Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

Loading...

01 January 2010

Mahkamah Persekutuan Malaysia

MAHKAMAH PERSEKUTUAN MALAYSIA

Mahkamah Tertinggi

Mahkamah Persekutuan merupakan otoriti kehakiman yang tertinggi sekali di Malaysia. Ianya ditubuhkan di bawah Perkara 121(2) Perlembagaan Persekutuan. Keputusannya mengikat semua mahkamah. Sebelum 1hb. Januari 1985, sistem mahkamah atasan di Malaysia adalah sistem tiga peringkat iaitu–
Majlis Privy
Mahkamah Agung
Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo
Majlis Privy merupakan mahkamah rayuan tertinggi bagi Malaysia sehingga 31hb. Disember 1984. Pada 1hb. Januari 1985, semua rayuan dari Malaysia ke Majlis Privy telah dimansuhkan. Bagi menggantikannya, Mahkamah Agung Malaysia ditubuhkan menjadikannya mahkamah rayuan terakhir di negara ini. Pemansuhan rayuan ke Majlis Privy telah mengakibatkan perubahan sistem tiga peringkat mahkamah atasan kepada sistem dua peringkat iaitu Mahkamah Agung dan dua (2) Mahkamah Tinggi.
Pada 1994, perubahan yang ketara berlaku kepada Badan Mahkamah Persekutuan Malaysia. apabila Parlimen meminda Perlembagaan Persekutuan. Melalui pindaan tersebut, Mahkamah Rayuan telah ditubuhkan. Mahkamah Agung dinamakan semula sebagai Mahkamah Persekutuan. Oleh yang demikian sistem tiga peringkat mahkamah atasan dihidupkan semula.
Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara. Sebelum pindaan Perlembagaan Persekutuan, jawatan tersebut dikenali dalam Bahasa Inggerisnya sebagai “Lord President”.
Ahli-Ahli
Mengikut Perkara 122(1) Perlembagaan Persekutuan Mahkamah Persekutuan hendaklah terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, kedua-dua Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan tujuh hakim lain. Pelantikan Hakim-Hakim Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan lain-lain hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah dilantik oleh Yang di Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Sebelum Bilik Bicara Mahkamah Persekutuan mengemukakan nasihatnya, Perdana Menteri hendaklah, kecuali bagi pelantikan Ketua Hakim Negara berunding dengan Ketua Hakim Negara.
Pelantikan Hakim-Hakim Tambahan
Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan membolehkan Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Ketua Hakim Negara, melantik mana-mana orang yang telah memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan. Pelantikan ini boleh dibuat bagi apa-apa maksud atau bagi apa-apa tempoh masa yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Komposisi
Setiap prosiding Mahkamah Persekutuan hendaklah, mengikut seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 didengar dan dilupuskan oleh tiga hakim atau lebih yang bilangannya hendaklah ganjil dan sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Hakim Negara. Semasa ketiadaan Ketua Hakim Negara, ahli mahkamah yang kanan sekali hendaklah mempengerusikan persidangan itu.
Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Ketua Hakim Negara boleh menamakan seorang hakim Mahkamah Rayuan selain daripada Presiden Mahkamah Rayuan untuk bersidang sebagai hakim Mahkamah Persekutuan sekiranya beliau berpendapat, demi kepentingan keadilan, ianya perlu.
Persidangan
Mahkamah ini bersidang pada masa dan tempat yang ditentukan oleh Ketua Hakim Negara dari masa ke semasa. Pada kebiasaannya Mahkamah Persekutuan bersidang di Palace of Justice, Putrajaya. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan juga bersidang secara litar di bandar-bandar utama seperti di Pulau Pinang, Ipoh, Kota Bharu, Johor Bahru, Alor Setar, Kuantan, Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu (seksyen 75 Akta Mahkamah Kehakiman, 1964).
Bidangkuasa
Mengikut Perkara 121(2) Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa :–
(a) untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya;
(b) asal atau runding sebagaimana yang ditentukan mengikut Perkara 128 dan 130 ; dan
(c) lain-lain seperti yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.
Rayuan Jenayah
Mahkamah Persekutuan boleh, menurut seksyen 87 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, mendengar dan menentukan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes-kes jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di dalam bidangkuasa asalnya.
Rayuan Sivil
Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 memperuntukkan bahawa rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan boleh dibuat ke Mahkamah Persekutuan dengan kebenaran Mahkamah Persekutuan. Kebenaran itu boleh diberi jika :–
(a) keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah mengenai apa-apa kausa atau perkara sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di dalam menjalankan bidangkuasa asalnya dan ianya melibatkan persoalan prinsip umum yang diputuskan bagi kali pertama atau sesuatu persoalan penting yang memerlukan penghujahan lanjut dan keputusan Mahkamah Persekutuan di atasnya akan memberi manafaat awam; atau
(b) keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah mengenai kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan termasuklah kesahihan mana-mana undang-undang bertulis berhubung peruntukan Perlembagaan itu. (seksyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964).
Hanya Mahkamah Persekutuan sahaja mempunyai bidangkuasa eksklusif untuk memutuskan :–
(a) apa-apa persoalan samada sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Dewan Negeri itu adalah tidak sah atas alasan bahawa badan itu membuat peruntukan berhubung sesuatu perkara yang mana Parlimen ataupun Dewan Negeri mengikut mana-mana yang berkenaan tidak ada kuasa untuk membuat undang-undang; dan
(b) pertikaian atas apa-apa persoalan lain antara Negeri dengan Negeri atau antara Persekutuan dengan mana-mana Negeri. (Perkara 128(1) Perlembagaan Persekutuan).
Rujukan Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan – “Tanpa menjejaskan apa-apa bidangkuasa rayuan Mahkamah Persekutuan, jika dalam mana-mana prosiding di hadapan suatu mahkamah lain suatu soal berbangkit tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidangkuasa (tertakluk kepada mana-mana kaedah Pegawai dan kakitangan Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan mahkamah yang mengawalselia penjalanan bidang kuasa itu) untuk memutuskan soal itu dan menghantar balik kes itu kepada mahkamah yang satu lagi untuk dibereskan mengikut keputusan itu”.
Nasihat
Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan menyatakan–“Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka”.
SUMBER:http://portal.kehakiman.gov.my/

No comments: