Followers

Carian dalam Blog ini

24 October 2014

Akta Hasutan sedia ruang perbetul masyarakat


Oleh Shamrahayu A Aziz

  
Sama ada kritikan atau protes menentang sistem politik feudal atau juga sistem demokrasi, ia sentiasa berlaku di seluruh dunia; daripada peringkat paling rendah sehinggalah pada peringkat paling tinggi. Dalam pentadbiran, perkara ini sudah menjadi asam garam.

Jelas, keadaan ini berlaku kerana bukan mudah untuk pemimpin memuaskan hati atau memenuhi permintaan setiap lapisan, kelompok dan kumpulan dalam kepemimpinannya. Justeru, setiap pemimpin, secara peribadi atau dalam kapasiti jawatannya, sentiasa berdepan khalayak dan pemerhatian awam. Khalayak ada hak, bahkan tanggungjawab untuk membuat penilaian serta membentuk pendapat sendiri dan seterusnya membuat kritikan kepada pemimpin.

Kita perlu sedar selagi pemimpin itu manusia, tidak mungkin dia maksum atau bebas daripada melakukan kekhilafan. Manusia itu tidak mutlak kebijaksanaannya. Bahkan manusia dalam golongan ulama atau ilmuwan juga begitu.

Justeru, dalam kerangka sistem demokrasi atau apa juga sistem pentadbiran, undang-undang tidak boleh melarang atau menghalang khalayak untuk menasihati atau menegur pemimpin dan kepemimpinannya.


Undang-undang hendaklah menyediakan ruang untuk menasihati pemimpin. Hak pemimpin ke atas yang dipimpin ialah mendapat nasihat, manakala tanggungjawab yang dipimpin kepada pemimpin pula ialah memberi nasihat yang baik, betul dan benar.

Bukan benci membenci

Namun, undang-undang tidak boleh membenarkan sesiapapun membenci atau menghasut orang lain untuk benci membenci antara satu sama lain, termasuk membenci pemerintah. Sebarang kekhilafan hendaklah dinasihati.

Sikap benci membenci dalam apa juga keadaan, kepada sesiapa juga, tidak boleh dibenarkan. Hadis ketujuh dalam kumpulan hadis 40 Imam al-Nawawi menjelaskan peri penting nasihat. Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie ra. bahawa Nabi SAW bersabda: "Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitab-Nya, untuk Rasul- Nya, untuk imam Muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya" (Hadis riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis ini, benarlah hak pemimpin ialah untuk dinasihati dan tanggungjawab yang dipimpin ialah untuk menasihati menerusi tatacara dan tatasusila tertentu. Al-Quran pula mengisahkan mengenai kezaliman dan kekufuran Firaun.

Pada masa sama al-Quran menyediakan tatacara kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk menasihati Firaun dengan 'qawlan layyinan', yakni kata-kata yang lembut supaya Firaun beringat dan berasa takut akan azab Allah jika masih berdegil. Pembaca boleh merujuk Ayat 44 Surah Taha sebagai contoh, yang mana maksudnya: "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata lemah lembut, semoga ia beringat atau takut."

Menegur atau memberi nasihat kepada pemimpin bukan kerana bencikan mereka, tetapi kerana mahukan mereka kembali kepada cara kepemimpinan yang dapat mendekatkan kepemimpinannya kepada keimanan dan kembali kepada tujuan kepemimpinan yang benar dan diredai Allah.

Perkara 43(3) Perlembagaan meletakkan prinsip kebertanggungjawaban pemimpin. Mereka bertanggungjawab atas segala bentuk atau tindakan dalam kepemimpinannya. Perlembagaan juga meletakkan prosedur tertentu bagi membolehkan nasihat disampaikan kepada pemimpin.

Ruang dalam Akta Hasutan

Sementara itu dalam undang-undang yang menjadi perhatian berkaitan kepentingannya ketika ini, iaitu Akta Hasutan, kita masih mendapat ruang untuk menasihati pemimpin. Tidak semua yang diperkatakan mengenai raja dan kerajaan, sebagai pimpinan tertinggi negara, mempunyai kecenderungan menghasut.

Akta Hasutan, walaupun memberikan kuasa kepada pendakwaan segala bentuk kecenderungan menghasut, tetapi akta ini masih menyediakan ruang kepada khalayak untuk menasihati pemimpin.

Perkara ini dapat dilihat dengan jelas dalam seksyen 3(2) Akta Hasutan. Fasal 3(2)(a) membenarkan khalayak untuk menunjukkan mana-mana raja telah dikelirukan. Fasal 392)(b) juga memberi ruang kepada khalayak untuk menunjukkan kesilapan atau kecacatan dalam manamana kerajaan dalam pelaksanaan peruntukan berkaitan kewarganegaraan, Bahasa Melayu, keistimewaan Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu. Justeru menegur raja atau kerajaan dalam fasal ini boleh dikategorikan sebagai ruang untuk khalayak menasihati pemimpin, bukan menghasut untuk membenci mereka.

No comments: