Followers

Carian dalam Blog ini

11 January 2010

Pertumbuhan Populasi dan Alam Sekitar

Pertumbuhan Populasi dan Alam Sekitar: Masalah Global

Apabila negara semakin pesat membangun, populasi manusia akan meningkat. Ini menyebabkan kadar permintaan manusia terhadap sesuatu keperluan adalah tinggi. Ini terjadi apabila manusia memerlukan tempat tinggal, pekerjaan, bekalan air dan elektrik, pengangkutan, makanan dan lain-lain dalam memastikan mereka memperolehi kehidupan yang lebih baik. Namun permintaan ini terhasil disebabkan perbezaan ekonomi dan keadaan demografik. Amerika Latin, Asia Barat dan Selatan Eropah merupakan negara-negara yang sedang membangun dari sektor perindusrian, perladangan, perdagangan dan pertanian memerlukan kawasan tanah yang luas bagi pembinaan kilang, pembukaan tanah baru bagi pertanian/perladangan dan pembangunan bandar-bandar baru bagi meningkatkan ekonomi negara.

Selain itu, gaya hidup manusia yang mahukan kehidupan yang lebih baik seperti rumah, bekalan elektrik dan air, kereta dan lain-lain menyebabkan permintaan terhadap sumber semulajadi semakin tinggi. Penghijrahan penduduk dari satu negara ke negara lain secara haram atau melalui saluran yang betul juga menyebabkan mereka berpindah bagi mendapatkan peluang pekerjaan dan mengubah gaya hidup mereka. Pengurusan sumber semulajadi yang tidak terancang seperti penebangan hutan secara berleluasa, pelepasan effluen yang tidak terkawal dan pembuangan sisa toksik ke sungai serta pelepasan asap hitam ke atmosfera boleh menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar. Namun, kesan kepada alam sekitar boleh dihubung kait dengan faktor-faktor di kotak hijau di bawah.

Antara Kesan Kepada Alam Sekitar Adalah:-

Masalah Sumber Bekalan Air
Bekalan sumber air bersih akan tercemar dan berkurangan akibat penebangan pokok di kawasan tadahan air dan pencemaran sungai akibat dari hakisan tanah dan pembuangan sisa toksik.

Pengurusan Sistem Pepejal
Penghasilan sampah sarap oleh manusia yang semakin banyak dan tapak pelupusan sampah yang tidak bersistem boleh menyebabkan larut resap dari sampah sarap memasuki sungai yang berdekatan atau meresap ke air bawah tanah dan mencemar bekalan air.

Haiwan Perosak
Bilangan haiwan perosak yang tinggi seperti tikus, lalat dan lipas yang mampu menyebarkan penyakit kepada manusia semakin berleluasa.

Pencemaran Udara
Pelepasan karbon dioksida, chloro flurocarbon (CFC), sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan gas-gas lain dari asap kenderaan dan kilang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar yang mampu menyebabkan kesan rumah hijau dan penipisan lapisan ozon.

Masalah Kesihatan
Air yang tercemar mengandungi bahanbahan toksik atau mengandungi vektor yang membawa penyakit kepada manusia dan haiwan seperti taun, kolera dan sebagainya.

Kepelbagaian Biodiversiti
Penebangan hutan yang tidak terkawal dan tidak terancang mampu menyebabkan spesis flora dan fauna yang amat berharga akan pupus.

Perubahan iklim dunia
Gas rumah hijau yang terbebas ke udara hasil dari pembakaran bahan api fosil akan terperangkap di dalam atmosfera dan menyebabkan bumi menjadi panas. Apabila suhu bumi meningkat, paras lautan menjadi tinggi dan ini akan menyebabkan banjir. Masalah kepanasan bumi ini juga akan menghasilkan kemarau yang berpanjangan.

Bagaimana Kita Mengatasinya?
Cara mengatasi masalah ini adalah melalui tiga perkara yang perlu dititikberatkan iaitu menstabilkan populasi, mengurangkan penggunaan sumber dan pengurusan sumber yang berkesan.

Menstabilkan populasi
Apabila kita mampu mengawal kadar pertumbuhan populasi, kita dapat mengurangkan kadar permintaan populasi terhadap sumber semulajadi. Ini membolehkan sesebuah negara memfokuskan kewangan negara ke bidang pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan. Dengan mengawal kadar populasi juga, ia mampu meningkat produktiviti dan kualiti hidup apabila rakyat mampu untuk menabung dan melabur kewangan dengan baik.

Mengamalkan Kitar Semula
Dengan mengamalkan sikap mengitar semula bahan terbuang, penggunaan semula bahan terpakai, mengurangkan pembelian bahan yang tidak boleh dikitar semula dan mengamalkan amalan mesra alam seperti mengurangkan penggunaan elektrik dan air mampu mengurangkan penggunaan sumber semulajadi dalam penghasilan sesuatu produk.

Pengurusan sumber yang berkesan
Menguruskan dan mengawal sumber alam semulajadi dengan efisien dan berkesan. Dengan ini sumber tersebut boleh bertahan bagi jangkamasa panjang. Dengan mencari sumber alternatif yang boleh menggantikan sumber yang sedia ada akan membantu dalam memelihara sumber semulajadi daripada pupus.

Pembangunan Lestari
Untuk mencapai pembangunan lestari perkara-perkara yang perlu digabungkan dengan sebaiknya ialah ekonomi, sosial, politik dan ekologi bagi mencapai kestabilan serta mewujudkan kualiti hidup yang seimbang seiring dengan perkembangan pembangunan negara.

Kesimpulannya, pertumbuhan populasi dunia dan kesedaran dalam memelihara alam sekitarmerupakan masalah global yang perlu dihadapi oleh masyarakat dunia masa kini demi untuk memastikan pembangunan lestari dapat menjamin masyarakat dunia mendapat kualiti hidup yang lebih baik.
Sumber: Era Hijau Keluaran 1/2009

No comments: