Followers

Carian dalam Blog ini

25 May 2013

Sains dan Teknologi: Suatu kelebihan atau kemudaratan?

Ditulis oleh Norkumala binti Awang. Posted in Artikel
Dalam era dunia tanpa sempadan, semua maklumat hanyalah dihujung jari. Sains dan teknologi membawa kita kepada suatu perubahan kehidupan. Kemajuannya tidak boleh dinafikan. Namun, dalam pada itu, ada juga yang menafikan tentang kesan sains dan teknologi. Pelbagai kesimpulan yang dibuat oleh individu berdasarkan pengamatan tentang kesan sains dan teknologi sama ada membawa kepada kemajuan mahupun kemusnahan alam sejagat.

Tidak dapat dinafikan bahawa sains dan teknologi mempunyai peri pentingnya dalam pembangunan masyarakat sejagat. Namun ia juga tidak dapat disangkal mempunyai kesan buruk dalam pembangunan negara termasuk alam sekitar mahupun sosial. Semua ini tidak dapat dielakkan kerana kadang- kadang manusia sibuk mengejar kemajuan dan kecanggihan sehinggakan alpa dengan kesan buruk yang bakal menimpa. Segala penemuan dan ciptaan sains dan teknologi yang lahir dari akal manusia kadang tersasar dengan tujuan sebenar kerana tidak mengikut lunas-lunas yang telah digariskan oleh Islam. Tidak hairanlah jika kini banyak pengamalan sains dan teknologi juga mengundang kepada kemudaratan jika batas- batas penerokaan ilmu sains tidak menepati apa yang telah Islam utarakan.

Kini, ciptaan yang cukup canggih hasil penemuan manusia dalam teknologi pertahanan mampu melindungi negara daripada diserang musuh. Pelbagai bentuk alat pertahanan daripada senjata sehinggalah alat kelengkapan perang turut mengiringi kemajuan sains dan teknologi. Dari satu sudut, ia mungkin membawa kebaikan kepada negara tapi jika difikirkan mungkin banyak lagi kesan yang timbul akibat penggunaan alat canggih hasil kemajuan sains dan teknologi. Pernahkah terfikir, bahawa kecanggihan alatan perang boleh membawa kemusnahan dunia termasuklah alam sekitar dan juga banyaknya jiwa yang terkorban dek kerakusan manusia sendiri. Contohnya, kesan penggunaan bom atau senjata api boleh memusnahkan alam sekitar. Walaupun sekadar untuk menguji keupayaan sesuatu ciptaan, kadang- kadang ia mengundangkan kepada kemusnahan alam sekitar seperti membawa kepada pencemaran alam. Sementara itu, tahap kepakaran yang tinggi dan peralatan canggih diperlukan untuk membina sendiri sebuah bom nuklear.

Kini kawalan terhadap bahan radioaktif sebenarnya amat longgar memandangkan amalannya kian meluas. Kesan daripada letupan bom kotor mungkin tidak sedahsyat bom nuklear tetapi boleh menyebarkan bahan radioaktif dan menyebabkan radiasi ke kawasan yang lebih luas. Sudah tentu ia memberi kesan psikologi terhadap masyarakat yang kurang pengetahuan mengenai keselamatan sinaran. Mungkin ia juga menimbul kekalutan dan ketakutan yang akan menjejaskan kegiatan sesebuah masyarakat. Usaha pembersihan kawasan yang dicemari radiasi juga menelan belanja yang tinggi dan membabitkan tenaga kerja yang ramai dan peralatan yang canggih. Bukankah ia akan memberi kesan kepada ketenteraman awam, menyebabkan kegawatan ekonomi negara malah ia turut tersebar melalui tiupan angin dan tekanan udara ke negara yang bersempadan. Kesan inilah yang turut dibimbangi oleh banyak pihak kerana penyalahgunaan kemajuan teknologi yang sedia ada.

Teknologi maklumat yang berkembang pesat sehingga ke hari ini memungkinkan semua lapisan masyarakat mendapat maklumat dengan begitu mudah. Pelbagai penerokaan maklumat boleh diperolehi tanpa ada batasan. Dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi, jalan dakwah terbuka luas untuk menyampaikan sesuatu yang berguna kepada masyarakat. Namun di sebalik kecanggihan dan kelebihan teknologi tersebut kini, terselit suatu keburukan yang jarang sekali difikirkan kerana ia timbul tanpa disedari. Ramai muda mudi kita terpengaruh dengan kelebihan teknologi maklumat. Kesannya kepada pembangunan sosial generasi kita terlalu besar di mana mereka leka dengan teknologi tersebut sehingga mengabaikan nilai murni. Contohnya, internet yang merupakan gedung ilmu, tetapi kadangkala muda mudi kita menyalahgunakan kelebihannya dengan melayari laman- laman web yang berunsur lucah dan tidak berakhlak. Ini akan mempengaruhi fikiran golongan tersebut dan akan merosakkan pembangunan nafs mereka.
Kemajuan teknologi maklumat juga mendatangkan kesan buruk apabila kini berlaku pula pencerobohan maklumat yang disebut sebagai "penggodam" di mana maklumat sulit sesebuah negara boleh diceroboh dengan mudah. Melalui teknologi terkini juga, pengubahsuaian ke atas sesuatu gambar boleh dibuat. Kadangkala ia memberi kesan buruk kerana boleh menyebabkan fitnah.

Kini bioteknologi memacu negara ke arah pembangunan. Bidang kejuruteraan makanan menerusi teknologi terkini mampu menghasilkan makanan ubahsuaian genetik (Genetically Modified Food) yang mempunyai ciri- ciri terbaik seperti tahan lama, sedap dan bermutu, mudah, murah serta meningkatkan pengeluaran tanaman contohnya beras perang, tomato dan cili. Makanan yang dihasilkan adalah sama tetapi mempunyai sifat- sifat yang berbeza yang dimasukkan dengan pelbagai gabungan gen organisma lain. Apa yang menjadi persoalan ialah sumber genetik yang digunakan untuk menghasilkan makanan ubahsuaian tersebut dikhuatiri daripada benda-benda yang dilarang oleh syarak. GMF juga memberi kesan terhadap kesihatan manusia kerana mengandungi bendasing (allergen) yang tidak diketahui kesan buruknya.

Isu pengklonan juga mendapat perhatian hangat dari semua pihak. Hasil kemajuan teknologi mampu memindahkan genetik dari satu organisma ke organisma lain. Ini akan menghasilkan satu organisma yang sama dengan yang induk. Isu ini agak dibimbangi kerana takut disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk tujuan pengklonan manusia. Hal ini terlalu menyimpang dari landasan agama yang sebenar. Begitu juga dengan teknologi "stem cell" yang banyak kelebihannya dalam membantu mengatasi pelbagai penyakit. Namun apa yang dikhuatiri jika penggunaan "embryonic stem cell" bakal disalahgunakan juga untuk pengklonan manusia.

Natijah daripada kemajuan sains dan teknologi kini sememangnya banyak membawa kepada kebaikan disamping terselit juga keburukan. Pokok pangkalnya, apa jua kemajuan yang dicapai perlulah berlandaskan nilai- nilai Islam dan mengikut batas- batas penerokaan ilmu yang telah ditetapkan. Barulah kemajuan dan pembangunan yang kita capai tidak terpesong dan tidak mendatangkan keburukan kepada ummah kerana kadangkala keburukan itu sebenarnya kita juga yang menciptakannya.

Ukuran Nilai Kebahagiaan Sesebuah Negara

Ditulis oleh Nur Syahidah binti Abd Jalil. Posted in Berita Harian


Institusi kekeluargaan merupakan isu penting terutama dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan berciri ketimuran. Di peringkat masyarakat dan undang-undang negara tidak mengiktiraf hubungan individu berlainan jantina yang hidup bersama tanpa melalui perkahwinan. Ini termasuklah perkara-perkara seperti hak dan tanggungjawab terutama sekali apabila timbul insiden kelahiran dan kematian.

Pengiktirafan kepada institusi perkahwinan tidak hanya berkisar mengenai hubungan kekeluarga semata-mata tetapi menyumbang kepada kerangka dasar pembangunan sosio ekonomi negara. Ini kerana pada hari ini nilai kekayaan semata-mata tidak lagi menjadi ukuran utama bagi sesebuah negara. Nilai-nilai murni, kebahagiaan dan kesihatan mental menjadi tren kepada pengukuran pembangunan yang terkini di pelbagai negara termasuklah di negara-negara maju.

Di antara data-data yang boleh ditekuni dalam konteks pembangunan sosial ialah seperti kesuburan wanita di Malaysia misalnya. Pada tahun 2007 kadar kesuburan jumlah bagi setiap 1000 wanita ialah 2.3 dan menurun kepada 2.1 pada tahun 2010. Mengikut Jabatan Perangkaan, kadar kesuburan jumlah merujuk kepada purata bilangan anak yang akan dilahirkan sekiranya seseorang perempuan terus hidup sehingga akhir tempoh reproduktifnya.

Dalam konteks ini, walaupun berlaku peningkatan jumlah penduduk setiap tahun namun tren pertumbuhan ini adalah perlahan berdasarkan maklumat kadar kesuburan jumlah yang diperoleh. Dalam perspektif yang berbeza ia memberi gambaran bahawa terdapat perubahan-perubahan sosial dan gaya hidup dalam masyarakat yang mencetuskan insiden ini.

Pertama, mengenai isu berkahwin lewat pada umur yang produktif yang mungkin disebabkan oleh kesedaran mengenai pendidikan tinggi semakin berkembang di kalangan masyarakat. Lazimya pelajar lepasan sekolah yang menyambung pengajian tinggi komited kepada pengajian mereka dan tidak cenderung untuk berkahwin. Namun terdapat juga sebahagian daripada pelajar-pelajar ini belajar dan berkahwin dalam masa yang sama.

Peningkatan kos sara hidup juga boleh menyebabkan individu cenderung untuk menunda perkahwinan dengan mencari pekerjaan atau mengambil masa untuk mengumpul wang bagi tujuan perkahwinan. Ini menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk melewatkan perkahwinan seterusnya mengehadkan kelahiran anak berdasarkan faktor umur. Diakui bahawa pada hari ini kos sara hidup menyebabkan sebilangan besar masyarakat mempunyai pilihan yang terhad. Ini termasuklah pilihan tempat tinggal, pilihan pekerjaan, pilihan kenderaan dan pilihan pendidikan. Walaupun pada hakikatnya keinginan untuk berumah tangga itu wujud, kekangan yang dihadapi oleh individu menyebabkannya menangguh perkahwinan.

Kedua adalah mengenai kesediaan untuk memberi komitmen kepada orang lain. Arus kemodenan yang dibawa oleh barat terutamanya sedikit sebanyak telah diadaptasi oleh masyarakat kita. Bagi individu yang berkenaan, hubungan tanpa perkahwinan dilihat lebih selamat dan menyeronokkan kerana tiada tanggungjawab yang perlu dipikul oleh mana-mana pihak dan juga bebas untuk bertukar-tukar atau mempunyai pasangan yang ramai dalam masa yang sama.

Kesan daripada kegiatan ini boleh mengundang risiko penyakit berjangkit seperti AIDS, penyakit kelamin, insiden pembuangan bayi, masalah mental dan lain-lain. Di antara akibat daripada insiden seperti ini ialah perbelanjaan sosial negara meningkat misalnya untuk mengawal penyakit berjangkit dan menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pelindungan untuk individu yang berkenaan dengan lebih banyak dan meluas. Selain itu, insiden seperti pembuangan bayi memperlihatkan betapa perasaan untuk bertanggungjawab, belas kasihan dan kemanusiaan semakin berkurang di kalangan ahli masyarakat.

Dalam konteks agama, Islam sebagai satu cara hidup memandang tinggi kepada institusi kekeluargaan. Bahkan hidup berkeluarga merupakan fitrah kejadian manusia sebagaimana firman Allah dalam surah al-Rum yang bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda (yang membuktikan  kekuasaan dan rahmatNya) bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bahagia dengannya dan dijadikanNya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan kasihan belas”.

Ayat tersebut menjelaskan bahawa kebahagiaan yang pada hari ini diukur oleh kebanyakan negara harus bermula dengan institusi keluarga. Perasaan kasih sayang disemai dalam satu unit kecil iaitu keluarga boleh memberi impak kepada pembentukan masyarakat penyayang dan penuh dengan belas kasihan. Dalam konteks semasa, negara yang paling bahagia seharusnya bermula dengan negara yang menyokong institusi keluarga termasuklah dalam dasar pembangunannya dan polisi semasa.

Di antara  perkara-perkara yang boleh mengukuhkan institusi keluarga ialah memastikan keperluan asasi masyarakat dipenuhi. Ini termasuklah tempat tinggal yang sesuai bagi menjadikan rumah sebagai tempat berkasih sayang, menyemai budi dan menanam adab. Kes-kes seperti anak melarikan diri, ahli keluarga yang banyak menghabiskan masa di luar di antara sebabnya adalah berasa tempat tinggal yang didiami tidak selesa dan melemaskan.

Dalam perspektif yang berbeza, dasar pekerjaan perlu menyokong kepada pembangunan keluarga. Antara lain menggalakkan amalan penyusuan susu ibu di tempat kerja, menyediakan perkhidmatan penjagaan bayi dan kanak-kanak kecil di setiap tempat kerja dan menawarkan jadual bekerja anjal atau bekerja dari rumah dengan lebih meluas dengan mempertingkatkan penggunaan teknologi pada tahap maksimum.

Kebahagiaan juga dapat diperoleh menerusi kemantapan ekonomi keluarga. Tidak dinafikan wang adalah elemen penting untuk memperoleh kebahagiaan namun bukanlah secara mutlak. Malah Islam sendiri mengajak umatnya untuk mencari rezeki untuk mencapai kebahagiaan sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 10 yang bermaksud, “Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurniaanAllah, serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya(dalam setiap keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”.

Sebagai salah satu unit yang paling kecil dalam negara, intsitusi keluarga merupakan agen kebahagiaan dan menyumbang kepada pembangunan negara dalam rentaknya yang tersendiri. Ini adalah kerana Institusi kekeluargaan tidak hanya berkisar mengenai keseronokan dan kesenangan tetapi mengajar manusia akan sifat tanggungjawab dan saling membantu sesuai dengan kematangan yang akan dilalui mereka.

19 May 2013

Tentang Cerun - PBS Geo

http://www.scribd.com/doc/10880103/JenisJenis-Kegagalan-Cerun

05 May 2013

e-Rokok: Bukan pilihan untuk berhenti merokok

RAMAI perokok tegar mendakwa rokok elektronik atau e-rokok mampu menjadi pilihan untuk mengurangkan tabiat merokok dan sekali gus mampu membuang tabiat merokok mereka sejak bertahun-tahun lamanya.
Tetapi, tanpa disedari, sebenarnya rokok elektronik ini mengundang pelbagai penyakit kronik seperti penyakit jantung dan paru-paru kepada mereka yang menggunakannya.
Berdasarkan kajian terbaharu yang dibentangkan dalam Laporan Kongres Tahunan Persatuan Pernafasan Eropah (ERS) mendapati e-rokok ini mampu merosakkan paru-paru.
Alat itu didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh darah hingga mengakibatkan peningkatan segera dalam rintangan udara paru-paru.
Perkara ini juga disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa "tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai bahan gantian kepada nikotin".
Oleh itu, pihak pengeluar harus melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok.
Malah, kenyataan ini juga disokong oleh Jabatan Kesihatan Kanada (2009) yang berpendapat penggunaan e-rokok tidak digalakkan kepada rakyatnya kerana mempunyai kesan negatif ke atas penggunaannya.
Kesimpulannya, pengambilan rokok elektronik sememangnya mempunyai impaknya yang tersendiri terhadap kesihatan sama dengan rokok tembakau.
Terdapat pelbagai alternatif lain yang boleh membantu dalam usaha mengurangkan tabiat merokok. Namun, semuanya terpulang kepada diri anda sendiri, sejauh mana anda nekad untuk berhenti merokok?
Ingatlah kesihatan sangat berharga dan ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.


© Utusan Melayu (M) Bhd