Followers

Carian dalam Blog ini

02 November 2014

Pengurusan Lestari Hutan Menyelamatkan Bumi


Ditulis oleh Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin.

Dewasa ini didapati kemusnahan hutan sama ada akibat kebakaran mahupun pembangunan yang tidak terkawal telah banyak memberi kesan buruk kepada bumi dan juga hidupan yang menghuninya. Sejak akhir-akhir ini kita dapat lihat telah banyak ancaman yang terpaksa dilalui oleh manusia akibat pemusnahan hutan dan juga kegiatan pembakaran hutan yang berlaku secara berleluasa. Bencana seperti tanah runtuh, ribut taufan, banjir dan sebagainya kerap berlaku akibat penggondolan hutan yang tidak terkawal oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab, dan lebih buruk lagi ia turut mempengaruhi cuaca dunia secara menyeluruh.
Daripada hasil kajian secara saintifik, didapati suhu udara di sekitar ekosistem hutan adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan kawasan yang gondol tanpa ekosistem hutan. Ini kerana, hutan merupakan unsur utama yang mengawal suhu bumi daripada terus meningkat dan sekaligus memainkan peranan penting dalam mengawal berlakunya ‘kesan rumah hijau'.

Hutan yang mempunyai keluasan dan bentuk yang pelbagai mempunyai keupayaan dalam menurunkan suhu di sesuatu kawasan. Malah, satu kajian lepas juga telah mendapati bahawa kemampuan penyejukan bagi sebatang pokok adalah bersamaan dengan lima buah pendingin udara yang beroperasi selama 20 jam sehari. Jadi, bayangkanlah apa akan jadi kepada suhu bumi jika kawasan hutan terus diteroka tanpa adanya usaha untuk menggantikan semula hutan yang telah ditebang. Pastinya suhu bumi akan meningkat dengan mendadak dan seterusnya menyumbang kepada berlakunya pemanasan global.

Seperti yang kita sedia maklum, pemanasan global akan membawa kepada pelbagai kesan buruk yang lain seperti berlakunya kejadian banjir yang tidak dijangka. Misalnya kejadian banjir yang berlaku di negeri Kedah dan Perlis pada bulan Disember 2005 yang mana telah mengakibatkan berlakunya kemusnahan kepada lebih 30,000 hektar sawah padi yang menunggu masa untuk dituai. Akibat kejadian banjir tersebut, para petani terpaksa menanggung jumlah kerugian yang besar. Malah, kejadian banjir seumpama itu turut juga berlaku di negeri Johor dua tahun lepas, yang mana ia turut merosakkan kediaman penduduk, harta benda, hasil tanaman dan juga pelbagai kemudahan infrastruktur di negeri terbabit.

Ekoran daripada kejadian banjir itu, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membaik pulih kerosakan-kerosakan yang berlaku sepanjang tempoh tersebut. Alangkah ruginya kita kerana terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar hanya semata-mata untuk bencana yang berlaku akibat kerakusan tangan kita sendiri yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Jika bencana seumpama itu tidak berlaku, mungkin kita boleh gunakan wang tersebut untuk tujuan-tujuan lain yang lebih bermanfaat kepada kita.

Bukan itu sahaja, malah penebangan hutan secara tidak mapan juga akan turut mengancam spesies hidupan liar dan juga tumbuh-tumbuhan terutamanya spesies herba yang cukup bernilai dalam industri ubat-ubatan tradisional dan kira-kira 40% ubatan moden yang berasal daripada alam semulajadi. Apa yang lebih membimbangkan lagi, jika habitat hidupan liar tidak dikekalkan, mereka akan menceroboh ke kawasan penempatan manusia dan akan memasuki ladang serta merosakkan tanaman-tanaman para petani dan juga peladang. Hakikatnya binatang-binatang liar tersebut bukan penceroboh, malah manusia yang bersifat penceroboh.

Manakala bagi hutan bakau pula, kemusnahannya akan memberi kesan langsung kepada ekosistem marin dan sosioekonomi di sesuatu kawasan yang terlibat. Ekoran daripada keadaan tersebut, ia bukan sahaja memberi kesan jangka panjang, malah ia juga amat sukar untuk dipulihkan jika tidak dihentikan dengan kadar yang segera. Selain itu, kemusnahan hutan bakau secara berterusan pula akan mengundang pelbagai risiko bencana alam yang lebih dasyat seperti ribut taufan dan sebagainya. Malah ketiadaan kawasan ekosistem hutan bakau sebagai benteng pantai akan lebih memburukkan lagi risiko-risiko bencana yang berlaku. Misalnya, salah satu punca kadar kematian yang besar telah dicatatkan semasa kejadian taufan Narjis yang melanda Myanmar baru-baru ini adalah disebabkan oleh ketiadaan hutan bakau yang boleh bertindak sebagai penampan. Ini kerana, kebanyakan hutan bakau yang terdapat di Delta Irrawady telah musnah sejak beberapa dekad yang lampau akibat eksploitasi berlebihan bagi tujuan projek kolam udang dan juga pertanian. Malah situasi yang sama turut berlaku semasa kejadian tsunami pada tahun 2004 di Acheh, Indonesia.

Oleh yang demikian, adalah amat penting bagi setiap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam memastikan pengurusan dan penggunaan sumber hutan dilaksanakan secara berhemat dan lestari demi memelihara kestabilan ekosistem serta dapat mengekalkan kepelbagaian biologi yang sedia ada. Sebagai makhluk yang dikurniakan akal, kita sepatutnya sedar betapa kita telah banyak menyebabkan kerosakan di atas muka bumi ini. Jadi sudah tiba masanya untuk kita mengambil peranan dan tanggungjawab untuk mengatasi segala kerosakan yang telah kita lakukan, di samping mempergiatkan lagi usaha-usaha dalam memakmurkan bumi dan alam sekitar yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T. kepada kita.

No comments: