Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

25 May 2013

Ukuran Nilai Kebahagiaan Sesebuah Negara

Ditulis oleh Nur Syahidah binti Abd Jalil. Posted in Berita Harian


Institusi kekeluargaan merupakan isu penting terutama dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan berciri ketimuran. Di peringkat masyarakat dan undang-undang negara tidak mengiktiraf hubungan individu berlainan jantina yang hidup bersama tanpa melalui perkahwinan. Ini termasuklah perkara-perkara seperti hak dan tanggungjawab terutama sekali apabila timbul insiden kelahiran dan kematian.

Pengiktirafan kepada institusi perkahwinan tidak hanya berkisar mengenai hubungan kekeluarga semata-mata tetapi menyumbang kepada kerangka dasar pembangunan sosio ekonomi negara. Ini kerana pada hari ini nilai kekayaan semata-mata tidak lagi menjadi ukuran utama bagi sesebuah negara. Nilai-nilai murni, kebahagiaan dan kesihatan mental menjadi tren kepada pengukuran pembangunan yang terkini di pelbagai negara termasuklah di negara-negara maju.

Di antara data-data yang boleh ditekuni dalam konteks pembangunan sosial ialah seperti kesuburan wanita di Malaysia misalnya. Pada tahun 2007 kadar kesuburan jumlah bagi setiap 1000 wanita ialah 2.3 dan menurun kepada 2.1 pada tahun 2010. Mengikut Jabatan Perangkaan, kadar kesuburan jumlah merujuk kepada purata bilangan anak yang akan dilahirkan sekiranya seseorang perempuan terus hidup sehingga akhir tempoh reproduktifnya.

Dalam konteks ini, walaupun berlaku peningkatan jumlah penduduk setiap tahun namun tren pertumbuhan ini adalah perlahan berdasarkan maklumat kadar kesuburan jumlah yang diperoleh. Dalam perspektif yang berbeza ia memberi gambaran bahawa terdapat perubahan-perubahan sosial dan gaya hidup dalam masyarakat yang mencetuskan insiden ini.

Pertama, mengenai isu berkahwin lewat pada umur yang produktif yang mungkin disebabkan oleh kesedaran mengenai pendidikan tinggi semakin berkembang di kalangan masyarakat. Lazimya pelajar lepasan sekolah yang menyambung pengajian tinggi komited kepada pengajian mereka dan tidak cenderung untuk berkahwin. Namun terdapat juga sebahagian daripada pelajar-pelajar ini belajar dan berkahwin dalam masa yang sama.

Peningkatan kos sara hidup juga boleh menyebabkan individu cenderung untuk menunda perkahwinan dengan mencari pekerjaan atau mengambil masa untuk mengumpul wang bagi tujuan perkahwinan. Ini menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk melewatkan perkahwinan seterusnya mengehadkan kelahiran anak berdasarkan faktor umur. Diakui bahawa pada hari ini kos sara hidup menyebabkan sebilangan besar masyarakat mempunyai pilihan yang terhad. Ini termasuklah pilihan tempat tinggal, pilihan pekerjaan, pilihan kenderaan dan pilihan pendidikan. Walaupun pada hakikatnya keinginan untuk berumah tangga itu wujud, kekangan yang dihadapi oleh individu menyebabkannya menangguh perkahwinan.

Kedua adalah mengenai kesediaan untuk memberi komitmen kepada orang lain. Arus kemodenan yang dibawa oleh barat terutamanya sedikit sebanyak telah diadaptasi oleh masyarakat kita. Bagi individu yang berkenaan, hubungan tanpa perkahwinan dilihat lebih selamat dan menyeronokkan kerana tiada tanggungjawab yang perlu dipikul oleh mana-mana pihak dan juga bebas untuk bertukar-tukar atau mempunyai pasangan yang ramai dalam masa yang sama.

Kesan daripada kegiatan ini boleh mengundang risiko penyakit berjangkit seperti AIDS, penyakit kelamin, insiden pembuangan bayi, masalah mental dan lain-lain. Di antara akibat daripada insiden seperti ini ialah perbelanjaan sosial negara meningkat misalnya untuk mengawal penyakit berjangkit dan menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pelindungan untuk individu yang berkenaan dengan lebih banyak dan meluas. Selain itu, insiden seperti pembuangan bayi memperlihatkan betapa perasaan untuk bertanggungjawab, belas kasihan dan kemanusiaan semakin berkurang di kalangan ahli masyarakat.

Dalam konteks agama, Islam sebagai satu cara hidup memandang tinggi kepada institusi kekeluargaan. Bahkan hidup berkeluarga merupakan fitrah kejadian manusia sebagaimana firman Allah dalam surah al-Rum yang bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda (yang membuktikan  kekuasaan dan rahmatNya) bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bahagia dengannya dan dijadikanNya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan kasihan belas”.

Ayat tersebut menjelaskan bahawa kebahagiaan yang pada hari ini diukur oleh kebanyakan negara harus bermula dengan institusi keluarga. Perasaan kasih sayang disemai dalam satu unit kecil iaitu keluarga boleh memberi impak kepada pembentukan masyarakat penyayang dan penuh dengan belas kasihan. Dalam konteks semasa, negara yang paling bahagia seharusnya bermula dengan negara yang menyokong institusi keluarga termasuklah dalam dasar pembangunannya dan polisi semasa.

Di antara  perkara-perkara yang boleh mengukuhkan institusi keluarga ialah memastikan keperluan asasi masyarakat dipenuhi. Ini termasuklah tempat tinggal yang sesuai bagi menjadikan rumah sebagai tempat berkasih sayang, menyemai budi dan menanam adab. Kes-kes seperti anak melarikan diri, ahli keluarga yang banyak menghabiskan masa di luar di antara sebabnya adalah berasa tempat tinggal yang didiami tidak selesa dan melemaskan.

Dalam perspektif yang berbeza, dasar pekerjaan perlu menyokong kepada pembangunan keluarga. Antara lain menggalakkan amalan penyusuan susu ibu di tempat kerja, menyediakan perkhidmatan penjagaan bayi dan kanak-kanak kecil di setiap tempat kerja dan menawarkan jadual bekerja anjal atau bekerja dari rumah dengan lebih meluas dengan mempertingkatkan penggunaan teknologi pada tahap maksimum.

Kebahagiaan juga dapat diperoleh menerusi kemantapan ekonomi keluarga. Tidak dinafikan wang adalah elemen penting untuk memperoleh kebahagiaan namun bukanlah secara mutlak. Malah Islam sendiri mengajak umatnya untuk mencari rezeki untuk mencapai kebahagiaan sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 10 yang bermaksud, “Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurniaanAllah, serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya(dalam setiap keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”.

Sebagai salah satu unit yang paling kecil dalam negara, intsitusi keluarga merupakan agen kebahagiaan dan menyumbang kepada pembangunan negara dalam rentaknya yang tersendiri. Ini adalah kerana Institusi kekeluargaan tidak hanya berkisar mengenai keseronokan dan kesenangan tetapi mengajar manusia akan sifat tanggungjawab dan saling membantu sesuai dengan kematangan yang akan dilalui mereka.

No comments: