Followers

Carian dalam Blog ini

12 January 2010

Pengaruh Televisyen Ke Atas Remaja

Penontonan televisyen secara umum boleh dikaitkan dengan usaha mengumpul maklumat. Selain itu, aktiviti ini juga boleh memberi kesan kepada kehidupan individu dan kelompok manusia dalam masyarakat. Ini kerana, kandungan mesej yang dipaparkan boleh wujud dalam pelbagai dimensi. Maklumat yang boleh digunakan untuk pengetahuan mampu membina sahsiah dan siasah manusia. Walau bagaimanapun television sebenarnya turut menyampaikan mesej dalam genre hiburan yang boleh memberi kesan yang negatif. Pingree et. al (1991) menyatakan bahawa secara tersirat penonton yang menonton television secara berterusan berpotensi mendapat kesan kognitif, afektif dan tingkahlaku yang berbeza dengan mereka yang menonton television dalam masa yang dipecah-pecahkan (tidak berterusan).

Pengaruh Televisyen

Tidak dapat dinafikan, penciptaan televisyen nyata banyak mempengaruhi kehidupan seharian manusia. Marican dan Mohamed (1995) menyatakan bahawa pengaruh media massa ke atas gejala sosial remaja sememangnya ketara, maksud media massa di sini adalah surat khabar, majalah, radio, televisyen dan tayangan video. Majalah-majalah barat memaparkan gejala-gejala negatif seperti keganasan, pronografi, dan budaya hidup yang tidak sihat seperti “black metal”, “punk”, dan sebagainya. Kesemua ini telah menjadi bahan bacaan dan tontonan yang amat digemari oleh remaja. Kebudayaan Barat kini melimpah-ruah di Malaysia melalui media baru dan lama. Tidak dinafikan tamadun negara ini diancam oleh imperialisme budaya Amerika. Filem dan siri televisyen Amerika mengetengahkan gaya ikutan (role model) yang menjadi ikutan rakyat negara ini terutama remaja dan belia. Jika rakyat Amerika menukar tabiat mereka, kita meneladaninya. Produk Amerika memberi gambaran kepada corak hidup yang diidam-idamkan oleh pengguna di negara membangun. Media Barat cuba membentuk pemikiran rakyat dan cita rasa untuk mendapatkan apa yang digambarkannya sebagai produk global yang meliputi siaran media atau hiburan serta makanan segera seperti burger, pizza, pakaian selain gaya hidup.

Fornas (1995) menyatakan bahawa kajian tentang remaja telah bermula sejak 1904 oleh Stanley Hall’s On Adolescence. Banyak kajian telah dijalankan tentang budaya di kalangan remaja dari pelbagai aspek. Kazuto Kojima (1986) dalam tulisannya Youth and Television in Contemporary Japan – Analytical Framework, Background and Characteristic pula menyatakan bahawa hubungan antara remaja dan televisyen adalah satu subjek yang penting dalam kajian masyarakat kotemporari.

Remaja merupakan satu fasa perkembangan fizikal dan psikologi yang berlaku kepada semua manusia dalam rentetan kehidupan. Remaja juga merupakan satu kategori sosial, yang diperlihatkan dengan institutsi social tertentu bermula dengan zaman kanak-kanak dan berakhir apabila tubuh badan telah berhenti perkembangannya (Fornas, 1995). Ketika peringkat inilah perasaan ingin mencuba dan ingin merasa sesuatu datang membuak-buak. Antaranya ialah meniru dan mencuba apa yang ditayangkan di televisyen terutamanya perkara-perkara yang mendatangkan keseronokan. Perasaan ini tidak salah, namun remaja perlu bijak menapis perkara yang ditiru, sama ada mendatangkan kesan yang positif atau negatif kepada diri, keluarga dan masyarakat seluruhnya.

Gerbner dalam Television’s Global marketing Strategy Creates a Damaging and Alienated Window on the World (WWW 1) memperkatakan tentang kekuatan pengaruh televisyen yang digelar sebagai satu mitologi, mempunyai hubungan organik yang kuat, diulangi setiap hari dan dari itu temanya mempengaruhi konsepsi realiti melalui kesan penyuburan (cultivation effect). Gerbner melihat kewujudan televisyen sebagai satu masalah kerana ia berbentuk komersil dan berbentuk massa (WWW 2).

Pandangan Gerbner ini harus diambil kira, memandangkan beliau merupakan sarjana terawal yang mengkaji kesan media terhadap khalayak. Tambahan pula, beliau merupakan pengasas Teori Penyuburan (Cultivation Theory) yang membuka banyak ruang kajian kepada sarjana lain untuk mengkaji kesan pendedahan media kepada khalayak.

Sebald (1997) menyatakan bahawa media massa moden mempunyai kuasa mensosialisasi golongan muda. Antara media massa ini, televisyen mempunyai pengaruh yang paling besar. Kajian longitudinal terhadap remaja (Gebner et. al., 1980; Morgan, 1987; Morgan et. al., 1990) menunjukkan bahawa televisyen mempunyai pengaruh bebas terhadap sikap bergantung kepada masa menonton (Gerbner, 1998). Hasil kajian ini menunjukkan kepada kita bahwa kesan media bukanlah kecil dalam kehidupan seharian. Memahami keadaan ini perlulah membuatkan kita lebih bersiap siaga dalam mendepani cabaran mendatang untuk memimpin golongan muda agar lebih terpimpin dari segi sikap dan akhlak.

Selain itu, Liebes dan Curan, 1998 (dalam Samsudin, 2001) menyatakan bahawa media bukan sahaja dianggap sebagai satu ruang untuk mengedarkan maklumat agar individu lebih berinformasi tetapi juga dianggap sebagai satu ruang budaya yang watak dan peristiwanya digarap sedemikian rupa yang akhirnya akan mencorakkan identiti budaya sesebuah masyarakat. Maksudnya, kita akan terdedah kepada proses integrasi dan disintegrasi budaya luar yang menyerap dan diterima dalam budaya kita di samping itu ia juga mengdisintegrasikan budaya yang sedia ada melalui media. Hakikat ini boleh mengakibatkan budaya yang sedia ada dibayangi oleh budaya baru yang mengintegrasikan ciri-ciri budaya luar. Kesan inilah yang paling kritikal jika tidak dikawal dengan sebaiknya. Budaya barat misalnya dengan mudah meresapi budaya timur melalui media yang dilihat indah oleh golongan muda. Dalam hal ini, peranan institusi keluarga dan institusi pendidikan amat penting untuk menyedarkan golongan muda yang mudah tertipu dengan keindahan budaya luar yang merosakkan andainya dibiar menular dalam jiwa remaja.

Kajian Kesan Media

Beberapa kajian mengenai kesan media berdasarkan Teori Pembelajaran Sosial menyediakan bukti bahawa wujudnya hubungan antara isi kandungan televisyen dengan sikap kesan daripada pendedahan yang berlaku. Kajian-kajian ini telah melihat kesan penontonan televisyen terhadap skap, nilai, personaliti dan persepsi (Samsudin & Latifah, 2000). Teori-teori selanjutnya terhadap kesan dan penggunaan media menunjukkan bahawa golongan muda bukan pengguna yang pasif tetapi tergolong dalam kategori pengguna yang aktif. Mesej-mesej dan imej yang dipaparkan melalui televisyen tidak diikut secara membuta tuli, tetapi melibatkan proses intepretasi, penilaian kritikan dan pemilihan yang aktif (Samsudin & Latifah, 2000). Tambahan lagi, faktor-faktor seperti jantina, perkembangan kognitif, ciri-ciri personaliti dan umur menyumbang, mengurang atau meningkatkan kesan televisyen terhadap golongan muda (Gaunter 1985). Kajian-kajian luar negara dan tempatan yang dinyatakan ini merupakan bukti bahawa pendedahan media yang banyak boleh mempengaruhi remaja. Dengan keupayaan media menyediakan maklumat dan boleh berfungsi sebagai agen pembelajaran di samping pendedahannya yang terbukti boleh mempengaruhi remaja, pastinya media berupaya membantu remaja dalam proses menimba ilmu seluruhnya. Namun, jika sebaliknya yang berlaku, remajalah golongan yang paling mudah menyerap budaya luar yang ditonjol melalui media.

Melalui Analisis Penyuburan yang melihat kepada susunan persepsi budaya dan kepercayaan yang dipaparkan dalam media massa (terutama televisyen), ia dilihat mampu menyediakan rangka kerja yang baik dalam melihat kesan pendedahan media terhadap orientasi nilai di kalangan remaja. Asas kajian ini menyatakan bahawa jumlah penontonan televisyen yang tinggi akan menyebabkan persepsi dan kepercayaan yang dipengaruhi oleh imej dan mesej yang dibawa oleh televisyen (Samsudin & Latifah, 2000). Hasil kajian ini menguatkan lagi hujah yang dibentangkan.

Identiti Budaya Remaja Melayu

Dewasa ini senario yang dapat dilihat daripada sudut budaya remaja Melayu ialah perubahan yang agak ketara dalam konteks norma hubungan antara remaja berlainan jantina. Suatu ketika dahulu, masyarakat Melayu tradisi mengamalkan pemisahan hubungan mengikut jantina dari segi prinsip dan praktikal khusus untuk memperlihat identiti adat dan tatasusila. Hubungan remaja dalam konteks moden dipengaruhi oleh pengenalan sistem pendidikan sekular yang mengamalkan orientasi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas campuran antara lelaki dan perempuan (Samsudin, 1998). Keadaan ini mengubah landskap pemikiran dan pola sosialisasi remaja Melayu yang merupakan aktor dalam sistem ini.

Manual Latihan Fasilitator Prostar (2001) melaporkan 4.6% daripada seramai 1,900 pelajar sekolah menengah di Kuala Lumpur yang berumur antara 16 hingga 18 tahun telah berpengalaman melakukan hubungan seks. Kajian Remaja dan AIDS pada tahun 1996 yang membabitkan 4,347 remaja berusia antara 13 hingga 25 tahun pula mendapati 6% daripada sampel pernah terlibat dengan seks bebas. Angka ini pastinya telah berganda pada tahun 2006 dan pastinya terus meningkat sekiranya tidak dibendung secara bersama dari sekarang. Penjelasan kepada keadaan ini antara lain ialah pendedahan media asing yang berleluasa kepada remaja. Kekangan ilmu agama dan amalan menjadikan pengaruh ini lebih kuat daripada yang dijangkakan dan menjadikan agama, budaya tradisi dan norma yang disanjung kian dilupakan.

Sikap-sikap negatif seperti salah laku, rogol, buli, serangan, pelacuran remaja dan peras ugut adalah antara sikap yang dipelajari daripada televisyen. Siri-siri seperti detektif, peguam dan orang tahanan yang lari dari penjara, meninggalkan kesan ke atas remaja dan kanak-kanak, khususnya kepada mereka yang mengalami masalah psikologi. Kini didapati ramai penduduk negara ini khususnya di Lembah Klang yang memiliki lebih daripada dua peti televisyen di rumah mereka dan ini membolehkan remaja menonton televisyen tanpa dikawal ibu bapa. Bagaimanapun televisyen bukanlah faktor tunggal ke arah keruntuhan moral kerana persekitaran dan keadaan turut menyumbang kepada gejala itu.

Penyakit sosial sebenarnya sudah lama bertapak di negara kita. Ia disebabkan oleh banyak faktor, antaranya adalah suasana persekitaran yang berubah secara mendadak terutamanya dengan pengaruh media massa dan elektronik yang saban hari memaparkan tentang eksploitasi terhadap wanita dan kebebasan remaja yang keterlaluan yang banyak mempengaruhi pemikiran golongan muda terutama yang baru meningkat remaja. Dengan kurangnya didikan agama dan kasih sayang dari ibu bapa, perasaan ingin mencuba, desakan atau pengaruh dari rakan sebaya ini semua sebab terjadinya masalah sosial yang kian sukar dibendung lagi

Menurut Ismail (1999), isu agama dan budaya menjadi penting kerana sejak kebelakangan ini terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa berlakunya hakisan terhadap nilai-nilai budaya agama dan budaya positif orang Melayu. Akibatnya, terserlahlah kekaburan persepsi masyarakat terhadap nilai agama dan budaya yang selama ini telah berjaya membentuk pandangan dan tindakan serta cara hidup yang baik dan membangun. Cara hidup orang Melayu pada asalnya adalah berteraskan sifat budiman, penyayang, lemah-lembut dalam pertuturan dan hubungan dengan orang lain, tidak tamak dan gelojoh. Namun, apa yang berlaku hari ini adalah ahli masyarakat amnya dan kumpulan remaja khususnya dilihat semakin terbuka dalam segala aspek kehidupan yang tidak lagi mencerminkan nilai tradisi Melayu. Antara yang ketara ialah perbincangan tajuk-tajuk tabu secara terbuka sesama ahli kumpulan. Misalnya perbincangan berkaitan seks dan peranan ahli keluarga yang berbeza jantina. Ini sekaligus menunjukkan bahawa sifat malu turut mula terhakis dikalangan kumpulan remaja Melayu hari ini. Namun, jika perbincangan adalah untuk tujuan akademik ia boleh diterima, tetapi tidak bagi perbincangan terbuka yang tidak mempunyai tujuan berfaedah melainkan untuk keseronokan.

Penghujahan tentang isu-isu sosial remaja di negara ini sebenarnya mempunyai kaitan dengan isu identiti budaya dan pengaruh industri media. Samsudin (1998) menjelaskan bahawa untuk memahami pengaruh media dalam pembentukan identiti budaya remaja, program media perlu dilihat bukan sahaja sebagai satu komoditi komersial tetapi juga sebagai satu komoditi budaya. Berfungsi sebagai komoditi budaya, bererti lebih luas lagi peranan yang dimainkan dan impaknya terhadap remaja juga semakin kuat. Semakin kuat impaknya terhadap remaja, maka jelaslah remaja itu sendiri perlu lebih bijak dan waspada dalam memastikan impak buruk itu tidak terus merosakkan hidup yang sekali ini.

Penutup

Bagi pengamal media, mereka mengutamakan keuntungan daripada rencangan televisyen yang disiarkan, bukannya kesan rancangan itu ke atas para penonton. Kini kawalan dan nilai yang dibawa oleh media terletak di tangan pengamal media yang terdiri daripada golongan usahawan yang matlamat utamanya adalah untuk mendapat keuntungan.
Liechty (1995) melihat identiti remaja sebagai boleh didapati dan boleh berubah bergantung kepada sejauh mana individu itu mempunyai kuasa dalam sesebuah konteks sosial. Identiti boleh jadi sesuatu yang wujud atau diimaginasikan, manakala beberapa identiti lain boleh didapati melalui kehidupan seharian. Terdapat juga beberapa identiti yang tidak mungkin dapat direalisasikan tetapi wujud dalam imaginasi sebagai sesuatu yang diingini. Pembentukkan identiti merupakan satu proses yang berlaku selagi subjek (manusia) bergerak menerusi ruang masa. Penjelasan ini memberi peluang kepada kita menyedari hakikat bahawa kuasa menentukan identiti itu ada pada tangan kita.

Dalam konteks kesan media kepada remaja, penekanan harus diberikan kepada remaja untuk sentiasa memandang ke hadapan dan menyedari bahawa peluang memperbetulkan keadaan sentiasa terbuka. Satu-satunya cara untuk menangkis atau melawan pengaruh televisyen ialah menggunakan kewarasan dan kewajaran pemikiran sendiri dalam menilai penerapan budaya asing. Kita berupaya mempertahankan kedaulatan negara ini daripada dominasi budaya Barat melalui media berasaskan sistem nilai kita sendiri yang perlu kita pupuk bersama.
Jika kesan buruk kehadiran media massa pernah dirasai dalam hidup sehingga menyebabkan hilangnya identiti sebagai remaja beragama dan penuh sifat jatidiri dan patriotisme, perubahan masih boleh dilakukan untuk mengembalikan kegemilangan identiti remaja Melayu yang utuh dan disegani.

No comments: