah meningkat kepada 10-20 cm di seluruh dunia, pencairan glasier di kutub, perubahan bentuk pemendapan dan meningkatnya peristiwa kejadian suhu melampau. Perubahan ini sekaligus menyebabkan kitaran musim seluruh bumi terganggu. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah perubahan ini berlaku dalam jangkamasa yang cukup pantas dan ini akan menimbulkan masalah kepada kebanyakan spesies untuk menyesuaikan diri, dan sekaligus akan memberi masa depan yang suram kepada nasib biodiversiti kita.

Unsur kepupusan biodiversiti yang seterusnya ialah disebabkan oleh penuaian berlebihan yang dilakukan ke atas sumber biodiversiti secara berterusan. Pada hari ini, bukan sahaja di negara kita malah di negara-negara lain juga didapati banyak spesies yang diburu dan dituai secara berterusan untuk tujuan pembangunan. Malah kadar ekonomi sesebuah negara sangat bergantung kepada hasil yang diperoleh daripada sumber biodiversiti. Salah satu contoh jelas kepupusan secara langsung yang disebabkan oleh penuaian secara berlebihan ialah melibatkan spesies burung merpati dan kakak tua Carolina dalam abad yang ke-20. Jika pemburuan dan penuaian sumber biodiversiti dilakukan secara berterusan tanpa adanya langkah pemuliharaan yang berkesan, dikhuatiri biodiversiti yang masih lagi wujud pada hari ini akan menerima nasib yang sama dengan kedua-dua spesies yang disebutkan tadi. Sebagai contoh, pada hari ini di negara kita spesies harimau merupakan antara salah satu spesies yang semakin berkurangan dan diancam kepupusan berikutan pemburuannya untuk tujuan perdagangan.

Meskipun kadar pertumbuhan masyarakat adalah penggerak utama kepada kelima-lima unsur yang disebutkan tadi, kehilangan biodiversiti tidak dapat dielakkan yang mana ia sangat mempengarauhi pertumbuhan dan pembangunan masyarakat dan ekonomi sesebuah negara. Namun ia hanyalah sebahagian daripada unsure khusus secara menyeluruh yang bertitik tolak daripada asas kemasyarakatan, ekonomi, siasah, budaya dan sejarah masyarakat. Kekurangan pengetahuan terhadap kepentingan biodiversiti, terutamanya di kalangan masyarakat khasnya, merupakan antara unsur langsung yang menyumbang kepada terancamnya sumber biodiversiti kita yang masih wujud pada hari ini.

Kita sebagai pemegang amanah di muka bumi ini sepatutnya sedar bahawa biodiversiti yang terdapat di negara kita merupakan khazanah yang tidak ternilai, dan ia adalah sumber tempat manusia bergantung untuk meneruskan kelangsungan hidup. Namun perkembangan terkini menunjukkan semakin manusia maju dengan bermacam-macam bentuk pembangunan, satu aspek yang terpaksa dikorbankan ialah alam dan biodiversiti yang dimilikinya. Manusia mengeksploitasi biodiversiti tanpa mengambilkira kepentingan masa depan dan padah yang akan diterima apabila biodiversiti yang menjadi pendokong kepada kehidupan manusia dieksploitasi tanpa batasan.

Jika dilihat, agama Islam sendiri sangat menuntut umatnya prihatin terhadap keselamatan biodiversiti yang dikurniakan Ilahi dan kita sebagai sebagai pemegang amanah disaran agar memakmur dan menjaganya sama seperti nyawa sendiri kerana ia menjanjikan sumber rezeki kepada kehidupan kita. Sebarang tindakan menzalimi biodiversiti dan alam akan memudaratkan dan membahayakan umat manusia itu sendiri. Sebenarnya menjaga biodiversiti adalah sama seperti menjaga keturunan kita dan ia merupakan suatu kelangsungan generasi manusia pada masa akan datang. Oleh itu sudah tiba masanya kita meletakkan kepentingan pemeliharaan biodiversiti sebagai matlamat utama dalam kehidupan kita serta berusaha menjaga dan menyelamatkan khazanah yang tidak ternilai ini daripada terus dimusnahkan. Malah, Rasulullah S.A.W sendiri pernah bersabda yang bermaksud, "Dunia ini indah dan segar dan sesungguhnya Tuhan Yang Maha Kuasa (yakni Allah SW.T) telah menjadikan kamu sebagai penjaganya, dan Dia melihat apa yang kamu lakukan" (Riwayat Abu Said Al-Khudri). Daripada hadis ini, jelas menunjukkan bahawa setiap lapisan masyarakat perlulah sedar bahawa hasil bumi anugerah Allah S.W.T haruslah dipertahankan dan tidak boleh dieksploitasi dan dizalimi sesuka hati mengikut hawa nafsu. Ini kerana dikhuatiri kerakusan pengeksploitasian secara berlebihan sumber biodiversiti akan membawa padah yang buruk kepada kehidupan manusia sejagat.

Justeru itu, pemeliharaan dan pengurusan biodiversiti secara mapan dan lestari adalah perlu bagi menjamin kehidupan yang sejahtera dan makmur kepada manusia sejagat. Jadi, sama-samalah kita muhasabah diri kita agar menjadi umat yang bijaksana dan bersyukur ke atas nikmat yang Allah S.W.T telah kurniakan kepada kita dalam usaha mencapai keberkatan hidup kita di dunia dan juga akhirat.

Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik01/11/2007
Sumber: http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?cmd=resetall&grp=2&key=1440&lg=1&opt=com_article&sec=

No comments: