Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

15 November 2014

Teknologi Hijau

RAMAI antara kita yang sering mendengar tentang teknologi hijau dan ia sering dikaitkan dengan alam sekitar. Namun kita tidak begitu jelas apa yang dimaksudkan dengan teknologi hijau.
Teknologi Hijau atau lebih dikenali sebagai teknologi mesra alam menggariskan pelbagai kaedah untuk mengurangkan impak kepada alam sekitar. Teknologi merupakan aplikasi pengetahuan ke arah penambahbaikkan aktiviti manusia secara praktikal. Justeru, Teknologi Hijau boleh dirumuskan sebagai aplikasi pengetahuan untuk menambah baik kaedah-kaedah yang boleh mengurangkan dan membendung impak negatif kepada alam sekitar yang disebabkan oleh aktiviti manusia.

■ APAKAH PERKARA-PERKARA YANC PATUT DIUTAMAKAN DALAM TEKNOLOGI HIJAU?
Teknologi hijau mempunyai pelbagai cabang. la merangkumi pengambilan sumber daripada alam sekitar hingga kepada cara menguruskan sisa harian. Antara cara tersebut ialah perolehan hijau, pembuatan hijau, pembungkusan hijau, dasar sifar sisa dan sebagainya. Kesimpulannya, Teknologi Hijau adalah saling berkaitan dalam pelbagai cara sehingga kepada kehidupan harian kita sebagai pengguna.

► Intipati Dasar Teknologi Hijau
• Tenaga - mencari kaedah bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga yang tidak boleh diperbaharui serta menggalakkan kecekapan tenaga
• Alam Sekitar - Memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar
• Ekonomi - Meningkatkan pembangunan ekonomi Negara melalui penggunaan teknologi
• Sosial - Meningkatkan kualiti hidup untuk semua

► Amalan Hijau yang boleh dilakukan oleh pengguna
• Bawa beg sendiri ketika membeli belah bagi mengurangkan penggunaan beg plastik
• Berbasikal atau berjalan kaki sekiranya jarak perjalanan adalah berdekatan. la baik untuk kesihatan.
• Gunakan pengangkutan awam dengan kerap. Pembebasan karbon adalah jauh lebih rendah melalui kaedah ini.
• Tutup peralatan elektrik jika tidak digunakan. Gunakan tenaga dan bahan api secara efisyen. Amalkan kecekapan tenaga, layari www.switch.org.my mendapatkan kaedah mengamalkan kecekapan tenaga.

Amalkan 3R (Mengurangkan, Mengguna Semula dan Mengitar Semula) dapat mengurangkan kemusnahan sumber alam. 
Praktiskan dan sokong kaedah perkebunan secara organik
Perkebunan secara ini, yang tidak menggunakan bahan kimia, dapat memastikan alam sekitar tidak tercemar.
• Beli barangan tempatan. Kita dapat menjimatkan wang, menyokong ekonomi tempatan serta mengurangkan pembebasan karbon disebabkan pengangkutan barangan jarak jauh.
• Kurangkan atau hentikan menggunakan barangan pakai buang. la hanya menghasilkan sisa pepejal. Bahan-bahan ini kadang kala tidak boleh terurai dalam jangkamasa yang pendek.
• Gunakan air secara bijak kerana ia juga merupakan sumber yang semakin berkurangan. Penggunaan semula air serta penuaian air hujan merupakan kaedah efektif untuk mengurangkan penggunaan air di rumah.
• Belilah barangan mesra alam yang diiktiraf. Produk-produk ini kurang memberi kesan kepada pencemaran alam sekitar berbanding dengan barangan biasa. Dengan cara ini anda dapat menjamin masa depan yang sejahtera untuk generasi akan datang.
• Jalankan projek-projek atau aktiviti-aktiviti bertemakan alam sekitar di kawasan kediaman, tempat kerja dan masyarakat setempat.

02 November 2014

Pengurusan Lestari Hutan Menyelamatkan Bumi


Ditulis oleh Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin.

Dewasa ini didapati kemusnahan hutan sama ada akibat kebakaran mahupun pembangunan yang tidak terkawal telah banyak memberi kesan buruk kepada bumi dan juga hidupan yang menghuninya. Sejak akhir-akhir ini kita dapat lihat telah banyak ancaman yang terpaksa dilalui oleh manusia akibat pemusnahan hutan dan juga kegiatan pembakaran hutan yang berlaku secara berleluasa. Bencana seperti tanah runtuh, ribut taufan, banjir dan sebagainya kerap berlaku akibat penggondolan hutan yang tidak terkawal oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab, dan lebih buruk lagi ia turut mempengaruhi cuaca dunia secara menyeluruh.
Daripada hasil kajian secara saintifik, didapati suhu udara di sekitar ekosistem hutan adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan kawasan yang gondol tanpa ekosistem hutan. Ini kerana, hutan merupakan unsur utama yang mengawal suhu bumi daripada terus meningkat dan sekaligus memainkan peranan penting dalam mengawal berlakunya ‘kesan rumah hijau'.

Hutan yang mempunyai keluasan dan bentuk yang pelbagai mempunyai keupayaan dalam menurunkan suhu di sesuatu kawasan. Malah, satu kajian lepas juga telah mendapati bahawa kemampuan penyejukan bagi sebatang pokok adalah bersamaan dengan lima buah pendingin udara yang beroperasi selama 20 jam sehari. Jadi, bayangkanlah apa akan jadi kepada suhu bumi jika kawasan hutan terus diteroka tanpa adanya usaha untuk menggantikan semula hutan yang telah ditebang. Pastinya suhu bumi akan meningkat dengan mendadak dan seterusnya menyumbang kepada berlakunya pemanasan global.

Seperti yang kita sedia maklum, pemanasan global akan membawa kepada pelbagai kesan buruk yang lain seperti berlakunya kejadian banjir yang tidak dijangka. Misalnya kejadian banjir yang berlaku di negeri Kedah dan Perlis pada bulan Disember 2005 yang mana telah mengakibatkan berlakunya kemusnahan kepada lebih 30,000 hektar sawah padi yang menunggu masa untuk dituai. Akibat kejadian banjir tersebut, para petani terpaksa menanggung jumlah kerugian yang besar. Malah, kejadian banjir seumpama itu turut juga berlaku di negeri Johor dua tahun lepas, yang mana ia turut merosakkan kediaman penduduk, harta benda, hasil tanaman dan juga pelbagai kemudahan infrastruktur di negeri terbabit.

Ekoran daripada kejadian banjir itu, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membaik pulih kerosakan-kerosakan yang berlaku sepanjang tempoh tersebut. Alangkah ruginya kita kerana terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar hanya semata-mata untuk bencana yang berlaku akibat kerakusan tangan kita sendiri yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Jika bencana seumpama itu tidak berlaku, mungkin kita boleh gunakan wang tersebut untuk tujuan-tujuan lain yang lebih bermanfaat kepada kita.

Bukan itu sahaja, malah penebangan hutan secara tidak mapan juga akan turut mengancam spesies hidupan liar dan juga tumbuh-tumbuhan terutamanya spesies herba yang cukup bernilai dalam industri ubat-ubatan tradisional dan kira-kira 40% ubatan moden yang berasal daripada alam semulajadi. Apa yang lebih membimbangkan lagi, jika habitat hidupan liar tidak dikekalkan, mereka akan menceroboh ke kawasan penempatan manusia dan akan memasuki ladang serta merosakkan tanaman-tanaman para petani dan juga peladang. Hakikatnya binatang-binatang liar tersebut bukan penceroboh, malah manusia yang bersifat penceroboh.

Manakala bagi hutan bakau pula, kemusnahannya akan memberi kesan langsung kepada ekosistem marin dan sosioekonomi di sesuatu kawasan yang terlibat. Ekoran daripada keadaan tersebut, ia bukan sahaja memberi kesan jangka panjang, malah ia juga amat sukar untuk dipulihkan jika tidak dihentikan dengan kadar yang segera. Selain itu, kemusnahan hutan bakau secara berterusan pula akan mengundang pelbagai risiko bencana alam yang lebih dasyat seperti ribut taufan dan sebagainya. Malah ketiadaan kawasan ekosistem hutan bakau sebagai benteng pantai akan lebih memburukkan lagi risiko-risiko bencana yang berlaku. Misalnya, salah satu punca kadar kematian yang besar telah dicatatkan semasa kejadian taufan Narjis yang melanda Myanmar baru-baru ini adalah disebabkan oleh ketiadaan hutan bakau yang boleh bertindak sebagai penampan. Ini kerana, kebanyakan hutan bakau yang terdapat di Delta Irrawady telah musnah sejak beberapa dekad yang lampau akibat eksploitasi berlebihan bagi tujuan projek kolam udang dan juga pertanian. Malah situasi yang sama turut berlaku semasa kejadian tsunami pada tahun 2004 di Acheh, Indonesia.

Oleh yang demikian, adalah amat penting bagi setiap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam memastikan pengurusan dan penggunaan sumber hutan dilaksanakan secara berhemat dan lestari demi memelihara kestabilan ekosistem serta dapat mengekalkan kepelbagaian biologi yang sedia ada. Sebagai makhluk yang dikurniakan akal, kita sepatutnya sedar betapa kita telah banyak menyebabkan kerosakan di atas muka bumi ini. Jadi sudah tiba masanya untuk kita mengambil peranan dan tanggungjawab untuk mengatasi segala kerosakan yang telah kita lakukan, di samping mempergiatkan lagi usaha-usaha dalam memakmurkan bumi dan alam sekitar yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T. kepada kita.

Senjata Nuklear Ancaman Besar Kepada Dunia


Ditulis oleh Suzalie Bin Mohamad. 

Bom nuklear pertama kali digunakan semasa Perang Dunia II di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun pada tahun 1945. Lebih 70,000 orang di Hiroshima dan 40,000nya di Nagasaki terkorban serta merta dalam peristiwa tersebut. Menurut kronologi kajian berkaitan senjata nuklear, pembuatan bom nuklear sudah bermula seawal tahun 1938 lagi. Penemuan ini mendorong penyelidikan senjata nuklear semakin rancak apabila bahan radioaktif seperti uranium ditemui oleh Marie Curie. Bermula dari penemuan ini, ia menjadi realiti setelah penemuan dan persamaan yang dihasilkan oleh Einstein berjaya dipraktikkan.


Ukuran pencapaian dalam bidang sains dan teknologi termasuk teknologi nuklear yang telah mengkategorikan negara di dunia ini kepada negara sedang membangun dan mundur. Justeru itu, kita menyaksikan sains dan teknologi nuklear menjadi wahana kepada sesetengah negara untuk menunjukkan kekuatan sehingga menekan negara-negara kecil yang dianggap lemah kerana terkebelakang dalam bidang sains dan teknologi nuklear. Model pembangunan Barat yang diasaskan kepada sains dan teknologi itu telah menjadi mekanisme paling berkesan untuk mengekalkan atau mengembangkan dominasi Barat ke seluruh dunia.


Lima negara kuasa utama nuklear yang diiktiraf iaitu Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat telah memiliki kemudahan simulasi ujian letupan nuklear, mereka boleh terus mengeluarkan senjata tersebut dengan melakukan ujian di dalam makmal tanpa melanggari perjanjian yang telah ditandatangani iaitu Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Menyeluruh (CTBT) dan Perjanjian Prolifirasi Nuklear (NPT).


Menurut The World Nuklear Handbook (1988), terdapat kira-kira 50,000 senjata nuklear di seluruh dunia dan sebahagian besarnya dimiliki oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet Union (Russia), sementara selebihnya terdapat di United Kingdom, Peranchis dan China. Teknologi nuklear mencakupi agenda strategik global untuk mengusai politik antarabangsa. Dari sudut politik, penemuan teknologi nuklear telkah melakar konsep seperti pertahanan rintang, kemusnahan pasti bersama (MAD) perlumbaan senjata, kawalan senjata dan perlucutan senjata sebahagian besarnya berpunca dari teknologi ini. Kesan ini kekal sebagai kesan penting sehingga ke hari ini yang mana senjata nuklear mendominasi strategik global kuasa-kuasa besar dunia untuk mengawal keseimbangan politik antarabangsa.


Perkembangan teknologi persenjataan nuklear telah mendorong negara-negara maju mempertahankan kedudukannya sebagai kuasa dominan dunia. Negara yang bercita-cita menjadi kuasa utama dan mengekalkan statusnya, perlu mempunyai keupayaan untuk bertanding dan menjadi jaguh dalam mengamalkan pembaharuan dalam teknologi pertahanan berasaskan nuklear. 


Pembangunan senjata nuklear menjadi lebih rancak bila berlakunya perlumbaan dan permusuhan antara negara-negara. Negara yang telahpun mengekalkan kedudukan mereka sebagai sebuah negara yang memliki senjata nuklear akan terus melakukan penerokaan baru untuk mencanggihkan penemuan lama. Negara-negara ini akan berada dalam situasi berlumba-lumba bagi mengekalkan keupayaan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi. Keadaan ini akan menyebabkan kontroversi yang memungkinkan perang nuklear apabila keseimbangan sudah tidak dapat dikawal lagi. 


Penularan dan penjualan teknologi pertahanan berasaskan nuklear merupakan satu fenomena masa kini dalam industri ketenteraan. Ia disebabkan oleh keupayaan senjata nuklear berbanding senjata konvensional. Penularan atau prolifirasi senjata nuklear boleh berlaku apabila sebuah negara yang asalnya tidak memliki senjata ini mendapat atau membangunkan teknologi ini secara rasmi ataupun tidak. Ia juga boleh berlaku dalam keadaan di mana sebuah negara memiliki senjata tersebut dan menyimpannya di luar pangkalan persempadanan negara seperti kedudukan senjata nuklear milik Amerika Syarikat yang terletak di Eropah Barat dan juga Asia Timur. Prolifirasi teknologi nuklear perlu dikawal dengan sebaik mungkin kerana dibimbangi teknologi persenjataan nuklear disalahguankan oleh-oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawap. Amaran ini diperjelaskan di dalam al-Quran surah Ar-Ruum ayat 41 yang berbunyi "Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".


Dalam logika peperangan, konsep cegah rintang menjadi begitu popular semasa Perang Dingin berlaku antara Amerika dan sekutunya dan Russia. Pertembungan kuasa dwipolar antara kedua-duanya telah mencetuskan keadaan cegah rintang (deterance). Istilah ini menjadi sangat penting di awal era senjata nuklear, idea bahawa kekuatan yang kukuh akan menghalang musuh daripada menyerang telah mempengaruhi pertumbuhan teknologi persenjataan berasaskan tenaga nuklear. Namun apabila dua buah negara mempunyai kekuatan yang hampir sama, berlaku satu keadaan genting di mana persepsi dan perasaan takut wujud sekiranya berlaku perang maka kemusnahan itu pasti merugikan kedua-dua pihak. Keadaan cegah rintang di zaman Perang Dingin memperlihatkan bahawa kedua-dua buah negara antara Amerika dan Rusia, saling berlumba-lumba untuk menghasilkan senjata yang lebih hebat. Ditambah pula dengan kepesatan pertumbuhan bidang teknologi dan kepakaran tertentu dalam bidang nuklear telah menyebabkan pembangunan teknologi tersebut tidak dapat dielakkan.


Selain dalam Perang Dingin, keadaan cegah rintang ini juga wujud antara negara Pakistan dan India sekarang ini. Dalam persaingan ini, Pakistan perlu memiliki senjata nuklear setelah India memilikinya. Pakistan perlu mengambil tindakbalas tersebut untuk menyahut cabaran yang mungkin ditempuhinya. Apa yang berlaku seterusnya ialah senjata nuklear dan status kuasa nuklear ini menjadi penyebab atau halangan kepada kedua-dua negara ini untuk terlibat dalam peperangan besar-besaran sesama mereka. Namun wujud masalah di mana kedua-dua negara terus menjalankan pembangunan nuklear untuk mencapai keseimbangan. Ini dapat dilihat di mana India dan Pakistan berjaya membangunkan peluru berpandu masing-masing iaitu Pritvi milik India yang mempunyai jarak 150-250 km, manakala Pakistan mempunyai peluru berpandu Ghauri dan peluru Ghaznavi yang sangat berkesan untuk menghalang India dari bersikap lebih berani dan agresif daripada menyerang Pakistan dan wilayah-wilayahnya.


Pembangunan teknologi nuklear memang tidak dapat dielakkan terutama sekali dalam kalangan negara kuasa nuklear. Mereka sentiasa mempunyai perasaan curiga, persepsi dan perasan terancam serta berada dalam keadaan dilemma. Kuasa ketenteraan terbesar seperti Amerika Syarikat serta lain-lain negara nuklear sepatutnya terlebih dahulu mengambil langkah awal  untuk melucutkan atau melupuskan senjata nuklearnya sebelum mendesak negara-negara lain berbuat demikian sekiranya keamanan dunia ingin dicapai.  


Mereka menghalang pembangunan dan ujian teknologi nuklear yang dilakukan India dan Pakistan dengan memberi alasan bahawa kedua-dua negara itu miskin dan perlu menggunakan sumber domestik mereka untuk pembangunan rakyat bukannya kepada pembangunan persenjataan nuklear, sedangkan negara Perancia dan China mengadakan ujian nuklear sesuka hati tanpa mendapat sebarang tekanan yang kuat daripada Amerika atau badan-badan dunia yang bertanggungjawab menghalang pembangunan teknologi nuklear secara haram. Keadaan ini menyebabkan ketidak-seimbangan kerana seolah-olah negara Perancis dan China dan anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu berhak menjadi kuasa nuklear.   


Walau bagaimanapun, manusia nampaknya tidak pernah merasa puas dan belajar daripada keterlanjuran yang pernah berlaku yang menyebabkan jutaan manusia menjadi korban akibat ledakan bom nuklear, apatah lagi sekiranya berlaku peperangan nuklear. Oleh itu masyarakat antarabangsa, khususnya pemimpin-pemimpin dunia harus bersatu tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan untuk mendesak semua kerajaan mengharamkan peperangan dan mengheret pemimpin-pemimpin yang gila berperang ke mahkamah keadilan jenayah perang antarabangsa.  Sekiranya kita tidak memulai langkah ini, satu hari nanti pasti perang nuklear akan berlaku yang akan memusnahkan kehidupan manusia di muka bumi ini. Rasullullah ada bersabda memperingati kita supaya jangan mensia-siakan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini dengan hadis berbunyi “Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya, Bagaimana mensia-siakannya?. Rasulullah menjawab, apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” 

Institusi raja tetap dibatasi undang-undang

Oleh Shamrahayu A Aziz

Kita sering mendengar tentang kelebihan dan peranan yang dimaktubkan undang-undang kepada raja-raja. Agak jarang sekali kita diberikan penerangan tentang perkara yang menunjukkan tentang ketidakbolehan atau disabilities raja-raja.

Justeru, ada dalam kalangan khalayak yang silap faham tentang kelebihan raja-raja sehingga beranggapan bahawa raja-raja berada di luar undang-undang. Ini tidak benar. Undang-undang, secara tersurat atau tersirat telah memperuntukkan beberapa ketidakbolehan raja-raja.

Amat penting juga untuk disebut tentang ketidakbolehan raja-raja ini bagi kita faham tentang sempadan kedudukan dan kelebihan raja-raja dan sekali gus mengelakkan silap faham tentang kedudukan raja-raja. Ini juga penting untuk diseimbangi antara hak dan tanggungjawab raja-raja sebagai Ketua Utama Negara mengikut perisytiharan dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.

Kekebalan raja-raja

Kita sedia maklum tentang imuniti atau kekebalan raja-raja Melayu telah berubah dengan pindaan Perlembagaan yang mendatangkan banyak kontroversi, atau dianggap sebagai krisis Perlembagaan pada tahun 1993. Dahulunya raja-raja tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang dalam mana-mana mahkamah atas sifat peribadi.

Pindaan berkenaan telah membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas raja-raja. Kedudukan undang-undang pada masa ini ialah baginda raja-raja boleh dibawa ke Mahkamah Khas atas sifat peribadi dengan mengambil kira peraturan atau tatacara tertentu, seperti keizinan daripada Peguam Negara (lihat Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan).

Seperti yang kita maklum, dalam perkembangan semasa, institusi raja menjadi perhatian setiap lapisan rakyat dan dalam era internet ini kita sudah saksikan pelbagai kenyataan dan keberanian sesetengah pihak mempersoalkan institusi raja. Sekiranya institusi raja ini masih kebal dan berada di luar undang-undang, maka ia mampu mendatangkan mudarat atau mencabar institusi itu.

Apabila diperhatikan kesan pindaan terhadap kekebalan raja-raja, saya fikir pindaan itu mampu mengukuhkan institusi raja; sama ada pada peringkat Persekutuan, institusi Yang di-Pertuan Agong atau juga institusi raja pada peringkat negeri.

Berbalik kepada ketidakbolehan raja-raja, perkara ini disebut dengan jelas dalam Perkara 34 Perlembagaan Persekutuan. Secara konvensyen atau prinsip undang-undang perlembagaan mengenai konsep raja berperlembagaan juga baginda raja tidak mempunyai kedudukan yang bebas daripada undang-undang atau meletakkan mereka di atas undang-undang.

Peruntukan Perlembagaan

Bagi mendekatkan pembaca kepada peruntukan Perlembagaan, saya petik Perkara 34 yang bertajuk "Ketidakbolehan Yang di-Pertuan Agong, dsb untuk dibaca dan dianalisis oleh pembaca. Perkara 34 ini memperuntukkan;

"(1) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsinya sebagai Raja Negerinya kecuali fungsinya sebagai Ketua agama Islam. (2) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memegang apa-apa jawatan yang baginya ada apa-apa saraan. (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.

"(4) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menerima apa-apa jua jenis emolumen yang kena dibayar atau terakru kepadanya sebagai Raja Negerinya di bawah peruntukan Perlembagaan Negeri itu atau peruntukan mana-mana undang-undang Negeri.

(5) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh, tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, meninggalkan Persekutuan selama lebih daripada lima belas hari, kecuali semasa lawatan Negara ke suatu negara lain.

"(6) Fasal (2) dan (3) hendaklah juga terpakai bagi Raja Permaisuri Agong.

"(7) Jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh undang-undang menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong selama tempoh melebihi lima belas hari, maka Fasal (1) hingga (5) hendaklah terpakai baginya sepanjang tempoh itu sebagaimana Fasal-Fasal itu terpakai bagi Yang di-Pertuan Agong.

"(8) Tiada apa-apa jua dalam Fasal (1) boleh menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada menjalankan apa-apa kuasa yang terletak hak padanya sebagai Raja Negerinya sama ada berseorangan atau bersama-sama dengan mana-mana pihak berkuasa lain - (a) bagi meminda Perlembagaan Negeri itu; atau (b) bagi melantik seorang Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja sebagai ganti mana-mana Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang telah mati atau yang tidak berupaya kerana apa-apa sebab untuk masing-masing melaksanakan tugas jawatan Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja".

Penulis ialah Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)