Followers

Carian dalam Blog ini

13 January 2010

Air




Air : Rahmat Yang Diabaikan

Abu Bakar Bin Yang
Pegawai Penyelidik
06/08/2002

Air merupakan anugerah Allah s.w.t. yang amat berharga di dalam kehidupan manusia, tanpanya semua hidupan akan mati. Menurut Kamus Dewan, air boleh didefinasikan sebagai cecair yang terbentuk daripada dua bahagian hidrogen dan satu bahagian oksigen. Secara geografinya, air yang digunakan oleh manusia berpunca daripada air hujan.

Air adalah anugerah Allah yang sangat bernilai kepada seluruh hidupan di mukabumi ini. Air adalah satu sumber keperluan asas yang sangat penting kepada manusia. Manusia mungkin masih boleh hidup dengan selesa selama beberapa hari tanpa elektrik, komputer, internet dan apa-apa sahaja tetapi tidak tanpa air. Krisis air di Lembah Kelang yang melanda negara pada tahun 1998 dan awal tahun 2002 yang lalu adalah bukti jelas bahawa betapa pentingnya air di dalam kehidupan kita. Krisis ini banyak membuka mata masyarakat dan kerajaan tentang kepentingan air.

Kepentingan air kepada kehidupan dan alam seluruhnya memang tidak dapat dinafikan. Sebagai sumber asli yang paling berharga, air diperlukan sebagai kegunaan asasi dan dapat dimanfaatkan bagi tujuan pelbagai aspek kehidupan. Tanpa air, kita mungkin tidak dapat menikmati dan meneruskan penghidupan ini dengan selamat, selesa dan sempurna.
Akrabnya manusia dan segala makhluk yang bernyawa di alam ini dengan air telah diterangkan oleh Allah dalam al Quran:

"Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup, maka mengapakah mereka tiada juga beriman"
Surah al Anbia' : 30

Sebagai sumber yang sangat bermanfaat, air dapat digunakan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan. Bagi memenuhi keperluan harian, air digunakan sebagai minuman, mencuci, mandi dan keperluan-keperluan lain seperti membersihkan halaman, persekitaran dan menyuburkan tanaman-tanaman. Usaha memanfaatkan air seumpama ini sudah setentunya dapat meningkatkan taraf kehidupan yang sihat sejahtera dan dapat mengelakkan dari segala kekotoran, pencemaran dan penyakit. Dalam melaksanakan projek-projek pembangunan, air sangat diperlukan di sektor-sektor pertanian, perikanan, perkilangan dan industri-industri lain. Air juga dapat dijadikan sumber ekonomi seperti menjadikannya sebagai minuman yang dibotolkan atau ditinkan, tambahan kepada jus buah-buahan, pencair, pewarna atau sebagai bahan untuk dibuat kajian saintifik. Malah air juga berguna bagi bahan-bahan konkrit untuk membina rumah dan bangunan.

Dari pelbagai sumber air yang ada di muka bumi ini, air sungai dan laut dapat menjadi penyumbang rezeki dan makanan laut yang banyak dan beraneka. Sebagai sumber asli yang meliputi persekitaran, air juga digunakan bagi pengaliran di saluran pembentung-pembentung dan parit-parit serta kawasan tertentu untuk mengelak banjir. Di empangan-empangan air, air juga terus dipelihara dari segi kebersihan, kesihatan dan keselamatannya untuk dapat digunakan. Sebagai air bersih yang terjamin, air digunakan dalam pelbagai cara seperti sebagai pencuci dan membersihkan produk-produk dan hasil-hasil perindustrian dan perusahaan.

Sebagai sumber yang dapat menambah keindahan tempat-tempat rekreasi dan tarikan pelancong, air memainkan peranan penting bagi sesebuah tasik, air terjun atau pantai. Memajukan tempat-tempat seumpama ini bukan saja dapat mengekalkan keindahan alam sekitar yang ada, malah dapat dinikmati bagi memenuhi keperluan dan pembangunan sosio-ekonomi.

Air dan Ilmu Pengetahuan

Di antara ilmu pengetahuan yang berkait langsung dengan air ialah hidrologi. Hidrologi ialah kajian ke atas hidrosfera dan proses-proses pergerakan bentuk-bentuk air di dalam sistem bumi-atmosfera. Secara ringkas, kebanyakan ahli-ahli hidrologi berpendapat bahawa teras hidrologi ialah kajian terhadap 'kitaran hidrologi', iaitu pusingan air (dalam berbagai bentuk - cecair [air], wap [wap air] dan pepejal[ais]). Ahli-ahli hidrologi sentiasa berminat terhadap air sebagai satu sumber yang teragung yang diperlukan oleh semua makluk hidup. Dengan kepentigan air untuk fungsi-fungsi biologi yang tidak dapat dinafikan, ilmu hidrologi juga tertumpu kepada peranan air di dalam sistem bumi-atmosfera. Air mempunyai banyak kepentingan dan fungsi. Air adalah diperlukan untuk: (i) Air Untuk Manusia (ii) Air Untuk Hidupan Lain (iii) Air Untuk Menghasilkan Makanan (iv) Air Untuk Alam Sekitar.

Selain itu, kajian hidrologi adalah tertumpu kepada Air Untuk Alam Sekitar di mana air diperlukan untuk: sfera bumi, hidupan akuatik, hidupan terrestrial/daratan, pemindahan tenaga, penghasilan hujan (air tawar), pemuliharaan/perlindungan hutan, pengawalan aras laut, pembalikan bahangan suria, pengawalan bencana alam, penyerapan dan penyimpanan tenaga haba, pengawalan suhu, air bawah tanah, pengurangan bahan-bahan pencemaran, dan mengekalkan bumi sebagai 'dunia air'.

Air dan Manusia

Jika ditinjau dari segi sejarah, air telah lama digunakan untuk pembangunan. Ini terbukti dengan wujudnya tamadun-tamadun silam di sekitar sungai yang menjadikan tanah tersebut subur dan dibangunkan. Sebagai contoh, tamadun Mesir di sepanjang Sungai Nil, tamadun China purba di Sungai Kuning dan tidak kurang juga penempatan awal di Tanah Melayu adalah di tepi sungai dan dipersisiran pantai.

Air juga merupakan bahan mentah yang penting dalam kebanykan bidang industri dan perusahaan. Contohnya seperti dalam industri pemakanan dan industri pembangunan. Pengeksploitasian air sebagai sumber semula jadi yang mudah didapati ternyata boleh mendatangkan pulangan kepada negara dalam bidang ekonomi dan pembangunan. Pembinaan empangan-empangan juga membolehkan air untuk digunakan untuk menjana kuasa elektrik.

Di dalam sektor perindustrian, penggunaan air semakin kompleks. Dalam usaha menuju negara maju, keperluan air perlu sejajar dengan kepesatan industri moden. Begitu juga jika dilihat keperluan air di bidang pertanian. Secara amnya, tumbuh-tumbuhan memerlukan kuantiti air yang mencukupi. Contohnya sawah padi, memerlukan sistem pengairan yang sistematik. Kawasan ladang, kebun sayur, hutan-hutan dan lain-lain bergantung penuh kepada air untuk hidup subur.

Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang paling banyak bergantung kepada sumber air. Tanpa bekalan air yang cukup, sektor tersebut akan lumpuh dan boleh membawa kepada fenomena kebuluran seperti yang kita lihat terjadi di negara-negara yang bergantung kepada hasil pertanian yang ditimpa kemarau panjang.

Selain daripada itu, air juga penting dalam pembangunan rohaniah. Kita memerlukan air untuk bersuci bagi membolehkan kita beribadat kepada Allah s.w.t. Dalam keadaan bersih dan suci, kita akan menjadi lebih tenang dan khusyuk serta tawaduk untuk beribadat kepada-Nya. Di samping itu, penciptaan yang berkaitan dengan air seperti hujan, sungai, telaga, air terjun dan sebagainya merupakan dalil kebesaran Allah bagi orang-orang yang berfikir.

Oleh kerana air merupakan sumber semula jadi yang amat penting, adalah wajar bagi kita untuk menjaga dan mengelakkan sumber-sumber air daripada tercemar oleh sisa-sisa pembangunan, sedangkan air itu sendiri yang telah banyak membantu dalam pembangunan negara. Sambutan Hari Air Sedunia pada 22 Mac yang disambut setiap tahun bermula pada tahun 1993, telah menampakkan keprihatinan warga global dalam sama-sama menangani dan memata-matai penggunaan dan penjagaan sumber air. Adalah diharapkan agar usaha ini akan berterusan sehingga masa-masa akan datang. Jimatkan penggunaan air kerana air tidak ternilai harganya dan merupakan sebahagian daripada nyawa kita. Allah juga telah mengingatkan kita supaya jangan berlebih-lebihan atau membazir dalam menjalankan apa-apa aktiviti, sebagaimana firman Allah:

".dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan."

Surah al An'am : 141

No comments: