Followers

Carian dalam Blog ini

25 September 2010

eBook bukan sekadar ringankan beg

eBook bukan sekadar ringankan beg




SELEPAS bertahun-tahun isu beg sekolah berat menjadi perdebatan hangat dengan pelbagai resolusi dicadangkan belum ada penamatnya, apa yang telah dirintis oleh kerajaan Terengganu sejak tiga tahun lalu mungkin adalah jawapan terbaik.

Kerajaan Terengganu menyediakan komputer riba buku elektronik (eBook) percuma kepada pelajar sekolah rendah bagi menggantikan buku teks menjadikan mereka sebagai kumpulan eksperimental paling muda menggunakan teknologi terkini pembelajaran di sekolah.

Tanpa perlu membawa beg berat mahupun merugikan penggunaan kertas, pengenalan eBook seharusnya diakui sebagai satu inovasi dan lembaran baru dalam pendidikan negara. Sehingga kini dengan sistem pembelajaran yang dilihat semakin lancar, pelajar tahun 4, 5 dan 6 di Terengganu menggunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi itu.

Selain Terengganu, beberapa negeri seperti Melaka, Sarawak dan Brunei sudah pun memasang impian untuk menggunakan inovasi eBook di negeri masing-masing bagi memudahkan pelajar.

Penggunaan eBook yang semakin mendapat perhatian pelajar dan ibu bapa dijangka mampu menjadi revolusi dalam pendidikan negara.


PENGGUNAAN eBook di sekolah membuka lembaran baru dalam revolusi pendidikan negara.


Dengan permintaan yang semakin meningkat apabila ada ibu bapa yang tidak mahu terus menunggu atau mahukan anak-anak mereka turut memanfaatkan diri menggunakan teknologi eBook, Sutera Niaga Elit Sdn. Bhd. sedia menjual eBook secara komersial.

eBook model 2011

Pengurus Besarnya, Mohd. Rozali Masdol memberitahu, selaku ejen pemasaran dan pengedaran produk di bawah Koperasi Angkat Sekolah pihaknya turut melebarkan sayap ke seluruh negeri termasuk Brunei, memandangkan eBook mempunyai potensi yang tinggi dari aspek teknologi pendidikan.

Beliau yang ditemui di pejabat Kosmo! memberitahu, eBook terbaharu model 2011 lebih komprehensif dan canggih apabila ia didatangkan dengan pelbagai perisian yang dapat memanfaatkan pelajar dan guru. Peranti terkini itu juga boleh digunakan ibu bapa dengan mudah dan selesa.

“Dengan berat hanya 1.2 kilogram (kg) berbanding model terdahulu iaitu kira-kira 1.6 kg, model terbaharu ini dijangka mampu memberi keselesaan kepada pelajar yang dibebani buku teks berat, malah ia boleh di bawa ke mana-mana sahaja dengan mudah.

“Selain itu, eBook model 2011 yang menggunakan teknologi Intel Corp. mempunyai reka bentuk lebih menarik bersesuaian dengan gaya hidup pelajar serba canggih hari ini. Peranti generasi ketiga ini dilengkapi perisian buku teks tahun 4, 5 dan 6 untuk memastikan pelajar dapat mengikuti kelas dengan pantas,” katanya.

Mohd. Rozali menambah, eBook model 2011 turut didatangkan dengan perisian jaringan komuniti seperti al-Quran, fardu ain, amalan solat dan kamus. Malah, ia bukan sahaja boleh digunakan pelajar-pelajar, tetapi ibu bapa dapat menikmati kemudahan yang ditawarkan dalam peranti tersebut.


ISU beg sekolah yang terlalu berat sehingga menjejaskan kesihatan pelajar dapat diselesaikan dengan penggunaan eBook di dalam kelas.


Katanya, perisian jaringan komuniti yang ditawarkan dalam peranti terbaharu itu dapat mendekatkan lagi pelajar dengan ibu bapa mereka apabila menggunakannya.

“Sebagai contoh, perisian al-Quran yang disediakan turut mengandungi sistem audio untuk membantu pelajar mengikuti pengajaran dengan lebih mudah dan sistematik. Bahkan, pelajar dapat mengetahui maknanya apabila tafsiran turut disediakan kepada mereka.

“Perisian ini boleh mengeratkan lagi perhubungan kekeluargaan kerana ibu bapa juga boleh mengaji bersama anak-anak mereka apabila mempunyai masa lapang di rumah. Selain mengaji al-Quran, mereka boleh mengetahui mengenai cara-cara mengambil wuduk, tayamum, solat, surah hafazan dan lain-lain lagi yang terdapat dalam peranti berkenaan,” ujarnya lagi.

Dengan menggunakan peranti berkenaan, Mohd. Rozali menambah, pelajar-pelajar akan merasai pengalaman baru dalam dunia pendidikan kerana hampir kesemua perisian yang terkandung dalam eBook tersebut adalah interaktif.

Katanya, eBook terbaharu yang mempunyai paparan 10 inci dengan kerangka tahan lasak turut didatangkan dengan kamera web untuk memudahkan lagi pelajar-pelajar berhubung antara satu sama lain.

“eBook untuk pasaran umum ini akan muncul dengan versi baru lebih menarik yang juga dilengkapi Intel Pineview M Atom Procesesor 45nm, FCBGA, single core N455 hingga 1.66GHz (512 KB L2 Cache), 533 FSB LCD 10.1 dengan 1024x600(antisilau) dan perisian Window 7. Ia dijangka akan berada di pasaran pada bulan Oktober ini,” ujarnya.


PELAJAR sehingga hari ini masih bergantung kepada buku teks sebagai rujukan utama dalam pembelajaran di kelas.


Ditanya mengenai kawalan dan pemantauan yang boleh dilakukan ibu bapa sekiranya eBook disalah guna oleh pelajar, Mohd. Rozali berkata, eBook telah dilengkapi perisian yang mempunyai kebolehan menyekat kanak-kanak atau pelajar daripada melayari laman web tertentu.

“Kemudahan ini disediakan untuk memastikan ibu bapa dapat memantau anak- anak mereka daripada melayari laman web yang tidak diingini. Selain itu, kita juga ada menyediakan perisian berkebolehan membantu ibu bapa merujuk kembali laman dilayari anak mereka. Jika ibu bapa mahu melayari laman web, mereka akan diberi kata kunci khas,” katanya merujuk kepada laman web seperti You Tube.

Sehingga kini, seramai 75,000 pelajar telah memanfaatkan kemudahan ini di Terengganu dan pendekatan itu mendapat minat khas daripada ibu bapa dipercayai menyumbang kepada penjualan komersial eBook kepada mereka.

Bahkan, eBook model 2011 juga akan dimanfaatkan oleh pelajar sekolah menengah hingga tingkatan 5.

“Bagi proses pembelian eBook, kami menyediakan dua pilihan kepada pengguna iaitu ansuran atau tunai melalui dua kategori pembeli iaitu kakitangan kerajaan dan swasta. Bagi bayaran ansuran kakitangan kerajaan, mereka boleh mengisi borang yang disediakan oleh syarikat kami untuk pemotongan gaji majikan kakitangan biro Angkasa.




“Bagi kakitangan swasta pula, ia boleh diuruskan melalui potongan gaji bank. Pilihan ini ditawarkan adalah untuk memudahkan lagi pengguna mendapatkan eBook terbaharu ini,” ujarnya.

Jelasnya, penjualan eBook juga menitik berat soal rangkaian dan sosial seperti penjual berhubung balik dengan ibu bapa jika terdapat masalah selain masalah penyelengaraan, rosak, terkena cecair atau pecah.

“Untuk itu, kami sediakan satu sistem jualan supaya pihak yang menjual selain Syarikat Sutera Niaga Elit mendapat komisen dan mempunyai hubungan baik dengan pembeli,” terang beliau.

Mohd. Rozali berkata Syarikat Sutera Elit Niaga percaya dengan kadar permintaan yang kian meningkat pihaknya dapat mencapai sasaran jualan sebanyak 90,000 unit eBook pada tahun ini dan 300,000 unit eBook pada tahun hadapan.

Sutera Niaga Elit menawarkan pakej belian eBook pada harga RM2,988 yang turut menawarkan jalur lebar Celcom percuma selama setahun selain langganan Tutor Utusan.

Pihaknya juga bersedia memasukkan portal-portal pendidikan yang lain seperti yang diminta ibu bapa pada harga maksimum RM2,988.

Untuk maklumat lanjut tentang urusan jual beli atau maklumat lanjut, sila hubungi Rozali di talian 019-7176 869 atau Nacoji Holdings di Taman Miharja, Kuala Lumpur.

Hujan buatan pasukan Diraja


KEMARAU di wilayah tertentu di Thailand yang menjejaskan golongan petani telah mencetuskan keprihatinan Raja Bhumibol lalu mempersiapkan pasukan khas.


TINGGI di atas landskap kering bumi Thailand, sebuah pasukan khas diraja yang bertanggungjawab membuat hujan buatan, gigih melakukan kerja-kerja mereka.

Skuadron yang terdiri daripada 20 pesawat terbang menembusi awan dan menembak bahan kimia khas. Mereka berharap dapat menghasilkan hujan lebat bagi mengurangkan kesan kemarau yang semakin genting sehingga menjejaskan sektor pertanian di negara itu.

Penyemaian benih awan merupakan operasi tahunan yang menjadi perjuangan peribadi Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej yang telah menerima gelaran Bapa Penghasilan Hujan Diraja untuk projek setengah abadnya bagi 'memujuk' awan supaya menurunkan hujan.

Tidak sekadar membiarkan perubahan cuaca berlaku secara semula jadi, monarki yang berkuasa hampir lapan dekad itu telah membangunkan program tersebut bagi membantu para petani, malah telah mempatenkan teknik penyemaian awan ciptaan baginda.

Pergerakan besar-besaran yang dikenali sebagai sandwich itu menembak bahan kimia pada altitud berbeza seperti sodium klorida di lapisan tinggi manakala ais kering di sebelah yang lebih rendah untuk menghasilkan hujan.

Iodid perak

Gerakan super sandwich pula melibatkan penambahan beberapa pesawat semasa operasi. Kumpulan pesawat itu melepaskan iodid perak dari ketinggian 6,000 meter untuk menghasilkan hujan daripada formasi suhu-suhu yang berbeza.

Juruterbang, Mejar Phumintorn Undhisote bertanggungjawab membuat penerbangan dari pusat penghasilan hujan buatan di Hua Hin, lokasi yang juga terdapat sebuah sebuah istana hinggap keluarga diraja.

Penyemaian benih awan di ruang udara sempit iaitu di antara Teluk Thailand dan sempadan Myanmar itu memerlukan tahap ketepatan yang tinggi.

Mejar Phumintorn percaya, misi yang dilakukannya, tidak semestinya bebas risiko.

"Mengikut buku, dalam cuaca buruk, juruterbang perlu terbang jauh atau mendaratkan pesawat, tetapi menghasilkan hujan buatan bermaksud kami kena terbang menembusi gumpalan awan," katanya.

Phumintorn antara 522 kakitangan yang terlibat dalam operasi itu yang turut melibatkan saintis, jurutera dan juruteknik dalam pasukan Royal Rainmaking and Agricultural Aviation (Penerbangan Pembuat Hujan dan Agrikultur Diraja) untuk memanipulasi fitrah alam.

Lebih daripada 5,500 penerbangan pembenihan awan dilakukan di lapan pusat penghasilan hujan buatan pada 2008 dan sebanyak 870 juta baht (RM87 juta) telah dibelanjakan.

Tahun ini, musim hujan yang lazimnya berlaku sekitar Mei hingga Oktober di wilayah tertentu dilihat turun dengan sedikit selepas beberapa minggu ia bermula.

Ketika Thailand mempunyai cuaca tropika dan sering dilanda banjir dan kemarau, saiz sektor pertanian dan peningkatan terhadap penggunaan air menyebabkan negara itu agak sensitif jika berlaku perubahan cuaca pada musim hujan.

Data daripada bank pusat negara itu melaporkan sektor pertanian menyumbang hampir 10 peratus kepada ekonomi pada tahun lalu dan menawarkan hampir 40 peratus sumber pekerjaan.

Wathana Sukarnjanaset, Pengarah Pusat Pembenihan Awan Hua Hin berkata, terdapat krisis kecil pada tahun ini iaitu paras air di empangan terbesar negara tersebut mula menurun ke tahap kritikal, walaupun situasinya semakin baik.

Pada musim kering daripada November sehingga April, seramai 6.4 juta penduduk di 52 wilayah terjejas akibat kemarau, menurut Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana.

Pada masa lalu, pembenihan awan dihentikan sebagai salah satu kaedah metereologi ketika para saintis bekerja keras untuk menilai sama ada hujan akan terjadi tanpa menggunakan bahan kimia.

Bagaimanapun, kaedah itu mula digunakan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan China, sementara Thailand baru-baru ini memberi Australia kebenaran untuk menggunakan teknik yang digunakan oleh mereka.

Wathana berkata, kajian negara itu mencadangkan pembenihan awan dapat meningkatkan jumlah hujan sehingga 109 peratus.

Dia berkata, kebiasaannya terdapat perubahan pada pola cuaca selepas penerbangan yang beroperasi dari Februari hingga Oktober.

Aduan petani

"Petani mengadu kepada kami agar membuat hujan di kawasan mereka. Maka, kami suruh mereka pulang dan menunggu dahulu. Hujan akan turun selepas tengah hari atau dalam masa terdekat, lazimnya memakan masa satu atau dua hari," tambah Wathana.

Salah seorang yang bergantung kepada program pembenihan awan ialah Siriwan Boonngarm, yang mempunyai ladang di desa terpencil Phetchaburi.

Wanita itu mengusahakan ladangnya pada tahun 2005 selepas bersara sebagai guru dan kini memiliki tanaman nanas, pisang dan getah, yang memerlukan kurang air berbanding tanaman padi.

Bagaimanapun, bekas tutor Matematik itu memberitahu dia masih memerlukan khidmat penghasilan hujan buatan dari pasukan diraja, adakalanya sekerap empat atau lima hari sekali.

"Kemarau tahun ini paling teruk. Hujan tidak turun mengikut tempohnya. Cuaca panas dan bekalan air tidak mencukupi," keluhnya.

Rumah Siriwan dihiasi bendera-bendera diraja. Dia, sama seperti ramai yang lain, tidak ragu-ragu kepada siapa dia harus berterima kasih ketika awan bertukar gelap dan hujan mulai turun.

"Semua benda tidak dapat hidup tanpa air," katanya. "Yang Mulia membantu kita segala-galanya, memberi kita kasih sayang dan kehidupan." - AFP

21 September 2010

Tiga raya gamit perantau kembali ke Kelantan

Bersama Imlan Adabi

2010/09/21

Negeri Cik Siti Wan Kembang terus kekal dengan opera politik, kaya drama, intrig

ADA tiga raya menyebabkan ramai perantau Kelantan kembali ke negeri Cik Siti Wan Kembang, iaitu Aidilfitri, Aidiladha dan pilihan raya. Pada Aidilfitri 2009, hampir 200,000 anak Kelantan kembali ke Tanah Serendah Sekebun Bunga untuk bertemu dengan keluarga dan persekitaran Pantai Timur yang lebih nyaman menghadap Laut China Selatan.

Mereka sebahagian besarnya mencari rezeki di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang. Mereka tentunya pulang untuk mengimbau tanah Darulnaim yang kaya dengan keunikan seni, khazanah budaya dan tradisi pondok yang lama bertapak. Tentunya juga mereka dapat membandingkan kehidupan di perantauan dengan suasana masih tradisional di Kelantan. Di sesetengah tempat di Kelantan, perayaan Aidiladha lebih meriah berbanding Aidilfitri. Selain majlis korban dan aqiqah, Aidiladha yang lebih dikenali Hari Raya Haji disambut dengan selawat dan salam di samping majlis kenduri yang meriah. Di beberapa tempat pula, musim perayaan turut dihiasi majlis ceramah politik kerana dianggap detik terbaik untuk mengalukan perantau pada musim perayaan.

Bagi kebanyakan anak Kelantan yang terkenal dengan kemesraan di kalangan rakan senegeri, semangat kekitaan akan lebih menebal jika sama-sama dapat bertutur
dan beramah mesra dengan loghat tersendiri.

Ada dongeng yang mendakwa semangat kekitaan menebal kerana penduduk Kelantan tidak mempunyai darah Indonesia seperti negeri lain di Malaysia. Hampir tidak ada keturunan Jawa, Bugis, Aceh, Minang dan Banjar yang menjadi darah daging di Kelantan.
Mereka banyak mempunyai darah campuran Siam, Pakistan, Kemboja dan Arab menyebabkan tingkah laku dan keperibadian sedikit berbeza dengan penduduk negeri lain. Sebanyak 95 peratus daripada 1,313,014 penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Justeru, tidak hairanlah segelintir penduduk Kelantan boleh mendakwa mereka lebih Melayu daripada penduduk negeri lain kerana kaum India dan Cina hanya lima peratus. Keadaan ini juga mendorong dua parti politik Melayu yang dominan UMNO dan PAS bersaing hebat sejak 1955 untuk merebut pengaruh dan menguasai massa. Berjaya mentadbir Kelantan dikaitkan sebagai kejayaan merebut hati pengundi Melayu.

PAS sudah menguasai Kelantan selama 20 tahun sejak 1990. Perkembangan mutakhir juga memihak kepada PAS. Cara hidup beberapa tokoh UMNO negeri masih menjadi bualan hangat kerana kehidupan yang berbeza dengan kebanyakan rakyat di Pantai Timur.

PAS pula dikaitkan dengan imej ulama walaupun tidak semesti ahli dan pemimpinnya alim serta menghayati cara hidup Islam. Imej ketayap, janggut dan jubah sering dijadikan model Islam walaupun takrif keimanan tiada kaitan dengan peribadi luaran seseorang.

Walaupun pimpinan PAS Kelantan kerap dihamburkan dengan pelbagai isu termasuk nepotisme dan korup, ia tidak pernah didakwa di mahkamah. Ada pihak yang berasakan isu politik Kelantan banyak digembur oleh media massa, sedangkan hakikat di Kota Bharu tidak ada pergolakan besar. Penduduk Kelantan juga pernah memilih PAS mentadbir Kelantan selama 18 tahun dan kecundang pada pilihan raya khas 1978, selepas MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) diisytiharkan pada 1977 ekoran rusuhan terhadap kumpulan 20 pimpinan Tan Sri Asri Muda.

Kelantan yang mempunyai keluasan 14,922 kilometer persegi dianggap negeri termiskin di Semenanjung. Kadar kemiskinan kekal 20 peratus sejak lapan tahun lalu.

Pertumbuhan penduduk pula menurun 0.9 peratus iaitu amat kecil berbanding Selangor yang mencatat 6.1 peratus. Bagaimanapun imej agama meletakkan Negeri Serambi Makkah dipandang tinggi.

Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama didirikan pada 1820 oleh Abdul Samad Abdullah (Tok Pulai Chondong), diikuti Pondok Tok Bachok (1900), Pondok Haji Abdul Malik Tumpat (1907), Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat (1908), Pondok Kubang Pasu Kota Bharu (1900), Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Wan Abdul Samad Mohd Salleh atau lebih dikenali Tuan Tabal.

Antara pondok yang mendapat sambutan `dan mempunyai murid yang ramai selepas 1930 ialah Pondok Terusan Pasir Tumbuh yang ditubuhkan pada 1954, Pondok Bunut Payung, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian dan Pondok Kubang Bemban. Sekolah Pondok Terusan di Pasir Tumbuh Kota Bharu melahirkan Tok Guru Kenali -- ilmuwan Islam yang terkenal di dunia Melayu.

Tradisi pondok juga berjaya melahirkan kader PAS yang sehingga kini amat sukar dirempuh oleh jentera UMNO. Lokasi pondok yang bertebaran di Kelantan memudahkan gerakan massa mempengaruhi pemikiran rakyat. Justeru, tidak menghairankan setiap kali menjelang pilihan raya umum, banyak bas disewa khas untuk membawa pulang perantau ke kampung halaman masing-masing. Mereka juga merayakan demokrasi di Kelantan walaupun mencari rezeki di tempat lain.

Tanpa sedar ada segelintir yang merasakan Kelantan tempat sesuai untuk mencari ketenangan dan membuat keputusan di peti undi, tetapi terus kekal mencari
rezeki di tempat lain.

Mereka mungkin mewah di tempat lain, namun membuat keputusan pulang ke Kelantan menjelang Aidilfitri, Aidiladha dan Pilihan Raya Umum.

Tentunya Kelantan mempunyai tarikan luar biasa yang menyebabkan loghat Kelantan semakin berleluasa di beberapa negeri lain. Kelantan juga akan terus kekal dengan opera politik yang kaya drama dan intrignya. Tentunya Kelantan akan terus mencatat sejarah dengan keunikan siasah yang luar biasa!

Hujan II

Kepala II

Alam mengutus rindu

19 September 2010

Kemaafan terlalu suci

Yang di tengah

18 September 2010

Betulkan

Di kala hujan