Followers

Carian dalam Blog ini

27 July 2012

Kanser Serviks Mudah Jangkiti Wanita, Tapi Boleh Dicegah

Oleh Hazlinda Hamzah

PULAU INDAH (KLANG), 25 Julai (Bernama) -- Menurut pakar-pakar perubatan, kanser serviks atau barah pangkal rahim boleh membawa maut kepada wanita yang menghidapinya.

Menyedari ancaman kanser jenis ini, kerajaan memulakan program memberi suntikan HPV kepada kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun sebanyak tiga dos secara percuma sejak lebih dua tahun lepas dan kini kepada remaja perempuan berusia 18 tahun.

Suntikan HPV ini boleh membina imunisasi secara semulajadi seseorang yang berusia antara 13 hingga 45 tahun. Ia dipercayai satu usaha mencegah diri daripada menjadi mangsa kanser serviks yang amat berbahaya.

Bagi fraterniti (kelompok) pakar penjagaan kesihatan, pengambilan suntikan seawal itu amat digalakkan.

Apa itu HPV?

HPV adalah 'Human Papillomavirus', sejenis virus yang boleh berjangkit menerusi hubungan seksual. Tiada ubat bagi kanser serviks dan cara yang terbaik adalah melalui pencegahan.

Malaysia adalah negara kedua di dunia selepas Australia yang melaksanakan program Imunisasi HPV Kebangsaan.

KANSER SERVIKS

Kanser serviks adalah kanser ketiga paling ketara dihidapi wanita Malaysia dan ia boleh menyerang mana-mana wanita berusia dari 30 sehingga 70 tahun.

Menurut statistik penghidap kanser serviks berada selepas kanser payu dara dan kanser kolorektal dalam tahap kanser pembunuh bagi kaum wanita di negara ini.

Walaupun begitu, ramai yang masih tertanya-tanya apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kanser serviks.

Menurut statistik lagi, penghidap kanser serviks yang paling ramai di negara ini adalah kaum Cina diikuti India dan Melayu.

Kanser serviks boleh menjangkiti mana-mana wanita terutama mereka yang telah mula mengadakan hubungan kelamin tidak kira berapa usia mereka. Ini bererti wanita dewasa yang telah berumahtangga adalah golongan yang berisiko.

Apa yang paling ditakuti ramai wanita ialah penyakit ini tidak dapat dikesan melalui sebarang tanda-tanda awal yang jelas sehingga ia melarat ke tahap yang agak lewat untuk dirawati.

PAKAR PERUNDING

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr Mohamad Farouk Abdullah, memberitahu Bernama ramai dalam kalangan wanita yang didapati menghidap kanser serviks hanya mengetahui tentang penyakit yang dideritai itu pada peringkat yang sudah serius.

"Sebagai doktor, ramai di antara kami rasa terkilan apabila kehilangan pesakit-pesakit wanita akibat terlambat melakukan ujian 'pap smear' dan mendapatkan rawatan serta perhatian untuk keadaan kesihatan.

"Ramai juga wanita yang tidak merebut peluang mendapatkan khidmat di unit obstetrik dan ginekologi di hospital kerajaan yang terdekat", jelas Dr Mohamad Farouk, yang juga presiden Persatuan Kesedaran dan Saringan Kanser atau SEDAR.

Peratusan wanita yang datang untuk mendapatkan ujian 'pap smear' juga masih kurang walaupun ia dijalankan secara percuma.

Dan kerana itulah, hospital-hospital kerajaan turut menggalakkan petugas mereka termasuk jururawat menjalankan ujian 'pap smear' secara konsisten, iaitu setiap tiga tahun sekali, di bawah program kerajaan yang diperkenalkan seawal tahun 1960an lagi.

Menurut Dr Mohamad Farouk lagi, "kanser serviks boleh dicegah, oleh itu takkan kaum wanita tidak mahu memilih jalan terbaik untuk terus kekal sihat?"

Ujian 'pap smear' dapat mengesan perubahan sel-sel yang diambil daripada bahagian serviks dan jika ia menunjukkan tanda-tanda kurang normal, tindakan awal boleh diambil secepat mungkin.

"Rawatan boleh dimulakan pada peringkat lebih awal dan ia menyelamatkan nyawa," jelas pakar itu.

PENCEGAHAN

Kanser serviks boleh dicegah sama ada melalui strategi pencegahan primer iaitu secara suntikan vaksin HPV atau strategi kedua, melalui saringan sel serviks pada peringkat awal.

'Mukosa' boleh didapati di bahagian mulut, tekak, serviks atau bahagian pangkal rahim dan dubur.

Jangkitan yang serius oleh HPV boleh menyebabkan pertumbuhan tisu secara tidak normal serta perubahan sel yang mendadak dan ini boleh mengakibatkan kanser serviks.

SUNTIKAN HPV

Suntikan HPV setakat ini ada dua jenis dan kedua-duanya melindungi mereka yang disuntik daripada HPV 16 dan 18 yang risikonya paling tinggi untuk serviks wanita, sehingga ke tahap 71 peratus.

"Suntikan perlu diambil setiap 20 tahun sekali. Walaupun begitu, ujian dan saringan serviks antara kaedah yang lebih tepat, boleh menyelamatkan nyawa wanita daripada barah yang sangat ditakuti ini, memandangkan melalui saringan sebegini saja ia terbukti berjaya dikesan", tambah Dr Mohamad Farouk.

Menurut satu kajian yang dijalankan di United Kingdom, program menyuntik remaja perempuan dengan suntikan HPV dapat menyelamatkan 400 nyawa setiap tahun kerana vaksin HPV yang disuntik sebelum dijangkiti virus tersebut terbukti sangat berkesan.

KOS

HTAR telah menjalankan satu program bersama SEDAR untuk memberi ujian 'pap smear' secara percuma kepada wanita di sebuah pulau berhampiran kawasan Pelabuhan Klang, Selangor.

Menurut Dr Mohamad Farouk, jadual saringan untuk virus yang boleh menyebabkan seseorang wanita itu menghidap kanser serviks ialah sebaik-baiknya di antara tiga hingga lima tahun sekali, bergantung kepada umur mereka.

"Kos untuk menjalani ujian 'pap smear' ialah kira-kira RM150 untuk setiap tiga tahun sekali. Manakala kos penyaringan HPV hampir RM200 setiap kali ia dilakukan", jelas beliau.

Dalam kajian pada lima tahun lepas, hanya 45.7 peratus wanita dalam usia lebih 20 tahun menjalani ujian 'pap smear,'di Malaysia.

KESEDARAN WANITA BEKERJA

"Saya tak pernah buat ujian 'pap smear' walaupun sudah beranak beberapa kali", seorang wanita didengari mengaku ketika menunggu giliran untuk membuat ujian 'pap smear' kali pertamanya semasa kumpulan petugas HTAR bersama SEDAR berkunjung ke pejabat wanita itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wanita itu bersama lebih 30 rakan-rakan sepejabatnya yang lain telah berpeluang menjalani ujian 'pap smear' dan saringan HPV secara percuma di bangunan pejabat mereka.

Seorang lagi petugas pejabatnya yang pernah menjalani ujian 'pap smear' setiap kali selepas bersalin turut menjalani ujian saringan yang sangat penting itu setelah hampir 10 tahun tidak berkunjung ke klinik pakar ginekologi untuk membuat saringan susulan.

MENGAPA?

Mengapakah ramai yang menyedari tentang bahaya melewatkan jadual menguji tahap kesihatan organ dalaman mereka, memilih untuk tidak mengikuti jadual yang sepatutnya?

Ada yang malu, ada juga yang takut.

"Wanita harus mengenali tubuh mereka sendiri. Setiap organ yang dimiliki, telah ditentukan fungsinya dan ia hanya boleh berfungsi dengan baik sekiranya ia sihat.

"SEDAR dan HTAR sentiasa berusaha memberi wanita tempatan pilihan sendiri. Kira-kira 80 peratus daripada wanita akan dijangkiti dengan HPV pada satu-satu masa dalam kehidupan mereka tetapi tidak semua HPV menyebabkan kanser.

"Jadi, pastikan pemeriksaan yang sangat perlu ini tidak diabaikan atau dipandang ringan", Dr Mohamad Farouk mengingatkan.

Ujian 'pap smear' adalah pemeriksaan dalaman yang dilakukan dengan menggunakan spekulum atau berus serviks untuk mengambil sel-sel permukaan serviks sebelum dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut.

"Jika keputusan ujian 'pap smear' tidak normal, wanita itu akan dirujuk untuk penyiasatan dan rawatan lanjut.

Ujian 'pap smear' yang dijalankan dalam program HTAR menggunakan kaedah sitology berasaskan cecair dan ujian DNA HPV dapat dijalankan sekaligus. Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk bersama-sama mencegah kanser serviks.

-- BERNAMA

No comments: