Followers

Carian dalam Blog ini

09 September 2012

Ibu Bapa Masih Kurang Arif Mengenai Keperluan Nutrisi Untuk Anak

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa ibu bapa bertanggungjawab memupuk tabiat pemakanan sihat dalam tempoh pembesaran anak memandangkan tabiat makan kanak-kanak bermula dari rumah.

Keperluan nutrisi adalah berbeza mengikut peringkat perkembangan kanak-kanak yang mana kebanyakan proses tumbesaran dan perkembangan mereka seperti deria, minda dan pembelajaran berlaku sedari usia satu hingga tujuh tahun.

Tabiat pemakanan yang sihat dan seimbang pada peringkat ini, adalah faktor penting yang mempengaruhi tumbesaran dan perkembangan minda terbaik.

Justeru, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kerana ruang kesempatan memupuk tabiat sihat hanyalah tujuh tahun pertama sebelum bermulanya pemendapan kolestrol dan sebelum tabiat anak dipengaruhi oleh faktor luar.

Kajian terkini menunjukkan ibu muda tempatan cukup prihatin dalam memastikan anak mereka menerima khasiat lengkap melalui formula susu untuk membesar atau growing-up milk (GUM) yang adalah sumber makanan awal terpenting selepas susu ibu.

KAJI SELIDIK



Persatuan Pemakanan Malaysia (PPM) dengan sokongan Abbott Nutrition telah melakukan satu kaji selidik ke atas 300 ibu yang mempunyai anak kecil berusia kurang tiga tahun pada beberapa bulan yang lepas.

Mereka mendapati banyak faktor yang mempengaruhi keputusan ibu untuk memilih GUM terbaik termasuk yang paling popular ialah dakwaan kelebihan produk yang disokong dengan bukti saintifik serta syor daripada pakar kanak-kanak.

"Kebanyakan ibu memilih GUM yang dikatakan mampu menguatkan imuniti kanak-kanak, menyokong perkembangan mental dan fizikal, dilengkapi dengan semua vitamin dan mineral selain paras DHA yang tinggi," kata Presiden PPM, Dr Tee E Siong.

Antara lain hasil kajian ialah lebih 55 peratus ibu didapati memilih formula GUM yang diperkaya ramuan tertentu seperti DHA, Omega 3, Omega 6, Lutein atau Gangliosida kerana menyangka ia sudah cukup baik bagi perkembangan anak.

KELIRU BERHUBUNG NUTRIEN

Bagaimanapun, Dr Tee menegaskan bahawa ibu bapa sering terkeliru dengan pelbagai iklan formula GUM hingga menyebabkan mereka hanya memberi tumpuan kepada satu atau dua nutrien tertentu, selain percaya bahawa kandungan yang tinggi ramuan tertentu itu adalah lebih baik untuk anak mereka.

Katanya, tanggapan ini tidak benar kerana hakikatnya, tiada satu pun nutrien khusus yang mampu menjanjikan perkembangan minda, mental dan fizikal yang lebih baik.

"Sebaliknya, bayi dan kanak-kanak kecil memerlukan kombinasi semua nutrien yang betul dalam kuantiti yang betul bagi menampung keperluan tumbesaran dan pembelajaran," jelas Dr Tee.

Mengambil lebih banyak nutrien tertentu seperti DHA atau Gangliosida sahaja tidak memberi kelebihan kerana tubuh hanya mampu menggunakan nutrien spesifik dalam amaun tertentu sahaja manakala amaun selebihnya akan dikumuh.

"Lagipun, sebahagian daripada asid amino tubuh seperti DHA sebenarnya boleh dibina sendiri oleh tubuh menjadikan kanak-kanak itu tidak akan menghadapi masalah kekurangan asid amino," jelas Dr Tee.

Kajian PPM turut mendapati 80 peratus daripada ibu muda gagal mengambil tahu tentang ramuan lain yang terkandung dalam formula GUM pilihan sedangkan mereka wajar mempunyai pengetahuan itu yang sejajar dengan keperluan nutrisi anak mereka.

"Tiga daripada empat ibu tidak memahami panel maklumat nutrisi dalam produk, manakala, separuh daripada responden lain yang membaca label telah memberi tumpuan berlebihan terhadap satu jenis nutrien," jelas Dr Tee.

KOMBINASI TERBAIK SUSU

Bagi PPM, ibu bapa perlu faham bahawa kombinasi terbaik GUM mestilah memenuhi keperluan tenaga, protein serta semua nutrien lain, dan ibu bapa perlu sedar bahawa kombinasi keperluan nutrien itu berubah-ubah mengikut usia anak.

"Jadi, sebaiknya, ibu bapa sendiri perlu memutuskan kombinasi terbaik nutrien untuk anak melalui pembacaan dan kajian, serta merujuk kepada professional yang tiada kecenderungan terhadap mana-mana jenama.

"Ibu bapa wajarlah mengkaji sendiri maklumat itu dan bukan setakat mendengar nasihat rakan dan saudara mara mahupun terpengaruh dengan iklan," katanya menegaskan bahawa susu untuk peringkat tumbesaran itu adalah pelaburan terpenting yang boleh diberi kepada anak kecil.

Bagaimanapun, hasil kaji selidik mendapati 56 peratus ibu tidak pernah melakukan kajian sendiri sebelum memilih GUM terbaik untuk anak mereka, dan tidak sampai separuh daripada ibu mendapatkan nasihat profesional.

Sebaliknya, seramai 68 peratus ibu bergantung sepenuhnya kepada saranan daripada anggota keluarga dan kawan dalam membuat keputusan penting itu.

TIDAK WUJUD MAKANAN CERDIK



Hasil kajian itu juga mendedahkan bahawa hampir semua ibu menyangka pemilihan GUM yang betul akan mencerdikkan anak mereka.

Bagaimanapun ia dinafikan Dr Tee yang menjelaskan bahawa tiada sebarang makanan tertentu yang berfungsi begitu, sebaliknya kecergasan minda memerlukan usaha kerja keras ibu bapa selain persekitaran sesuai.

"Anak akan cerdik jika ibu bapa memberi perhatian terhadap asuhan yang baik dan pemakanan seimbang supaya dia cukup sihat untuk mampu belajar dengan cara yang betul.

"Anda mesti memastikan anak mendapat khasiat mencukupi khususnya pada usia mentah ketika mereka masih di peringkat tumbesaran dan perkembangan fizikal dan minda yang pesat," jelas pakar nutrisi itu.

Tegasnya, tiada nutrien yang secara sendirinya dapat menjamin perkembangan mental dan fizikal yang terbaik, sebaliknya hanya gabungan semua nutrisi yang betul dan dalam jumlah yang seimbang mampu menyokong perkembangan keseluruhan anak.

MENENTUKAN TAHAP KESIHATAN



Hasil kajian turut mendapati bahawa hampir semua ibu menganggap kesihatan anak berada pada tahap yang baik jika mereka mengambil makanan dan minuman daripada jenis dan kuantiti tertentu.

Sedangkan pada waktu yang sama hanya sedikit ibu bapa yang memberi tumpuan terhadap kualiti senaman, tinggi dan berat anak yang merupakan indikator kesihatan yang lebih penting.

Justeru, Dr Tee mahu agar ibu sentiasa memantau nisbah indeks berat badan (BMI) anak dan menggalakkan ibu bapa menimbang dan mengukur ketinggian anak secara berkala setiap enam bulan.

"Setiap dewasa wajar memantau sentiasa nisbah BMI anggota keluarga mereka, memahami dan mengamalkan corak pemakanan sihat melalui piramid makanan sebelum terlewat.

Ibu bapa boleh mendapatkan nasihat kesihatan dengan melayari laman PPM di www.nutriweb.org.my.

-- BERNAMA