Followers

Carian dalam Blog ini

09 November 2011

Masalah Kesihatan Mental di sebalik Penyakit NCD


Khairul Azhar Bin Idris
Fellow

04/11/2011 | Utusan Malaysia
NCD atau non communicable diseases adalah penyakit yang telah lama dideritai oleh umat manusia di seluruh dunia dan akan terus menjadi sejenis kelompok penyakit yang ditakuti pada hari ini. Unjuran menunjukkan ia akan menjadi antara penyakit paling utama yang membawa kematian di kalangan manusia di masa akan datang. NCD merupakan sekumpulan pelbagai jenis penyakit kronik yang berlaku bukan dengan cara jangkitan oleh ejen biologi seperti virus, bakteria, fungus atau parasit, tetapi disebabkan oleh gaya hidup dan tingkahlaku yang tidak sihat di kalangan individu serta suasana persekitaran yang memudharatkan tetapi telah mereka pilih untuk hidup dan tinggal. Masyarakat perlu memahami bahawa perkara yang telah disebutkan itu sebenarnya turut mempengaruhi tahap kesihatan dan risiko mereka untuk menghidapi pelbagai penyakit kronik.

Penyakit NCD yang sering menyerang kehidupan manusia ialah seperti penyakit jantung, kencing manis, kegemukan, kanser, tekanan darah tinggi, strok, penyakit gangguan sistem pernafasan, kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah, alkohol dan merokok, serta keuzuran dan kepayahan yang dialami akibat dari kemalangan jalan raya, kemalangan dan kemudharatan di tempat kerja dan sebagainya. Malah, pelbagai jenis penyakit neuropsikiatri seperti penyakit kebimbangan dan kemurungan, ketagihan, stres, bunuh diri, dan sebagainya adalah juga tergolong ke dalam kategori penyakit NCD ini. Kesan buruk yang perlu diketahui ialah semua keadaan yang tidak baik untuk kesihatan ini telah mengakibatkan berlakunya kematian pramatang atau kematian yang berlaku di usia muda, dan juga mendatangkan ketidakupayaan kekal atau sementara yang akhirnya membawa kepada kemerosotan hidup yang sempurna dan baik, menjejaskan produktiviti dan juga mengakibatkan kehilangan kepada sumber tenaga manusia dan ekonomi dalam masyarakat dan negara. Kematian di usia muda merupakan satu ciri utama komplikasi NCD. Terdapat banyak juga kes yang dilaporkan berhubung kematian yang berlaku di usia muda, seperti kematian akibat dari penyakit jantung koronari dan diabetis pada usia sebelum 30 tahun. Malahan pernah terdapat kanak-kanak seawal usia sepuluh tahun juga ada yang telah membunuh diri.

Hakikatnya, peningkatan mendadak penyakit NCD bukan hanya berlaku di negara luar, malah di serata dunia termasuklah juga di Malaysia. Di seluruh dunia, WHO menganggarkan terdapat dua dari tiga kematian adalah akibat dari penyakit NCD dan kemalangan, manakala pada tahun 2005 sahaja terdapat seramai 35 juta manusia mati akibat NCD, dan di mana sebanyak 80 peratus darinya adalah datang dari negara miskin (berpendapatan rendah) dan juga negara membangun (berpendapatan sederhana). Manakala tren di negara maju (berpendapatan tinggi) menunjukkan kadar NCD yang tinggi juga tetapi dengan jumlah kematian yang menurun dan terkawal. Dalam konteks Malaysia, sebagaimana menurut kajian oleh Kementerian Kesihatan, adalah dianggarkan terdapat seramai 4.8 juta masyarakat negara ini atau 17 peratus daripada 29 juta penduduk menghidapi pelbagai jenis penyakit dalam kategori NCD. Ini adalah satu jumlah yang besar yang sudah pasti memberi kesan terhadap produktiviti dan unjuran ekonomi, peningkatan dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan dan perubatan, serta kestabilan situasi psikososial pesakit dan ahli keluarga mereka.

Terdapat pelbagai faktor risiko yang boleh mendedahkan mana-mana individu itu kepada penyakit NCD. Antaranya ialah pemilihan gaya hidup yang bersifat sedentari dan tidak mengamalkan senaman sebagai rutin, cara pemakanan yang tidak membantu meningkatkan tahap kesihatan yang baik atau yang boleh menghindarkan penyakit, tabiat buruk seperti ketagihan dadah dan alkohol serta merokok, cara pemanduan kenderaan yang tidak berkhemah yang boleh mengakibatkan kemalangan, tidak mengamalkan prosedur keselamatan di tempat kerja, dan pendedahan kepada alam persekitaran yang tercemar. Begitu juga, gaya hidup yang tidak mengutamakan penjagaan kesihatan mental yang baik dan pengawalan stres yang sempurna turut boleh mendedahkan seseorang kepada risiko menghidapi gangguan mental seperti kebimbangan dan kemurungan serta kejadian bunuh diri.

Mana-mana individu yang menghidapi NCD sudah pasti akan berdepan dengan pelbagai krisis dalam kehidupannya. Krisis ini melibatkan aspek penjagaan kesihatan diri, kos perubatan, perbelanjaan dan kewangan, pekerjaan, kekeluargaan dan perhubungan interpersonal serta lain-lain lagi yang semakin merumitkan kehidupan mereka. Bagi mereka yang menghidapi NCD pada tahap kronik pula sudah pasti menyedari bahawa tidak banyak yang boleh dilakukan lagi untuk menyembuhkan penyakit. Mereka sekadar mampu berharap moga-moga keajaiban berlaku dalam usaha mengurangkan bebanan penyakit atau kesakitan yang dialami. Namun apa yang perlu diketahui ialah setiap masalah yang dihadapi akibat dari penyakit NCD sudah pasti akan memberi impak negatif kepada kestabilan psikososial mereka. Tahap kestabilan psikososial yang terjejas ini pula akhirnya akan memberi kesan yang negatif kepada kestabilan kesihatan mental. Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan berhubung aspek kesihatan mental di kalangan pesakit yang menghidapi NCD ini agar tekanan psikososial dan kesihatan mental yang terjejas itu tidak memburukkan lagi keadaan penyakit NCD yang mereka alami.

Sememangnya telah banyak kajian saintifik yang dilakukan menunjukkan keadaan kesihatan mental yang amat terjejas di kalangan pesakit, baik pesakit fizikal mahupun pesakit mental. Malah, terdapat juga kajian yang telah membuktikan bahawa tekanan mental yang dialami seseorang dalam apa jua keadaan sudah cukup berisiko untuk menjejaskan kesihatan fizikal mereka. Terutamanya bagi pesakit kanser, keadaan tekanan mental yang dialami seperti kemurungan dan kebimbangan serta ketidakpastian selama mana lagi jangka hayat yang mereka ada di samping ketidakpastian subjektif terhadap keberkesanan sejauh mana rawatan yang diterima berkesan, telah didapati menjejaskan keberkesanan rawatan kemo, malah lebih memburukkan keadaan penyakit yang dialami. Walaupun kewujudan sesuatu penyakit fizikal yang dihidapi itu nampaknya lebih ketara berbanding penyakit mental, namun ini tidak bermakna pesakit tersebut sihat dan stabil keadaan mental dan pemikiran mereka. Sikap dan pandangan ini hanya berdasarkan kepada aspek luaran fizikal pesakit sahaja yang mengakibatkan rawatan yang diberikan tidak menyeluruh kerana mengabaikan aspek mental, emosi dan spiritual pesakit. Walhal terdapat banyak kajian lain menunjukkan bahawa ramai pesakit yang datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan penyakit fizikal yang dialami sebenarnya memerlukan rawatan yang lebih bagi gangguan mental dan emosi mereka, berbanding masalah fizikal yang diutarakan.

Perhatian terhadap kestabilan kesihatan mental di kalangan pesakit NCD perlu dipertingkatkan dengan memberi keyakinan dan dorongan motivasi kepada mereka agar mereka memahami dan menyedari bahawa segala keperluan rawatan yang membawa kesejahteraan mereka telah mereka terima. Mereka akan berasa lebih selamat jika mereka menyedari segala keperluan rawatan itu mudah mereka perolehi. Oleh itu, memastikan agar mereka merasa selamat dan selesa dengan rawatan dan persekitaran yang ada juga merupakan prasyarat dalam mengekalkan kesihatan mental mereka di tahap yang terbaik

No comments: