Followers

Carian dalam Blog ini

25 July 2014

Peristiwa tragis sepatutnya perkukuh semangat patriotisme

2014/07/24 - 08:04:17 AM
Shamrahayu A Aziz

Tahun 2014 boleh dianggap tahun tragis buat Malaysia. MH370 dan MH17 adalah dua musibah besar menimpa negara. Sebagai sebuah negara kecil dari segi geografi dalam peta dunia tragedi itu sangat hebat untuk Malaysia.

Amat getir untuk dihadapi Malaysia. Selain dua peristiwa ini kita juga bersedih kerana gugurnya anggota keselamatan kita di perairan Sabah. Peristiwa Lahad Datu juga musibah besar untuk kita. Seluruh warga Malaysia bersedih atas peristiwa duka ini.


Kita tidak tahu dan kita tidak pasti apakah perancangan musuh negara. Apa yang kita pasti ialah, cabaran sedang dihadapi negara ketika ini bukan perkara main-main. Bukan calang-calang. Kita tidak boleh leka. Kelekaan kita yang sebentar saja akan mengundang tragedi lagi.

Antara perkara utama yang mesti letak dalam susunan kepentingan ialah perpaduan warga kita. Perpaduan dan persefahaman antara kita warga Malaysia hendaklah menjadi menu utama dalam setiap perlakuan dan tindakan kita. Walaupun perpaduan ini kedengarannya agak cliché, ia adalah satu perkara yang sentiasa perlu diperingat dan diperhangat. Walaupun kita pernah merasai perpaduan, kita tidak boleh memastikan kita akan dapat mengekalkan atau mempertahankannya sampai bila-bila.


Teruskan usaha ke arah perpaduan

Oleh itu, usaha ke arah perpaduan itu tidak boleh dihentikan walaupun seketika. ‘Apparatus’ yang diterima pakai dalam mengukuhkan perpaduan juga hendaklah dapat disesuaikan dengan keadaan dan keperluannya.
Agak sedih untuk disebutkan bahawa kita masih menjumpai kenyataan yang tidak berfaedah kepada perpaduan hatta dalam hal musibah MH370, MH17 serta Lahad Datu. Berkaitan dengan musibah ini kita masih dapat membaca kenyataan yang memburukkan, bukan membaik keadaan atau perpaduan. Kalau kita menamakan kita sebagai rakyat Malaysia yang matang, rakyat Malaysia yang faham tentang kecintaan kepada negara, kita tidak patut dihidangkan dengan kenyataan berbaur perkauman.

Mengambil semangat proses kemerdekaan dan membentuk negara, kita boleh bersatu, kita boleh dan mampu mencapai perpaduan. Dalam proses ini kita sedar bahawa cabaran dalam proses kemerdekaan itu bukan kepalang juga beratnya. Cabaran perkauman, cabaran keagamaan, cabaran ekonomi, cabaran keselamatan bukannya tiada. Cabaran perkauman, terutamanya persoalan kewarganegaraan dan keistimewaan Melayu. Begitu juga dengan cabaran bersifat keagamaan.

Cabaran ini bergerak serentak dengan cabaran terhadap kedudukan bangsa Melayu dan agamanya serta kedudukan agama Islam. Cabaran ekonomi berkaitan dengan kedudukan ekonomi negara di bawah penjajahan.
Cabaran keselamatan tidak perlu dihuraikan lagi. Kita merdeka dalam keadaan darurat yang bukan saja bermaksud kepayahan kehidupan dari segi makan pakai, tetapi dari segi keselamatan nyawa – antara hidup dan mati. Kita bimbangkan keselamatan negara dan rakyat juga.

Sekiranya kita membilang satu persatu cabaran berkenaan, kita akan menjadi takjub dengan keupayaan orang dulu menghadapi dan menyelesaikan cabaran berkenaan dan seterusnya merealisasikan satu kemerdekaan dan kedaulatan negara untuk kita warisi. Kejituan tujuan dan kemurnian perjuangan serta kewibawaan mereka, perpaduan menjadi saksi kepada kejayaan dan seterusnya membuahkan kejayaan kita mencapai kemerdekaan.


Hala tuju sama


Apa yang jelas dalam perpaduan semasa proses kemerdekaan ialah kita mempunyai hala tuju yang saman iaitu kita mahu bebas daripada pentadbiran atau penjajahan. Kita juga mahukan kedaulatan negara untuk mentadbir negara dengan sendiri. Dengan kata lain, matlamat yang jelas boleh menjamin perpaduan yang jitu.

Berbalik kepada perpaduan yang perlu kita perkukuh, tragedi dan ujian Allah kepada kita dalam jarak masa dekat ini, kita hendaklah mengambil peluang ini untuk mencapai perpaduan yang lebih jitu demi negara.

Kita mengekalkan formula perpaduan dengan berpaksikan kepada kecintaan dan semangat patriotisme terhadap negara. Kita tidak perlukan lagi kenyataan berbaur perkauman untuk menyelesaikan tragedi dan menghadapi musibah ini. Kita perlukan sokongan antara satu satu sama lain.

Peristiwa tragis ini sepatutnya boleh menyatukan rakyat Malaysia demi memberi kekuatan bukan saja kepada keluarga mereka yang terbabit, tetapi juga kepada tanah air tempat tumpahnya darah kita Malaysia.

Kita tidak perlu menunggu musibah lain lagi untuk membentuk perpaduan. Peristiwa ini telah memberikan kita ruang yang cukup besar untuk membentuk perpaduan.


Penulis ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM

No comments: