Followers

Carian dalam Blog ini

27 January 2011

Masih Ada Yang Terpedaya Dengan Gores Dan Menang


Mastura bt Mohd Zain
Pegawai Penyelidik

13/01/2011 | Artikel Bahasa Malaysia

Semasa ke pasaraya membeli kelengkapan sekolah anak-anak bulan lepas, saya telah dihampiri oleh seorang lelaki di tempat letak kereta. Beliau telah menghulurkan kad untuk saya ambil. Saya mula curiga dan menolak pelawaaanya. Beliau terus cuba memujuk namun saya terus berlalu dari situ.

Di seberang jalanraya pula kelihatan seorang rakannya sedang melompat seolah-olah kegembiraan di sisi seorang warga emas. Kemungkinan besar warga emas itu telah tertipu dengan taktik jurujual yang sedang mencari mangsa.

Taktik jualan melalui ‘gores dan menang’ dan ‘buka dan menang’ adalah taktik paling biasa digunakan unutk memperdaya pengguna. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui Bahagian Penguatkuasaanya telah banyak mengadakan kempen kesedaran kepada pengguna.

Risalah telah diedarkan kepada orang ramai, mengingatkan mereka mengenai taktik jualan ini. Pasaraya juga telah diminta supaya menghebahkan dalam sistem PA masing-masing tentang aktiviti gores dan menang dan menasihati orang ramai agar menjauhi ejen dan ulat gores dan menang ini.

Seandainya ejen dan ulat gores dan menang masih berkeliaran di pasaraya, pihak pasaraya boleh memaklumkan kepada pihak berkuasa kementerian unutk mengambil tindakan.

Dengan adanya kerjasama itu pihak berkuasa dapat membanteras aktiviti penipuan yang masih berleluasa ke atas pengguna. Walaupun kerajaan telah mengharamkan skim gores dan menang yang dijalankan oleh syarikat jualan langsung pada Disember 2007, namun skim ini masih berterusan sehingga kini dengan pelbagai taktik yang mengelirukan pengguna.

Sebenarnya Gores dan Menang adalah satu kaedah di mana peniaga cuba mendekati pengguna. Bukan setakat gores dan menang sahaja malah terdapat banyak kaedah lain, contohnya ‘buka dan menang’ yang boleh mempengaruhi orang ramai supaya terpengaruh dengan produk yang ingin diperkenalkan.

Penipuan yang berlaku biasanya adalah janji yang mereka nyatakan kepada pengguna itu tidak betul, tidak tepat dan tidak dipenuhi dan kalau ada produk yang dijanjikan ia adalah lebih mahal harganya daripada biasa.

Mereka ini kerap mengubah cara mendekati pengguna, kalau tidak datang ke rumah mereka akan tumpukan ke kawasan tumpuan ramai seperti tempat makan, stesen bas, tempat letak kereta dan pasaraya.

Teknik penipuan juga berbeza-beza, hari ini mungkin gunakan ‘gores dan menang, esok menggunakan cabutan percuma menerusi sampul surat. Namun untuk memenangi sesuatu barangan contohnya sebuah kereta, bermacam-macam syarat diletakkan termasuk meminta pengguna membeli dahulu barang lain yang harganya luar biasa berbanding harga di pasaran.

Pengguna akhirnya membeli barangan yang tidak diperlukan seperti ketuhar gelombang mikro dan mesin urut kaki. Kini pelajar kolej pula menjadi sasaran mereka sebagai mangsa. Sebelum ini mereka sering mencari mangsa di sekitar stesen transit aliran ringan(LRT) dengan menjadikan wanita sasaran utama.

Namun kini mereka mensasarkan pelajar kolej kerana lebih mudah diperdaya akibat tertarik dengan hadiah lumayan yang dijanjikan. Pelajar dijadikan sasaran kerana mereka mempunyai sumber wang dari dana pendidikan. Ada pelajar yang menjadi mangsa sehingga gagal membayar yuran pengajian mereka.

Cara mereka adalah sama iaitu dengan meminta mangsa menggores kad cabutan bertuah. Kemudian mereka akan berlakon kononnya mangsa sangat bertuah dan memenangi pelbagai hadiah. Mangsa kemudian akan diajak ke pejabat sindiket berkenaan untuk mengambil pelbagai hadiah yang dimenangi namun mangsa perlu membuat pembayaran tertentu yang selalunya melibatkan jumlah wang yang banyak.

Selepas menyerahkan wang, mangsa akan diberikan pelbagai jenis hadiah seperti barangan elektrik ataupun berjanji akan membuat penghantaran tersebut. Mangsa juga akan diberikan resit tanpa logo syarikat, nama syarikat dan nombor siri pendaftaran dan ketika ini baru mangsa mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

Sebenarnya sikap masyarakat itu sendiri yang menyebabkan skim ini masih berterusan. Mereka membiarkan diri mereka mudah diperdaya dan ditipu oleh sindiket gores dan menang dan seumpamanya. Akibat ingin mendapatkan hadiah atau barang secara percuma, duit hangus begitu saja.

Setiap tahun ada saja berita di akhbar mengenai individu yang tertipu beribu-ribu ringgit oleh sindiket sedemikian. Jangan mudah terpengaruh atau tamak dengan barang yang ditawarkan kerana tiada yang datang percuma.

Pendidikan pengguna perlu dipertingkatkan agar tahap kesedaran pengguna juga meningkat. Apabila pengguna berilmu ia dapat membanteras aktiviti penipuan skim ini yang masih berleluasa.

No comments: