Followers

Carian dalam Blog ini

13 July 2013

Dasar Luar Malaysia



1.         Kementerian Luar Negeri yang dikenali juga sebagai Wisma Putra diberi mandat untuk melaksanakan dasar luar negara ini mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan objektif untuk melindungi dan memajukan kepentingan negara pada peringkat antarabangsa.

2.         Dasar luar Malaysia berasaskan prinsip untuk menjalinkan hubungan erat dan baik dengan negara lain dalam komuniti negara. Malaysia akan terus menghormati hal ehwal dalaman negara lain dan menyokong dasar tidak campur tangan yang mengiktiraf kedaulatan negara lain.

3.         Sejak kemerdekaan Malaysia pada 1957 sehingga kini, wawasan dasar luar kita sentiasa konsisten, iaitu untuk melindungi kepentingan negara Malaysia di samping menyumbang ke arah mewujudkan sebuah komuniti negara yang adil dan saksama. Wawasan ini dicapai dengan menegakkan kedaulatan negara dan memupuk keamanan sejagat; menjalinkan hubungan baik dengan negara asing dan melindungi kepentingan Malaysia di arena serantau dan antarabangsa. Dengan kata lain, Malaysia akan terus mengukuhkan hubungannya dengan negara lain dan pertubuhan antarabangsa, pada peringkat serantau dan antarabangsa.

4.         Selaras dengan objektif kita untuk melindungi dan memajukan kepentingan Malaysia di luar negara, Kementerian telah menubuhkan sejumlah 105 perwakilan di 83 negara dan melantik 53 Konsul Kehormat yang memberikan sokongan dan bantuan dalam memajukan kepentingan Malaysia di luar negara.

 5.         Sejak kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, dasar luar negara telah melalui beberapa fasa peralihan yang penting dengan penekanan berbeza di bawah lima Perdana Menteri terdahulu. Dasar itu banyak dipengaruhi oleh ciri-ciri kebangsaan yang sudah mantap dan pucuk pimpinan politik yang silih berganti di samping oleh persekitaran serantau dan antarabangsa yang dinamik.

6.         Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman mengambil pendirian anti-Komunis dan pro-Barat yang jelas kerana negara menghadapi ancaman pemberontakan Komunis pada zaman itu. Dasar luar semasa zaman Tunku perlu mengambil kira pertarungan kuasa dwipolar antara dua ideologi bertentangan, iaitu demokrasi dan komunisme.

7.         Di bawah pimpinan Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak, dasar luar Malaysia mula beralih kepada prinsip berkecuali dan internasionalisme, dengan Malaysia menyertai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

 8.         Tempoh pengukuhan menyusul di bawah pimpinan Tun Hussein Onn, apabila ASEAN menjadi teras dasar luar Malaysia berikutan kejatuhan Saigon (kini Ho Chi Minh City) pada 1975, pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Asia Tenggara dan serangan ke atas Kampuchea (kini Kemboja) oleh Vietnam.

 9.         Semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri mulai 1981, Malaysia mula membuka pintunya untuk menjalinkan hubungan dengan lebih banyak negara dan menjadi simbol sebuah negara membangun yang semakin meningkat. Semasa perkhidmatan Tun Mahathir, dasar luar negara mula mengambil orientasi ekonomi yang jauh lebih ketara dalam hubungan luar negara sambil memperjuangkan hak, kepentingan serta aspirasi negara membangun. Pendekatan ini membawa kepada sokongan kuat terhadap Kerjasama Selatan-Selatan, peranan lebih proaktif dalam G-77, penubuhan G-15 dan permulaan ‘Dasar Pandang ke Timur’. Peralihan ke Timur ini banyak sekali mempengaruhi pembangunan ekonomi Malaysia. Malaysia menjadi suara dunia membangun dan merupakan model ikutan bagi banyak negara membangun apabila negara ini menjadi terkenal kerana mengambil pendirian aktif di PBB dan persidangan antarabangsa yang lain. Penyertaan Malaysia dalam misi pasukan pengaman di bawah panji PBB juga membuktikan kesungguhan negara ini dalam melaksanakan kehendak masyarakat antarabangsa. Sejak 1960, Malaysia telah menghantar anggota tentera ke Republik Congo, Bosnia Herzegovina, Somalia, Sierra Leone, Namibia, Sahara Barat, Iraq, Timor Leste dan Lebanon.

 10.       Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi terus memastikan Malaysia aktif di arena antarabangsa. Semasa perkhidmatannya, Malaysia memainkan peranan utama dalam perumusan dan penerimaan Piagam ASEAN yang telah diratifikasi oleh semua negara anggota ASEAN dan seterusnya mula berkuat kuasa pada 15 Disember 2008.

11.       Dalam tempoh itu, Malaysia turut aktif dalam meluaskan fokus OIC daripada menjadi sebuah organisasi yang tertumpu semata-mata kepada isu politik kepada sebuah pertubuhan yang tertumpu kepada pembangunan sosioekonomi negara-negara Islam. Konsep Islam Hadhari yang menggalakkan pendekatan pembangunan berdasarkan perspektif tamadun Islam juga diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dan diterima serta diiktiraf oleh negara anggota OIC pada Sidang Kemuncak Khas OIC yang ke-3 di Mekah pada Disember 2005.

12.       Di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Malaysia akan terus melaksanakan dasar luar yang pragmatik dan memandang ke hadapan sambil terus berusaha untuk memudahkan kegiatan perdagangan, menarik pelaburan asing di samping memaparkan Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dan aman. Semasa mengambil alih teraju kerajaan pada April 2009, Perdana Menteri juga menekankan bahawa dasar luar Malaysia di bawah pentadbirannya akan banyak dicorakkan oleh konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

13.       Antara elemen utama konsep 1Malaysia ialah menyedari kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian masyarakatnya. Konsep ini menepati wawasan utama Dasar Luar Malaysia, iaitu untuk melindungi dan memajukan kepentingan negara di luar negara dan pada masa yang sama menyumbang secara bertanggungjawab dan berkesan ke arah membina sebuah dunia yang adil dan saksama. Dato’ Seri Najib percaya hubung kait antara negara-negara di dunia bermakna Malaysia akan mendapat manfaat dengan menerapkan konsep 1Malaysia dalam usahanya menjalankan diplomasi dan hubungan luar.

 14.       Sinonim dengan konsep 1Malaysia, Malaysia akan terus menjalinkan hubungan erat dengan semua negara di dunia dan akan terus bekerjasama dengan negara yang sehaluan dalam memajukan kepentingan negara.

 15.       YAB Perdana Menteri juga memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang mengenal pasti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian sebagai janji komitmen Kerajaan terhadap rakyat. Selaras dengan janji ini, Kementerian telah mengenal pasti 14 Petunjuk Prestasi Utama untuk mengukur kejayaan Kementerian.

16.       NKRA Kementerian adalah seperti yang berikut:

 a.         Melindungi dan memajukan kepentingan Malaysia di peringkat bilateral, serantau dan antarabangsa menerusi diplomasi proaktif;

 b.        Merealisasikan Komuniti ASEAN menjelang 2015 menerusi Rangka Tindakan Komuniti Keselamatan Politik ASEAN, Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN dan Rangka Tindakan Kebudayaan Sosial ASEAN;

c.         Meningkatkan kedudukan Malaysia dalam masyarakat antarabangsa terutamanya dalam kerangka 1Malaysia dalam senario geopolitik yang sentiasa berubah; dan

 d.         Menyediakan perkhidmatan yang cekap dan berkesan di dalam dan luar negara.

17.       Malaysia juga menjalinkan hubungan sangat baik dengan negara lain, di peringkat bilateral dan multilateral, melalui mekanisme serantau dan antarabangsa yang sedia ada dalam ASEAN, PBB dan pertubuhan lain yang kita anggotai.

18.       Dasar luar Malaysia distruktur berdasarkan kerangka bilateral, serantau dan multilateral yang jangkauannya seperti pola bulatan sepusat. ASEAN membentuk teras keutamaan dasar luar semasa Malaysia, memandangkan jiran kita merupakan sekutu kita yang terdekat. Melihat lebih jauh ke luar, Malaysia sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya Islam juga mementingkan perpaduan Ummah dan semangat kerjasama dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Status Malaysia sebagai sebuah negara membangun bermakna bahawa adalah mustahak untuk negara ini memainkan peranan aktif dalam Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Komanwel, Kumpulan 77 (G77), Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8), Dialog Asia-Timur Tengah (AMED), Forum Kerjasama Asia Timur Jauh-Amerika Latin (FEALAC), Persatuan Pinggir Lautan Hindi bagi Kerjasama Serantau (IOR-ARC), Mesyuarat Asia Eropah (ASEM) dan Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). Tidak kurang penting ialah penyertaan negara ini secara aktif dan berterusan dalam Komanwel, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pertubuhan antarabangsa yang lain.

 19.       Menerusi pertubuhan tersebut, Malaysia berusaha untuk menggalakkan kerjasama Selatan-Selatan dalam kalangan negara membangun dan dunia Islam. Malaysia juga mendukung dasar ‘Memakmurkan Jiran’ untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama ekonomi dengan negara jiran menerusi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMTGT) dan entiti lain.

20.       Malaysia akan terus memainkan peranan penting berhubung dengan pelbagai isu multilateral yang melibatkan kepentingan kita. Antara isu itu termasuk pelucutan senjata, kempen menentang keganasan, pemerdagangan manusia, perubahan iklim dan isu alam sekitar. Selaku anggota PBB, Malaysia berpegang teguh pada keamanan dan keselamatan antarabangsa dan mendukung undang-undang antarabangsa.

21.       Pemilihan Malaysia sebagai Presiden Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) bagi 2010 dan Pengerusi Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) membuktikan lagi imej positif Malaysia di arena antarabangsa.

 22.       Malaysia juga akan terus menjalinkan hubungan dengan negara-negara sehaluan, baik di rantau ini mahupun di luarnya bagi memastikan kedaulatan dan kesejahteraan ekonominya dipelihara dan dilindungi. Malaysia akan terus mengamalkan prinsip menjalinkan hubungan dan kerjasama, bukan menyisihkan diri dan bertindak secara unilateral.

 23.       Peluang perdagangan dan pelaburan akan terus diterokai dengan rakan dagangan tradisi kita dan serentak dengan itu, perkongsian strategik untuk perdagangan dan pelaburan dijalinkan dengan negara di Timur Tengah, Afrika, Amerika Latin dan bahagian lain di Asia.

24.       Dalam dekad menjelang 2020, Malaysia akan perlu menangani perubahan besar dalam persekitaran global sambil memperbaik dan menaikkan taraf situasi domestik di negara ini. Menyedari cabaran ini, adalah penting dasar luar Malaysia terus tertumpu kepada usaha melindungi kepentingan negara sambil menyumbang secara bertanggungjawab dan berkesan ke arah membina sebuah dunia yang adil dan saksama.

25.       Prinsip asas, iaitu kesamaan kedaulatan, menghormati kedaulatan wilayah satu sama lain, menyelesaikan pertikaian secara aman di samping menjalinkan hubungan saling berfaedah akan terus menjadi panduan dalam hubungan Malaysia dengan negara lain. Prinsip tersebut telah melepasi ujian zaman. Malah, dengan berpegang teguh pada prinsip itu, disokong pula dengan dasar luar yang konsisten, Malaysia mendapat imej sebagai sebuah negara berwibawa di mata masyarakat antarabangsa.

Sumber: Portal Rasmi Kementerian Luar Negeri Malaysia

No comments: