Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

03 July 2014

Perbaiki institusi tadbir cantas rasuah

Perbaiki institusi tadbir cantas rasuah
2014/07/01 

Kejayaan basmi penyakit sosial berperingkat perlu kerjasama semua pihak

Sudah menjadi kelaziman tatkala saya menghadiri majlis sosial, pasti ada yang merengus-rengus berkongsi pengalaman mereka menyogok wang kerana terdesak menyelesaikan sesuatu masalah. ‘Itulah Idris, gejala rasuah masih berleluasa di negara ini, makanya kita terus gagal untuk maju,’ keluh mereka kepada saya. 

Biasalah, orang yang pernah mengalami pengalaman seperti ini pasti tidak yakin dengan kesungguhan kerajaan untuk membanteras gejala rasuah. Keluh-kesah yang dilantunkan di media sosial menunjukkan betapa rakyat hampa dengan sistem yang mereka anggap tidak jujur, berwibawa dan telus. 
Alangkah mudahnya jika kemakmuran dan kekayaan sesebuah negara hanya bergantung pada pencegahan rasuah. Namun, jika benarlah kemantapan ekonomi diraih hanya dengan membasmi penyakit ini, sudah tentulah semua negara di dunia akan berpegang pada satu teori ekonomi semata-mata.

Rasuah ialah ibu segala penyakit. Wabak rasuah menulari semua lapisan masyarakat, tidak kiralah kita ini orang baik atau tidak. Sejujurnya, ramai daripada kita yang pernah terlanjur memberi, menerima atau paling tidak pun, hampir terdorong terbabit dengan rasuah. 

Saya mula mengerti maksud ‘ketelusan’ dan ‘nilai murni’ ketika membesar di rumah panjang. Keinginan melakukan sesuatu kesalahan sentiasa menerkam di hati, namun dapat dibendung kerana terlalu ramai mata-mata yang memerhati dan menunggu peluang membuka aib diri ini! Tiada pilihan melainkan mendidik peribadi agar patuh dengan nilai-nilai murni yang teguh dipegang oleh komuniti.

Menginstitusi kaedah tadbir urus secara berkesan

Bagi membasmi penyakit rasuah ini hingga ke akar umbi, kita mesti menginstitusikan kaedah tadbir urus dan kewibawaan dengan berkesan. Kaedah penyelesaian secara ‘ad hoc’ hanya merawat simptom, tetapi tidak mencantas akar umbi penyakit ini. Kaedah jangka panjang adalah menghapuskan secara berperingkat kelaziman yang sudah berakar umbi selama berdekad-dekad lamanya. Ini bukan perkara mudah dan semestinya memerlukan gabungan tenaga semua pihak – kerajaan, badan korporat dan rakyat. 
Rasuah wujud dalam tiga kategori utama, iaitu rasuah dalam hal ehwal kawal selia/pelaksanaan, dalam isu perolehan dan rasuah dalam pembiayaan politik. Beberapa usaha yang dilaksanakan sudah menampakkan kejayaan, namun kekangan masih dilihat:

1. Menghindari rasuah dalam hal ehwal pelaksanaan 

Setakat ini, kami melaksanakan 196 projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berperanan sebagai penunjuk laluan bagi mengubah proses - yakni dengan memperkemas semua kelulusan bagi projek dan mengurangkan birokrasi bagi meminimumkan ruang untuk berlakunya rasuah.

Sementara itu, PEMUDAH berhasil menambah baik persekitaran perniagaan menerusi rombakan khusus dan mewujudkan automasi dalam proses perniagaan. Apabila proses perniagaan ditawarkan dalam talian dengan hampir tiada langsung campur tangan pegawai pelaksana, kami berupaya mengurangkan kebarangkalian pelakuan rasuah.
Peruntukan Liabiliti Korporat dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga akan memastikan pemantauan rasuah lebih ketat dalam sektor swasta. Dengan pindaan itu, bukan hanya pekerja, malah syarikat terbabit juga akan dipertanggungjawabkan bagi salah laku rasuah dalam syarikat mereka. 

Kemaraan kita dalam tinjauan Doing Business oleh Bank Dunia sehingga mampu menduduki tangga ke-6 pada peringkat dunia dalam tahun 2014 ialah bukti kejayaan ini. Tahun 2010, kita berada di tangga ke-23, tahun 2012 di tangga ke-18 dan tahun 2013 di tangga ke-8. Selain itu, kita melonjak tiga anak tangga dengan menduduki tangga ke-16 dalam tinjauan Starting a Business pada tahun 2014, dikukuhkan lagi dengan lonjakan 56 anak tangga ke tangga ke-43 dalam tinjauan Dealing with Construction Permits. Semua pengiktirafan ini menunjukkan kita berupaya menyempitkan ruang bagi salah laku rasuah dengan begitu drastik. Inilah tanda penambahbaikan yang telah kami jalankan dan masih banyak usaha yang akan kami laksanakan. 

2. Ketelusan yang lebih tinggi dalam proses perolehan 

Penarafan oleh Jabatan Audit Negara Malaysia pada tahun 2013 memberikan penarafan 92 peratus kepada kerajaan dalam Indeks Akauntabiliti Perolehan Kerajaan. Penarafan membanggakan! Tetapi, kegagalan pematuhan sebanyak lapan peratus itu pula kerap dibangkitkan. 

Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mengemukakan laporan Jabatan Audit Negara secara terperinci yang dibentangkan di Parlimen tiga kali setahun.

Siasat fakta tak konsisten dalam Laporan Audit

Baru-baru ini, Tan Sri Dr Ali Hamsa selaku Ketua Setiausaha Negara memulakan satu inisiatif sesama Ketua-ketua Setiausaha bagi menyiasat fakta yang tidak konsisten dalam Laporan Audit Negara yang diketengahkan ketika sesi soal jawab bersama pihak media. Saya berharap agar langkah siasatan seperti ini akan mengorak suatu era baharu yang menerapkan amalan perolehan lebih berhemat dalam kalangan kerajaan. 

Pelancaran Paparan Susulan Laporan Audit dalam talian baru-baru ini bagi mengesan isu yang diketengahkan juga dapat membantu mewujudkan persekitaran perolehan dengan akauntabiliti yang lebih tinggi. 

Begitu juga dengan penubuhan Putrajaya Inquisition yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, sesi tindakan itu bertujuan menyelesaikan kes dalam Laporan Audit Negara yang belum dapat diselesaikan setelah begitu lama. 

3. Pembiayaan politik 

Pelbagai kajian membuktikan Rasuah Tertinggi, yakni salah laku rasuah oleh pegawai atasan kerajaan atau individu sehingga mengganggu-gugat hal ehwal pemerintahan pusat dalam negara berkemungkinan rasuah yang paling membimbangkan. Kami sependapat dan sehubungan itu kami mencadangkan agar: 

1. Semua dana yang bertujuan membiayai parti politik mesti disimpan dalam akaun rasmi parti dan bukannya akaun individu. 

2. Pengeluaran resit sejurus saja dana disalurkan ke parti politik adalah diwajibkan.

3. Semua sumbangan mestilah direkodkan dengan teliti dan akaun kira-kira mestilah mematuhi Standard Perakaunan Am yang diterima pakai. Akaun parti mestilah diaudit oleh juruaudit luar. 

4. Sekiranya dana dikutip atau dipegang orang ketiga bagi pihak persatuan politik, semua dana itu mestilah disalurkan ke akaun parti dalam tempoh 14 hari selepas kutipan dibuat.

Pembangkang lengahkan sokongan

Sungguhpun Barisan Nasional memeterai pengisytiharan sokongannya terhadap inisiatif ini, pembangkang pula sengaja melengah-lengahkan sokongan mereka dan masih enggan memberikan komitmen. Saya harap mereka akan menimbang inisiatif ini.

Sentimen yang sering dilontarkan berkenaan isu rasuah adalah mendakwa bahawa jika kita berupaya menyekat ketirisan yang berlaku dalam sistem kerajaan, maka tiada lagi keperluan untuk pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi. Menurut pelontar sentimen ini, penghapusan rasuah semata-mata sudah mampu menyelesaikan masalah kewangan Malaysia. 

Kita lihat dulu perangkaan terbabit. Satu kajian Bank Dunia (tahun 2010) menganggarkan bahawa salah laku rasuah di Malaysia merugikan kerajaan dalam sekitar RM10 bilion setahun, satu jumlah bersamaan satu atau dua peratus GDP. 
Kerugian sebanyak ini belum cukup mampu mengimbangi hutang negara kerana bayaran subsidi kita saja mencecah RM40 bilion setahun. – meneruskan pembaharuan fiskal dan mendepani gejala rasuah sekali gus. 

Berbalik kepada perkampungan Bario tadi, itulah komuniti yang paling selamat dan paling jujur yang tak mungkin anda temui di tempat lain. Orang di sini serta gaya hidup mereka langsung tidak ternoda, ibarat sungai dan gunung-ganang di daerahnya. Meskipun begitu, Bario juga bergelut dengan pahit getir kemiskinan dalam kehidupan hariannya. 

Alangkah mudahnya jika kemakmuran dan kekayaan sesebuah negara hanya bergantung pada pencegahan rasuah. Namun, jika benarlah kemantapan ekonomi diraih hanya dengan membasmi penyakit ini, sudah tentulah semua negara di dunia akan berpegang pada satu teori ekonomi semata-mata.

Kemakmuran negara terhambat bukan hanya disebabkan rasuah. Lihat sahajalah Bario. 

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif bagi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sebarang komen yang bersifat adil dan telus amat dialukan di idrisjala@ pemandu.gov.my)

No comments: