Followers

Carian dalam Blog ini

28 May 2014

Perlembagaan prasyarat tingkat semangat patriotik

2014/05/21 - 02:42:48 AM Shamrahayu A Aziz
Pemahaman inti pati akta penting elak tafsiran bercanggah
Perlembagaan diketahui umum sebagai undang-undang tertinggi. Sebagai undang-undang tertinggi negara, sehingga kini rakyat Malaysia mengetahui dan mempunyai kesedaran bahawa Perlembagaan hendaklah dijadikan rujukan utama dalam menentukan keesahan apa juga tindakan.
Umum juga mengetahui bahawa Perlembagaan juga adalah penentu kepada keesahan polisi dan undang-undang. Sekiranya sesuatu tindakan, polisi dan undang-undang itu tidak selari dengan Perlembagaan, maka ia adalah tidak sah. Walaupun khalayak mengetahui kepentingan dan kedudukan Perlembagaan yang begitu tinggi, namun pengalaman saya menunjukkan bahawa tidak ramai ahli masyarakat yang pernah memegang dokumen Perlembagaan.
Jika ada sekali pun, hanya sedikit sahaja yang membaca Perlembagaan. Pengalaman saya menyampaikan syarahan mengenai Perlembagaan dan undang-undang berkaitannya juga menunjukkan jarak antara dokumen Perlembagaan dan masyarakat kita agak jauh.Pada pengamatan saya juga, ramai khalayak yang bercakap dan berhujah menggunakan Perlembagaan, tetapi tidak begitu ramai yang membacanya sendiri atau menilai peruntukan Perlembagaan dengan semangat Perlembagaan dan dengan sejarah Perlembagaan itu.
Wajib fahami pengisian 
Natijah daripada pengamatan saya itu bagi mengelakkan pengucapan dan tafsiran bercanggah dengan peruntukan dan semangat Perlembagaan, maka adalah menjadi satu kewajipan bagi kita untuk mengetahui inti pati pengisian Perlembagaan, sejarah dan juga semangat peruntukan Perlembagaan dengan sewajarnya. Ini amat penting terutamanya bagi ahli politik, pegawai tinggi pentadbiran kerajaan, pasukan keselamatan, serta mereka aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan untuk membaca, mengenali, mempelajari dan memahami Perlembagaan dengan mendalam.

Begitu juga dengan peguam, terutamanya mereka yang tidak pernah membuat kursus Perlembagaan Malaysia secara formal, termasuk graduan perundangan di luar negara. Bagi graduan perundangan luar negara, walaupun mereka lulus kursus undang-undang Perlembagaan secara umum, atas sifat dan keunikan Perlembagaan bagi setiap negara, termasuk Perlembagaan Malaysia, penting untuk mereka memahami secara mendalam Perlembagaan Malaysia sendiri sebelum beramal sebagai peguam.Ini penting kerana profesion peguam berkait rapat dengan Perlembagaan, terutama mereka yang terbabit secara langsung memberikan kenyataan tertentu berkaitan Perlembagaan. Walaupun mereka memahami prinsip umum perlembagaan secara sejagat, atas dasar setiap Perlembagaan itu mempunyai sejarah, falsafah dan semangat yang berbeza, maka penelitian khusus kepada setiap peruntukan Perlembagaan Malaysia itu adalah satu kemestian.
Isu kompleks Perlembagaan
Dalam perkembangan mutakhir, kita lihat pelbagai isu kompleks berkaitan Perlembagaan, terutama perkara yang membabitkan peruntukan warisan dalam Perlembagaan, seperti keistimewaan Melayu, kedudukan Islam dan raja, malah sistem demokrasi. Bukan mudah memahami pengisian Perkara 153. Rata-rata orang menyatakan bahawa 153 hanya berkisar mengenai keistimewaan Melayu. Jarang sekali disebut mengenai hak munasabah kaum lain dalam Perkara 153 itu. Setiap peruntukan Perlembagaan itu mempunyai nadinya dalam sejarah dan negara ini dan di sebalik peruntukan harfiah Perlembagaan itu terdapat prinsip tidak bertulis. Ini apa yang sering saya sebut sebagai peraturan tidak bertulis dalam Perlembagaan bertulis (unwritten rules in written constitution).
Walaupun ayat dalam Perlembagaan sukar difahami khalayak, tetapi kita hendaklah menerima hakikat bahawa Perlembagaan bukan dokumen eksklusif. Perlembagaan adalah milik setiap individu warganegara. Sudah seharusnya ia perlu difahami dan dihayati oleh setiap warga negara dengan mata hati mereka. Bagi peguam yang beramal, saya mencadangkan supaya Perlembagaan Malaysia dijadikan kursus khas dalam program Certificate in Legal Practice iaitu kursus wajib yang mengandungi lima mata pelajaran untuk memberikan kelayakan kepada graduan luar negara untuk beramal sebagai peguam di negara ini.
Bagi ahli politik dan pentadbir pada peringkat tertinggi pendekatan tertentu sewajarnya diambil bagi membolehkan mereka memahami dan menghayati Perlembagaan. Bagi semua warga negara, menghayati Perlembagaan adalah prasyarat meningkatkan semangat patriotisme. Mengenali Perlembagaan juga adalah perkara utama dalam kita mengendalikan permasalahan berkaitan falsafah dan hala tuju negara.
Penulis ialah Profesor Madya di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments: