Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

Loading...

23 March 2011

Pembangunan Sistem Pengangkutan Awam Secara Efektif Pulihara Alam


Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik

03/03/2011 | Artikel Bahasa Malaysia
Usaha kerajaan untuk menaiktaraf dan meningkatkan mutu perkhidmatan awam wajar dipuji. Ini memandangkan ia bukan sahaja untuk kemudahan dan kepentingan rakyat, tetapi juga merupakan usaha ke arah mengurangkan kadar pencemaran hasil daripada penggunaan bahan api fosil yang tinggi di dalam sektor pengangkutan di Malaysia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sejak zaman revolusi perindustrian pada abad ke-18 di Britain sehinggalah ke hari ini, kita banyak bergantung kepada bahan api fosil bagi menggerakkan pembangunan dan memacu pertumbuhan ekonomi dunia.

Namun demikian, kesan daripada penggunaan bahan api fosil sejak berdekad lamanya telah pun kita rasai pada hari ini. Buktinya dampak daripada penggunaan bahan api fosil yang berleluasa telah mengakibatkan berlakunya fenomena pemanasan global yang akhirnya turut mempengaruhi perubahan iklim dunia. Pernahkah kita terfikir, apakah yang bakal kita hadapi jika kita terus berada pada tahap selesa dengan hanya bergantung kepada sumber bahan api fosil semata-mata? Sedangkan sumber tersebut merupakan antara penyumbang terbesar kepada masalah pencemaran yang kita hadapi pada hari ini.

Sanggupkah kita untuk melihat nasib alam kita terus diselubungi kesuraman dek kealpaan kita untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan ini? Sedangkan kita mempunyai pelbagai pilihan lebih baik yang boleh menjadi penimbal kepada bahan api fosil yang kita gunakan pada hari ini. Salah satunya ialah dengan pengaplikasian teknologi hijau secara menyeluruh dan bersepadu dalam penjanaan sumber tenaga dan juga segala aktiviti seharian kita.

Cuma apa yang menjadi persoalannya ialah sejauh mana tahap kesedaran masyarakat kita terhadap kepentingan teknologi hijau? Jika kita amati, pada hari ini tahap kesedaran masyarakat terhadap teknologi hijau masih lagi rendah dan belum mencapai tahap yang memuaskan. Buktinya dapat kita lihat apabila masih banyak kilang-kilang yang mengeluarkan asap hitam yang membahayakan. Begitu juga dengan penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor yang begitu membimbangkan kita. Malahan, pada hari ini kita juga menyaksikan alam semulajadi kita dimusnahkan dengan sewenang-wenangnya, sungai-sungai dikotori dan pelepasan karbon ke udara dilakukan secara berleluasa dan dalam kuantiti yang besar.

Sedangkan kita sewajarnya menjadi anggota masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan peka terhadap alam sekeliling kita. Setiap aktiviti yang dilakukan seharusnya difikirkan terlebih dahulu baik buruknya terhadap alam. Misalnya, penggunaan kenderaan dan jentera yang menggunakan bahan api fosil (petrol dan diesel) mengakibatkan pencemaran udara yang teruk. Malah, kesan pembakaran bahan api fosil boleh menghasilkan gas-gas beracun seperti karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen oksida dan bahan-bahan pencemar lain.

Malah, jika kita meninjau di lokasi bandar-bandar besar yang menjadi tumpuan seperti Kuala Lumpur dan Johor Bharu, paras bahan pencemar daripada kenderaan pastinya lebih tinggi berbanding kawasan-kawasan yang kurang menjadi tumpuan. Keadaan ini akan memberi kesan langsung kepada indeks kualiti udara (kualiti udara akan menjadi bertambah buruk di lokasi-lokasi yang mengalami kesesakan lalu lintas yang tinggi). Selain itu, keadaan lalu lintas yang tidak diuruskan dengan baik juga akan mengakibatkan berlakunya pembaziran sumber tenaga dan turut menjejaskan tahap kesihatan masyarakat yang menghirup bahan pencemar ini secara langsung.

Justeru, usaha kerajaan bagi menaiktaraf sistem pengangkutan awam di Malaysia merupakan satu langkah yang wajar dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar. Ini memandangkan, daripada laporan perangkaan Imbangan Tenaga Kebangsaan 2008, didapati bahawa penggunaan bahan api fosil dalam sektor pengangkutan di Malaysia telah meningkat sebanyak 35.8% antara tahun 2000 hingga tahun 2008. Peratusan ini pastinya akan terus meningkat jika tiada langkah sewajarnya diambil bagi mengurangkan penggunaannya.

Menyedari hakikat bahawa ia hanya dapat dielakkan sekiranya terdapat perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor pengangkutan awam, maka kerajaan telah berusaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengurangkan peratusan itu. Malah, pembangunan yang berterusan dalam sektor pengangkutan awam juga dapat menampung permintaan yang semakin meningkat ke atas perkhidmatan tersebut.

Oleh yang demikian, usaha mengurangkan pencemaran menerusi pembangunan pengangkutan awam yang efektif pastinya akan memberi impak positif kepada negara. Misalnya, ia bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, malah turut menyelamatkan alam sekitar dan memberi manfaat ekonomi kepada negara. Selain itu, sekiranya kita mempunyai sistem pengangkutan yang efektif dan sempurna, kita juga akan mampu mengurangkan pembaziran tenaga dan kadar pencemaran alam sekitar.

Bahkan pembaziran tenaga dan kadar pencemaran akan berjaya diminimumkan jika lebih ramai yang menyokong dan menggunakan perkhidmatan awam. Namun persoalannya sanggupkah masyarakat menggunakan perkhidmatan awam untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain setiap hari? Pastinya ia agak berat untuk disahut memandangkan rata-rata kita lebih selesa menaiki kenderaan sendiri.

Sedangkan kesediaan dan kerjasama masyarakat adalah perlu bagi menjayakan matlamat ini. Sekiranya perancangan ini gagal, bukan sahaja wang rakyat lebur, tetapi sumber tenaga juga turut dibazirkan. Oleh yang demikian, sebagai rakyat yang prihatin terhadap masa depan alam sekitar, kita harus sepakat dan menyambut baik usaha murni kerajaan membangunkan sistem pengangkutan awam yang cekap.

Mudah-mudahan dengan sokongan padu semua pihak terhadap projek MRT yang dibangunkan oleh kerajaan, ia akan membuahkan hasil yang positif baik terhadap kebajikan rakyat mahupun alam sekitar seluruhnya. Malah, jika perancangan ini berjaya mencapai matlamatnya, bukan sahaja alam sekitar dapat dipulihara, sebaliknya kesejahteraan hidup kita juga akan turut terjamin.

Selain itu, satu sistem pengurusan sumber yang berkesan juga perlu dilaksanakan secara lebih serius dan bersepadu bagi menjamin bekalan tenaga dan penggunaan yang berterusan untuk kegunaan manusia pada masa hadapan. Bahkan, bagi mengelakkan bumi kita terus diancam bahang panas, penggunaan sumber tenaga alternatif daripada sumber-sumber boleh diperbaharui (renewable energy) dan mesra alam adalah digalakkan. Ini kerana, dengan pengaplikasian teknologi hijau secara menyeluruh akan dapat membantu memulihara alam sekitar ke tahap yang maksimum.

Malah, kita seharusnya menyedari bahawa bumi kita tidak lagi mampu menanggung beban penggunaan kurang mapan dan pembaziran tenaga yang dilakukan oleh manusia. Justeru, bagi mengatasi masalah ini, guna tenaga secara cekap dalam semua aktiviti adalah penting agar permasalahan yang melanda alam sekitar dapat dikurangkan. Selain itu, kesedaran masyarakat dalam menghayati budaya teknologi hijau dan melibatkan diri dalam menjayakan program-program teknologi hijau yang telah dilaksanakan oleh kerajaan juga penting agar masalah berhubung isu tenaga dapat diatasi sehingga ke akar umbi.

No comments: