Followers

Carian dalam Blog ini

27 September 2011

Pengurusan Sisa Pepejal

Kita, Akta 673 dan Akta 672
Azrina Binti Sobian
Fellow

27/09/2011 | Artikel Bahasa Malaysia
Tahukah anda apa itu Akta 673 dan 672? Bila ia dikuatkuasakan? Dan, apa pula kaitan akta tersebut dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia?

Akta 672 atau Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pembersihan Awam ialah akta yang telah merealisasikan kewujudan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA). Secara rasminya, perbadanan ini ditubuhkan pada 1 Jun 2008 dan berfungsi sebagai satu badan yang merancang dan melaksanakan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negara secara menyeluruh. Peranan ini penting untuk memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang seimbang dan terbaik dapat diberikan kepada masyarakat awam. Dalam bahasa yang mudah, melalui Akta 673 ini, kerajaan telah mewujudkan satu badan yang akan memastikan seluruh ahli masyarakat dapat menikmati perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang sama tidak kira di mana kita berada.

Jika dahulu, pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap negeri bertanggungjawab dalam perancangan dan pelaksanaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam tetapi kini PPSPPA mengambil alih tanggungjawab tersebut. Perkhidmatan oleh PBT menyaksikan mutu perkhidmatan yang berbeza-beza mengikut kemampuan PBT sendiri. Namun kini, dengan kewujudan PPSPPA, masyarakat awam di Malaysia akan dapat menikmati mutu perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang sama.

Akta 672 atau Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam pula ialah akta yang memberi kuasa eksekutif kepada PPSPPA untuk mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada PBT. Dengan kata lain, sampah-sampah yang kita hasilkan kini tidak lagi diuruskan oleh PBT tetapi bermula dari 1 September 2011, ia diletakkan di bawah bidang kuasa PPSPPA.

Matlamat akhir kewujudan akta ini ialah untuk membangunkan satu sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang terbaik untuk manfaat masyarakat awam. Dengan itu, masyarakat awam dijangkakan dapat menikmati sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang terbaik, moden, setara dan memberi manfaat tertinggi demi kesejahteraan hidup mereka. Lebih baik lagi, buat masa ini, perkhidmatan yang ditawarkan itu masih lagi percuma.

Berita sebegini pastinya amat dialu-alukan oleh pelbagai lapisan masyarakat awam. Apatah lagi, dengan kewujudan akta ini, masyarakat awam telah dijanjikan dengan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih baik. "Lebih baik" yang dimaksudkan di sini membawa maksud satu perkhidmatan yang mematuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang akan digariskan oleh PPSPPA. KPI ini meliputi peningkatan mutu dalam jadual dan kekerapan kutipan, penghantaran sisa ke lokasi pelupusan yang ditetapkan, mengelakkan keciciran kutipan, memastikan sisa di dalam dan di luar tong dikutip, memastikan tiada tumpahan bahan larut lesap (leachate) dan penggunaan lori kompaktor yang mempunyai kelengkapan bin-lift bagi memastikan kutipan sampah yang lebih cekap, cepat dan bersih.

Selain menikmati satu sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih baik, apa pula kaitan lain kedua-dua akta ini kepada kehidupan masyarakat Malaysia? Sekurang-kurangnya terdapat dua kaitan secara langsung kedua-dua akta ini kepada masyarakat awam.

Pertamanya, salah satu tujuan lain penubuhan PPSPPA ialah untuk meningkatkan amalan kitar semula masyarakat Malaysia. Dengan itu, perbadanan akan melaksanakan kutipan sehari dalam seminggu untuk sampah dan barangan yang boleh dikitar semula di rumah. Ini merupakan satu usaha yang baik untuk meningkatkan amalan kitar semula dalam masyarakat. Dengan ini, barang yang dikitar semula pengguna akan dikutip oleh pihak konsesi yang diamanahkan dengan tugasan tersebut.

Oleh itu, tidak timbul lagi isu penghantaran barangan kitar semula yang dikatakan jauh, melecehkan dan sukar dicari. Ini akan memberi peluang ahli masyarakat belajar dan mengamalkan kitar semula barangan di rumah. Matlamat akhirnya ialah agar ahli masyarakat dapat menghargai usaha ini sebagai satu tanggungjawab mereka untuk memelihara alam sekitar. Diharapkan juga segala macam aduan dan rungutan tentang kegiatan kitar semula yang sering kita dengar sekarang dapat dikurangkan atau lebih baik dihapuskan sama sekali. Adalah lebih baik kita memberi tumpuan kepada amalan kitar semula itu bukannya hanya suka merungut itu dan ini.

Dalam masa yang sama, diharapkan pelaksanaan kitar semula ini diiringi dengan usaha penyebaran maklumat yang tepat dan mudah difahami pengguna. Dalam masa yang sama, usaha ini seharusnya memudahkan pengguna. Akhir sekali, kita juga berharap agar usaha ini dapat dilebarkan kepada kutipan bahan kitar semula yang lebih kerap berbanding satu hari seminggu seperti yang disebutkan sebelum ini.

Keduanya, berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar. Sebagaimana yang disebutkan di atas, matlamat akhir pembentukan kedua-dua akta ini ialah untuk mencapai kesejahteraan alam sekitar yang baik. Apabila sisa diuruskan dengan baik dan cekap, alam sekitar akan menjadi lebih bersih. Alam sekitar yang bersih bukan sahaja dapat dinikmati oleh kita tetapi dapat diwariskan kepada generasi akan datang. Dengan itu, pengenalan akta-akta ini membantu usaha memulihara alam sekitar. Dalam masa yang sama, kita, sebagai ahli masyarakat dapat memberikan sumbangan terhadap usaha baik ini. Penglibatan yang dimaksudkan di sini ialah dalam bentuk kerjasama pengguna dalam menguruskan sisa pepejal di rumah masing-masing, penglibatan dalam kegiatan kitar semula dan penglibatan dalam bentuk membuat aduan atau menyalurkan maklumat terhadap kekurangan atau kepincangan dalam pengurusan sisa pepejal di bawah seliaan PPSPPA.

Berdasarkan maklumat yang diberikan ini, jelas bahawa pengenalan kedua-dua akta yang disebutkan tadi amat berkaitan dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Namun sejauh mana pengetahuan mereka? Sewajarnya, sebagai ahli masyarakat yang prihatin, kita mengambil tahu dan membuat persediaan yang sewajarnya untuk sama-sama terlibat dalam segala usaha pengurusan sisa pepejal. Ini jelas menunjukkan bahawa pengurusan sisa pepejal yang berjaya tidak akan dapat dijadikan kenyataan jika kedua-dua pihak - penawar perkhidmatan dan penerima perkhidmatan - gagal bekerjasama dalam menjayakan usaha tersebut.

Semoga dengan penulisan makalah dan maklumat yang dikongsikan ini, kita dapat bersedia dari segi pemikiran dan tindakan untuk menjadi ahli masyarakat yang sedia terlibat dan akan menjayakan usaha pengurusan sisa pepejal negara yang baik dan cekap. Sudah tiba masanya kita menghulurkan tangan membantu dan bukannya hanya menunggu pihak lain menguruskan sampah yang kita sendiri hasilkan.

No comments: