Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

13 April 2010

Penyu Bantu Pulihara Keseimbangan Hidupan Laut

13 April, 2010 09:05 AM

Oleh Intan Norasyikin Mohd Ariffin

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Sebanyak empat daripada tujuh spesies penyu di dunia, termasuk yang terbesar, Penyu Belimbing (Dermochelys coreacea) mendarat di pesisir pantai timur negara.

Tiga lagi ialah Penyu Agar (Chelonia mydas),Penyu Karah (Eratmochelys imbricata) dan Penyu Lipas (Lepidochelys Olivacea).

Umum tahu bahawa populasi penyu kini diancam kepupusan terutama Penyu Belimbing akibat faktor semula jadi dan ancaman manusia, namun masih ramai tidak faham kenapa ada pihak yang beria-ia mahu memelihara spesies ini daripada pupus.

Ketua Bahagian Konservasi Penyu Karah & Tuntung Laut WWF Melaka Lau Min Min berkata penyu juga seperti haiwan lain memainkan peranan penting dalam memulihara keseimbangan ekologi secara langsung di lautan.

PEMANGSA UTAMA

Beliau memberi contoh Penyu Belimbing yang amat penting dalam proses mengawal populasi obor-obor. Obor-obor ialah makanan utama penyu ini.

"Corak pemakanan ini membantu mengurangkan jumlah pemangsa utama kepada telur ikan iaitu obor-obor.

"Ini bagi memastikan telur ikan dapat disenyawakan dengan baik lalu membekalkan ikan yang mencukupi sebagai makanan utama kepada manusia," kata Lau.

Peningkatan populasi obor-obor boleh mengurangkan populasi ikan kerana obor-obor memakan telur ikan dan ini menjejaskan pertumbuhan populasi ikan.

Selain penyu belimbing, penyu lain juga ada kepentingannya. Antara lain menurut Lau, Penyu Karah berupaya memakan span laut yang biasa didapati dalam ekosistem terumbu karang. Span laut ini bersaing dengan terumbu karang lain bagi mendapatkan ruang, malah ia dilindungi oleh duri spina yang tajam lagi beracun.

"Pemakanan Penyu Karah ini penting dalam kawalatur ekologi terumbu karang. Ia membolehkan ikan-ikan memakan span laut yang mana lapisan durinya dimakan oleh penyu terlebih dahulu," demikian jelas Lau Min.

Ketiadaan Penyu Karah membolehkan span laut membiak lebih agresif lalu menguasai ekosistem terumbu karang yang juga menyediakan makanan kepada ikan.

PENUNJUK RANTAIAN EKOSISTEM LAUT

Antara peranan penyu terhadap ekosistem ialah bertindak sebagai spesies penunjuk dalam ekosistem dengan ia menunjukkan sebarang tanda perubahan disebabkan perubahan persekitaran.

Pegawai Projek Penyelidikan Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) rantau Abang, Terengganu Syed Abdullah Syed Abdul Kadir berkata rantaian ekosistem bermaksud rangkaian yang saling mengikat antara satu sama lain, dan jika satu daripadanya dipisahkan maka ia akan memusnahkan hidupan laut yang lain juga.

"Ini bermakna kehadiran penyu boleh memberi tanda perubahan dalam bentuk taburan kehidupan laut dan kelimpahan yang menunjukkan ancaman telah berlaku ke atas keseluruhan ekosistem," katanya.

RANTAIAN YANG SALING MENGIKAT

Syed Abdullah berkata rantaian ekosistem bermaksud rangkaian yang saling mengikat antara satu dengan lain, jika satu daripadanya dipisahkan maka ia akan memusnahkan hidupan laut yang lain juga.

Katanya tidak kira apa jenis penyu pun, setiap satu daripadanya mempunyai peranan hampir sama. Antaranya Penyu Olive Ridley dan penyu Kemp Ridley yang memakan hidupan akuatik jenis invertebrata (seperti sotong, obor-obor) sama ada di dasar laut mahupun di pesisir.

Begitu juga Penyu Tempayan yang banyak memakan haiwan invertebrata, khususnya krustasea (seperti udang galah, ketam laut), obor-obor, span laut dan batu karang lembut yang hidup di dasar laut. Bentuk pemakanan ini boleh mempengaruhi taburan serta kelimpahan spesies kawasan ekosistem pantai.

Cengkerang penyu pula menjadi tempat bernaung bukan sahaja bagi haiwan yang lain tetapi juga tumbuhan laut. Menurut Syed Abdullah sebanyak 100 jenis haiwan dan tumbuhan marin telah direkodkan hidup atas cengkerang penyu.

"Jelas kita dapat melihat bagaimana masa depan bagi banyak spesies di lautan berkaitan erat dengan kelangsungan hidup penyu," kata Syed Abdullah.

Najis penyu juga menjadi baja kepada rumpai laut supaya dapat membiak dan tumbuh dengan lebih banyak lagi.

JIKA PENYU PUPUS

Syed Abdullah berkata jika spesies penyu yang menjadi pemangsa kepada Tapak Sulaiman dan obor-obor lenyap, maka ia akan menyebabkan berlakunya kemusnahan yang serius terhadap ekosistem laut.

"Misalnya, ada sesetengah kawasan yang dipenuhi spesies obor-obor sahaja kerana sistem rangkaian dalam ekosistem terbabit terganggu dan ada pula antara ekosistem terumbu karang yang musnah akibat dimakan oleh Tapak Sulaiman kerana sudah tiada lagi pemangsa di kawasan itu.

"Keadaan ini akan merencatkan pertumbuhan dan pembiakan populasi ikan di masa akan datang jika spesies penyu yang memakan obor-obor pupus, maka obor-obor akan membiak dalam kuantiti yang banyak dan memakan hidupan laut yang lain terutamanya ikan," kata beliau.

Bagi penyu yang memakan alga merah pula, sekiranya spesies itu pupus, alga merah akan membiak dengan banyaknya dan akan membunuh ekosistem terumbu karang. Dengan kemusnahan terumbu karang, ia akan membunuh populasi ikan dalam habitat itu, seterusnya menyebabkan terumbu karang dan ikan dalam zon terbabit turut pupus.

Syed Abdullah menjelaskan bahawa jika penyu pupus di sesuatu zon, rantaian makanan di kawasan itu pasti terganggu dan membawa kepupusan kepada populasi ikan yang menjadi sumber protein kepada manusia.

PENYU BELIMBING DI AMBANG KEPUPUSAN

Walaupun ramai yang tidak tahu atau tidak mengambil berat betapa pentingnya spesies penyu dalam alam kehidupan, masih ada yang sayang pada haiwan ini.

Penyelidik Unit Penyu Laut (Seatru) Universiti Malaysia Terengganu Dr Juanita Joseph berkata proses pemuliharaan penyu berterusan sejak tahun 1950-an, namun hasilnya belum dapat dilihat kerana proses kematangan penyu mengambil masa antara 25 dan 50 tahun.

"Kami di Seatru semakin giat menjalankan aktiviti pemuliharaan penyu di Pulau Redang sejak 1993. Anak penyu yang kami lepaskan ke laut pada tahun itu bagaimanapun masih belum kembali," katanya.

Bagaimanapun, Dr Juanita berkata Malaysia mungkin kehilangan Penyu Belimbing dan begitu juga dengan penyu Olive Ridley.

"Buat masa ini, kita masih lagi mempunyai Penyu Agar dan Penyu Karah. Persarangan untuk spesies ini juga menurun jika dibandingkan pada tahun 50-an.

"Negara lain pun menunjukkan penurunan juga. Tapi kita berharap langkah pemuliharaan yang kita ambil pada masa kini akan mendatangkan hasil," kata Dr Juanita.

-- BERNAMA

No comments: