Followers

Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu : Dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang - Ar-Raad 28.

Salam Persaudaraan dari ambo...email cikgunikmie@gmail.com

Carian dalam Blog ini

03 October 2016

#KESELAMATAN: ISU YANG TIADA PENGHUJUNG


Dewasa ini, isu keselamatan sering menjadi bualan hangat dan topik perbincangan masyarakat. Runtuhnya keutuhan nilai dan berlakunya kebejatan akhlak yang kritikal mencetuskan pelbagai bentuk isu dan ancaman keselamatan yang merungsingkan masyarakat.

Ancaman luaran dan dalaman seperti serangan pengganas, jenayah terancang, ideologi melampau, ancaman kimia, ancaman ekonomi dan jenayah siber merupakan sebahagian daripada fenomena masa kini yang mendatangkan impak jangka panjang kepada faktor keselamatan. Lebih menakutkan lagi apabila pelbagai bentuk ancaman ini telah bertukar menjadi „satu cara atau trend hidup‟ hingga gagal dicegah.

Di manakah peranan integriti dalam menangani fenomena yang semakin meruncing ini? Integriti yang membawa maksud keutuhan nilai perlu dilihat dengan lebih holistik dan tidak hanya membabitkan isu rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa. Integriti sangat berperanan dalam mengawal dan mengurangkan bahaya, risiko serta ancaman keselamatan, sama ada terhadap manusia mahupun sistem.

Terdapat beberapa mekanisme dan strategi  yang telah dirintis oleh kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak yang berkaitan.  Antaranya adalah mekanisme  yang bersifat pencegahan dan kawalan yang berterusan  berfungsi untuk mengekang sebarang unsurunsur  yang menyebabkan pelanggaran integriti.

Mekanisme selanjutnya pula adalah aktiviti pemulihan bagi yang telah terjebak dengan pelanggaran integriti. Pelaksanaan aktiviti pemulihan perlu bersifat menyeluruh dengan menyentuh dan  menitikberatkan aspek spiritual, emosi, mental dan fizikal.

Justeru, kedua-dua pendekatan atau mekanisme ini perlu dipantau pelaksanaannya dari semasa ke semasa supaya berjalan tanpa diragui dan berupaya mengekang segala bentuk pelanggaran integriti serta ditambahbaik pula aspek kualitinya mengikut keperluan semasa.

Tidak dapat dinafikan seiring dengan kedua-dua pendekatan atau mekanisme tersebut, sasaran strategik sangat diperlukan supaya matlamatnya sampai kepada generasi penerus. Antara sasarannya adalah melahirkan modal insan berintegriti dengan memiliki pegangan agama yang mantap, berkeupayaan membudayakan serta menghayati nilai-nilai luhur agama dan integriti dalam kehidupan secara konsisten dan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan melalui tadbir urus yang terbaik dan efisyen secara menyeluruh di segenap peringkat organisasi.

Walau apapun pendekatan, strategi, pelan atau mekanisme yang disusun atur, ia tetap merupakan satu bentuk perancangan dan usaha. Akhirnya ia akan berbalik kepada individu tersebut. Maka di sini tunjangnya adalah memiliki kekuatan ilmu dan penghayatan agama yang tulen menerusi pendekatan wasatiyyah (berimbang dan syumul) dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat. Itulah acuannya dalam memastikan isu-isu integriti dalam konteks keselamatan yang seolah-olah tiada penghujungnya ini sentiasa berada dalam kawalan.

Oleh: Shahriman bin Ali Pitchay, UI KPM
Sumber: Buletin Integriti KPM bil 2/2016

No comments: