Followers

Carian dalam Blog ini

13 July 2013

MALAYSIA : DIPLOMASI PELBAGAI HALA




PENGENALAN
 Malaysia menjadi anggota beberapa pertubuhan pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Komanwel, ASEAN, Kumpulan G77 (G77), Kumpulan 8 Negara Membangun (D8), Dialog Asia - Timur Tengah (AMED), Kerjasama Asia Timur - Amerika Latin (FEALAC), Persatuan Lingkaran Pasifik Lautan Hindi bgi Kerjsama Serantau (IOR-ARC).  Persatuan Lingkaran Pasifik Lautan Hindi bagi Kerjasama Serantau (IOR-ARC), Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Diplomasi pelbagai hala tidak sekadar penting tetapi juga menjadi asas pelaksanaan dasar luar negara Malaysia sejak kita mencapai kemerdekaan. Malaysia telah berusaha keras untuk mencapai kestabilan dan keselamatan politik serta sosioekonomi di peringkat global dalam sistem pelbagai hala.
Maka, Malaysia akan menggalakkan keselamatan, undang-undang antarabangsa dan pembangunannya melalui penyertaan aktifnya dalam forum antarabangsa, terutamanya sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan agensi khususnya.
 Melalui keanggotaan sejagat dan piagamnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memegang peranan utama dan amat penting dalam pentadbiran sistem pelbagai hala. Malaysia menyedari peri pentingnya menyampaikan keperluan sosial dan ekonomi yang mendesak bagi negara membangun dan mengharap kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memajukan agenda pembangunan berkaitan kemunduran dan pembasmian kemiskinan.
 Melalui penyertaannya dalam forum antarabangsa, Malaysia menyuarakan pandangannya bahawa resolusi konflik antarabangsa hendaklah secara aman dan selaras dengan undang-undang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan antarabangsa. Malaysia akan menyokong semua usaha yang bermatlamat untuk mengukuhkan PBB dan semangat hubungan pelbagai hala. Malaysia memainkan peranan utama dalam memajukan agenda pembangunan negara Selatan melalui kepimpinannya dalam NAM dan OIC.
 Sumbangan yang dibuat oleh Malaysia ketika menjadi Pengerusi telah merangsang dan mengaktifkan semula kedua-dua pertubuhan ini. Program yang diperkenalkan oleh Malaysia kepada negara-negara OIC seperti Program Membina Keupayaan dan Institut Pembebasan Wanita NAM (NIEW) perlu dilaksanakan dan digalakkan dengan bersungguh-sungguh.
 Kerjasama Selatan-Selatan yang bertambah erat baru-baru ini berkembang menjadi perjanjian peringkat tinggi antara benua, perkembangan yang memberikan petanda baik bagi perpaduan yang semakin kukuh dan sikap saling bergantung yang bertambah dalam kalangan negara membangun dalam menghadapi cabaran sosial dan ekonomi yang sama. Aspek penting lain dalam perjanjian ini ialah kerjasama dalam bidang teknikal, saintifik dan perdagangan. Pengukuhan diplomasi pelbagai hala Malaysia ialah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana isu dan cabaran yang dihadapi negara semakin bertambah sejak beberapa dekad lalu.

KESELAMATAN DAN KETENTERAMAN ANTARABANGSA
 Penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu enam dekad lalu sebagai akibat daripada Perang Dunia Kedua menjadi titik perubahan dalam sejarah. Sifat menghancurkan akibat perebutan kuasa dunia yang melanda seluruh dunia memaksa negara di dunia mewujudkan satu pertubuhan antarabangsa yang boleh mengurangkan kemungkinan berlakunya satu lagi perang dunia.

 Sejak menjadi anggota PBB pada tahun 1957, Malaysia telah meletakkan dasar yang dinyatakan dalam Piagam PBB di tempat paling utama, terutamanya untuk menyelesaikan pertelingkahan melalui cara yang aman. PBB memberikan peluang yang sama kepada semua negara dunia untuk menyuarakan pendapat mereka, memberi Malaysia perlindungan melalui rangka kerja hubungan pelbagai hala dan menghormati undang-undang dan peraturan antarabangsa.

 Malaysia sentiasa prihatin terhadap perbezaan pendapat dan kerumitan yang dihadapi dalam perlucutan senjata dan keselamatan antarabangsa. Justifikasi yang dibuat oleh negara tertentu untuk terus mewujudkan senjata pemusnah besar-besaran dan penggunaannya sebagai penghalang keselamatan oleh beberapa negara menjejaskan kewujudan bersama negara secara aman, lalu menjadi ancaman kepada kemanusiaan. Alasan sedemikian menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan negara yang cintakan keamanan kerana ia mengancam keselamatan mereka dan menyebabkan negara lain menyimpan senjata tersebut untuk mempertahankan negara mereka. Perkara ini hanya menjadi formula yang membawa kepada perlumbaan senjata.

 Oleh itu, usaha, strategi dan komitmen sebenar perlu diperbaharui untuk meleraikan kebuntuan ini bagi mencapai pelucutan sepenuhnya dan seluruhnya senjata pemusnah besar-besaran dan senjata konvensional. Atas sebab ini, Malaysia komited untuk melaksanakan segala usaha untuk mewujudkan dunia yang bebas daripada senjata pemusnah besar-besaran dan senjata konvensional.
 Seiring dengan kemajuan Malaysia, dasar luar negaranya akan terus mengutamakan sistem hubungan pelbagai hala PBB dan mekanismenya. Malaysia akan terus menyumbang untuk masa depan pertubuhan ini.


KESELAMATAN MANUSIA DAN TENAGA

Dalam persekitaran dunia yang sentiasa berubah, konflik dan bencana yang timbul menyebabkan masyarakat dunia membentuk konsep keselamatan manusia. Konflik dan bencana seperti kekurangan bekalan makanan dan air memburukkan lagi keadaan dan boleh membawa kesan yang serius kepada kelangsungan dan kesejahteraan hidup manusia. Keselamatan sumber tenaga menjadi isu yang hangat diperdebatkan sejak berdekad-dekad. 

Kini, penduduk dunia dianggarkan menggunakan 87 juta tong minyak mentah sehari dan menjelang tahun 2010, kadar penggunaannya akan mencecah 110 juta tong sehari. Dunia sedang menghadapi krisis bekalan tenaga kerana permintaan yang amat tinggi dan kekurangan bekalan yang menyebabkan kenaikan harga. Dunia dikejutkan dengan harga minyak mentah yang mencecah nilai tertinggi pada Julai 2008 dan hampir membawa kepada kemelesetan ekonomi dunia. Keselamatan bekalan tenaga perlu menimbangkan supaya penyelidikan dibuat ke atas sumber baru tenaga yang boleh dibaharui.

Malaysia turut menerima tempias daripada cabaran ini. Oleh itu, Malaysia perlu mengatur kedudukannya untuk melindungi kepentingannya dalam isu yang melibatkan keselamatan manusia, bekalan dan permintaan tenaga dunia.


ISU ALAM SEKITAR

 Pertumbuhan ekonomi luar biasa yang disaksikan oleh dunia akan memberikan tekanan hebat ke atas alam semula jadi dan persekitaran. Pemanasan global menjadi isu transnasional yang memerlukan tindakan sejagat. Dalam menghadapi cabaran ini, diplomasi alam sekitar ternyata perlu diberikan tumpuan oleh Malaysia bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dengan persekitaran.
Dalam beberapa tahun ini, peningkatan suhu akibat gas karbon dioksida yang terperangkap dan kesan gas rumah hijau banyak mempengaruhi cuaca dunia. Pemanasan global akan memberikan kesan kepada kehidupan manusia di seluruh dunia. Ini termasuk mendapatkan bekalan air minum, kesihatan, makanan dan kesejahteraan alam sekitar.

 Pengunaan pakai Protokol Kyoto dan Persidangan Rangka kerja PBB tentang Pemanasan Global merupakan langkah pertama untuk mengurangkan pelepasan gas berbahaya dan menangani pemanasan global. Dalam hal ini, Malaysia perlu mempunyai pendirian teguh terhadap isu pemanasan global yang melangkaui Protokol Kyoto. Demi mencapai matlamat ini, Malaysia perlu terlibat secara aktif dalam usaha antarabangsa untuk menggubal dasar yang berasaskan kajian saintifik yang mantap.


HAK ASASI MANUSIA

Hak asasi manusia menjadi semakin penting sejak bertahun-tahun. Disokong tegas sejak berakhirnya Perang Dunia II, pergerakan dan kepercayaan terhadap peri pentingnya amalan hak asasi manusia telah tersebar ke serata dunia. Malah, ia telah diterima pakai oleh PBB dan didokumenkan sebagai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Hal ini menjadi isu perdebatan moral yang penting.

 Malaysia mengambil pendekatan holistik berkenaan hak asasi manusia dan menganggap semua hak sebagai tidak boleh dibahagikan dan saling bergantung. Di Malaysia, semua hak penduduk dilindungi oleh peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan hak asasi semua penduduk, termasuk golongan minoriti. Tetapi, hak ini tidak mutlak dan bergantung pada, antara lain, ketenteraman awam, prinsip moral dan keselamatan negara, yang konsisten dengan UDHR.

Sambil mendukung prinsip asas hak asasi manusia, Malaysia menegaskan nilai hak asasi manusianya yang mengambil kira sejarah negara serta agama, sosial dan budaya masyarakat berbilang kaum. Ini bagi memastikan bahawa keharmonian masyarakat dijaga dan dilindungi. Amalan hak asasi manusia di Malaysia membayangkan sistem nilai Asia yang lebih luas, iaitu kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan lebih penting daripada hak individu.

Malaysia menyokong kuat hak asasi manusia dan giat menyertai forum tempatan dan antarabangsa untuk membuktikan bahawa negara ini benar-benar komited dan akan terus komited dalam memperbaik sistem hak asasi manusia.


ANTI KEGANASAN DAN JENAYAH RENTAS SEMPADAN
PENCEGAHAN KEGANASAN DAN JENAYAH TRANSNASIONAL

Keganasan dan jenayah terancang transnasional merupakan masalah sejagat yang serius dan mampu mengancam kestabilan dan keselamatan negara serta keamanan antarabangsa. Perjuangan menentang keganasan dan jenayah terancang transnasional perlu dibuat secara menyeluruh. Masyarakat antarabangsa perlu memberikan takrif yang diterima di seluruh dunia untuk mengenal pasti puncanya dan mengambil tindakan yang wajar bagi memulihkannya serta memasukkan akta keganasan yang dilakukan oleh sesebuah negara.

Malaysia mengecam semua tindakan, kaedah dan amalan keganasan dan jenayah transnasional. Oleh sebab keganasan dan jenayah terancang transnasional merupakan fenomena antarabangsa yang menjangkaui sempadan negara, perjuangan menentang kedua-dua ancaman tersebut memerlukan tindakan antarabangsa yang berkesan menurut Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan prinsip mengawal hubungan dan undang-undang antarabangsa yang diiktiraf di seluruh dunia. Malaysia percaya bahawa forum terbaik untuk mengetuai dan menyelaras tindakan tersebut ialah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Malaysia aktif menyumbang/berkongsi maklumat dan pengalaman dalam Suruhanjaya Pencegahan Jenayah dan Keadilan Jenayah (CCPCJ) dan Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) dan juga di peringkat serantau, terutamanya di bawah Program Kerja ASEAN sebagai usaha membanteras keganasan dan jenayah terancang transnasional.


DIALOG ANTARA KEPERCAYAAN DAN ANTARA PERADABAN  

 Usaha mengadakan dialog antara kepercayaan dan antara peradaban menunjukkan bertambahnya perhatian politik di peringkat tinggi dengan kepentingan strategik bagi dialog antara budaya dan antara agama dalam usaha mencapai keamanan.

Keperluan menyelaras tindakan antarabangsa untuk memupuk keamanan timbul ekoran daripada peristiwa 11 September, serangan di Madrid pada 11 Mac 2004, pengeboman di London pada 7 Julai 2005 dan pengeboman di Mumbai baru-baru ini pada 26 November 2008. Dengan mengambil kira bertambahnya usaha berkenaan antara kepercayaan dan antara peradaban, Malaysia akan memberikan tumpuan kepada inisiatif yang diketuai oleh PBB di peringkat antarabangsa; Pakatan Peradaban (AoC) di peringkat serantau; Dialog antara kepercayaan Asia Pasifik.

Sumber: Portal Rasmi Kementerian Luar Negeri Malaysia.

No comments: