Followers

Carian dalam Blog ini

18 April 2010

Tra-GD 7... tak cukup menginsafkan ke?



Tra-GD 1 KERETA Toyota Estima yang dinaiki bekas vokalis kumpulan Spin, Achik atau nama sebenar, Murad Md Shari, 28, dan sepupunya Salihin Md Salleh, 29, terbakar selepas terbabas dan melanggar tiang papan tanda di Kilometer 13, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) di Mantin, petang semalam. Dalam kemalangan itu, Achik terbunuh manakala Salihin patah tangan kiri dan kaki kanan. Mangsa dikeluarkan dari kenderaan oleh orang ramai sebelum terbakar.
Apr 18, 2010 5:07 am

********************************************

Tra-GD 2 Lambaian akhir

Oleh MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD dan ARIFIN SALLEH
am@hmetro.com.my
2010/04/18

MASJID TANAH: “Kami sempat melihat mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Saga melambai meminta bantuan tapi tak berkata apa-apa sebelum api marak secara tiba-tiba,” kata seorang anggota Bomba dan Penyelamat yang cuba menyelamatkan mangsa kemalangan ngeri meragut tiga nyawa di Jalan Baru Solok Duku, Tanjung Bidara, di sini, pagi semalam.

Namun api yang marak menyebabkan Che Ku Mohd Hakimi maut di tempat kejadian dengan kesan terbakar hampir 70 peratus tubuhnya.


Dua lagi mangsa yang terbunuh itu ialah Syed Al-Amin Abdul Jalil, 25, yang memandu kereta Perodua Viva dan isterinya, Rohana Hassan, 23. Bapa tiri Rohana, Jaidal Ibrahim, 30-an, parah dan kini dirawat di Hospital Kem Terendak manakala anak sulungnya, Siti Syaria Waldina, 10 bulan terselamat.


Dalam kemalangan kira-kira jam 6.50 pagi, Che Ku Mohd Hakimi dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Ayer Hitam Darat, Tanjung Bidara selepas membeli barangan keperluan untuk kedai runcit bapa mentuanya di pasar awam Masjid Tanah, manakala Syed Al-Amin bersama keluarga dan rakannya itu dari arah Port Dickson menuju ke pusat bandar.


Che Ku Mohd Hakimi yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Kuala Linggi meninggalkan seorang balu, Norashikin Wahid, 31, yang juga guru di Sekolah Rendah Pengkalan Balak dan dua anak, Che Ku Wafiq Shahmi berusia tiga tahun dan Che Ku Syafi, 10 bulan.

Syed Al Amin pula pekerja kontrak di sebuah syarikat di Alor Gajah dan menetap di Sungai Udang.


Menurut ibu saudara Che Ku Mohd Hakimi, Azizah Md Yassin, 54, dia diberitahu mengenai kemalangan itu oleh seorang jiran selepas resah menunggu kerana anak saudaranya lewat pulang berbanding biasa.


“Selalunya ipar dia yang pergi ke pasar awam di Masjid Tanah tapi entah kenapa pagi ini (semalam) dia beriya-iya hendak pergi seorang diri, menyebabkan saya rasa pelik. Saya juga sedikit terkilan sebab dia baru saja buat kenduri doa selamat minggu lalu kerana berpindah ke rumah baru,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.


Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka apabila puluhan ahli keluarga kedua-dua mangsa terbabit menunggu bedah siasat dilakukan. Norashikin yang sebak dan mendukung anak bongsunya enggan ditemubual.


Sementara itu, bapa tiri Syed Al Amin, Habil Mohammad, 65, berkata arwah anak tirinya bersama isteri dan cucunya dalam perjalanan balik menziarahi keluarga mentuanya di Port Dickson.


“Baru petang semalam (kelmarin) saya berbual dengan arwah dan dia beritahu hendak melawat keluarga mentua di Port Dickson memandangkan dia kini bercuti,” katanya.


Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian satu daripada kenderaan terbabit.

Katanya, polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan, termasuk dakwaan saksi bahawa kereta Proton Saga dari arah pasar Masjid Tanah dikatakan cuba membuat pusingan U di satu jalan lurus mendaki bukit sebelum dirempuh oleh kereta Perodua Viva.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments: