Followers

Carian dalam Blog ini

18 July 2013

ISU SERANTAU : Tindakan proaktif tangani jerebu


Oleh Ku Seman Ku Hussain

JEREBU menyerang lagi dan seperti biasa orang ramai di kawasan yang dikelaskan sebagai bahaya" dinasihatkan berada dalam bangunan, memakai penutup hidung dan jangan membuat pembakaran terbuka. Sebenarnya orang sudah bosan dengan nasihat begini kerana masalah jerebu yang mula melanda sejak 1997 tidak ditangani secara proaktif oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Kini jerebu yang disebabkan oleh pembakaran hutan di Riau, Indonesia telah menenggelamkan" beberapa kawasan dan diisytiharkan darurat. Sekolah dan semua kegiatan di luar bangunan dibatalkan. Kali ini Johor adalah negeri yang paling teruk dan sekali gus menjejaskan kegiatan ekonomi.

Walaupun ini bukan masalah baharu malah berulang kali dialami, setakat ini belum memperlihatkan satu pelan tindakan yang proaktif untuk mengekang kejadian ini berulang. Sementara itu ada pihak pula begitu galak mengumumkan denda kepada individu yang membuat pembakaran terbuka di negara ini. Tahukah mereka bahawa jerebu ini bukan dicetuskan oleh negara ini. Jerebu dicetuskan oleh Indonesia.

Baru-baru ini Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, G. Palanivel mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Menteri Alam Sekitar Indonesia, Balthasar Kambuaya di Jakarta. Apakah kita boleh mengharapkan hasil pertemuan yang lebih kepada usaha diplomatik daripada menyelesaikan masalah yang sedang tenat ini? Malah permohonan maaf daripada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono juga tidak memberi sebarang makna selagi tidak ada tindakan yang serius.

Walaupun jerebu memberi kesan buruk kepada kesihatan warga di negara ini, tetapi jerebu juga berkaitan dengan maruah negara. Ini juga menguji cara negara ini menangani masalah yang mendatangkan bahaya kepada warganya. Apabila jerebu tidak ditangani dengan serius, ini menjejaskan maruah negara setidak-tidaknya di mata negara-negara ASEAN.

Malaysia perlu memberi tekanan kepada pihak yang mencetuskan masalah jerebu supaya lebih bertanggungjawab. Dalam soal ini Singapura kelihatan lebih ke depan apabila mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang menyebabkan negara itu mengalami jerebu yang teruk. Singapura telah memperlihatkan kesungguhan menjaga maruahnya apabila sektor pelancongan terjejas teruk selain menjejaskan kesihatan.

Kenapa Malaysia tidak mendesak supaya Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentasi Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution 2002) dilaksanakan? Perjanjian ini dibuat selepas jerebu teruk melanda negara ini pada 1997 di mana semua negara ASEAN kecuali Indonesia menandatangani perjanjian pada 2002.

Perjanjian ini disertai oleh Brunei, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailan dan Vietnam. Tentulah sangat aneh apabila negara yang menjadi penyebab jerebu iaitu Indonesia tidak menyertai perjanjian ini. Kerana itu Malaysia perlu memainkan peranan untuk memaksa Indonesia menyertai perjanjian ini.

Pada 2005, negara ini mengalami masalah jerebu yang teruk apabila berlaku pembakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan. Lembah Kelang menjadi sasaran jerebu hingga hampir melumpuhkan kegiatan harian terutama di luar bangunan. Pada 2006 jerebu berulang lagi dan perjanjian itu seolah-olah telah beku dan mati.

Melihat kepada perjanjian yang tidak dilaksanakan ini, apakah kita masih menaruh harapan tinggi terhadap pertemuan Palanivel dengan rakan sejawatnya di Indonesia? Kita tidak mahu pertemuan ini hanya menjadi bahan berita di media semata-mata dan apabila jerebu melanda lagi, dibuat pertemuan lagi.

Tekanan

Malaysia perlu menjadi pendesak supaya perjanjian ini diteliti semula dalam kalangan negara ASEAN. Negara lain tidak mengalami masalah seteruk Malaysia yang jerebu sudah menjadi acara tahunan" yang sangat menyeksakan. Kerana itu Malaysia perlu menjadi pemain utama untuk menggerakkan supaya perjanjian ini memberi tekanan kepada Indonesia supaya lebih bertanggungjawab.

Ini merupakan krisis nasional di negara ini. Kerana itu tidak wajarlah cara menyelesaikan krisis ini hanya dengan nasihat supaya tidak keluar rumah dan sentiasa memakai penutup hidung. Krisis nasional, apa lagi yang menyentuh soal maruah memerlukan tindakan yang lebih serius.

Adakah larangan keluar rumah satu pendekatan yang sesuai kerana petani, buruk dan sekian banyak lagi yang berkerja di luar bangunan untuk menyara keluarga? Maknanya jerebu menjejaskan kegiatan harian golongan berpendapatan rendah yang terdedah kepada pencemaran ini. Kenalah menjadi jalan supaya kehidupan harian mereka tidak terjejas walaupun larangan supaya berada dalam rumah atau bangunan itu suatu yang baik.

Begitu juga larangan membuat pembakaran terbuka yang mendatangkan masalah kepada pesawah terutama di Kedah dan Perlis yang terpaksa membakar jerami padi. Ini kaedah yang dijalankan sejak turun temurun untuk melupuskan jerami dan sekali gus menjadi baja untuk tanaman seterusnya. Kita perlu realistik bahawa selama ini pembakaran jerami padi di Kedah dan Perlis belum lagi pada tahap pencemaran.

Maknanya menghadapi jerebu bukanlah membesarkan perkara yang remeh temeh ini. Walaupun ada peruntukan undang-undang kepada individu atau syarikat yang membuat pembakaran terbuka, yang selalu menjadi masalah adalah jerebu dari Indonesia yang datang dalam kadar kepekatan yang tinggi.

Sebenarnya tidak cukup dengan menghebahkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kepada orang ramai. Kalau IPU naik hingga melebihi 400 iaitu tahap bahaya sekalipun, apakah yang mereka boleh lakukan selain berkurung dalam rumah atau dalam bangunan?

Dari sudut kesihatan, pencemaran udara jauh lebih besar kesannya pencemaran air yang selalu berlaku di negara ini. Kita masih ada pilihan untuk mencari air yang bersih tetapi tidak ada pilihan untuk menyedut udara bersih dalam jerebu. Mahu tidak mahu kita terpaksa menyedut bahan-bahan beracun untuk hidup.

Maka pendirian tegas Malaysia terhadap isu jerebu termasuk mendesak dilaksanakan Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ASEAN. Kerana negara ini yang paling teruk, Malaysia mesti menjadi pemain utama memanfaatkan semangat ASEAN untuk menangani krisis nasional ini. Malaysia perlu menggunakan kesepakatan ASEAN untuk mendesak Indonesia menyertai perjanjian ini kerana masalah jerebu dicetuskan oleh Indonesia.

Sebenarnya Indonesia tidak serius menangani pembakaran terbuka di negaranya. Ini sama dengan sikap Indonesia yang tidak menyertai perjanjian bersama negara ASEAN yang lain dalam isu jerebu. Kerana itu jerebu yang kerap melanda negara ini menguji kesungguhan kita mempertahankan maruah. Ini terpulang kepada kita sama ada defensif, reaktif atau proaktif dalam menangani isu jerebu ini.

Kalau kita reaktif, kita akan melakukan apa yang dilakukan sebelum ini termasuk beberapa pendekatan secara ad-hoc seperti kesediaan menghantar anggota bomba dan penyelamat untuk menolong memadamkan kebakaran di Riau. Kalau kita proaktif, selain membuat tindakan ad-hoc, kita melangkah jauh ke depan untuk memastikan masalah jerebu tidak menjadi acara tahunan" di negara ini.

Walau apa sekalipun, dalam semangat kejiranan dan ASEAN, isu jerebu perlu menjadi satu mercu tanda kesepakatan untuk sama-sama menangani masalah ini. Jerebu bukan bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan sebagainya. Ini adalah kesilapan manusia dan boleh diatasi dengan meningkatkan kesedaran serta menguatkuasakan tindakan undang-undang.


No comments: