Followers

Carian dalam Blog ini

08 April 2010

Penuaian hujan mampu jimat kos rawatan air

2010/04/08

Penggunaan sumber tadahan untuk kegunaan harian jimatkan bekalan hampir 30 peratus

SECARA umum, penyimpanan air hujan menerusi konsep Penuaian Hujan masih gagal dilakukan secara lestari di kalangan masyarakat di negara ini, sedangkan penerimaan taburan hujan sepanjang tahun berada pada tahap tinggi. Air hujan sepatutnya digunakan secara optimum bagi mengurangkan penggunaan air dirawat. Ia menjimatkan kos rawatan air dalam tempoh jangka panjang serta sebagai persediaan menghadapi saat kecemasan seperti kemarau.

Pengurusan air sangat penting bagi memastikan permintaan bekalan mencukupi untuk pelbagai kegunaan terutama pertanian, perindustrian dan domestik. Jumlah keperluan air negara dijangka meningkat lebih 60 peratus dalam tempoh 50 tahun lagi iaitu daripada 11,000 juta meter padu pada 2000 kepada 18,000 juta meter padu pada 2050.

Ketika ini, negara belum berdepan masalah krisis air pada tahap kritikal. Namun, itu tidak bererti masyarakat boleh mengambil sikap sambil lewa kerana sudah terlalu selesa dengan penyaluran air daripada penyedia bekalan.

Menyimpan air hujan menerusi konsep Penuaian Hujan atau pelaksanaan Sistem Pengumpulan Hujan sepatutnya jadi amalan semua pihak kerana ia boleh digunakan untuk menyimbah tandas, menyiram tumbuhan atau landskap, mencuci kereta dan kegunaan lain tanpa menjejaskan pengambilan air yang dirawat.

Kajian membuktikan air hujan yang ditadahkan boleh diguna dan menjimatkan bayaran bil bulanan. Menerusi projek perintis Sistem Pengumpulan Air Hujan di Kompleks Bandar Utama, mendapati ia menjimatkan hampir 30 peratus bekalan air menerusi penggunaan air hujan yang ditadah.

Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim), yang menjadi pusat pakar rujuk dalam bidang hidraulik untuk kemajuan sektor sumber air, pemuliharaan persekitaran, kesejahteraan, keselesaan dan peningkatan kualiti hidup, sememangnya begitu prihatin terhadap konsep Penuaian Air Hujan untuk pelbagai aktiviti seharian.
Penuaian Hujan juga mampu mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan tertentu kerana ia mampu memperlahankan pengaliran air terus memasuki pusat bandar berikutan pusat tadahan atau sungai berhampiran gagal menampung kapasiti jumlah hujan.

Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Sumber Air Nahrim, Mohd Zaki Mat Amin, menjelaskan pihaknya sudah menjalankan kajian mengenai kepentingan Penuaian Air Hujan untuk kegunaan domestik sebagai alternatif air dirawat, sejak 2003.

Penuaian itu dilakukan dengan pelbagai kaedah termasuk menyediakan tangki khas bagi mengumpulkan hujan. Cuma mereka perlu menyambungkan ‘gutter’ pada bumbung rumah dan saluran paip bagi membolehkan hujan terus memasuki tangki khas disediakan sebelum digunakan untuk aktiviti tertentu.

Natijah paling ketara, sistem ini adalah ia dapat mengurangkan penggunaan air dirawat serta menjimatkan kos rawatan air untuk tempoh jangka panjang.

Menerusi kajian Nahrim di sebuah rumah teres di ibu kota, mendapati pemilik kediaman dapat menggunakan kira-kira 13.65 meter padu air sebulan sekali gus mampu menjimatkan 34 peratus bayaran bil bulanan.

“Air hujan dikategorikan sebagai bersih. Mengapa tidak kita gunakan air hujan itu untuk aktiviti tertentu seperti cuci kereta, menyiram tanaman atau mengepam tandas. Dengan ini dapat menjimatkan air yang dirawat untuk kegunaan harian,” katanya.

Mohd Zaki berkata, Nahrim juga terbabit dalam beberapa kajian lain bagi tujuan sama termasuk pembinaan kawasan tadahan air hujan di Masjid Taman Bukit Indah Ampang (kegunaan jemaah masjid) dan membuat reka bentuk kawasan tadahan air hujan di Zoo Negara (kegunaan penyelenggaraan dan pengurusan badak sumbu).

Selain itu, Nahrim dalam proses membuat kajian untuk menyediakan kawasan taman bunga atau landskap (rain garden) dengan keluasan tertentu serta dilengkapi takungan di bawah tanah untuk menerapkan semua air ke dalam tanah ketika hujan.

Dengan adanya ‘rain garden’ hujan dapat dikawal terus mengalir masuk ke longkang atau kawasan lain sehingga boleh menyebabkan banjir kilat.

Banjir kilat di ibu kota, umpamanya yang dipenuhi dengan jalan raya dan hutan batu menjadikan kawasan tadahan air dan sungai berhampiran tidak dapat menampung limpahan hujan yang terlalu lebat.

“Jika hujan lebat dengan kadar penurunan 100 mililiter air saja di sekitar Kuala Lumpur boleh menyebabkan banjir kilat kerana kawasan tadahan gagal menampung kapasiti air.

“Oleh itu, konsep pembinaan ‘rain garden’ ini sekurang-kurangnya mampu menyerapkan air ke dalam tanah dan melewatkan aliran hujan masuk ke dalam kawasan tadahan atau sungai.

“Pada masa sama, dari segi hidrologi, kehilangan air disebabkan pembangunan tidak mapan atau penebangan hutan dapat diseimbangkan semula dengan serapan air ke dalam tanah ketika hujan,” katanya.

Malangnya, kesedaran orang ramai termasuk pemilik bangunan untuk melakukan penuaian hujan belum lagi menjadi amalan berbanding di negara maju yang sesetengahnya menjadikan syarat kepada pemaju menyediakan kawasan tangki khas untuk digunakan bagi menuai hujan pada projek pembangunan atau perumahan mereka.

Di Malaysia, mungkin ada pro dan kontra jika pemaju diwajib membina tangki khas menyimpan air. Sudah pasti harga rumah menjadi lebih mahal. Namun, untuk tempoh jangka panjang, ia memberi manfaat terhadap penjagaan alam sekitar serta mengurangkan kemungkinan berlaku banjir kilat, katanya.

Di Australia, Korea Selatan (Seoul) dan Tokyo (Sumida) menyediakan kawasan tadahan khas dan tangki mengumpulkan air hujan untuk mengelak banjir kilat di bandar raya terbabit. Pihak berkuasa tempatan di Sumida City, dikatakan membina tangki khas iaitu satu digunakan untuk aktiviti seharian, manakala satu lagi menyimpan air bagi tujuan kecemasan seperti digunakan ketika berlaku kebakaran atau menghadapi kemarau.

No comments: