Followers
Carian dalam Blog ini
12 March 2017
30 December 2015
Ubat MLM, Dr Google & Dr Facebook
Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.
Ada ijazah pun dah tak berguna.
Kerana zaman dah berubah.
Ramai yang mencari doktor di FB.
Ramai yang jadi Dr Google dan Dr FB.
Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.
Hanya diperlukan bila nak MC.
Nasihat tak pernah didengar.
Ubatan tak dimakan ikut peraturan.
Malah yang langsung tak makan ubat pun ada.
Takut nanti rosakkan buah pinggang.
Aku dan bosan jadi doktor bertauliah.
Sekarang wujud ubat2 ajaib dan ubat2 super.
Satu ubat untuk semua jenis penyakit.
Telan satu pil.
Semua penyakit boleh sembuh.
Ada ubat yang boleh merawat sistem badan.
Membetulkan mana2 yang rosak.
Membetulkan hingga sampai ke saraf tunjang.
Sel2 badan boleh ditukar menjadi seperti baru.
Seperti bayi baru dilahirkan.
Semua penyakit boleh hilang dari badan.
Darah tinggi boleh normal.
Kencing manis boleh sembuh.
Gout boleh sembuh.
Kanser pun boleh sembuh.
Aku dan bosan jadi doktor bertauliah.
Belajar ilmu perubatan 5 tahun dah tak berguna.
Sebab ilmu yang aku belajar,
sangat berbeza dengan ilmu perubatan sekarang.
Ilmu fisiologi dah tak betul.
Ilmu biokimia pun dah tak betul.
Ilmu farmakologi dah tak betul.
Ilmu patologi pun dah boleh buang ke longkang.
Ada garam bukit penawar semua penyakit.
Ada daun2 kering penawar semua penyakit.
Ada jus buah2an penawar semua penyakit.
Ada kopi penawar semua penyakit.
Ada juga mesin boleh buang toksin.
Ada juga air rendam kaki untuk buang racun.
Yang sakit jadi sihat.
Yang tua menjadi muda.
Dah tak payah pergi klinik.
Dah tak payah pergi hospital.
Dah tak payah jumpa doktor.
Minum aje ubat2 ajaib.
Telan aje pil2 kesihatan.
Duduk aje atas kerusi elektrik.
Rendam aje kaki dalam air.
Semua penyakit boleh hilang.
Itulah kehebatan ubat2 sekarang.
Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.
Pesakit2 sekarang lebih pandai daripada doktor.
Pesakit2 sekarang lebih percayakan kawan2.
Pesakit2 sekarang lebih percayakan ubat2 ajaib.
Pesakit2 sekarang lebih percayakan rawatan alternatif.
Pesakit2 sekarang lebih takut dengan ubat2 moden.
Ubat2 moden merosakkan buah pinggang.
Ubat2 moden tak boleh merawat kanser.
Ubat2 moden tidak menyembuhkan.
Ubat2 moden sekadar mengawal.
Imunisasi itu ciptaan Israel.
Imunisasi penyebab Autism.
Lebih baik makan ubat2 ajaib.
Kencing manis boleh sembuh.
Gout boleh sembuh.
Asthma boleh sembuh.
Kanser pun boleh sembuh.
Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.
Aku dah bosan memberi nasihat.
Aku dah bosan memberi penerangan.
Aku dah bosan menyuruh pesakit datang follow up.
Stok ubat sebulan boleh tahan sampai berbulan2.
Ubatan diberi sekadar jadi pameran.
Ramai pesakit2 aku yang degil2.
Paras gula naik sebab buatan orang.
Kena stroke sebab gangguan jin.
Berat badan susut sebab ada orang dengki.
Kena kanser pun sebab buatan orang?
Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.
Kerana zaman dah semakin berubah.
Doktor dah semakin tak relevan.
Penyakit boleh digoogle di internet.
Kawan2 penasihat dah ramai di FB.
Ubat2 boleh dibeli difarmasi.
Ubat2 juga boleh dibeli online.
MC pun sekarang boleh dibeli online.
Aku tak faham.
Terutama dengan ubat2 MLM.
Terutama dengan agen2 MLM.
Kenapa mudah sangat percaya,
satu ubat yang boleh menyembuh segalanya.
Dengan modal testimoni beberapa orang,
habis dijajanya ubat2 mereka satu dunia.
Yang tua dipujuk untuk membelinya.
Yang muda diajak menjadi downlinenya.
Malah doktor juga cuba dikelentongnya.
Dulu pernah ada lampu ajaib berharga 5 ribu.
Yang boleh membersihkan udara.
Membunuh segala jenis kuman dan kekotoran.
Dulu pernah ada sebuku sabun berharga 150 ringgit .
Yang boleh menjadikan awet muda.
Dulu pernah ada tuala wanita.
Yang diperbuat daripada herba2.
Boleh menyerap racun dan mencegah kanser.
Juga boleh letak didahi jika demam.
Juga boleh diletak dilutut jika terkehel.
Dan ini yang terbaru.
Hablur garam dan gula.
Ada pesakit ajak aku join mereka.
Berminggu2 aku study dan google.
Ubat yang boleh bertindak hingga ke saraf tunjang?
Biar betul?
Kalaulah betul ubat ini wujud,
doktor dah tak payah kerja susah2.
Tutup sahaja semua klinik dan hospital.
Semua orang akan jadi sihat.
Tiada penyakit didunia ini.
Sebenarnya aku kasihan dengan mereka.
Sama ada yang menjual atau membelinya.
Mereka mudah sangat percaya.
Kepada benda2 karut.
Kesihatan diri diperjudikan.
Wang ringgit sanggup dihabiskan.
Tidakkah mereka tahu,
Ubat-ubat moden perlu 15-20 tahun untuk dipasarkan?
Perlu ada clinical trial.
Perlu ada kajian saintifik.
Bukan setakat testimoni beberapa pak sanggup.
Bukan setakat cakap2 sesedap mulut.
Bukan setakat menggunakan istilah saintifik tanpa logik.
Aku dah bosan menjadi doktor bertauliah.
Aku dah nak bersara.
Aku dah nak balik kampung.
Membuka ladang kangkung.
Selamat tinggal.
Puisi Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah
Professor ni Fellow of ASM, Pakar Bedah Otak (Neurosurgeon) di HUSM, K. Bharu ... 😏😏😏😏
19 July 2013
Shisha Haram
Shisha Haram Bagi Umat Islam - Jawatankuasa Fatwa
Selain menghisap shisha, muzakarah yang bersidang pada Rabu lepas, turut melarang umat Islam daripada menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti berkaitan shisha.
Ini diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dalam kenyataan hari ini.
"Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar daripada Kementerian Kesihatan dan meneliti maklumat serta bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudaratan besar yang dihadapi akibat shisha...maka muzakarah bersetuju memutuskan shisha adalah haram," katanya.
Abdul Shukor menjelaskan penggunaan shisha akan memberi kesan dan kemudaratan besar dari segi kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi akan datang.
Muzakarah khas itu, katanya, mendapati semua dapatan saintifik menerusi pelbagai kajian komprehensif yang dilakukan di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa berjaya membuktikan shisha memberi kesan amat berbahaya dan penularannya amat membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja dan wanita.
"Dalam hal ini, muzakarah menasihatkan seluruh umat Islam supaya tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti berkaitan shisha kerana pengharamannya adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada Al-Quran dan hadis serta kaedah Fiqhiyyah," kata Abdul Shukor.
Ini, katanya, bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari'yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara seperti mana tuntutan syarak.
"Shisha jelas memudaratkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai perkara buruk atau keji yang perlu dihindari oleh semua umat Islam," katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Shukor berkata muzakarah khas itu juga kecewa terhadap perlakuan pihak-pihak yang sengaja menimbulkan isu bagi mencetuskan kemarahan umat Islam, sekali gus menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.
"Muzakarah khas berpandangan siri-siri penghinaan yang dilakukan golongan tidak bertanggungjawab ini semacam sudah dirancang dan sengaja dilakukan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang amat mulia bagi umat Islam," katanya.
Menurutnya, perbuatan yang dilakukan golongan itu telah melampaui batas kesabaran umat Islam.
"Dengan pelbagai penghinaan yang dilakukan sebelum ini, kita tidak mahu lagi kata-kata atau perlakuan biadap dan tidak bertamadun oleh rakyat Malaysia atau mana-mana warga asing dipandang sebelah mata tanpa diambil tindakan tegas dan hukuman maksimum mengikut undang-undang sedia ada," katanya.
Abdul Shukor menekankan tindakan tegas dengan kadar segera perlu dilaksanakan pihak berkuasa supaya perbuatan menghina Islam tidak terus berulang selain menjadi pengajaran buat semua.
Beliau menarik perhatian perbuatan menghina dan mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kemarahan umat Islam dan kemudian memohon maaf sudah menjadi mainan pihak-pihak berkaitan, dan ini tidak harus dibiarkan berlaku.
Justeru, Abdul Shukor berkata muzakarah khas itu menggesa umat Islam supaya bersatu dalam menghadapi niat jahat pihak-pihak yang biadap itu demi mempertahankan kesucian agama dan maruah umat Islam di negara ini.
-- BERNAMA
05 May 2013
e-Rokok: Bukan pilihan untuk berhenti merokok
UPM, SERDANG.
© Utusan Melayu (M) Bhd
09 August 2012
Ramai Masih Kurang Faham mengenai Isu Kesihatan mental
Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Insiden amuk di luar perkarangan kompleks Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya telah menarik perhatian betapa rawatan untuk gangguan kesihatan mental di negara ini kurang diberi tumpuan.
Pada 9 Julai, pasukan pegawai keselamatan cuba menghentikan Khalil Afandi Abdul Hamid, 37, dan seorang rakan wanitanya, lengkap bersenjatakan pedang samurai dan sebilah pisau, daripada bertindak agresif di pintu masuk kompleks jabatan itu.
Perlakuan bahaya oleh pasangan itu kemudian menyebabkan pasukan keselamatan mengambil tindakan yang berkesudahan dengan kematian Khalil Afandi.
Walaupun laporan awal menyebut bahawa pasangan itu mengamalkan ajaran sesat, namun siasatan lanjut mendapati mereka mempunyai gangguan kesihatan mental.
Tragedi melibatkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental bukanlah satu senario asing mahupun baru di Malaysia, tetapi masyarakat tidak ambil peduli terhadap masalah itu.
Masyarakat mempunyai persepsi bahawa jika seseorang itu mempunyai masalah kesihatan mental mereka dianggap boleh mendatangkan bahaya dan malahan penyakit mereka tidak boleh sembuh.
Tanggapan dan pandangan negatif ini pula menimbulkan situasi di mana mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental bertindak mengasingkan diri daripada masyarakat dan seterusnya tidak berusaha untuk mendapatkan rawatan.
RAWATAN AWAL MEMBANTU
Ini juga membawa kepada kelewatan untuk didiagnosa penyakit berkenaan dan dalam kes Khalil Afandi, diagnosa tidak pernah dijalankan.
"Mereka yang didiagnosa menghadapi masalah kesihatan mental peringkat awal tidak membahayakan orang lain. Masalah hanya akan timbul bila mereka lewat mendapatkan rawatan", kata Pakar Perunding Psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari kepada Bernama.
Pesakit yang mengalami halusinasi yang berpunca daripada schizophrenia dan kemurungan pula gagal mendapatkan rawatan kerana mereka bimbang reaksi prejudis masyarakat terhadap penyakit mental yang dialami", kata Dr Muhammad Muhsin.
Lama kelamaan keadaan mereka akan terus bertambah teruk, yang turut meningkatkan risiko mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai", katanya, dan menambah bahawa mereka yang mempunyai gangguan mental tidak mampu membezakan antara yang betul dan salah memandangkan proses pemikiran mereka berkurangan.
Lagipun, mereka akan bertindak agresif sebaik mereka mula berhalusinasi, yang meletakkan mereka dalam keadaan bahaya.
Pesakit yang mengalami schizophrenia melakukan jenayah yang sungguh kejam memandangkan mereka tidak berada di bumi nyata dan tidak ada apa yang mampu menghalang perbuatan mereka.
"Bagaimanapun, sebenarnya, mereka ini boleh menjadi kurang bahaya jika dirawat awal," katanya.
STIGMA MASYARAKAT
Kajian Pendaftar Kesihatan Mental Kebangsaan (NMHR) menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat mengenai isu kesihatan mental adalah jauh daripada memuaskan.
Kajian itu juga menjelaskan bahawa secara puratanya ia mengambil masa sehingga 28 bulan untuk seseorang yang mengalami masalah kesihatan mental di negara ini untuk mendapatkan rawatan, tapi pada ketika itu ia sudah terlewat.
Ini berikutan, pemikiran kognitif individu yang mengalami kesihatan mental pada ketika itu telah berada di tahap kritikal, di mana mereka sudah tidak mampu untuk membuat sesuatu keputusan, tindakan atau berfikir secara waras.
Kajian itu sekali gus dilihat selaras dengan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan yang dipetik dalam satu laporan akhbar, menguraikan bahawa kesedaran masyarakat terhadap rawatan bagi isu kesihatan mental kian menurun.
Dalam tempoh tiga tahun lepas, hanya 1.2 hingga 1.5 peratus merujuk kes mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental pergi mendapatkan rawatan ke pusat kesihatan kerajaan, adalah satu situasi yang membimbangkan memandangkan satu daripada lima rakyat Malaysia mengalami beberapa bentuk penyakit mental.
Selain faktor kurangnya kesedaran, langkah awal untuk mendiagnosis akan potensi penyerangan penyakit itu masih didasari dengan stigma serta sikap prejudis di kalangan masyarakat.
Mereka takut dan malu dicemuh sebagai 'pesakit mental', menyebabkan ramai tidak dapat menerima hakikat serta lebih gemar mendiamkan diri apabila mengalami tekanan berterusan mahupun masalah kesihatan mental daripada mengambil inisiatif berjumpa pakar piskiatri.
Masalah kesihatan mental akan dialami oleh semua individu. Tanpa mengira golongan kaya, miskin, tua, muda, setiap daripada kita tidak terlepas mengalami tekanan, masalah kehidupan.
Namun, pengendalian kepada tekanan dihadapi akan menentukan sama ada mereka hanya sekadar mengalami kesihatan mental ataupun penyakit mental.
KELUARGA MAINKAN PERANAN
Selain masyarakat, kaum keluarga terdekat juga memainkan peranan penting dalam membantu mereka berkenaan mengekalkan kesihatan mental dengan pergi mendapatkan rawatan.
Pengesanan, langkah awal boleh dilakukan dengan mengenalpasti 'perubahan kelakuan' ahli keluarga sama ada secara mendadak mahupun sebaliknya, perlu diambil perhatian jitu.
Merupakan simptom premier kepada pengesahan masalah kesihatan mental, seseorang individu yang mengalami perubahan kelakuan ketara perlu mendapatkan rawatan segera.
Ini termasuklah perubahan tingkahlaku dari seorang periang kepada pendiam, pemarah, lebih gemar bersendirian, bercakap berseorangan, mempercayai diri mempunyai kuasa luar biasa, tidur terganggu, hilang selera makan, tidak upaya melakukan aktiviti harian serta memikir dan bercakap soal bunuh diri.
"Individu mengalami masalah mental tidak tahu yang mereka ini sakit kerana tidak merasai penyakit itu, di mana kita panggilnya sebagai instilah 'inside', disebabkan itulah keluarga perlu monitor," jelas Dr Muhammad Muhsin.
Bagaimanapun, diagnosa oleh pakar dan rawatan yang betul perlu dilakukan.
Ibu bapa yang mempunyai anak yang mula menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan mental, sering menafikan hakikat anaknya mengalami masalah mental, bukan kerana apa tetapi 'takut' sekiranya dipulaukan atau didiskriminasikan oleh masyarakat setempat.
Waima, penafian serta rasa ketakutan itu akhirnya bukan sahaja akan membinasakan si pesakit malah masyarakat sekeliling.
Bagaimanapun, pengesanan perubahan tingkahlaku sahaja tidak akan berjaya sekiranya keluarga tidak memainkan peranan dalam memastikan pengambilan ubat pesakit mengikut aturan.
Ini kerana, terdapat sesetengah pesakit mula bersikap sambil lewa dalam pengambilan ubat kerana merasakan diri sudah 'sembuh' walhal penyakit itu boleh menyerang kembali apabila mereka berada dalam keadaan tekanan.
Biarpun keluarga mempunyai peranan penting, namun individu juga wajar membudayakan perjumpaan pakar psikiatri dalam sahsiah kehidupan mereka.
Apatah lagi, situasi cabaran global masa kini memerlukan seseorang itu mempunyai daya ketahanan tinggi serta pengurusan kesihatan mental sebaiknya bagi menangani tekanan dihadapi.
Lebih memerlukan pemerhatian rapi, apabila sejarah keluarga menunjukkan ada di kalangan keluarga pernah mengalami gangguan mental.
Disebabkan itu, mereka yang mengalami masalah kesihatan mental, digalakkan berjumpa dengan pakar psikiatri, sebelum ia menjadi parah!
"Persepsi tidak perlu jumpa pakar psikiatri (apabila mengalami kesihatan mental) adalah salah. Kalau mereka merasakan tidak mengapalah boleh rawat diri sendiri atau berjumpa dengan kawan, mereka silap", kata Dr Muhammad Muhsin.
Pendek kata, kesedaran yang meluas mengenai keshitan mental dan rawatan awal boleh membantu menyelamat banyak nyawa mereka yang mengalami masalah mental. Menghentikan stigma dan diskriminasi yang dikaitkan dengan isu kesihatan mental adalah langkah pertama ke arah mengawal penyakit kesihatan mental dan membantu mereka yang mengalami masalah mental.
-- BERNAMA
27 July 2012
Kanser Serviks Mudah Jangkiti Wanita, Tapi Boleh Dicegah
Oleh Hazlinda Hamzah
PULAU INDAH (KLANG), 25 Julai (Bernama) -- Menurut pakar-pakar perubatan, kanser serviks atau barah pangkal rahim boleh membawa maut kepada wanita yang menghidapinya.
Menyedari ancaman kanser jenis ini, kerajaan memulakan program memberi suntikan HPV kepada kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun sebanyak tiga dos secara percuma sejak lebih dua tahun lepas dan kini kepada remaja perempuan berusia 18 tahun.
Suntikan HPV ini boleh membina imunisasi secara semulajadi seseorang yang berusia antara 13 hingga 45 tahun. Ia dipercayai satu usaha mencegah diri daripada menjadi mangsa kanser serviks yang amat berbahaya.
Bagi fraterniti (kelompok) pakar penjagaan kesihatan, pengambilan suntikan seawal itu amat digalakkan.
Apa itu HPV?
HPV adalah 'Human Papillomavirus', sejenis virus yang boleh berjangkit menerusi hubungan seksual. Tiada ubat bagi kanser serviks dan cara yang terbaik adalah melalui pencegahan.
Malaysia adalah negara kedua di dunia selepas Australia yang melaksanakan program Imunisasi HPV Kebangsaan.
KANSER SERVIKS
Kanser serviks adalah kanser ketiga paling ketara dihidapi wanita Malaysia dan ia boleh menyerang mana-mana wanita berusia dari 30 sehingga 70 tahun.
Menurut statistik penghidap kanser serviks berada selepas kanser payu dara dan kanser kolorektal dalam tahap kanser pembunuh bagi kaum wanita di negara ini.
Walaupun begitu, ramai yang masih tertanya-tanya apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kanser serviks.
Menurut statistik lagi, penghidap kanser serviks yang paling ramai di negara ini adalah kaum Cina diikuti India dan Melayu.
Kanser serviks boleh menjangkiti mana-mana wanita terutama mereka yang telah mula mengadakan hubungan kelamin tidak kira berapa usia mereka. Ini bererti wanita dewasa yang telah berumahtangga adalah golongan yang berisiko.
Apa yang paling ditakuti ramai wanita ialah penyakit ini tidak dapat dikesan melalui sebarang tanda-tanda awal yang jelas sehingga ia melarat ke tahap yang agak lewat untuk dirawati.
PAKAR PERUNDING
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr Mohamad Farouk Abdullah, memberitahu Bernama ramai dalam kalangan wanita yang didapati menghidap kanser serviks hanya mengetahui tentang penyakit yang dideritai itu pada peringkat yang sudah serius.
"Sebagai doktor, ramai di antara kami rasa terkilan apabila kehilangan pesakit-pesakit wanita akibat terlambat melakukan ujian 'pap smear' dan mendapatkan rawatan serta perhatian untuk keadaan kesihatan.
"Ramai juga wanita yang tidak merebut peluang mendapatkan khidmat di unit obstetrik dan ginekologi di hospital kerajaan yang terdekat", jelas Dr Mohamad Farouk, yang juga presiden Persatuan Kesedaran dan Saringan Kanser atau SEDAR.
Peratusan wanita yang datang untuk mendapatkan ujian 'pap smear' juga masih kurang walaupun ia dijalankan secara percuma.
Dan kerana itulah, hospital-hospital kerajaan turut menggalakkan petugas mereka termasuk jururawat menjalankan ujian 'pap smear' secara konsisten, iaitu setiap tiga tahun sekali, di bawah program kerajaan yang diperkenalkan seawal tahun 1960an lagi.
Menurut Dr Mohamad Farouk lagi, "kanser serviks boleh dicegah, oleh itu takkan kaum wanita tidak mahu memilih jalan terbaik untuk terus kekal sihat?"
Ujian 'pap smear' dapat mengesan perubahan sel-sel yang diambil daripada bahagian serviks dan jika ia menunjukkan tanda-tanda kurang normal, tindakan awal boleh diambil secepat mungkin.
"Rawatan boleh dimulakan pada peringkat lebih awal dan ia menyelamatkan nyawa," jelas pakar itu.
PENCEGAHAN
Kanser serviks boleh dicegah sama ada melalui strategi pencegahan primer iaitu secara suntikan vaksin HPV atau strategi kedua, melalui saringan sel serviks pada peringkat awal.
'Mukosa' boleh didapati di bahagian mulut, tekak, serviks atau bahagian pangkal rahim dan dubur.
Jangkitan yang serius oleh HPV boleh menyebabkan pertumbuhan tisu secara tidak normal serta perubahan sel yang mendadak dan ini boleh mengakibatkan kanser serviks.
SUNTIKAN HPV
Suntikan HPV setakat ini ada dua jenis dan kedua-duanya melindungi mereka yang disuntik daripada HPV 16 dan 18 yang risikonya paling tinggi untuk serviks wanita, sehingga ke tahap 71 peratus.
"Suntikan perlu diambil setiap 20 tahun sekali. Walaupun begitu, ujian dan saringan serviks antara kaedah yang lebih tepat, boleh menyelamatkan nyawa wanita daripada barah yang sangat ditakuti ini, memandangkan melalui saringan sebegini saja ia terbukti berjaya dikesan", tambah Dr Mohamad Farouk.
Menurut satu kajian yang dijalankan di United Kingdom, program menyuntik remaja perempuan dengan suntikan HPV dapat menyelamatkan 400 nyawa setiap tahun kerana vaksin HPV yang disuntik sebelum dijangkiti virus tersebut terbukti sangat berkesan.
KOS
HTAR telah menjalankan satu program bersama SEDAR untuk memberi ujian 'pap smear' secara percuma kepada wanita di sebuah pulau berhampiran kawasan Pelabuhan Klang, Selangor.
Menurut Dr Mohamad Farouk, jadual saringan untuk virus yang boleh menyebabkan seseorang wanita itu menghidap kanser serviks ialah sebaik-baiknya di antara tiga hingga lima tahun sekali, bergantung kepada umur mereka.
"Kos untuk menjalani ujian 'pap smear' ialah kira-kira RM150 untuk setiap tiga tahun sekali. Manakala kos penyaringan HPV hampir RM200 setiap kali ia dilakukan", jelas beliau.
Dalam kajian pada lima tahun lepas, hanya 45.7 peratus wanita dalam usia lebih 20 tahun menjalani ujian 'pap smear,'di Malaysia.
KESEDARAN WANITA BEKERJA
"Saya tak pernah buat ujian 'pap smear' walaupun sudah beranak beberapa kali", seorang wanita didengari mengaku ketika menunggu giliran untuk membuat ujian 'pap smear' kali pertamanya semasa kumpulan petugas HTAR bersama SEDAR berkunjung ke pejabat wanita itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Wanita itu bersama lebih 30 rakan-rakan sepejabatnya yang lain telah berpeluang menjalani ujian 'pap smear' dan saringan HPV secara percuma di bangunan pejabat mereka.
Seorang lagi petugas pejabatnya yang pernah menjalani ujian 'pap smear' setiap kali selepas bersalin turut menjalani ujian saringan yang sangat penting itu setelah hampir 10 tahun tidak berkunjung ke klinik pakar ginekologi untuk membuat saringan susulan.
MENGAPA?
Mengapakah ramai yang menyedari tentang bahaya melewatkan jadual menguji tahap kesihatan organ dalaman mereka, memilih untuk tidak mengikuti jadual yang sepatutnya?
Ada yang malu, ada juga yang takut.
"Wanita harus mengenali tubuh mereka sendiri. Setiap organ yang dimiliki, telah ditentukan fungsinya dan ia hanya boleh berfungsi dengan baik sekiranya ia sihat.
"SEDAR dan HTAR sentiasa berusaha memberi wanita tempatan pilihan sendiri. Kira-kira 80 peratus daripada wanita akan dijangkiti dengan HPV pada satu-satu masa dalam kehidupan mereka tetapi tidak semua HPV menyebabkan kanser.
"Jadi, pastikan pemeriksaan yang sangat perlu ini tidak diabaikan atau dipandang ringan", Dr Mohamad Farouk mengingatkan.
Ujian 'pap smear' adalah pemeriksaan dalaman yang dilakukan dengan menggunakan spekulum atau berus serviks untuk mengambil sel-sel permukaan serviks sebelum dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut.
"Jika keputusan ujian 'pap smear' tidak normal, wanita itu akan dirujuk untuk penyiasatan dan rawatan lanjut.
Ujian 'pap smear' yang dijalankan dalam program HTAR menggunakan kaedah sitology berasaskan cecair dan ujian DNA HPV dapat dijalankan sekaligus. Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk bersama-sama mencegah kanser serviks.
-- BERNAMA
Usaha Murni Tingkatkan Kesedaran Mengenai Kanser Serviks
Oleh Hazlinda Hamzah
Ini adalah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenai kesedaran kanser serviks dalam kalangan wanita. Bahagian ini berkisar kepada khidmat Persatuan Kesedaran dan Saringan Kanser (SEDAR) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi penduduk di Pulau Indah, Selangor.
PULAU INDAH (Klang), 24 Julai (Bernama) -- Bagi Artini Ariffin dan penduduk di sini, usaha yang dijalankan Persatuan Kesedaran dan Saringan Kanser atau 'SEDAR' boleh dikatakan sebagai satu usaha murni untuk mereka.
SEDAR dengan kerjasama Jabatan Ginekologi dan Obstetrik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang telah menjalankan program kesedaran dan saringan bagi kanser serviks terutama bagi penduduk wanita di sini.
(Kanser serviks atau dikenali juga sebagai barah pangkal rahim ialah sejenis kanser yang boleh menyerang wanita. Tanpa pencegahan dan rawatan ia boleh membawa maut).
Program kesedaran ini turut disokong Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Artini, anak kelahiran Pahang yang telah 13 tahun menetap di sini meluahkan rasa gembiranya bila Pulau Indah dipilih HTAR untuk program kesihatan yang mendatangkan kesedaran mengenai kanser terutama kanser serviks.
"Untuk kami di sini sampai ke HTAR, memerlukan sekurang-kurangnya satu jam. Khidmat yang diberikan SEDAR bersama pakar dan jururawat dari HTAR bagaikan satu rahmat bagi kami," jelas Artini kepada penulis di sini.
Pulau Indah, dulunya dikenali sebagai Pulau Lumut, terletak di barat Pelabuhan Klang atau dengan lebih tepat 'West Port'. Ia dihubungkan ke Teluk Gong di tanah besar dengan sebuah jambatan.
Penduduknya seramai lebih 10,000 orang di mana 95 peratus daripada mereka berbangsa Melayu. Terdapat juga 300 orang Asli mendiami pulau ini.
SEGAN DAN TAKUT
Menurut pakar-pakar bidang perubatan, kanser serviks boleh disebabkan 'Human Papillomavirus' atau HPV. Ia adalah satu jangkitan virus secara hubungan seksual iaitu dari kulit ke kulit.
"Pada mulanya, ramai antara kami yang rasa segan untuk berbincang secara terbuka tentang masalah kesihatan kami.
"Tetapi setelah kami faham pencegahan penyakit lebih baik daripada rawatan, kami pun bertekad mahu mendapatkan lebih pengetahuan tentang kanser yang mudah menyerang wanita", kata Artini.
Menurut guru tuisyen itu, ramai penduduk wanita yang malu dan tidak mahu menjalani ujian 'pap smear', tetapi setelah diberi penerangan, ramai yang bersetuju memilih menyertai program kesedaran ini dan hanya 10 peratus saja mengambil sikap enggan mengambil tahu tentang penyakit kanser serviks ini", jelas beliau.
'Pap smear' adalah ujian saringan bagi kanser serviks di mana sel-sel dari pangkal rahim diambil bagi pemeriksaan patologi.
Artini menjelaskan pada peringkat awalnya ramai penduduk wanita di sini enggan menjalani ujian saringan ini tetapi setelah mereka diberikan penjelasan akhirnya mereka bersetuju menjalani pemeriksaan.
PERANAN
Anak kelahiran Kelantan, Dermawani Mamat, turut menyertai program ini dan memberi motivasi kepada penduduk di empat kampung di pulau ini untuk sama-sama menyertai program saringan kanser serviks.
Kata Dermawani, beliau akan menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada peserta program bagi mengingatkan mereka terhadap program yang akan bermula di Klinik Kesihatan di kampung masing-masing.
"Sebelum program bermula di Klinik Kesihatan, saya akan menghantar SMS kepada penduduk mengingatkan mereka mengenai program itu.
"Pada peringkat awal, ada yang memberi sambutan positif, ada yang hanya berdiam diri tetapi ramai juga yang menolak. Susah juga hendak mengajak mereka dengan sekali cuba sahaja", jelas Dermawani, seorang eksekutif pentadbiran di sebuah kilang di sini.
Kampung-kampung yang terlibat di bawah program ini ialah Sungai Pinang, Perigi Nanas, Teluk Nipah dan Sungai Kembong.
MAKLUMAT KESIHATAN
"Kami dapat lebih pengetahuan tentang tahap penjagaan kesihatan yang perlu diketahui, terutama untuk mengelakkan kanser serviks daripada petugas HTAR yang berkunjung ke pulau ini untuk berkongsi ilmu kesihatan dengan penduduk", jelas Derma'ani kepada penulis pada sesi penerangan kesihatan di sebuah Klinik Kesihatan di sini.
Program ini turut mendapat sambutan positif daripada golongan lelaki.
Ketua kampung Sungai Pinang, Abdul Haris Bahrun berkata, program itu dapat memberi penerangan tentang tahap kesihatan lelaki.
"Ada juga (lelaki) yang menyuarakan rasa ingin tahu akan kanser yang boleh mengancam kesihatan serta kehidupan dan hubungan sesama keluarga termasuk kanser prostat.
"Saya difahamkan ia satu-satunya program di dunia yang menawarkan ujian 'pap smear' di rumah jika perlu. Saya telah menasihatkan anak buah di kampung untuk menyertainya," jelas Abdul Haris, anak kelahiran Pulau Indah.
RUMAH KE RUMAH
Hampir 200 petugas HTAR terlibat dalam program yang dijalankan selama hampir setahun di pulau ini.
Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa separuh daripada penduduk wanita Pulau Indah tidak pernah menjalani ujian 'pap smear'.
Program ini turut mengadakan lawatan dari rumah ke rumah bagi meyakinkan mereka yang tidak mahu menerima pemeriksaan daripada petugas hospital.
"Kami pujuk dan mengingatkan mereka bahawa ujian itu perlu untuk kebaikan diri sendiri. Kalau jatuh sakit, bukan sahaja keluarga akan menderita malah melibatkan kos yang tinggi.
"Mereka tidak sepatutnya membebankan keluarga dengan penyakit yang boleh dicegah daripada melarat itu.
"Saya turut mengajak pekerja kilang tempat saya bekerja untuk menerima tawaran khidmat saringan secara percuma itu", jelas Derwani.
Ada juga yang menolak pelawaan itu kerana tidak dibenarkan oleh suami masing-masing.
Dermawani yang mengambil peranan sebagai wakil jururawat, berusaha secara berterusan mempengaruhi penduduk kampung supaya tidak menolak perkhidmatan perubatan yang dibawa ke pintu rumah mereka.
"Ini program yang menawarkan ujian 'pap smear' di rumah secara percuma, selain memudahkan penduduk mendapat akses kepada informasi kesihatan dan rawatan", jelas Dermawani.
Hasrat Kementerian Kesihatan adalah murni bagi mencapai tahap sifar sakit bagi penduduk pulau ini, katanya.
-- BERNAMA
12 May 2012
Susu ibu elak generasi obes
KHASIAT susu ibu bukan lagi menjadi rahsia malah diperkukuhkan dengan kajian yang dijalankan di lima negara Eropah menerusi Projek Program Pemakanan Awal.
Hasil kajian mendapati obesiti dan penyakit kardiovaskular dalam kalangan orang dewasa berkait rapat dengan pemakanan awal.
Profesor Dr. Berthold V. Koletzko yang mengetuai kajian berkenaan pada 2009 mendapati 1,128 bayi yang diberikan susu formula cenderung mengalami berat badan berlebihan selain obes apabila meningkat dewasa.
Beliau yang juga pakar pediatrik merupakan Ketua Bahagian Perubatan Metabolik dan Nutrisi di Hospital Kanak-kanak Hauner, Pusat Perubatan Universiti Munich, Jerman.
Profesor Berthold pernah bertugas di Afrika Selatan dan Tanzania selain di Hospital Kanak-kanak Universiti Düsseldorf, Jerman.
Beliau juga pernah bertugas sebagai doktor nutrisi klinikal dan metabolisme di Hospital bagi Kanak-kanak Sakit di Universiti Toronto, Kanada.
"Lebih malang lagi bayi yang diberikan susu formula dikatakan pendek umur berikutan pelbagai penyakit yang dihidapi.
"Terdapat kaitan antara kenaikan berat badan pada bayi dan obesiti serta peningkatan dalam serangan penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser di kalangan dewasa," katanya semasa Bengkel Pemakanan Awal Wyeth.
Menurutnya, bayi yang diberikan susu formula pada awal usia besar kemungkinan mengalami kenaikan berat badan lebih tinggi berbanding yang mendapat susu ibu.
"Susu formula mengandungi lebih banyak protein (biasanya 55 hingga 80 peratus lebih protein) berbanding susu ibu.
"Susu ibu pula mempunyai kandungan tenaga dan protein yang rendah berbanding susu formula," katanya.
Kajiannya juga mendapati bayi yang diberikan susu ibu antara enam hingga dua tahun lebih sihat walaupun berat badan lambat bertambah.
"Sebaliknya bayi yang diberikan susu formula adalah lebih besar berbanding yang diberi susu ibu pada tahun pertama usia mereka," katanya.
Tumbesaran yang cepat pada bayi yang diberikan susu formula meningkatkan obesiti sehingga enam kali ganda.
Persatuan Pediatrik Eropah (EPA) yang menilai maklumat mengenai pemakanan hayat awal dan menggabungkannya dengan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Lembaga Keselamatan Makanan Eropah dan Persatuan Gastroenterologi, Hepatologi dan Pemakanan Pediatrik Eropah (ESPGHAN) serta Akademi Pediatrik Amerika (AAP) menawarkan paradigma baru berkaitan pemakanan awal.
"Hasilnya bayi tidak digalakkan mengambil susu formula sebelum usia mencapai 12 bulan walaupun bayi yang diberikan susu formula lebih montel," katanya.
Profesor Berthold berkata, ibu bapa perlu tahu anak yang montel tidak semestinya sihat.
"Tentu saja kita suka melihat bayi yang montel! Tapi sebenarnya montel tidak semestinya sihat," katanya.
Menurut Indeks Nutrien Disyorkan di Malaysia (MRNI) kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun sepatutnya mendapat 25 hingga 35 peratus tenaga daripada lemak.
Lemak asid arakidonik (AA) dan asid dokosaheksaenoik (DHA) sangat penting bagi perkembangan kognitif.
Bagaimanapun ia diperlukan dalam nisbah yang betul misalnya dalam susu ibu AA:DHA adalah 1.733.
Susu lembu tidak sesuai Susu ibu adalah terbaik tetapi adakalanya apabila seorang ibu tidak dapat menyusukan bayinya atas sebab-sebab tertentu, disaran mengambil susu formula yang mirip dengan susu ibu.
Pakar Runding Paediatrik Hospital Whittington dan Hospital Great Ormond Street, Dr Atul Singhal berkata, pengambilan protein dan pemakanan awal bayi amat penting bagi tahap kesihatan jangka panjang.
Menurutnya, pemakanan meliputi nutrien, kimia bagi fungsi badan dan bagaimana badan menggunakannya.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Makanan Kanak-kanak di samping Profesor Pemakanan Pediatrik di Institut Kesihatan Kanak-kanak di London, mendapati bayi yang diberikan susu formula membesar lebih cepat - akibatnya lebih obes dan lebih berisiko penyakit berkaitan kardiovaskular.
Pandangan itu dikongsi pakar runding pemakanan, Indra Balaratnam.
Semua nutrien seimbang "Bayi tidak akan membesar dengan sempurna jika dietnya kekurangan asid lemak yang diperlukan kerana lemak ada punca tenaga utama," katanya.
Menurut Balaratnam, bayi memerlukan lebih banyak lemak dalam diet mereka berbanding kanak-kanak lebih besar kerana untuk pembentukan sel otak dan mata yang sihat.
"Tidak seperti organ lain, perkembangan otak berlaku sepenuhnya apabila mencapai usia lima tahun. Pemakanan pada beberapa tahun pertama sejak janin membesar sehingga anak berusia lima tahun adalah penting untuk membekalkan nutrien yang diperlukan untuk perkembangan otak yang betul," katanya.
20 February 2012
Kanak-Kanak Mudah Dijangkiti Kuman Di Kolam Rekreasi
Ini adalah bahagian akhir daripada rencana dua siri mengenai jangkitan kuman terhadap anak kecil.
Oleh Zulkiple Ibrahim
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Ekoran laporan media mengenai jangkitan Rotavirus di dua daerah di Perak telah menimbulkan kebimbangan masyarakat tentang penyakit yang boleh berjangkit melalui air.
Pada 10 Feb lepas, media melaporkan jangkitan Rotavirus telah menyebabkan kematian dua bayi berumur antara dua dan 10 bulan kerana dehidrasi kerana cirit-birit yang teruk.
Laporan itu juga menyatakan lebih 2,200 telah dijangkiti virus dengan kebanyakannya menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Sementara itu, pada 11 Feb, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan sebagai berkata jangkitan itu kini di bawah kawalan dan tiada kes baru dilaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan.
Beliau juga berkata satu pasukan khas dari Institut Kajian Perubatan (IMR) dan Kementerian Kesihatan, sedang menyiasat punca jangkitan tersebut yang dilaporkan di daerah Batang Padang dan Hilir Perak.
Bila ada jangkitan virus dan bakteria 'bawaan' air, timbul pula satu persoalan - bagaimana dengan mereka dan anak kecil yang mengunjungi kolam rekreasi dan taman air?
Terdapat beberapa penyakit mudah berjangkit yang wujud pertalian dengan lokasi rekreasi air seperti untuk berenang dan mandi-manda.
MANDI SEBELUM MASUK KOLAM
"Memang sukar bagi menghalang bakteria dan virus wujud dalam air kolam. Di kolam yang dikunjungi ramai orang termasuk anak kecil, tahap kontaminan (kotoran) adalah tinggi," jelas Adam Abdullah, seorang penyelia di sebuah Taman Air di Lembah Klang.
"Kami telah menasihati orang dewasa dan kanak-kanak yang tidak sihat agar jangan menggunakan kolam tetapi ramai yang tidak hirau akan nasihat ini," kata Adam, sambil menambah pengurusan kolam rekreasi telah meletak notis tentang risiko jangkitan kuman bila orang ramai menggunakan kolam untuk rekreasi.
"Kita juga menasihati pengunjung supaya mandi dahulu sebelum memasuki kolam.
"Sebaliknya, masyarakat Malaysia tidak begitu hiraukan nasihat tentang keperluan mandi dahulu sebelum masuk kolam. Tanpa mandi terlebih dahulu, mereka boleh bawa kontaminan dalam bentuk kuman dan virus yang kemudian boleh menjangkiti orang lain.
"Ada juga pengunjung yang tergamak masuk kolam dengan pakaian yang mereka pakai ketika sampai. Mereka ini tidak kisah menukar pakaian yang sesuai terlebih dahulu, ianya sesuatu memang sukar walaupun ada notis yang memberitahu mereka agar berbuat demikian.
"Tidakkah mereka sedar perbuatan mereka boleh membawa virus dan bakteria masuk ke dalam kolam dan menjangkiti pengunjung lain termasuk kanak-kanak walaupun kami menggunakan sanitiser (pembersih) kolam," terang Adam.
KLORIN
Katanya pengurusan Taman Air menggunakan klorin bagi membersih kolam tetapi bahan ini cepat lupusnya jika terdapat kandungan kontaminan yang tinggi, ramai pengunjung kolam serta kesan cahaya dan haba dari matahari.
Menurut Adam lagi, algae (atau dikenali juga sebagai lumut) boleh tumbuh dalam kolam jika terdapat kandungan urea dalam air.
(Algae adalah organisme berbentuk tumbuhan yang boleh hidup di tempat lembab atau berair).
"Garam urea boleh wujud dalam air melalui peluh pengunjung serta air kencing mereka. Sebab itu, semua pengunjung mestilah mandi dengan menggunakan sabun sebelum masuk kolam.
"Pengurusan kolam menyediakan bilek mandi lengkap dengan pancuran serta kemudahan tandas bagi pengunjung.
"Jika pengunjung gagal membersihkan diri sebelum masuk kolam, mereka akan merencatkan kualiti air. Jangan sekali-kali kencing semasa berada dalam kolam, kerana bukan hanya menggalakkan algae membiak tetapi ia akan memberi kesan terhadap bahan kimia yang digunakan untuk membersih kolam.
"Dan, mengeluarkan kencing semasa berada dalam kolam adalah sesuatu perkara yang amat tidak 'higin' (bersih)," kata beliau.
RISIKO MANDIAN REKREASI
Pengurus hotel di sebuah resort, yang hanya mahu dikenali sebagai Eirene, berkata dengan mengambilkira faktor-faktor ini, ada pihak penjagaan kolam memasukkan lebih klorin bagi menghindari berlakunya jangkitan penyakit.
Ini menimbulkan satu dilema - klorin boleh menyebabkan masalah kesihatan dan terlebih menggunakannya perlu dijauhi, menurut pakar-pakar penjagaan kesihatan.
Mereka juga menjelaskan bahawa antara penyakit yang boleh berjangkit kerana air kolam yang kotor adalah gastroenteritis, demam kepialu, taun dan hepatitis A.
Pegawai perubatan Dr Bernice Wong menjelaskan satu aktiviti yang sepatutnya menyeronokan dan selamat iaitu mandi rekreasi kini sudah bertukar menjadi satu risiko kesihatan.
"Mandi rekreasi termasuk berendam dalam kolam, spa dan kolam air panas selain dari berenang di tasik, sungai, laut dan taman air.
"Orang akan sakit bila terminum air yang telah kontaminan walaupun air itu telah dirawat dengan klorin atau sanitiser lain," terang beliau.
NATRIUM HIPOKLORIT
Menurut pihak pengurusan hotel dan taman air, mereka biasanya menggunakan natrium hipoklorit bagi tujuan merawat air di kolam.
Kuman tidak akan berupaya membina ketahanan terhadap larutan ini dan natrium hipoklorit juga digunakan bagi tujuan 'oksidasi' pencemar seperti air kencing, peluh dan bahan kosmetik.
Ia juga digunakan bagi menghapus kuman patogen, bagaimanapun natrium hipoklorit memerlukan konsentrasi yang bergantung kepada tahap pencemaran.
Kata Adam, kandungan pencemar organik seperti peluh dan air kencing akan menentukan konsentrasi natrium hipoklorit yang diperlukan.
"Kalau air ditapis dahulu maka konsentrasi natrium hipoklorit yang digunakan adalah lebih rendah," terang beliau.
"Sekarang baru anda tahu kenapa pengurusan kolam dan taman air meminta anda mandi dahulu sebelum masuk kolam," tambah beliau.
-- BERNAMA
Imuniti Rendah, Kanak-kanak Mudah Kena Jangkitan Virus
Menurut doktor, kanak-kanak lebih mudah mendapat jangkitan virus disebabkan imuniti badan mereka yang lebih rendah berbanding orang dewasa. Berikut adalah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenai kanak-kanak serta jangkitan virus.
Oleh Zulkiple Ibrahim
Bernama
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Media melaporkan pada 10 Feb lepas mengenai kematian dua kanak-kanak berumur antara dua dan 10 bulan yang disebabkan jangkitan Rotavirus.
Virus itu juga telah menyebabkan 2,236 orang jatuh sakit di daerah Hilir Perak dan Batang Padang di Perak.
Menurut pihak berkuasa kesihatan negeri, sejak 27 Jan hingga 10 Feb, terdapat 2,236 kes Gastroenteritis Akut (AGE) dilaporkan di Hilir Perak (1,397 kes) dan Batang Padang (839 kes).
Dalam kebanyakan kes, simptomnya adalah cirit-birit dan muntah dengan majoriti pesakit hanya memerlukan rawatan pesakit luar.
Laporan media juga menyatakan pihak berkuasa kesihatan Perak percaya jangkitan itu berpunca daripada 'dibawa air' dan mengambil makanan yang dijangkiti virus berkenaan.
Sementara itu, pihak berkuasa sedang menyiasat mengenai jangkitan itu.
Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga seperti memasak air minuman, membasuh tangan dengan sabun sebelum dan selepas makan, sebelum menyediakan makanan, dan selepas mengguna tandas.
Ramai daripada pesakit yang terkena jangkitan itu dilaporkan terdiri daripada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.
Pada kebiasaannya, penyakit yang disebabkan jangkitan Rotavirus mudah dikawal tetapi menurut Perubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 500,000 kanak-kanak bawah umur lima tahun mati di seluruh dunia kerana jangkitan virus itu pada setiap tahun selain hampir dua juta lagi menghidap sakit teruk.
ROTAVIRUS
Menurut doktor juga, Rotavirus adalah punca utama cirit-birit yang teruk di kalangan anak kecil.
Jangkitan ini jarang berlaku pada orang dewasa di mana terdapat lima spesies virus ini iaitu virus A, B, C, D, dan E di mana Rotavirus A menyebabkan 90 peratus jangkitan pada manusia.
Menurut WHO, sebaik sahaja mencecah umur lima tahun hampir semua kanak-kanak di dunia dijangkiti virus paling kurang sebanyak sekali.
Dr Bernice Wong berkata, jangkitan virus adalah perkara biasa dan antara penyakit yang disebabkannya adalah selesema dan campak.
"Ada jangkitan virus itu hilang dengan sendirinya tanpa perlu mengambil ubat, ada yang tidak berapa serius tetapi memerlukan juga rawatan dan ada kes yang menjadi sangat serius sehingga rawatan adalah mandatori," jelas beliau.
Kata Dr Wong lagi, virus menganggu perjalanan sistem badan dan dengan itu ia menyebabkan 'ketidakselesaan' kepada pesakit.
Apakah simptom-simptomnya?
Menurut beliau, simptom jangkitan virus bergantung pada jenis virus yang menyerang dan simptomnya adalah berlainan dari satu individu ke individu yang lain.
Pegawai perubatan itu menerangkan, simptom yang biasa adalah muntah, cirit-birit dan sakit perut selain demam, sakit tekak, batuk dan selesema. Pesakit juga akan mengalami sakit badan dan keletihan.
"Simptom bagi kanak-kanak adalah tidak banyak bezanya dari simptom yang dijumpai di kalangan orang dewasa. Antara yang paling kerap dijumpai pada kanak-kanak adalah demam dan sakit kepala.
"(Kanak-kanak) yang terkena jangkitan akan mengalami simptom seperti hidung berair, muntah dan cirit-birit. Ada yang terkena batuk, sakit tekak dan sakit perut. Mereka juga akan keletihan dan tidak punya tenaga," jelas beliau.
KENAPA BAHAYA PADA ANAK KECIL?
Menurut Dr Wong, jangkitan virus adalah bahaya jika berlaku kepada anak kecil disebabkan sukar untuk memahami simptom jangkitan virus dalam diri anak kecil. Lagipun anak kecil mempunyai kesukaran bagi 'menerangkan' apa yang menganggu mereka.
Tetapi ibu bapa boleh memerhatikan gejala yang berlaku terhadap anak mereka, kata Dr Wong.
"Anak yang terkena jangkitan akan menangis tanpa henti selain mempamerkan keletihan. Terdapat ruam pada badan dan anak itu kelihatan resah.
"Ibu bapa juga akan dapat mengesan perubahan menerusi tabiat makan anak mereka dan anak itu akan makan amat sedikit berbanding kebiasaan.
"Anak yang terkena jangkitan mungkin sensitif kepada cahaya dan tidak gemar melakukan aktiviti harian seperti bermain," jelas beliau.
Kata Dr Wong individiu yang mempunya sistem imuniti badan lemah akan mudah dijangkit virus.
"Jika ibu bapa perasan simptom jangkitan virus terhadap anak mereka, jangan berlengah dan pastikan rawatan diberikan sebelum keadaan menjadi lebih teruk. Jika tidak dirawat, jangkitan virus boleh membawa kepada penyakit yang lebih serius.
"Rawatan termasuklah mengubati simptom yang ada seperti rawatan dijalankan bagi mengurangkan demam, selesema dan cirit-birit. Dalam kes cirit-birit, badan pesakit perlu dihalang dari terjadinya dehidrasi dan pesakit biasanya akan diberi garam rehidrasi oral (oral rehydration salts)," kata beliau.
MERAWAT JANGKITAN VIRUS
Menurut Dr Wong, kajian menunjukkan virus adalah hanya bahan genetik yang terkandung dalam satu 'kelongsong'. Jadi virus bukanlah organisme yang 'bernyawa' yang boleh dimatikan.
"Virus menyerang manusia dengan memasuki sel badannya dan 'melakukan program semula' sel itu bagi membentuk klon (virus yang menyerang).
"Jika virus adalah sesuatu yang tidak bernyawa, ia tidak mempunyai proses metabolik dan oleh itu antibiotik tidak berkesan terhadapnya kerana antibiotik boleh membunuh kuman dengan menganggu proses metaboliknya," kata beliau.
Selain merawat simptom jangkitan virus, ada sekumpulan ubat yang dikenali sebagai 'antiviral' yang memperlahankan merebaknya virus dalam badan manusia.
Ubat antiviral ini boleh membantu rawatan jangkitan virus, tambah beliau.
-- BERNAMA
15 February 2012
Manis beracun
Susunan KHAIRUNNISA SULAIMAN
Utusan Online.
Setiap minuman yang kita minum mempunyai gula.
Rasanya tidak lengkap hidup tanpa kemanisan. Apa rasanya air kopi atau teh jika tidak ditambah gula? Sirap yang tawar atau sambal tumis yang hambar.
Setiap hari kita pasti mengambil gula sama ada dalam makanan seperti kuih-muih, lauk-pauk dan teh tarik semasa sarapan atau sirap semasa makan tengahari.
Tapi bolehkah kita hidup tanpa kristal putih yang membawa 'kemanisan' itu?
Gula sebenarnya adalah kimia tulen. Dalam menjalani pemprosesan, semua nutrisi makanan semula jadi yang asalnya terkandung di dalam tumbuhan telah dikeluarkan.
Gula yang ada di meja makan sekarang bukan lagi dalam bentuk jisim semula jadi kerana ia dikeluarkan melalui proses industri dengan melakukan penapisan sehingga menjadi sukrosa atau fruktosa tulen.
Walaupun kebanyakan gula terhasil daripada pokok tebu atau ubi bit. Semasa proses industri semua vitamin, mineral, protein, enzim dan nutrien bermanfaat yang lain dikeluarkan daripadanya.
Justeru pengambilan gula yang berlebihan boleh mengurangkan tahap kesihatan dengan meningkatkan tekanan darah dan paras kolestrol.
Itu belum lagi dikira penyakit kronik lain seperti risiko kegagalan hati, obesiti, sakit jantung dan diabetes.
Gula dan pemanis sebenarnya amat toksik kepada badan manusia dan sepatutnya dikelaskan sebagai alkohol oleh kerajaan seluruh dunia.
Komen ini diberikan sekumpulan penyelidik Universiti California, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) bertajuk The Toxic Truth About Sugar dalam jurnal Nature bertarikh 2 Februari lalu.
Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Dr. Robert Lustig juga pakar pediatrik yang terkenal kerana kuliahnya di YouTube menyarankan penguatkuasaan seperti cukai ke atas semua makanan dan minuman yang ditambah gula, melarang penjualan makanan bergula di dalam atau berhampiran sekolah dan letakkan had umur untuk membeli gula.
Menurut beliau, gula membawa kepada perkembangan sindrom metabolik, obesiti, meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung.
Beliau menganggap fruktosa dan sukrosa menjadi penyebab masalah ini kerana ketoksikan meningkat jika dibandingkan dengan glukosa.
Justeru dengan sejumlah kecil kalori dalam gula, kesan negatifnya amat jelas.
Menurutnya, setelah gula memasuki aliran darah, kandungan gula dalam darah akan meningkat menyebabkan pankreas melepaskan insulin - yang diperlukan untuk mengubah gula menjadi tenaga. Apabila lebih banyak gula diambil bermakna lebih banyak insulin dilepaskan.
Setelah paras insulin yang tinggi dilepaskan, kadar gula darah mulai berkurang dengan cepat sehingga menimbulkan pelbagai masalah tidak lama selepas mengambil makanan manis.
Selain mengubah gula menjadi tenaga, insulin juga merangsang penyimpanan lemak.
Ketagih
Akibatnya, besar kemungkinan anda akan mengalami kenaikan berat badan dengan pengeluaran insulin.
Disebabkan bahaya gula, ada yang meletakkan keburukan gula setaraf dengan tembakau dan alkohol.
Misalnya di negara maju seperti AS, lebih dua pertiga daripada populasinya lebih berat badan dengan separuh daripadanya mengalami obesiti.
Menurut Dr. Robert, kira-kira 80 peratus mereka yang obes mengalami diabetes atau keadaan metabolik tidak seimbang.
Malah kira-kira 75 peratus dana penjagaan kesihatan dibelanjakan bagi diet berkaitan dengan obesiti.
Di seluruh dunia, obesiti adalah masalah kesihatan paling umum dalam banyak negara dan berkaitan penyakit kronik dengan diet seperti sakit jantung, diabetes dan beberapa jenis kanser.
Kebanyakan penyelidik melihat gula bukan hanya kalori kosong tetapi juga bahan kimia yang toksik jika diambil berlebihan.
Dr. Robert membandingkan gula tambahan dengan tembakau dan gula yang toksik, membuatkan ketagih dan mempunyai kesan negatif kepada masyarakat.
Tapi apa rasanya dunia tanpa gula? Tentu saja tawar dan hambar.
09 November 2011
Masalah Kesihatan Mental di sebalik Penyakit NCD
| Khairul Azhar Bin Idris Fellow 04/11/2011 | Utusan Malaysia |
NCD atau non communicable diseases adalah penyakit yang telah lama dideritai oleh umat manusia di seluruh dunia dan akan terus menjadi sejenis kelompok penyakit yang ditakuti pada hari ini. Unjuran menunjukkan ia akan menjadi antara penyakit paling utama yang membawa kematian di kalangan manusia di masa akan datang. NCD merupakan sekumpulan pelbagai jenis penyakit kronik yang berlaku bukan dengan cara jangkitan oleh ejen biologi seperti virus, bakteria, fungus atau parasit, tetapi disebabkan oleh gaya hidup dan tingkahlaku yang tidak sihat di kalangan individu serta suasana persekitaran yang memudharatkan tetapi telah mereka pilih untuk hidup dan tinggal. Masyarakat perlu memahami bahawa perkara yang telah disebutkan itu sebenarnya turut mempengaruhi tahap kesihatan dan risiko mereka untuk menghidapi pelbagai penyakit kronik. Penyakit NCD yang sering menyerang kehidupan manusia ialah seperti penyakit jantung, kencing manis, kegemukan, kanser, tekanan darah tinggi, strok, penyakit gangguan sistem pernafasan, kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah, alkohol dan merokok, serta keuzuran dan kepayahan yang dialami akibat dari kemalangan jalan raya, kemalangan dan kemudharatan di tempat kerja dan sebagainya. Malah, pelbagai jenis penyakit neuropsikiatri seperti penyakit kebimbangan dan kemurungan, ketagihan, stres, bunuh diri, dan sebagainya adalah juga tergolong ke dalam kategori penyakit NCD ini. Kesan buruk yang perlu diketahui ialah semua keadaan yang tidak baik untuk kesihatan ini telah mengakibatkan berlakunya kematian pramatang atau kematian yang berlaku di usia muda, dan juga mendatangkan ketidakupayaan kekal atau sementara yang akhirnya membawa kepada kemerosotan hidup yang sempurna dan baik, menjejaskan produktiviti dan juga mengakibatkan kehilangan kepada sumber tenaga manusia dan ekonomi dalam masyarakat dan negara. Kematian di usia muda merupakan satu ciri utama komplikasi NCD. Terdapat banyak juga kes yang dilaporkan berhubung kematian yang berlaku di usia muda, seperti kematian akibat dari penyakit jantung koronari dan diabetis pada usia sebelum 30 tahun. Malahan pernah terdapat kanak-kanak seawal usia sepuluh tahun juga ada yang telah membunuh diri. Hakikatnya, peningkatan mendadak penyakit NCD bukan hanya berlaku di negara luar, malah di serata dunia termasuklah juga di Malaysia. Di seluruh dunia, WHO menganggarkan terdapat dua dari tiga kematian adalah akibat dari penyakit NCD dan kemalangan, manakala pada tahun 2005 sahaja terdapat seramai 35 juta manusia mati akibat NCD, dan di mana sebanyak 80 peratus darinya adalah datang dari negara miskin (berpendapatan rendah) dan juga negara membangun (berpendapatan sederhana). Manakala tren di negara maju (berpendapatan tinggi) menunjukkan kadar NCD yang tinggi juga tetapi dengan jumlah kematian yang menurun dan terkawal. Dalam konteks Malaysia, sebagaimana menurut kajian oleh Kementerian Kesihatan, adalah dianggarkan terdapat seramai 4.8 juta masyarakat negara ini atau 17 peratus daripada 29 juta penduduk menghidapi pelbagai jenis penyakit dalam kategori NCD. Ini adalah satu jumlah yang besar yang sudah pasti memberi kesan terhadap produktiviti dan unjuran ekonomi, peningkatan dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan dan perubatan, serta kestabilan situasi psikososial pesakit dan ahli keluarga mereka. Terdapat pelbagai faktor risiko yang boleh mendedahkan mana-mana individu itu kepada penyakit NCD. Antaranya ialah pemilihan gaya hidup yang bersifat sedentari dan tidak mengamalkan senaman sebagai rutin, cara pemakanan yang tidak membantu meningkatkan tahap kesihatan yang baik atau yang boleh menghindarkan penyakit, tabiat buruk seperti ketagihan dadah dan alkohol serta merokok, cara pemanduan kenderaan yang tidak berkhemah yang boleh mengakibatkan kemalangan, tidak mengamalkan prosedur keselamatan di tempat kerja, dan pendedahan kepada alam persekitaran yang tercemar. Begitu juga, gaya hidup yang tidak mengutamakan penjagaan kesihatan mental yang baik dan pengawalan stres yang sempurna turut boleh mendedahkan seseorang kepada risiko menghidapi gangguan mental seperti kebimbangan dan kemurungan serta kejadian bunuh diri. Mana-mana individu yang menghidapi NCD sudah pasti akan berdepan dengan pelbagai krisis dalam kehidupannya. Krisis ini melibatkan aspek penjagaan kesihatan diri, kos perubatan, perbelanjaan dan kewangan, pekerjaan, kekeluargaan dan perhubungan interpersonal serta lain-lain lagi yang semakin merumitkan kehidupan mereka. Bagi mereka yang menghidapi NCD pada tahap kronik pula sudah pasti menyedari bahawa tidak banyak yang boleh dilakukan lagi untuk menyembuhkan penyakit. Mereka sekadar mampu berharap moga-moga keajaiban berlaku dalam usaha mengurangkan bebanan penyakit atau kesakitan yang dialami. Namun apa yang perlu diketahui ialah setiap masalah yang dihadapi akibat dari penyakit NCD sudah pasti akan memberi impak negatif kepada kestabilan psikososial mereka. Tahap kestabilan psikososial yang terjejas ini pula akhirnya akan memberi kesan yang negatif kepada kestabilan kesihatan mental. Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan berhubung aspek kesihatan mental di kalangan pesakit yang menghidapi NCD ini agar tekanan psikososial dan kesihatan mental yang terjejas itu tidak memburukkan lagi keadaan penyakit NCD yang mereka alami. Sememangnya telah banyak kajian saintifik yang dilakukan menunjukkan keadaan kesihatan mental yang amat terjejas di kalangan pesakit, baik pesakit fizikal mahupun pesakit mental. Malah, terdapat juga kajian yang telah membuktikan bahawa tekanan mental yang dialami seseorang dalam apa jua keadaan sudah cukup berisiko untuk menjejaskan kesihatan fizikal mereka. Terutamanya bagi pesakit kanser, keadaan tekanan mental yang dialami seperti kemurungan dan kebimbangan serta ketidakpastian selama mana lagi jangka hayat yang mereka ada di samping ketidakpastian subjektif terhadap keberkesanan sejauh mana rawatan yang diterima berkesan, telah didapati menjejaskan keberkesanan rawatan kemo, malah lebih memburukkan keadaan penyakit yang dialami. Walaupun kewujudan sesuatu penyakit fizikal yang dihidapi itu nampaknya lebih ketara berbanding penyakit mental, namun ini tidak bermakna pesakit tersebut sihat dan stabil keadaan mental dan pemikiran mereka. Sikap dan pandangan ini hanya berdasarkan kepada aspek luaran fizikal pesakit sahaja yang mengakibatkan rawatan yang diberikan tidak menyeluruh kerana mengabaikan aspek mental, emosi dan spiritual pesakit. Walhal terdapat banyak kajian lain menunjukkan bahawa ramai pesakit yang datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan penyakit fizikal yang dialami sebenarnya memerlukan rawatan yang lebih bagi gangguan mental dan emosi mereka, berbanding masalah fizikal yang diutarakan. Perhatian terhadap kestabilan kesihatan mental di kalangan pesakit NCD perlu dipertingkatkan dengan memberi keyakinan dan dorongan motivasi kepada mereka agar mereka memahami dan menyedari bahawa segala keperluan rawatan yang membawa kesejahteraan mereka telah mereka terima. Mereka akan berasa lebih selamat jika mereka menyedari segala keperluan rawatan itu mudah mereka perolehi. Oleh itu, memastikan agar mereka merasa selamat dan selesa dengan rawatan dan persekitaran yang ada juga merupakan prasyarat dalam mengekalkan kesihatan mental mereka di tahap yang terbaik |
29 September 2011
Aktif bersenam pintar matematik
KANAK-KANAK aktif memiliki IQ yang lebih tinggi. |
BIJAK dalam subjek Matematik menjadi salah satu kelebihan kanak-kanak yang aktif khususnya mereka yang mengalami obesiti.
Senaman biasa boleh menambah kemampuan kanak-kanak obes, yang biasanya hanya duduk diam, untuk berfikir, membuat pelbagai rancangan, bahkan bertambah baik dalam Matematik.
Demikian penemuan oleh pengkaji di Universiti Sains Kesihatan Georgia, Amerika Syarikat (AS).
Mengapa mata pelajaran Matematik? Tidak dijelaskan sebabnya, namun alasan utama kerana Matematik adalah subjek yang memiliki tahap kesukaran yang lebih tinggi berbanding mata pelajaran lain.
Para pengkaji juga berharap agar bukan kanak-kanak obes sahaja yang perlu bersenam setiap hari, bahkan mereka yang bertubuh normal. Penyelidikan tersebut didasarkan pada kajian ke atas 171 orang kanak-kanak terlebih berat badan berusia antara tujuh hingga 11 tahun di AS.
Setelah melakukan senaman setiap hari, terdapat perkembangan yang sangat signifikan dari segi kecergasan dan penguasaan mereka dalam matematik. Menurut laman web Pysch Central, selepas dilakukan imbasan MRI terhadap otak kanak-kanak tersebut, terdapat peningkatan aktiviti otak di korteks prefrontal iaitu kawasan yang digunakan untuk berfikir.
![]() |
| MATEMATIK memerlukan tumpuan yang lebih untuk menguasainya. |
Selain itu, kecerdasan otak (IQ) turut bertambah. Semakin kerap mereka bersenam, semakin tinggi IQ mereka. Rata-rata berlaku peningkatan sebanyak 3.8 mata untuk mereka yang bersenam selama 40 minit sehari selama tiga bulan.
Senaman yang dilakukan adalah pelbagai. Ini termasuk berlari, lompat tali dan bersenam.
Semua aktiviti itu juga merangsang otak. Ini memandangkan senaman membuatkan aliran darah serta oksigen ke otak berjalan lancar.
Faktanya, seseorang tidak mungkin boleh bergerak jika otaknya tidak aktif. Untuk aktif, oksigen diperlukan sekali gus menjadikan kedua-dua aktiviti dan oksigen saling berkait.
Yogurt boleh ubati stres
Menurut sekumpulan pengkaji Ireland, probiotik, atau bakteria baik yang terkandung di dalam yogurt memiliki potensi untuk mengubah kimia otak dan mengurangkan kecemasan dan gangguan yang berkait rapat dengan tekanan.
Rumusan itu hasil daripada uji kaji ke atas seekor tikus yang diberikan probiotik Lactobacillus rhamnosus. Kumpulan pengkaji tersebut mendapati, tikus yang diberi probiotik kurang memiliki tanda-tanda mengalami stres, cemas dan murung. Tikus itu juga mempunyai hormon stres kortikosteron yang jauh lebih rendah.
“Ini membuktikan bahawa probiotik dapat mempengaruhi kimia otak. Ia juga menunjukkan bakteria berperanan penting dalam komunikasi di antara usus dan otak,” ujar Profesor John Cryan dari Kolej Universiti Cork, Ireland.
Namun begitu, dia menegaskan bahawa orang yang mengalami kemurungan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan membeli semua jenis yogurt di pasaran.
EKSTRA: Amalan meminum air daun mangga yang telah direndam semalaman di dalam secawan air sangat membantu meringankan gejala diabetes.
07 May 2011
Obesiti Kanak-kanak: Dimanakah Peranan Ibu Bapa?
| Obesiti Kanak-kanak: Dimanakah Peranan Ibu Bapa? |
| Norkumala bt. Awang Pegawai Penyelidik IKIM 06/05/2011 | Utusan Malaysia |
Kanak-kanak montel, mungkin dianggap comel tetapi pernahkah kita terfikir jika kemontelan itu berterusan sehingga dewasa? Di tambah lagi, penyakit tidak berjangkit pada masa kini tidak mengenal usia dan jantina. Bahkan ia terus bermaharajalela dalam masyarakat kita. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat kita sekarang sedang membentuk dan menyediakan generasi yang gemuk dan berpenyakit pada masa akan datang. Kanak-kanak obes kini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita tetapi senario ini tidak dipandang sebagai satu masalah kesihatan awam. Bahkan ia menjadi sesuatu yang normal pada pandangan masyarakat. Hakikatnya, masyarakat kita telah pun menyedari tentang peri penting menjaga kesihatan tetapi kadangkala sikap dan tabiat gaya hidup yang tidak sihat diamalkan secara tradisi menjadi ikutan. Lantas, ia menjadi satu kelaziman dan akhirnya pelbagai masalah yang menyusup masuk dalam kehidupan mengundang bala yang tidak disedari. Lihat saja, berapa ramai antara kita yang sihat, tiba-tiba meninggal dunia akibat penyakit pembunuh secara senyap? Berapa ramai pula sekarang anak-anak telah pun mengidap penyakit diabetes sejak kecil dan paling malang lagi di bangku sekolah telah mengambil suntikan insulin sebagai rawatan diabetes? Siapakah yang harus ditunding jari ? Secara asasnya, pendidikan pemakanan dibentuk oleh kedua ibu bapa, keluarga atau orang yang menjaga anak-anak sejak dari kecil. Segala aspek bermula daripada pemilihan makanan, tabiat, cara makan dan jenis makanan adalah dicedok daripada apa yang diberikan, dibentuk dan ditunjukkan oleh ibu bapa. Kemudian barulah faktor-faktor luaran yang memainkan peranan dalam membentuk tabiat pemakanan anak-anak. Jika di sekolah, mereka mungkin terpengaruh dengan kawan-kawan dan juga persekitaran yang mereka lalui. Tetapi di rumah, ahli keluarga dan persekitaran rumah adalah penting dalam mencorak pola pemakanan anak-anak. Setiap ibu bapa mahu melihat anak-anak mereka membesar dengan sihat dan kuat. Justeru itu, sudah pastilah anak-anak disediakan dengan makanan yang berkhasiat. Pada umur awal tumbesaran, masalah pemakanan menjadi agenda utama dalam perkembangan mereka. Ini kerana sesetengah kanak-kanak mungkin menjadi kurang berselera dan ada yang mempunyai selera yang berlebihan terhadap sesuatu makanan. Ia adalah lumrah dalam perkembangan awal kanak-kanak. Mungkin disebabkan faktor ini, ibubapa memanjakan anak-anak dengan memberi segala jenis makanan dengan harapan agar mereka mendapat semua khasiat yang diperlukan. Akhirnya mereka gagal untuk mengawal pemakanan malah anak-anak cenderung untuk mengambil makanan secara berlebihan. Tidak mustahil, makanan tersebut juga tidak berkhasiat dan tidak sesuai untuk mereka akhirnya akan menyumbang kepada masalah obesiti. Walaupun faktor genetik atau keturunan tidak dapat dinafikan menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak namun punca luaran atau persekitaran tidak boleh dipandang sepi. Kanak-kanak cenderung menjadi obes apabila ibu bapa mereka juga obes. Walaupun berlaku ketidakseimbangan genetik menyebabkan individu makan secara berlebihan namun faktor ini tidak dapat diuruskan dalam kita menangani obesiti kanak-kanak. Namun, kita boleh melihat corak pemakanan anak-anak juga dicontohi daripada ibu bapa. Ibu bapa yang tidak mempunyai amalan pemakanan yang sihat boleh menyebabkan anak-anak mengikut acuan tersebut. Dalam pada masa yang sama, kita tidak boleh menyalahkan lambakan satu-satu makanan yang menyebabkan anak-anak kecil menjadi obes. Budaya semasa masyarakat yang gemarkan makanan berkalori tinggi contohnya nasi lemak, roti canai, teh tarik dan makanan segera yang lain juga menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Corak pemakanan sebegini memberi contoh kepada anak-anak. Namun begitu, ia tidak menjadi satu-satunya punca kepada permasalahan ini berlaku. Oleh itu, amatlah tidak wajar jika trend ini dipersalahkan sedangkan pokok pangkal penyebabnya tidak diperbetulkan. Contohnya, jika makanan seperti nasi lemak mudah didapati tetapi pengambilannya tidak dikawal, maka ia juga boleh menyumbang kepada masalah obesiti disebabkan kekerapan pegambilannya. Pokok pangkalnya adalah pendidikan daripada ibu bapa yang menentukan corak pemakanan mereka. Dalam hal sebegini, kesibukan ibu bapa menyebabkan pemilihan makanan yang berkhasiat agak terhad. Ibu bapa yang sibuk cenderung memilih makanan segera sebagai hidangan untuk keluarga disebabkan kekangan masa. Akhirnya ia menjadi satu budaya dalam sesebuah keluarga. Begitu juga dengan pengaruh persekitaran seperti rakan sebaya dan media massa memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada permasalahan obesiti kanak-kanak. Jika di sekolah, anak-anak di luar pengaruh dan kawalan ibu bapa, maka rakan sebaya dan persekitaran menjadi contoh utama mereka dalam memilih sesuatu makanan. Di sekolah, pemilihan makanan yang berkhasiat juga terhad malah kebanyakan makanan yang disediakan tidak cukup seimbang, berkalori tinggi, tinggi gula, garam dan juga kolesterol. Kewujudan dan kemudahdapatan snek dan minuman manis seperti "vendor machine" di sekolah juga menyebabkan anak-anak cenderung untuk mengambil gula secara berlebihan. Apatah lagi, jika pembekal makanan di sekolah lebih suka menjual makanan rapu atau "junk food" yang menjadi kesukaan kanak-kanak. Seharusnya pihak tersebut tidak mementingkan keuntungan semata-mata dengan menjual makanan yang tidak berkhasiat. Ini kerana makanan ringan akan menyumbang lebih banyak kalori malah menyebabkan pengguna menjadi cenderung untuk mengambilnya lebih banyak dan mengehadkan pengambilan makanan berkhasiat lain. Senario ini kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak, dan mereka lebih cenderung untuk menghabiskan wang belanja harian semata-mata untuk membeli makanan ringan berbanding makanan berkhasiat yang lain seperti hidangan nasi dan sebagainya. Pengambilan kalori yang tinggi, gula dan garam berlebihan akan menyumbang kepada masalah obesiti kanak-kanak. Seharusnya, permasalahan sebegini diberi perhatian serius oleh ibu bapa, pihak sekolah dan juga pembekal makanan di sekolah. Kawalan dan pemantauan terhadap bekalan makanan ringan dan minuman yang tidak baik untuk kesihatan harus dipertingkatkan malah makanan yang tidak berkhasiat ini perlu dihadkan atau diberhentikan penjualannya. Kanak-kanak yang obes akan cenderung menjadi obes apabila dewasa kelak ataupun mengalami berat badan berlebihan sepanjang hayat mereka jika tidak dirawat dan dipantau. Di samping pelan pemakanan yang sihat, anak-anak juga perlu diterapkan latihan fizikal yang mantap. Bukan sekadar menghabiskan masa terluang di hadapan televisyen dan komputer. Ibu bapa yang memiliki anak-anak obes perlu tahu bahawa mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul adalah satu perkara yang sukar. Justeru, ia memerlukan kefahaman yang mantap tentang permasalahan ini dan menekankan tabiat pemakanan yang sihat. Bukan setakat diterapkan kepada anak-anak malah perlu dilakukan bermula daripada diri sendiri. Barulah ia mempunyai sinergi yang cukup kuat dalam menyediakan kanak-kanak yang sihat dan generasi tidak obes pada masa akan datang. Kesimpulannya, kita perlu mengamalkan sikap mencegah lebih baik daripada mengubat. Kita perlu mencegah penyakit yang bakal timbul akibat keobesan generasi masa kini dengan menerapkan amalan pemakanan sihat dan berbudaya hidup sihat. Semuanya bermula daripada ibu bapa sebagai pasak utama dalam pendidikan pemakanan anak-anak. Sejajar dengan saranan dalam surah Isra' ayat 7 yang bermaksud "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga...". Jika kita tidak berkorban untuk anak-anak pada hari ini bermakna kita menyediakan generasi yang tidak sihat pada masa akan datang. Ayuh, perkasakan peranan ibu bapa dengan menilai pelan pemakanan sihat anak-anak pada hari ini. |
25 January 2011
Tangani tekanan di pejabat
Tangani tekanan di pejabat
DUNIA pekerjaan memberi pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja.
Keadaan ini, jika bijak dikawal akan meningkatkan produktiviti dan motivasi kepada seseorang, tetapi jika sebaliknya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri.
Pakar Psikiatris di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menjelaskan, tekanan sebenar yang dihadapi di tempat kerja merupakan tindak balas fizikal, emosi dan juga mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan kerja.
Biarpun ia bukan satu penyakit kronik, namun begitu, jika tekanan adalah tinggi dalam jangka masa yang panjang ia boleh menjejaskan kesihatan dan kreativiti.
''Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, resah, ketakutan dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.
"Keadaan ini jika dibiarkan akan memudaratkan diri sendiri serta kesihatan," katanya.
Ujarnya, kebiasaan pekerja yang tertekan akan menunjukkan ciri-ciri negatif kepada dirinya, malah dari sudut produktiviti kerja pula turut terjejas sehingga boleh menjejaskan motivasi seseorang itu.
Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tekanan di pejabat dilabel sebagai 'Penyakit' abad ke-20 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melaporkan bahawa tekanan ialah Epidemik Dunia.
Malah WHO juga menjangkakan bahawa tekanan di tempat kerja merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada semua lima penyakit utama di dunia iaitu penyakit jantung, kemurungan melampau, kemalangan jalan raya, strok dan penyakit paru-paru yang kronik menjelang tahun 2020.
Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (1996) menunjukkan kadar prevalen kemurungan ialah pada 11 peratus, kejadian bunuh diri yang tinggi iaitu 2,000 orang setahun dengan purata 7 orang sehari dan 13.7 peratus remaja Malaysia khususnya pelajar menghadapi masalah kesihatan berkaitan mental.
Ditanya apakah punca utama sehinggakan berlaku tekanan di tempat kerja, Dr. Muhammad Muhsin menjelaskan pelbagai faktor boleh mendorong seseorang itu menjadi tertekan. Antaranya suasana kerja, persekitaran yang bising, interaksi dan pelbagai lagi.
Selain itu, situasi tekanan dengan tugasan yang diberikan oleh majikan juga mendorong seseorang itu lebih tertekan.
''Keadaan ini menyebabkan pekerja berasa bosan untuk datang bekerja sehingga menyebabkan dia suka mengasingkan diri daripada pekerja-pekerja lain,'' ujarnya.
Situasi ini juga akan mendorong untuk pekerja itu menjadi malas ke pejabat sehinggakan merasakan dirinya tidak sesuai dengan tugasan yang diberikan kerana terlalu rendah taraf atau terlalu terbeban.
Bagaimanapun ketika ditanya mengenai strategi untuk mengurangkan tekanan di pejabat, beliau menjelaskan, pelbagai cara boleh digunakan, bagaimanapun ia bergantung kepada diri seseorang itu.
''Bagi sesetengah individu bersukan boleh melegakan tekanan yang dihadapi namun bagi sesetengah orang pula meluah atau berkongsi cerita kepada seseorang adalah cara terbaik untuk melegakan tekanan yang di hadapi.
''Semua ini bergantung kepada diri seseorang bagaimana dirinya untuk melepaskan perasaan itu," jelasnya.
Katanya lagi, bercuti juga mampu memberikan kelegaan kepada pekerja itu kerana melupakan seketika masalah yang dihadapi.
Bagaimanapun dalam masa sama, cubalah berkongsi cerita dengan orang yang paling rapat dengan kita antaranya seperti suami, ibu bapa atau rakan.
Katanya, melalui perkongsian cerita itu ia mampu mengalihkan perasaan tertekan dan juga marah itu menjadi reda.
Bagaimanapun, bagi yang beragama Islam digalakkan juga untuk bermunajat kepada Allah dengan berdoa atau melakukan solat-solat sunat.
Selain itu, tegasnya, kehidupan yang sihat adalah sesuatu cara yang paling baik untuk menyelesaikan masalah tekanan.
''Tidak salah kalau kita bahagikan masa antara kerjaya dan juga diri sendiri kerana pengurusan masa yang betul mampu memberikan ketenangan pada seseorang,'' ujarnya serius.
Utusan Online
22 January 2011
Obesiti pengaruhi fungsi hati
Saya dikategori dalam golongan obes yang memungkinkan saya mendapat masalah hati berlemak. Sedikit maklumat mengenai masalah ini serta pemakanan berkaitan mungkin boleh membantu saya.
Jawapan: Kebanyakan daripada kita mengambil mudah aspek penjagaan kesihatan, tidak terkecuali kesihatan hati. Ini mungkin juga disebabkan ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar akan peranannya. Namun ketahuilah bahawa ia menjalankan pelbagai fungsi penting tubuh dan membolehkan kita kekal sihat.
Antara fungsi penting hati termasuklah menapis dan menyahtoksik darah, protein, membantu dalam pembekuan darah, menyimpan sesetengah vitamin, mineral, mengawal atur hormon dan pelbagai lagi. Oleh yang demikian, janganlah mengabaikan penjagaan atau menunggu hingga sudah terlewat. Dengan nutrisi dan suplemen yang betul kita masih mampu mengelak kerosakan hati serta mencegah kerosakan yang lebih parah kepada masalah yang sedia ada.
Kekalkan diet rendah lemak. Penyakit hati berlemak kini kian menjadi isu kesihatan yang digeruni. Alkohol kini bukan lagi bahan utama dikaitkan dengan kerosakan hati. Pengumpulan lemak dalam hati adalah penyumbang utama kepada Non-alcoholic fatty liver disease (NAFLD) atau hati berlemak bukan akibat alkohol. Hati berlemak lazimnya tidak mempamerkan simptom, namun lama-kelamaan, masalah ini boleh menjurus kepada komplikasi yang lebih parah seperti keradangan, hati berparut, pengerasan hati dan juga kegagalan fungsi hati.
Kajian mendapati bahawa sindrom metabolik di kalangan pesakit hati berlemak bukan alkohol berkait dengan berat badan berlebihan atau obesiti di bahagian abdomen, paras kolesterol baik (HDL) yang rendah, paras trigliserida yang tinggi dan intoleransi glukosa. Oleh itu, mengawal kriteria-kriteria ini bermanfaat dalam mencegah dan merawat penyakit hati berlemak bukan alkohol.
Berdasarkan hasil kajian ke atas silymarin, iaitu komponen dalam milk thistle mampu memperbaiki fungsi hati dan mencegah kerosakan hati pada pesakit hati berlemak. Silybin yang merupakan komponen paling aktif dalam silymarin pula mampu menstabil membran-membran sel terhadap bahan toksik. Bahan aktif yang juga bertindak sebagai antioksida ini juga boleh meningkatkan aktiviti enzim penentang radikal bebas dalam sel-sel tubuh manusia, memperbaiki fungsi menyahtoksik hati dan menggalakan pemulihan hati.
Menurut laporan dalam the Journal of Alternative and Complimentary Medicine tahun 2003, dos harian silymarin lazim dalam ujian klinikal adalah antara 280mg hingga 800mg, iaitu bersamaan dengan 400mg hingga 1140mg ekstrak Milk thistle.
Kerosakan akibat radikal bebas, sama ada yang terhasil daripada tubuh itu sendiri mahupun daripada faktor luaran akan menyebabkan kerosakan kepada sel-sel tubuh termasuk hati. Salah satu cara untuk mencegah atau melawan kerosakan ini adalah dengan anti oksida seperti vitamin E Tokotrienol. Vitamin E tokotrienol terbukti 40 hingga 60 kali lebih poten sebagai antioksida berbanding vitamin E biasa (tokoferol) dan bermanfaat kepada pelbagai masalah kesihatan.
Berdasarkan kajian, pengambilan vitamin E Tokotrienol memberi manfaat kepada penghidap hati berlemak. Hasil kajian ini mendapati 66 peratus pesakit yang mengamalkan pengambilan vitamin E tokotrienol memperolehi hasil yang ketara dalam memperbaiki masalah hati berlemak. Dengan ini pengambilannya dicadangkan kepada mereka yang mengalami masalah ini.
Vitamin B kompleks memberi sumbangan tersendiri kepada kesihatan hati. Ia terlibat dalam banyak aktiviti tubuh, termasuk metabolisme lemak dan juga nutrien kepada sel-sel otak. Vitamin B komplek ini juga sangat diperlukan untuk kesihatan jantung dan juga hati.
Utusan Online
Jalani kehidupan seks secara sihat
SEBAGAI pasangan suami isteri adakah anda menikmati kehidupan seks sepuasnya? Atau anda tidak pasti akan jawapannya sehingga kadang kala membuat perbandingan kehidupan seks anda dengan rakan anda.
Sebenarnya tindakan itu salah. Jangan sesekali membuat perbandingan tersebut kerana ia hanya mengundang padah dalam perhubungan suami isteri.
Hakikat sebenarnya, sesebuah perhubungan kelamin suami isteri itu unik. Setiap pasangan mempunyai cara yang berbeza mengemudikannya.
Apa yang baik untuk orang lain tidak semestinya baik untuk anda. Ada beberapa panduan yang boleh digunakan sebagai ukuran adakah anda menjalani kehidupan seks yang sihat atau sebaliknya.
Tanda pertama - Perhubungan anda sihat
Pasangan suami isteri yang sihat, akan sentiasa berbicara tentang apa yang berlangsung dalam kehidupan mereka.
Mereka tidak membataskan diri tentang isi perbualan termasuk dalam isu perhubungan seks. Jika terdapat sesuatu yang tidak kena ataupun kepuasan seks yang dihajati tidak tercapai, mereka akan menyuarakannya.
Pasangan yang sihat juga lebih realistik dan memahami kemampuan pasangan masing-masing.
Tanda 2 - Eksperimen dalam bilik tidur
Pasangan suami isteri yang suka melakukan eksperimen dalam hubungan kelamin adalah tanda mereka berpuas hati dengan kehidupan seks mereka.
Jangan salah faham, apa yang dimaksudkan di sini bukanlah seks melampau yang tidak dituntut syarak.
Eksperimen yang dicadangkan cukuplah dengan mengajak pasangan sesekali menukar posisi, mencuba beberapa gaya terbaru atau boleh juga menukar lokasi seperti di kerusi atau sofa.
Katil bukanlah tempat yang wajib untuk hubungan seks. Dengan mencuba idea terbaru ini bukan sahaja mudah malah membuktikan kebahagiaan anda berdua.
Tanda 3 - Ikhlaskan hati untuk hubungan seks
Pernahkah anda terasa bahawa hubungan seks kini berbeza dengan ketika di awal perkahwinan?
Sudah bertahun kahwin, jadi seks itu umpama kewajipan asas suami isteri sahaja. Ia bukan lagi sesuatu yang dinikmati dengan penuh perasaan. Padahal seks adalah satu perkara yang anda dan pasangan lakukan dengan penuh keseronokan.
Pastikan anda menikmati puncak kenikmatan dan melakukannya kerana keikhlasan hati untuk pasangan anda.
Tanda 4 - Seks sebagai rutin dalam perhubungan
Bukanlah sesuatu yang pelik untuk meletakkan seks sebagai perkara terakhir dalam sesuatu perhubungan. Dalam situasi di mana anda mempunyai sebuah keluarga, anak-anak dan pekerjaan seks menjadi perkara yang sukar untuk dilakukan setiap hari.
Pasangan yang sentiasa cuba mewujudkan masa untuk hubungan seks sekerap mungkin adalah pasangan yang mempunyai perhubungan seks yang sihat. Jadilah lebih spontan.
Tanda 5 - Seks bukan sekadar hubungan, ia lebih dari itu
Seks lebih dari sekadar hubungan kelamin. Gurau senda dan sentuhan awal amat penting untuk hubungan seks yang sihat dan ceria. Pastikan anda lebih kreatif setiap hari supaya ada kejutan untuk pasangan anda.
Sebagai contoh, tinggalkan nota-nota indah atau boleh juga menghantar hadiah secara mengejut ke pejabat.
Tindakan ini boleh membuatkan pasangan anda teruja. Walaupun lepas seks berakhir anda masih romantik, itulah tanda hubungan seks anda sesuatu yang sihat. Jika salah satu tanda di atas ada menerangkan tentang kehidupan seks anda, maka anda boleh menikmati kehidupan seks yang sihat dan gembira.
24 December 2010
Stevia, Pemanis Alternatif Untuk Penjagaan Kesihatan
22 Disember, 2010 13:00 PM
Stevia, Pemanis Alternatif Untuk Penjagaan Kesihatan
KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Ancaman diabetes dan angka penghidapnya yang semakin meningkat di negara ini membuatkan usaha mencari pemanis aternatif turut diperhebat.
Pengambilan pemanis alternatif dilihat sebagai satu cara menggantikan gula sekaligus membantu mengawal jumlah pengambilan manisan dalam makanan dan jumlah pesakit diabetik di Malaysia.
Menurut statistik Kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan dianggarkan kira-kira 3.4 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes pada 2010.
Stevia, tanaman sub-tropikal yang berasal dari Amerika Selatan ialah antara pemanis alternatif terkini yang ditemui. Stevia memberi kesan tidak penting terhadap glukosa dalam darah dan oleh itu digunakan sebagai pemanis dalam diet untuk mengawal karbohidrat.
Ia dijadikan pengganti pemanis dalam pembuatan makanan dan penggunaannya, dan semakin diiktiraf badan-badan antarabangsa.
Penggunaannya di Malaysia juga semakin meluas apatah lagi di kemuncak kenaikan harga gula di pasaran dunia baru-baru ini.
PENGGUNAAN STEVIA DALAM PENGELUARAN MAKANAN
Sebuah syarikat pengeluar CT Lang Sdn Bhd, yang mengeluarkan dua produk minuman berteraskan kesihatan, kini menggunakan stevia sebagai pengganti gula dalam produk mereka.
Pengurusnya Abdullah Mohamad berkata stevia mempunyai potensi besar di dalam negara kerana proses penanamannya yang tidak rumit dan mampu mengeluarkan hasil selepas tiga bulan penanaman.
"Stevia boleh menjadi pengganti gula memandangkan kerajaan semakin giat menggalakkan rakyat untuk menggurangkan pengambilan gula dalam makanan dengan melupuskan subsidi terhadap komoditi itu baru-baru ini," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Katanya Jepun menggunakan stevia sebanyak 50 hingga 60 peratus dalam jumlah pemanis di negara itu dan ia digunakan dalam kebanyakan produk makanannya.
Abdullah berkata ekstraknya adalah 300 hingga 400 kali ganda lebih manis daripada ekstrak yang diambil daripada tebu.
SUMBER EKONOMI BUAT PEKEBUN KECIL
Abdullah berkata Malaysia yang mengimport sepenuhnya gula perang dari India, perlu memikirkan cara untuk mengurangkan pembelian gula dari luar dan sebaliknya cuba membangunkan industri stevia dalam negara.
Katanya dengan menggunakan kaedah ini, bukan sahaja mengurangkan pergantungan sumber gula dari luar, bahkan membantu pekebun kecil dan memberi sumber ekonomi baru untuk mereka.
Dalam hal ini, syarikatnya telah pun mula bertemu dengan wakil-wakil rakyat dalam menggalakkan pekebun kecil menanam stevia dalam skala yang kecil.
"Wakil rakyat boleh membantu dari segi memberi bantuan baja dan biji benih dan hasil daripada tanaman itu boleh dijual kepada syarikat, yang memerlukan ekstrak stevia untuk mengeluarkan produk kami," katanya.
Beliau berkata setakat ini petani di Bagan Serai, Perak dan Silam, Sabah bersetuju dengan idea ini dan dijangka memulakan penanaman dalam masa terdekat.
PENANAMAN SECARA KOMERSIL
Penanaman pokok stevia ini dimulakan dengan mematangkan biji benih selama sebulan.
Selepas itu, ia akan mengambil masa tiga bulan sebelum ekstrak dari daunnya diambil untuk diproses menjadi pemanis.
Abdullah berkata proses penanaman yang tidak rumit, kos yang agak rendah dan pusingan hasil yang memberangsangkan menjamin potensi stevia bukan sahaja di dalam negara malah untuk dieksport ke luar negara.
Dengan memperkenal modul tanaman secara kecil-kecilan kepada pekebun kecil, ini bukan sahaja membantu pekebun malah mewujudkan satu rangkaian komersil penanaman stevia.
Untuk permulaan, dijangka sebanyak RM40,000 diperlukan bagi penanaman stevia di kawasan seluas 0.4 hingga 0.8 hektar, kata Abdullah.
Dengan adanya stevia, rakyat Malaysia mempunyai alternatif selain gula terutama penggunaannya yang menjangkau nilai RM5 billion setiap tahun.
Abdullah berkata pandangan skeptikal rakyat Malaysia mengenai stevia merupakan penyebab mengapa ramai yang tidak tahu mengenai potensi dan kebaikan tanaman itu.
Bagaimanapun, dengan usaha kecil syarikat ini diharap lebih banyak pemahaman mengenai potensi tanaman ini dapat diterap sekaligus menjadikannya satu daripada pemacu ekonomi kepada sektor pertanian negara, katanya.
-- BERNAMA
