Followers

Carian dalam Blog ini

27 July 2012

Kanser Serviks Mudah Jangkiti Wanita, Tapi Boleh Dicegah

Oleh Hazlinda Hamzah

PULAU INDAH (KLANG), 25 Julai (Bernama) -- Menurut pakar-pakar perubatan, kanser serviks atau barah pangkal rahim boleh membawa maut kepada wanita yang menghidapinya.

Menyedari ancaman kanser jenis ini, kerajaan memulakan program memberi suntikan HPV kepada kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun sebanyak tiga dos secara percuma sejak lebih dua tahun lepas dan kini kepada remaja perempuan berusia 18 tahun.

Suntikan HPV ini boleh membina imunisasi secara semulajadi seseorang yang berusia antara 13 hingga 45 tahun. Ia dipercayai satu usaha mencegah diri daripada menjadi mangsa kanser serviks yang amat berbahaya.

Bagi fraterniti (kelompok) pakar penjagaan kesihatan, pengambilan suntikan seawal itu amat digalakkan.

Apa itu HPV?

HPV adalah 'Human Papillomavirus', sejenis virus yang boleh berjangkit menerusi hubungan seksual. Tiada ubat bagi kanser serviks dan cara yang terbaik adalah melalui pencegahan.

Malaysia adalah negara kedua di dunia selepas Australia yang melaksanakan program Imunisasi HPV Kebangsaan.

KANSER SERVIKS

Kanser serviks adalah kanser ketiga paling ketara dihidapi wanita Malaysia dan ia boleh menyerang mana-mana wanita berusia dari 30 sehingga 70 tahun.

Menurut statistik penghidap kanser serviks berada selepas kanser payu dara dan kanser kolorektal dalam tahap kanser pembunuh bagi kaum wanita di negara ini.

Walaupun begitu, ramai yang masih tertanya-tanya apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kanser serviks.

Menurut statistik lagi, penghidap kanser serviks yang paling ramai di negara ini adalah kaum Cina diikuti India dan Melayu.

Kanser serviks boleh menjangkiti mana-mana wanita terutama mereka yang telah mula mengadakan hubungan kelamin tidak kira berapa usia mereka. Ini bererti wanita dewasa yang telah berumahtangga adalah golongan yang berisiko.

Apa yang paling ditakuti ramai wanita ialah penyakit ini tidak dapat dikesan melalui sebarang tanda-tanda awal yang jelas sehingga ia melarat ke tahap yang agak lewat untuk dirawati.

PAKAR PERUNDING

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr Mohamad Farouk Abdullah, memberitahu Bernama ramai dalam kalangan wanita yang didapati menghidap kanser serviks hanya mengetahui tentang penyakit yang dideritai itu pada peringkat yang sudah serius.

"Sebagai doktor, ramai di antara kami rasa terkilan apabila kehilangan pesakit-pesakit wanita akibat terlambat melakukan ujian 'pap smear' dan mendapatkan rawatan serta perhatian untuk keadaan kesihatan.

"Ramai juga wanita yang tidak merebut peluang mendapatkan khidmat di unit obstetrik dan ginekologi di hospital kerajaan yang terdekat", jelas Dr Mohamad Farouk, yang juga presiden Persatuan Kesedaran dan Saringan Kanser atau SEDAR.

Peratusan wanita yang datang untuk mendapatkan ujian 'pap smear' juga masih kurang walaupun ia dijalankan secara percuma.

Dan kerana itulah, hospital-hospital kerajaan turut menggalakkan petugas mereka termasuk jururawat menjalankan ujian 'pap smear' secara konsisten, iaitu setiap tiga tahun sekali, di bawah program kerajaan yang diperkenalkan seawal tahun 1960an lagi.

Menurut Dr Mohamad Farouk lagi, "kanser serviks boleh dicegah, oleh itu takkan kaum wanita tidak mahu memilih jalan terbaik untuk terus kekal sihat?"

Ujian 'pap smear' dapat mengesan perubahan sel-sel yang diambil daripada bahagian serviks dan jika ia menunjukkan tanda-tanda kurang normal, tindakan awal boleh diambil secepat mungkin.

"Rawatan boleh dimulakan pada peringkat lebih awal dan ia menyelamatkan nyawa," jelas pakar itu.

PENCEGAHAN

Kanser serviks boleh dicegah sama ada melalui strategi pencegahan primer iaitu secara suntikan vaksin HPV atau strategi kedua, melalui saringan sel serviks pada peringkat awal.

'Mukosa' boleh didapati di bahagian mulut, tekak, serviks atau bahagian pangkal rahim dan dubur.

Jangkitan yang serius oleh HPV boleh menyebabkan pertumbuhan tisu secara tidak normal serta perubahan sel yang mendadak dan ini boleh mengakibatkan kanser serviks.

SUNTIKAN HPV

Suntikan HPV setakat ini ada dua jenis dan kedua-duanya melindungi mereka yang disuntik daripada HPV 16 dan 18 yang risikonya paling tinggi untuk serviks wanita, sehingga ke tahap 71 peratus.

"Suntikan perlu diambil setiap 20 tahun sekali. Walaupun begitu, ujian dan saringan serviks antara kaedah yang lebih tepat, boleh menyelamatkan nyawa wanita daripada barah yang sangat ditakuti ini, memandangkan melalui saringan sebegini saja ia terbukti berjaya dikesan", tambah Dr Mohamad Farouk.

Menurut satu kajian yang dijalankan di United Kingdom, program menyuntik remaja perempuan dengan suntikan HPV dapat menyelamatkan 400 nyawa setiap tahun kerana vaksin HPV yang disuntik sebelum dijangkiti virus tersebut terbukti sangat berkesan.

KOS

HTAR telah menjalankan satu program bersama SEDAR untuk memberi ujian 'pap smear' secara percuma kepada wanita di sebuah pulau berhampiran kawasan Pelabuhan Klang, Selangor.

Menurut Dr Mohamad Farouk, jadual saringan untuk virus yang boleh menyebabkan seseorang wanita itu menghidap kanser serviks ialah sebaik-baiknya di antara tiga hingga lima tahun sekali, bergantung kepada umur mereka.

"Kos untuk menjalani ujian 'pap smear' ialah kira-kira RM150 untuk setiap tiga tahun sekali. Manakala kos penyaringan HPV hampir RM200 setiap kali ia dilakukan", jelas beliau.

Dalam kajian pada lima tahun lepas, hanya 45.7 peratus wanita dalam usia lebih 20 tahun menjalani ujian 'pap smear,'di Malaysia.

KESEDARAN WANITA BEKERJA

"Saya tak pernah buat ujian 'pap smear' walaupun sudah beranak beberapa kali", seorang wanita didengari mengaku ketika menunggu giliran untuk membuat ujian 'pap smear' kali pertamanya semasa kumpulan petugas HTAR bersama SEDAR berkunjung ke pejabat wanita itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wanita itu bersama lebih 30 rakan-rakan sepejabatnya yang lain telah berpeluang menjalani ujian 'pap smear' dan saringan HPV secara percuma di bangunan pejabat mereka.

Seorang lagi petugas pejabatnya yang pernah menjalani ujian 'pap smear' setiap kali selepas bersalin turut menjalani ujian saringan yang sangat penting itu setelah hampir 10 tahun tidak berkunjung ke klinik pakar ginekologi untuk membuat saringan susulan.

MENGAPA?

Mengapakah ramai yang menyedari tentang bahaya melewatkan jadual menguji tahap kesihatan organ dalaman mereka, memilih untuk tidak mengikuti jadual yang sepatutnya?

Ada yang malu, ada juga yang takut.

"Wanita harus mengenali tubuh mereka sendiri. Setiap organ yang dimiliki, telah ditentukan fungsinya dan ia hanya boleh berfungsi dengan baik sekiranya ia sihat.

"SEDAR dan HTAR sentiasa berusaha memberi wanita tempatan pilihan sendiri. Kira-kira 80 peratus daripada wanita akan dijangkiti dengan HPV pada satu-satu masa dalam kehidupan mereka tetapi tidak semua HPV menyebabkan kanser.

"Jadi, pastikan pemeriksaan yang sangat perlu ini tidak diabaikan atau dipandang ringan", Dr Mohamad Farouk mengingatkan.

Ujian 'pap smear' adalah pemeriksaan dalaman yang dilakukan dengan menggunakan spekulum atau berus serviks untuk mengambil sel-sel permukaan serviks sebelum dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut.

"Jika keputusan ujian 'pap smear' tidak normal, wanita itu akan dirujuk untuk penyiasatan dan rawatan lanjut.

Ujian 'pap smear' yang dijalankan dalam program HTAR menggunakan kaedah sitology berasaskan cecair dan ujian DNA HPV dapat dijalankan sekaligus. Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk bersama-sama mencegah kanser serviks.

-- BERNAMA

Usaha Murni Tingkatkan Kesedaran Mengenai Kanser Serviks

Oleh Hazlinda Hamzah

Ini adalah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenai kesedaran kanser serviks dalam kalangan wanita. Bahagian ini berkisar kepada khidmat Persatuan Kesedaran dan Saringan Kanser (SEDAR) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi penduduk di Pulau Indah, Selangor.

PULAU INDAH (Klang), 24 Julai (Bernama) -- Bagi Artini Ariffin dan penduduk di sini, usaha yang dijalankan Persatuan Kesedaran dan Saringan Kanser atau 'SEDAR' boleh dikatakan sebagai satu usaha murni untuk mereka.

SEDAR dengan kerjasama Jabatan Ginekologi dan Obstetrik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang telah menjalankan program kesedaran dan saringan bagi kanser serviks terutama bagi penduduk wanita di sini.

(Kanser serviks atau dikenali juga sebagai barah pangkal rahim ialah sejenis kanser yang boleh menyerang wanita. Tanpa pencegahan dan rawatan ia boleh membawa maut).

Program kesedaran ini turut disokong Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Artini, anak kelahiran Pahang yang telah 13 tahun menetap di sini meluahkan rasa gembiranya bila Pulau Indah dipilih HTAR untuk program kesihatan yang mendatangkan kesedaran mengenai kanser terutama kanser serviks.

"Untuk kami di sini sampai ke HTAR, memerlukan sekurang-kurangnya satu jam. Khidmat yang diberikan SEDAR bersama pakar dan jururawat dari HTAR bagaikan satu rahmat bagi kami," jelas Artini kepada penulis di sini.

Pulau Indah, dulunya dikenali sebagai Pulau Lumut, terletak di barat Pelabuhan Klang atau dengan lebih tepat 'West Port'. Ia dihubungkan ke Teluk Gong di tanah besar dengan sebuah jambatan.

Penduduknya seramai lebih 10,000 orang di mana 95 peratus daripada mereka berbangsa Melayu. Terdapat juga 300 orang Asli mendiami pulau ini.

SEGAN DAN TAKUT

Menurut pakar-pakar bidang perubatan, kanser serviks boleh disebabkan 'Human Papillomavirus' atau HPV. Ia adalah satu jangkitan virus secara hubungan seksual iaitu dari kulit ke kulit.

"Pada mulanya, ramai antara kami yang rasa segan untuk berbincang secara terbuka tentang masalah kesihatan kami.

"Tetapi setelah kami faham pencegahan penyakit lebih baik daripada rawatan, kami pun bertekad mahu mendapatkan lebih pengetahuan tentang kanser yang mudah menyerang wanita", kata Artini.

Menurut guru tuisyen itu, ramai penduduk wanita yang malu dan tidak mahu menjalani ujian 'pap smear', tetapi setelah diberi penerangan, ramai yang bersetuju memilih menyertai program kesedaran ini dan hanya 10 peratus saja mengambil sikap enggan mengambil tahu tentang penyakit kanser serviks ini", jelas beliau.

'Pap smear' adalah ujian saringan bagi kanser serviks di mana sel-sel dari pangkal rahim diambil bagi pemeriksaan patologi.

Artini menjelaskan pada peringkat awalnya ramai penduduk wanita di sini enggan menjalani ujian saringan ini tetapi setelah mereka diberikan penjelasan akhirnya mereka bersetuju menjalani pemeriksaan.

PERANAN

Anak kelahiran Kelantan, Dermawani Mamat, turut menyertai program ini dan memberi motivasi kepada penduduk di empat kampung di pulau ini untuk sama-sama menyertai program saringan kanser serviks.

Kata Dermawani, beliau akan menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada peserta program bagi mengingatkan mereka terhadap program yang akan bermula di Klinik Kesihatan di kampung masing-masing.

"Sebelum program bermula di Klinik Kesihatan, saya akan menghantar SMS kepada penduduk mengingatkan mereka mengenai program itu.

"Pada peringkat awal, ada yang memberi sambutan positif, ada yang hanya berdiam diri tetapi ramai juga yang menolak. Susah juga hendak mengajak mereka dengan sekali cuba sahaja", jelas Dermawani, seorang eksekutif pentadbiran di sebuah kilang di sini.

Kampung-kampung yang terlibat di bawah program ini ialah Sungai Pinang, Perigi Nanas, Teluk Nipah dan Sungai Kembong.

MAKLUMAT KESIHATAN

"Kami dapat lebih pengetahuan tentang tahap penjagaan kesihatan yang perlu diketahui, terutama untuk mengelakkan kanser serviks daripada petugas HTAR yang berkunjung ke pulau ini untuk berkongsi ilmu kesihatan dengan penduduk", jelas Derma'ani kepada penulis pada sesi penerangan kesihatan di sebuah Klinik Kesihatan di sini.

Program ini turut mendapat sambutan positif daripada golongan lelaki.

Ketua kampung Sungai Pinang, Abdul Haris Bahrun berkata, program itu dapat memberi penerangan tentang tahap kesihatan lelaki.

"Ada juga (lelaki) yang menyuarakan rasa ingin tahu akan kanser yang boleh mengancam kesihatan serta kehidupan dan hubungan sesama keluarga termasuk kanser prostat.

"Saya difahamkan ia satu-satunya program di dunia yang menawarkan ujian 'pap smear' di rumah jika perlu. Saya telah menasihatkan anak buah di kampung untuk menyertainya," jelas Abdul Haris, anak kelahiran Pulau Indah.

RUMAH KE RUMAH

Hampir 200 petugas HTAR terlibat dalam program yang dijalankan selama hampir setahun di pulau ini.

Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa separuh daripada penduduk wanita Pulau Indah tidak pernah menjalani ujian 'pap smear'.

Program ini turut mengadakan lawatan dari rumah ke rumah bagi meyakinkan mereka yang tidak mahu menerima pemeriksaan daripada petugas hospital.

"Kami pujuk dan mengingatkan mereka bahawa ujian itu perlu untuk kebaikan diri sendiri. Kalau jatuh sakit, bukan sahaja keluarga akan menderita malah melibatkan kos yang tinggi.

"Mereka tidak sepatutnya membebankan keluarga dengan penyakit yang boleh dicegah daripada melarat itu.

"Saya turut mengajak pekerja kilang tempat saya bekerja untuk menerima tawaran khidmat saringan secara percuma itu", jelas Derwani.

Ada juga yang menolak pelawaan itu kerana tidak dibenarkan oleh suami masing-masing.

Dermawani yang mengambil peranan sebagai wakil jururawat, berusaha secara berterusan mempengaruhi penduduk kampung supaya tidak menolak perkhidmatan perubatan yang dibawa ke pintu rumah mereka.

"Ini program yang menawarkan ujian 'pap smear' di rumah secara percuma, selain memudahkan penduduk mendapat akses kepada informasi kesihatan dan rawatan", jelas Dermawani.

Hasrat Kementerian Kesihatan adalah murni bagi mencapai tahap sifar sakit bagi penduduk pulau ini, katanya.

-- BERNAMA

18 July 2012

Mengekang Ancaman Senjata Biologi Di Malaysia

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Serangan kuman anthrax di Amerika Syarikat pada 2001 membuktikan bahawa senjata biologi berkesan dalam membunuh dan menimbulkan suasana panik.

Laporan Senjata Biologi oleh Bio Weapons Prevention Project 2004, mencatatkan tujuh kematian dan 17 lagi mengalami jangkitan daripada agen biologi itu.

Ketakutan terhadapnya turut dirasai di negara lain termasuk Malaysia apabila spora bakteria anthrax itu disebarkan dalam bentuk serbuk dengan mengepos kepada individu tertentu di pelbagai pelosok dunia.

Ancaman itu telah dinilai sebagai satu bentuk serangan yang berpotensi menggugat kesejahteraan sosial dan ekonomi.

Selain itu ia juga membuktikan serangan menggunakan senjata biologi boleh berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

BAHAYA SENJATA BIOLOGI

Percubaan menggunakan senjata biologi bukanlah sesuatu yang baru kerana pada tahun 300 Masehi karya silam Parsi, Greek dan Roman merekodkan perbuatan membuang bangkai haiwan ke dalam sumber air bagi memusnahkan musuh.

Bagaimanapun, dengan peredaran zaman dan perubahan pesat teknologi, kini senjata biologi boleh dihasilkan dengan mudah dan disembunyikan serta sukar dikesan.

Dengan tempoh pengeraman yang singkat serta boleh dijangkakan, ia kini menjadi pilihan dalam membawa kemusnahan sejagat.

Keadaan ini dimudahkan dengan kewujudan mikro-organisme penyebar penyakit kepada manusia yang sukar dikenalpasti, menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Datuk Dr Abdul Ghaffar Ramli.

Ini kerana agen biologi bukan sekadar digunakan untuk menghapus manusia terpencil malah ia turut digunakan sebagai agen utama yang dapat membunuh dalam skala lebih besar dalam tempoh yang singkat, menyebabkan ia tergolong sebagai senjata pemusnah besar-besaran (WMD).

"Agen penyebarnya adalah manusia sendiri, selain haiwan dan tumbuhan. Ia lain daripada senjata konvensional seperti bom, senjata nuklear dan kimia yang memerlukan peralatan tertentu untuk melepaskannya di lokasi yang disasarkan.

"Senjata biologi, tidak memerlukan semua itu. Hanya perlu masuk ke negara sasaran untuk melepaskan kuman itu," katanya kepada Bernama dalam satu temubual di pejabatnya baru-baru ini.

Senjata biologi menjadi kebimbangan seluruh dunia kini dan Malaysia juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan segala kemungkinan berkaitan dengan senjata biologi itu.

Ditambah dengan langit berbuka yang membolehkan seseorang sampai dengan mudah dari sebuah negara ke negara lain yang secara tidak langsung meningkatkan lagi risiko ancaman.

"Kita biasa lihat serangan kumpulan berani mati mengebom tempat awam, tidak mustahil satu hari nanti kumpulan seperti ini melepaskan agen biologi di tempat orang ramai, di dalam kapal terbang dan seumpama.

"Mereka tahu, serangan biasa mungkin tidak berkesan, jadi mereka bangunkan kuman itu di makmal dan bawa ke negara sasaran dan lepaskannya untuk melumpuhkan ekonomi dan populasi sesebuah negara itu," katanya.

SALAHGUNA AGEN BIOLOGI

Tidak seperti bahan kimia yang boleh dikesan dengan teknologi terkini. Tidak ada satu pun teknik yang boleh mengesan seseorang membawa agen biologi melainkan dengan bantuan kepakaran perisikan, katanya.

Dr Ghaffar berkata semenjak serangan anthrax, banyak negara di dunia terutama negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah telah meningkatkan tindakan kawalan terhadap agen biologi agar ia tidak disalahgunakan.

"Mengambil contoh serangan anthrax, ia dilakukan oleh seorang saintis bernama Bruce Edwars Ivis yang menghasilkan di makmalnya, malah banyak insiden yang berlaku di dunia yang menggunakan toksin dan kuman bagi mengancam musuh," katanya.

Cara yang sama pernah digunakan oleh pasukan perisik Rusia untuk membunuh ejennya yang berpaling tadah. Mereka bertindak meletakkan saxitoksin yang dihasilkan oleh percambahan organisme laut dalam bilangan besar khasnya algae.

Racun saxitoksin ini dikatakan pernah digunakan untuk menikam ejen Rusia yang berpaling tadah dengan toksin itu terus menyerang paru-paru hingga menyukarkan penafasan dan membuatkan seseorang itu kejang serta akhirnya membawa maut.

Kerana itu saxitoksin diletakkan dalam Jadual Pertama Akta Konvensyen Senjata Kimia, agar penyelidikan dan penggunaan serta penyimpanannya dikawal.

BANYAK SUMBER TOKSIN BIOLOGI

Sebenarnya sumber-sumber toksin ini wujud secara semulajadi dan dari masa ke masa mengancam orang ramai.

Contohnya, masyarakat nelayan di Sabah sering berhadapan dengan ancaman saxitoksin daripada percambahan alga sehinggakan masyarakat di Pulau Gaya di situ dikatakan menggunakan kucing untuk menentukan sama ada kerangan selamat untuk dimakan atau sebaliknya.

"Menjadi kebimbangan sekiranya tidak dikawal, ada pihak tertentu mengambil kesempatan dengan mengekstrak racun itu dan menyimpannya untuk disalahgunakan.

"Ini yang perlu dikawal kerana pelbagai cara boleh digunakan musuh termasuk dengan cara melumpuhkan ekonomi," katanya.

Seperti yang berlaku pada serangan virus Nipah sebagai penyebab wabak penyakit pada khinzir dan manusia di Semenanjung Malaysia antara hujung tahun 1998 sehingga bulan Mei 1999. Ia memberi kesan kepada industri penternakan khinzir, malah kerugian yang ditanggung oleh penternak akibat serangan virus masih belum ditebus semula walaupun hampir 15 tahun telah berlalu.

"Bayangkan sekiranya ada pihak yang menyebarkan agen biologi untuk melumpuhkan industri penternakan seperti lembu, ayam, mahupun kambing yang mewakili hampir 70 peratus sumber makanan manusia. Pastinya ia akan memberi kesan kepada ekonomi dan kehidupan," katanya.

RANG UNDANG-UNDANG BARU

Untuk melaksanakan langkah pencegahan bagi memastikan kawalan agen biologi dan toksin, satu undang-undang khusus perlu diwujudkan di negara ini.

Sehingga ini tidak ada perundangan dan peraturan yang boleh mengawal dan memantau dengan berkesan penyelidikan dan aktiviti berkaitan agen biologi dan toksin berbahaya yang boleh digunakan bagi tujuan keganasan dan peperangan.

Abdul Ghaffar berkata Rang Undang-Undang Konvensyen Senjata Biologi dan Toksin itu mampu mencegah usaha pihak-pihak tertentu menghasil, membangun dan menyimpan agen biologi dan toksin untuk tujuan tidak baik.

"Ia perlu agar negara dapat melaksanakan pematuhan terhadap Konvensyen Senjata Biologi yang telah ditandatangani pada 10 April, 1972 dan meratifikasinya pada 6 Sept, 1991.

"Selain itu aspek keselamatan pertahanan negara antara ciri penting yang akan dilihat dalam draf rang undang-undang itu termasuk mengambil kira perkembangan teknologi terkini," katanya.

Sejak 2008, Kementerian Pertahanan melalui STRIDE telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan melibatkan penggubal dasar dan pakar-pakar dari 23 agensi kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri bagi membincangkan kandungan rang undang-undang itu.

UNDANG-UNDANG TENTUKAN ATURCARA KAWALAN

Melalui undang-undang baru ini juga Malaysia akan dapat mematuhi artikel III yang mana negara tidak boleh memindahkan atau dalam apa-apa cara membantu dan menggalakkan mana-mana pihak untuk memperoleh atau mengekalkan senjata biologi dan artikel IV memerlukan negara mengambil apa-apa langkah perlu dan berkesan bagi melaksanakan peruntukan konvensyen dalam negara.

Siri bengkel, forum dan perbincangan menghasilkan rang undang-undang juga telah mengenalpasti pelbagai masalah terutama kebimbangan saintis yang berasa kurang selesa terutama apabila penyelidikan mereka dipantau selain denda yang dianggap terlalu tinggi.

Melalui rang undang-undang itu, berdasarkan kepada jenis agen biologi dan toksin yang dikawal, saintis perlu memaklumkan aktiviti yang dilakukan.

"Saintis tidak boleh anggap ia menyusahkan, kerana tujuannya adalah untuk memastikan aktiviti penyelidikan yang dijalankan adalah secara sistematik dan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, usaha mengawalnya dapat dijalankan dengan lebih mudah dan berkesan," katanya negara turut bekerjasama baik dengan negara serantau dan Amerika Syarikat agar langkah yang diambil adalah selari.

Beliau berkata usaha kini adalah untuk memberi kesedaran terutama kepada saintis agar mereka bertanggungjawab atas kajian yang dilakukan, mengikut peraturan serta merekod dan melaporkan kajian itu.

"Kita bimbang, saintis diperguna pihak tertentu tanpa mereka sedari ia boleh memberi kesan dan ancaman kepada masyarakat, ekonomi dan negara. Ini yang kita mahu elakkan," katanya yang turut berharap penguatkuasaan akta baru itu nanti akan dijalankan oleh pihak yang neutral sifatnya setelah diluluskan di Parlimen.

29 June 2012

Peralatan Penyejuk Kurang Mesra Alam

CYBERJAYA, 29 Jun (Bernama) -- Setiap kali sesiapa menggunakan pendingin hawa, menghidupkan lampu, menyaksikan televisyen, membiarkan pintu peti sejuk terbuka atau mengecas telefon bimbit, lebih banyak gas rumah hijau (GHG) dibebaskan ke atmosfera.

Peralatan-peralatan moden ini, yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita pada hari ini, memerlukan tenaga elektrik tetapi menjana tenaga elektrik ada kepincangannya memandangkan ia menyumbang kepada GHG yang dikatakan menjadi punca fenomena pemanasan global.

Statistik daripada Suruhanjaya Tenaga Malaysia (EC) menyenaraikan empat sumber tenaga negara - gas semulajadi, minyak mentah, arang batu dan kok, dan kuasa hidro.

Penggunaan tenaga elektrik secara keseluruhan telah meningkat dengan ketara dalam negara dari 1990 hingga 2009 iaitu sebanyak 383 peratus.

PERALATAN YANG BANYAK GUNAKAN TENAGA

Peralatan penyejuk seperti pendingin hawa, peti sejuk dan pendingin banyak menggunakan tenaga berbanding peralatan elektik yang lain.

Satu penyelidikan oleh Pusat Bagi Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (Cetdem) bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya mendapati 67 peratus daripada purata penggunaan elektrik isi rumah adalah bagi peralatan penyejuk.

Ini kemudian diikuti oleh peralatan yang digunakan bagi pemanasan (11 peratus), pencahayaan (tujuh peratus), masak (lima peratus), hiburan (empat peratus), mesin basuh (dua peratus) dan lain (empat peratus).

Sementara bagi bangunan, audit Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia mendapati pendingin hawa menggunakan 62 peratus daripada jumlah tenaga, diikuti oleh perkakas berasaskan palam kuasa (20 peratus) dan pencahayaan (18 peratus).

PENGGUNAAN MENGIKUT SEKTOR

Semasa bercakap pada Forum iGREET (Maklumat Mengenai Teknologi Hijau) ke 14 baru-baru ini, Eksekutif Kanan EC bagi Pengurusan Bahagian Permintaan Ir.Zul Azri Hamidon menunjukkan bahawa pertumbuhan besar dalam penggunaan elektrik berpunca kerana pembangunan pesat negara.

Penggunaan elektrik oleh kemudahan kediaman dan komersial sahaja meningkat 413 peratus dari 1990 hingga 2009.

Pada 2009, penggunaan kuasa oleh sektor komersial dan kediaman mewakili nilai yang disatukan sebanyak 54.7 peratus berbanding sektor lain, khasnya industri (44.9 peratus), pertanian (0.3 peratus) dan pengangkutan (0.2 peratus).

"Adalah penting bagi para pengguna daripada kumpulan ini (komersial dan kediaman) untuk memahami aliran penggunaan elektrik masing-masing dan belajar akan langkah-langkah berkesan untuk mengurangkan penggunaan.

"Adalah baik bagi mereka dan alam sekitar. Dengan memainkan peranan masing-masing untuk mengurangkan penggunaan tenaga, ia mengurangkan wasap CHG dan membantu menjimatkan sumber semulajadi kita yang semakin kehabisan," tambah beliau.

BERAPAKAH SUMBANGAN WASAP ANDA

Kesedaran terhadap penggunaan tenaga secara berhemah masih rendah di negara ini. Ramai warga Malaysia masih tidak sedar yang sikap tidak ambil peduli mereka terhadap penggunaan tenaga secara berhemah boleh memudaratkan alam sekitar.

"Setiap satu kilowatt jam (kWh) yang digunakan membebaskan 0.684 (kilogram) kg karbon dioksida (CO2), gas yang menyumbang kepada kesan rumah hijau," kata Zul Azri.

Anda boleh mengukur sendiri pencemaran CO2 yang anda lakukan dengan mendarabkan penggunaan elektrik anda seperti yang tercacat dalam bil dengan 0.684. Keputusannya mewakili jumlah wasap CO2 yang dibebaskan ke udara.

Secara purata, penggunaan elektrik setiap isi rumah Malaysia adalah 251 kWh sebulan. Ini bermakna, sebuah isi rumah membebaskan 171.68 kg CO2 setiap bulan.

Mendarabkan nilai ini dengan 13,777,039 kuarters kediaman dan isi rumah yang dikenalpasti semasa Banci Penduduk dan Perumahan 2010, rakyat Malaysia mencemarkan udara dengan 2.4 bilion kg CO2 setiap bulan, bersamaan dengan 28.8 bilion kg setahun!

"Jika setiap orang memainkan peranan masing-masing dengan mengambil langkah-langkah memastikan mereka mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak mana yang boleh, ia pasti membawa perubahan besar," tambah Zul Azri.

MENGURUSKAN PENDINGIN HAWA

Pelbagai pendekatan boleh diambil untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

Menggunakan peranti-peranti penyejuk seperti pendingin hawa memerlukan disiplin, penyenggaraan berterusan dan sedikit penyesuaian dalam rutin harian.

"Padamkannya apabila anda tinggalkan bilik, laraskan termostat ke paras suhu selesa di sebalik paras sejuk dan bersihkan penapis udara secara berjadual," kata Zul Azri.

Beliau juga berkata semua pintu dan tingkap harus ditutup rapat kerana kebocoran menambah bebanan kepada pendingin udara.

Memakai pakaian yang sesuai juga dapat membantu memperluaskan zon selesa sementara mengurangkan tenaga yang digunakan oleh pendingin hawa. Mereka yang memakai pakaian tebal akan memerlukan suhu yang lebih sejuk untuk berasa selesa berbanding mereka yang memakai pakaian yang nipis.

"Percaya atau tidak, dengan hanya meningkatkan suhu sebanyak satu darjah, anda boleh menjimatkan tenaga sehingga 6 peratus," jelas Zul Azri.

Selain itu, penggunaan tingkap ketelusan rendah atau dengan memasang lapisan penapis di tingkap dan penebat di bumbung dapat mengurangkan penyerapan panas matahari, oleh itu membenarkan proses penyejukan berlaku dengan lebih cepat.

PENGGUNAAN PETI SEJUK

Bagi peti sejuk pula, peralatan ini memerlukan pengudaraan yang baik. Memberikan ruang yang wajar antara peti sejuk dan diding di sekelilingnya atau kabinet membolehkan aliran udara yang baik.

"Hari ini, ramai yang menempatkan peti sejuk mereka di ruang yang sempit di antara kabinet dapur. Ini mungkin nampak hebat tetapi ia tidak sesuai bagi alam sekitar memandangkan ia meningkatkan pembaziran tenaga," kata Zul Azri.

Pengudaraan yang kurang baik bermakna peti sejuk perlu menggunakan tenaga yang lebih untuk penyejukan.

"Juga jangan biarkan pintu peti sejuk terbuka untuk tempoh yang lama dan pastikan pengedap pintu berada dalam keadaan yang baik," kata Zul Azri.

PROGRAM PENJIMATAN

Berita baik bagi para pelanggan. Kerajaan kini menawarkan baucar sehingga RM200 kepada semua warganegara bagi setiap pembelian peti sejuk dan pendingin hawa yang disahkan cekap dari segi penggunaan tenaga di bawah program Kelestarian Tercapai Melalui Kecekapan Tenaga (SAVE).

Satu ganjaran lebih kurang sama juga ditawarkan kepada syarikat-syarikat swasta untuk menggantikan penyejuk yang berusia 10 tahun atau lebih yang digunakan untuk mendingin hawa di bangunan-bangunan komersial.

Dilancarkan pada Julai 2011, program ini menawarkan 165,000 baucar rebat daripada Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (Seda).

Sehingga hari ini, hampir 125,000 pembeli telah menikmati rebat sebanyak RM200 bagi peti sejuk dan RM100 bagi pendingin hawa bersama penarafan lima bintang bagi kecekapan tenaga seperti yang disahkan oleh EC.

Penolong Pengarah Kecekapan Tenaga bagi Seda Muhammad Hafiz Azizan menekankan bahawa objektif program ini adalah untuk mempercepat transformasi pasaran peralatan elektrik pengguna dan meningkatkan penguasaan model-model cekap tenaga di pasaran.

"Para pembeli boleh log ke laman web kami di http://www.saveenergy.gov.my, dan cetak baucar sebelum membuat pembelian dan terus nikmati rebat," katanya.

Para pembeli boleh mencari peralatan-peralatan cekap tenaga dalam senarai yang disediakan di laman web ini. Atau secara alternatif mereka boleh cari peralatan dengan pelekat merah 'energy efficient' (cekap tenaga) di peranti-peranti yang dijual oleh kedai-kedai elektrik.

Muhammad berharap supaya orang ramai akan menghulurkan sokongan kepada program ini dengan mendapatkan baucar yang masih terdapat.

Menurut laman web itu, Program SAVE akan berakhir apabila kesemua baucar itu telah digunakan ataupun notis dikeluarkan akan penamatan tawaran rebat itu, yang mana dahulu.

-- BERNAMA

27 June 2012

Menjejak Kaki Di Menara Gading Proses Bantu Kematangan

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Inilah musimnya - antara akhir Mei hingga awal Jun - setiap tahun, pelajar mula mendaftar diri di pelbagai kursus peringkat diploma di sebuah universiti awam yang mempunyai kampus cawangan di setiap negeri di seluruh negara.

Mulai 2 Jun tahun ini, pelajar yang kebanyakannya datang dari kampung serta kawasan luar bandar akan meninggalkan keselesaan yang mereka nikmati di rumah.

Mereka juga meninggalkan suasana kehidupan bersama ibu bapa serta keluarga untuk kali pertama di mana mereka akan menghadapi pelbagai rasa sebak termasuk rasa rindu pada kampung halaman.

Tetapi inilah pentas dunia yang harus ditempuhi setiap pelajar dalam usaha mereka mengejar cita-cita di menara gading dan masa inilah mereka sebenarnya mengorak langkah untuk berdikari dan mencapai kematangan, menurut pensyarah Sains Kemanusiaan Amin Iskandar.

"Tahun pertama di universiti adalah masa transisi atau peredaran bila seorang anak berpisah dari ibu dan bapanya tetapi ini bukannya satu situasi di mana perhubungan antara si anak dan ibu bapa putus tiba-tiba," katanya kepada penulis.

"Tidak salah jika terasa begitu rapat dengan ibu dan bapa bahkan ia perkara biasa jika bila berada di kolej penginapan di kampus dan teringatkan kampung halaman," kata beliau.

Menurut beliau, ia juga merupakan satu perkara biasa bagi pelajar yang baru saja menjejakkan kaki di menara gading menghubungi ibu bapa bila mereka rasa stres atau dibeban tekanan mental yang agak berat.

Amin menerangkan sedemikian tentang isu di mana pelajar baru universiti mengalami masalah rindu pada keluarga ketika baru menjejakkan kaki ke kampus. Baru-baru ini, pelajar baharu mula mendaftar ke universiti untuk sesi akademik tahun 2012/2013.

IKATAN KElUARGA

"Di tahun-tahun permulaan di universiti, kecenderungan untuk bergantung kepada ibu bapa dan adik-beradik adalah suatu yang sihat secara psikologi dan membantu remaja menjadi lebih matang, penyayang dan berkeyakinan.

"Ikatan keluarga yang kuat membantu remaja menjadi individu yang berdikari. Biasanya pelajar akan rasa lebih dekat dengan keluarga bila berjauhan dari rumah dan perhubungan sebeginilah yang akan menggamit rasa yakin dan bertanggungjawab," jelas pensyarah itu.

Menurut Amin, pelajar yang mempunyai asas kekeluargaan yang kukuh di rumah biasanya akan lebih mudah mendapat teman baharu selain mencapai keputusan akademik yang baik semasa berada di kampus dan mencapai satu kepuasan dengan kehidupannya.

Terang Amin lagi, pelajar yang ada rasa rindu kepada kampung halaman akan membuat panggilan telefon atau pulang ke rumah semasa cuti.

"Mereka akan lebih menyatakan rasa sayang terhadap keluarga serta berkomunikasi secara terbuka dan jujur tentang kehidupan di universiti".

Katanya bila remaja ini rasa stres atau menghadapi cabaran serta memerlukan satu keputusan dibuat, mereka akan berpaling kepada ibu bapa untuk mendapatkan sokongan dan keyakinan.

"Ini tidak menggugat autonomi dan kebebasan hidup mereka," kata Amin.

HUBUNGAN HARMONI

Bagi Amin, hubungan harmoni antara anak dan ibu bapa akan menerbitkan perasaan kesejahteraan dalam aspek psikologi para mahasiswa.

"Bagi pelajar, mereka sedar dan percaya bahawa ibu bapa mahukan mereka jadi berdikari dan pada masa yang sama mereka rasa ibu bapa akan membantu bila sesuatu pertolongan diperlukan.

"Sebaliknya, pelajar yang rasa sepi dan tidak menerima sokongan dari keluarga akan kurang mempunyai keyakinan diri dan kurang keterampilan bila bersama dengan pelajar lain.

"Pelajar ini punya masalah berjauhan dari ibu bapa dan mereka sukar mencari teman baharu ketika berada di kampus," kata beliau.

Beliau berkata kebanyakan remaja tidak punya masalah bila meninggalkan rumah untuk melanjutkan pelajaran di universiti.

"Hanya sebanyak 20 peratus daripada remaja ini akan mengalami masalah dalam mencapai kematangan serta menjadi berdikari," katanya.

MENINGGALKAN RUMAH UNTUK KE UNIVERSITI

"Abang saya meninggalkan rumah pada Mei tahun 2010 bagi melanjutkan pelajaran dalam kursus ijazah di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Sri Iskandar di Perak.

"Dia mengembara ke sebuah bandar baru, sebuah universiti yang dia tidak pernah sampai dan tinggal di asrama di mana dia terpaksa membuat kerja sendiri tanpa dibantu ibu dan ayah seperti mengemas bilik, membasuh baju dan mencari makanan sendiri.

"Tetapi dia telah mengajar saya, bahawa tahun pertama kehidupan di universiti bukan sahaja bermakna untuk melanjutkan pelajaran tetapi juga memulakan kehidupan terasing dari kepompong (rumah)," cerita Zaidatul Azreen yang baru menamatkan tahun pertama kursus diplomanya di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sri iskandar.

Menurut Amin, meninggalkan rumah untuk ke universiti adalah antara langkah terakhir menghilangkan kebergantungan pada keluarga dan memulakan hidup berdikari.

"Ramai antara remaja rasa tertekan bila berjauhan dari keluarga tetapi bagi saya, ibu bapa serta anak-anak mereka tidak perlu bimbang terhadap perhubungan rapat ini," tambah beliau.

IBU BAPA

"Kalau anda seorang bapa atau ibu, beradalah di samping anak anda bila mereka memerlukan sokongan," nasihat Amin.

Beliau juga menyeru ibu bapa supaya memberi ruang dan masa untuk anak remaja mereka menyesuaikan diri kepada keperluan serta kehidupan baharu di kampus.

Menurut Amin, antara perkara yang dapat ibu bapa berikan kepada anak sewaktu mengucapkan selamat tinggal selepas menghantar anak itu di kampus adalah:

"Jaga diri kamu baik-baik, malah lebih baik daripada yang kami pernah buat untuk kamu."

-- BERNAMA

Sampah, Boleh Ke Tong Sampah Pukal?

Oleh Hazlinda Hamzah


Ini ialah bahagian dua daripada rencana tiga siri megenai tentang sampah dan masyarakat Malaysia.

PETALING JAYA, 19 Jun (Bernama) -- Masalah kutipan sampah di kawasan perumahan di Selangor tidak lama dahulu menunjukkan kelemahan dalam pengurusan kutipan dan pelupusan sampah domestik.

Dalam meningkatkan perkhidmatan, pihak-pihak berkuasa tempatan mengambil langkah tambahan untuk memastikan kemelut itu tidak berulang.

Sebagai contoh pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menempatkan tong-tong sampah pukal, bagi manfaat penduduk Subang Jaya.

Inisiatif ini bermula pada Januari 2012 dengan empat tong pukal diletakkan di kawasan USJ11 bersama poster-poster menunjukkan lokasi tong-tong ini terpampang di kejiranan itu.

Begitu juga di USJ2 dan beberapa kawasan berdekatan lain termasuk SS14, SS15 dan SS19. Sisa buangan dalam tong-tong pukal ini dikutip pada setiap Sabtu.

Bagaimanapun usaha pihak berkuasa ini mendapat sambutan dingin penduduk tempatan dan ini dapat dilihat daripada jumlah sampah yang kecil dikutip daripada tong-tong pukal ini.

MASALAH TONG SAMPAH DAN KUTIPAN SAMPAH

Kemampuan serta sumber-sumber pihak berkuasa yang terhad dalam menguruskan kutipan sampah, dan keengganan masyarakat untuk menghulurkan kerjasama, menjadi punca sampah bertimbun dan persekitaran dicemari bau busuk.

Sumber-sumber terhad turut menjadi punca, termasuk bilangan dan saiz tong sampah yang tidak memadai dan kedudukannya yang mengganggu keselesaan masyarakat.

Sampah yang terbiar dibimbangi akan memudaratkan kesihatan masyarakat setempat. Untuk menangani masalah ini, apa jua cara sekalipun perlu digunakan.

Penduduk di bangunan pangsapuri sekitar Ulu Kelang dan Puchong juga membuang sampah mereka yang diikat ke dalam beg-beg plastik ke dalam tong sampah pukal yang disediakan pihak pengurusan kawasan perumahan itu.

Di Ulu Kelang, satu tong sampah pukal disediakan untuk dua blok pangsapuri, manakala di Puchong pula satu tong sampah untuk tiga buah blok pangsapuri.

Seorang penduduk pangsapuri di Puchong mengeluh tong-tong kutipan pukal itu diletakkan di petak tempat letaka di dalam kawasan pangsapuri, bersebelahan dengan petak-petak letak kereta berpemilik, di kiri dan kanannya.

Sampah yang melimpah keluar serta bau busuk mengganggu keselesaan pemilik petak letak kereta itu.

Ada tong tetap mengundang masalah, tak ada tong pun ada masalah.

Sakini Mohd Said, penghuni sebuah unit pangsapuri di Ulu Kelang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan jadual kutipan sampah di kawasannya.

"Ada kalanya sampah tidak dikutip sehingga seminggu lamanya. Itu yang membuatkan kami serumah tidak senang duduk bila melihat sampah yang bertimbun di dalam tong sampah pukal, dan baunya juga," jelas Sakini.

Adakalanya, sekumpulan babi hutan dilihat datang mencari makanan di sekitar kawasan tong sampah pukal itu, pada waktu malam dan awal pagi.

LANGKAH PROAKTIF

Akibat masalah kutipan sampah di negeri Selangor, pihak MPSJ telah mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah sampah dan kutipannya daripada berterusan.

Di kawasan perumahan termasuk di Subang Jaya biasanya, kutipan sampah dibuat secara berkala, tiga kali seminggu, sama ada pada Isnin, Rabu dan Jumaat atau Selasa, Khamis dan Sabtu.

Kutipan dijalankan secara konsisten tetapi adakalanya jika cuti umum jatuh pada hari kutipan itu, atau cuaca buruk melanda pada hari itu, kutipan akan ditunda.

Sehingga awal Jun 2012, lebih 600 kes sampah longgok (iaitu sampah selain sisa makanan atau sampah domestik yang turut diletakkan di luar rumah atau di bawah pokok dan di bahu jalan) yang diadukan kepada MPSJ, telah dapat diselesaikan.

Dan untuk mengelakkan masalah longgokan sampah dan sampah kebun tidak dikutip sehingga masalah timbunan pula berlaku, kekerapan mengutipnya telah ditambah.

Aduan bagi sampah domestik yang diterima tahun ini pula, hampir 1,400 manakala 230 aduan diterima untuk sampah kebun.

Sampah kebun merangkumi sampah daripada pemotongan dahan-dahan pokok yang lebih besar dan tidak dimasukkan ke dalam beg plastik.

Peratusan kes aduan yang dapat diselesaikan oleh MPSJ mencapai hampir 99 peratus, secara purata dan ini jelas memuaskan.

Setiap bulan, pihak MPSJ mengutip 1.5 juta tan sampah domestik manakala jumlah kutipan sampah longgok dan kebun ialah hampir 90 tan sebulan.

Saiz kawasan yang terletak di bawah penjagaan dan penyeliaan MPSJ hampir 162 km persegi.

Yang Dipertua MPSJ Datuk Asmawi Kasbi turut menyarankan masyarakat terus menggunakan saluran yang telah disediakan untuk mengadu tentang masalah sampah serta memberi apa-apa timbal balas mengenainya.

Talian-talian 03-8026-7431, 03-5637-6545 dan alamat emel di mpsj@mpsj.gov.my disediakan untuk orang awam menyampaikan aduan tentang sampah kepada pihak MPSJ.

-- BERNAMA

Milik Siapakah Longgokan Sampah Itu?

Oleh Hazlinda Hamzah


Ini ialah bahagian pertama daripada rencana tiga siri mengenai pengurusan sisi pepejal dan sikap masyarakat Malaysia terhadap amalan pembuangan sampah yang betul.

PETALING JAYA, 18 Jun (Bernama) -- Bau busuk sering kali menusuk deria bau orang ramai ketika melalui kawasan perumahan yang ramai penghuninya dan tapak perniagaan yang ramai pengunjung.

Bila dicari di sekeliling punca bau kurang menyenangkan itu, timbunan sampah domestik kebiasaannya berada tidak jauh dari situ.

Selain timbunan sampah, ia juga berpunca daripada longkang yang tersumbat akibat sampah yang dibuang ke dalamnya.

Masalah di taman perumahan ini sebenarnya membayangkan masalah yang lebih besar di seluruh negara berhubung pengurusan sisa buangan domestik.

PERLU BERTANGGUNGJAWAB

Sampah terhasil apabila isi rumah membuang apa yang mereka tidak perlukan. Apabila orang ramai gagal menguruskan sampah mereka dengan mengurangkan sisa buangan atau melupuskannya mengikut cara yang betul, dan apabila sistem kutipan sampah tidak sempurna, sampah mula bertimbun di tempat sendiri.

Sampah yang dibuang penghuni rumah kediaman dan peniagaan di Malaysia tidak semuanya diasingkan dari segi jenis, mahupun keadaan fizikalnya.

"Semasa saya bermastautin di Cape Town di Afrika Selatan selama beberapa tahun, sistem kutipan sampahnya berbeza daripada di Malaysia. Setiap penghuni kediaman mempunyai tong sampah beroda atau troli yang akan ditolak ke kawasan kutipan setiap seminggu sekali untuk dikutip. Sampahnya akan dibuang ke dalam beg sampah secara teliti, tidak ada yang tumpah dan baunya turut tidak menyesakkan udara sehinggakan mengganggu jiran tetangga," jelas Aminah Hitam yang kini bermastautin di negeri Selangor.

Penghuni turut boleh terus mengasingkan sampah mengikut warna beg kerana kemudahan mengitar semula dibolehkan serentak.

Sistem di Cape Town dikatakan sangat teratur dan baik untuk penghuni setempat.

"Penghuni sekitar pun sangat peka dan berdisiplin. Sampah dikutip pada hari yang sama setiap minggu dan ia tetap dikutip walaupun pada hari cuti umum. Troli sampah itu ditolak sendiri dan penghuni mengambilnyaa semula pada sebelah petang hari yang sama setelah ia dikosongkan.

Untuk mereka yang tinggal di pangsapuri, mereka tidak memerlukan troli sampah sendiri tetapi perlu membuang sampah mereka di tempat yang telah ditentukan pihak pengurusan," jelas Aminah lagi.

TONG SAMPAH

Semasa penulis berusia 10 tahun dan baru berpindah ke Petaling Jaya pada tahun 1970an, pengalaman membuang sampah ke dalam tong sampah yang diletakkan di tempat awam di kawasan seksyen 14, Petaling Jaya menunjukkan ketiadaan tong sampah yang sempurna turut menyumbang kepada masalah itu.

Penulis teringat bila cuba membuang cawan kertas minuman ke dalam tong sampah kecil yang digantung di tepi jalan berhadapan beberapa buah kedai, ia terus jatuh ke lantai.

Rupa-rupanya tong sampah yang diletakkan pihak majlis bandaran ketika itu, berlubang di bahagian dasarnya kerana telah berkarat.

Seorang penghuni di Kelana Jaya mengeluh bahawa penutup tong sampahnya yang menampung sisa buangan lima sekeluarga telah dilenyek lori yang mengutip sampah.

"Sekarang tong sampah kami tidak boleh ditutup rapat. Tudung tong penyek dan pada sebelah malam kucing memasuki tong sampah untuk mencari makanan di dalam sampah yang dibuang itu. Saya tertekan melihat keadaan pada keesokan paginya," jelas Tengku Elisa Tengku Bustaman, bila ditanya tentang pengalamannya.

Sewaktu tinggal di Dammam, Arab Saudi dulu, menurutnya, tong sampah pukal diletakkan secara fizikal di hadapan beberapa buah rumah di kawasan kediamannya dan ia dikutip setiap dua hari sekali.

"Sistem kutipan di tempat tinggal saya itu memang cekap tapi di luar kawasan kediaman kami di Dammam itu, entahlah saya tak tahu sistemnya," jelas Tengku Elisa.

Walaupun sistem kutipan sampah diatur dengan baik, penghuni masih perlu membuang sampah mereka dengan teratur dan bersesuaian dengan kandungan sampah itu, baik yang pejal mahupun cecair.

PENCEROBOHAN HAIWAN

Sesetengah penghuni di kawasan perumahan di negara ini masih belum mempunyai tong sampah.

Senario sebegini masih dapat diperhatikan di sesetengah kawasan. Mereka hanya mengikat sampah dalam beg plastik dan meletakkannya di luar kawasan rumah mereka.

Keesokan harinya, beg plastik itu sudah terburai dan kandungannya bertaburan di jalan raya.

Dan inilah yang mendatangkan bau busuk dan rasa tidak selesa serta kemarahan penghuni lain.

"Ada juga beg berisi sampah domestik ini dibawa oleh anjing-anjing liar yang tidak bertuan pada waktu malam," luah S.Chandravathani yang tinggal di Kajang dan pernah melihat sampahnya dilarikan haiwan jalanan.

Apabila sampah bertaburan di tengah jalan akibat perbuatan haiwan ini, ia mendatangkan masalah kepada pengguna dan penghuni kawasan perumahan.

Kereta-kereta yang melalui jalan itu akan melenyek sampah sarap yang bertaburan di atas jalan itu. Penulis pernah melihat jiran yang tidak sanggup melihat keadaan yang mencacatkan pemandangan itu, lalu membersihkan sendiri jalan raya di hadapan rumahnya.

Salahkah haiwan yang menceroboh sampah-sampah yang dibuang di luar tong sampah seperti ini?

Sebenarnya, mereka yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab sebegini yang patut disalahkan .

Perbuatan meletakkan sampah di luar, menarik kedatangan haiwan dan angkara haiwan ini boleh dihindari jika sampah diikat rapi dan dimasukkan ke dalam tong sampah.

Selain itu, apabila sampah itu tidak dikutip selama beberapa hari ia mula bertimbun.

DAPATKAN SATU

Setiap rumah teres atau berkembar dan banglo di kebanyakan kawasan perumahan dibina lengkap dengan sebuah ruang letak tong sampah di tembok pagar depan.

Ruang itu lengkap berpintu dan mudah untuk digunakan.

Penulis telah membuat tinjauan di beberapa buah kedai dan mendapati jenis-jenis tong sampah untuk kegunaan di luar rumah, dijual pada harga dari RM16 sehingga RM84, bergantung kepada saiz, bahan buatannya sama ada daripada plastik, getah atau sebatian yang tidak mudah pecah.

Tong sampah plastik dan bertutup yang boleh memuatkan sampah hampir 38 liter didapati berharga RM24.90 manakala yang lebih baik dan besar saiznya pula, tidak melebih RM60 setiap satu.

"Tong sampah beroda yang besar untuk sampah seberat 120 liter dan berkualiti tinggi, harganya hampir RM380 setiap satu. Ini yang lebih praktikal digunakan," jelas penjual sebuah kedai perkakasan, HaDIY di Taipan Business Center, USJ10.

Tinjauan rambang merentasi lebih 120 buah rumah di kawasan sekitar USJ9, USJ11, USJ6 dan USJ2 menunjukkan hampir 25 peratus daripada rumah di situ tidak mempunyai ruang tetap untuk sampah atau tong sampah di dalam mahupun di luar kawasan rumah.

Hampir 30 buah rumah di dalam kategori ini meletakkan beg plastik sampah di luar rumah, di atas lantai saja atau di ruang yang mudah dicerobohi haiwan liar di jalanan.

Banyak juga pokok-pokok yang menjadi mangsa longgokan sampah kerana beg plastik berisi sampah digantungkan pada dahannya.

MENYUSAHKAN

"Saya geram betul melihat timbunan sampah yang ditinggalkan di kawasan lapang di tepi pagar saya oleh jiran yang saya tidak tahu siapa. Walaupun ia di luar pagar rumah saya, tapi tetap menyusahkan kerana saya selalu menyapu di luar untuk membersihkan daun-daun kering yang gugur. Setiap kali saya memandu balik ke rumah, mata saya pasti melihat bahu jalan di tepi rumah. Ada longgokan buangan barukah?" cerita Siti Hawa Ismail, seorang penghuni rumah tepi di kawasan SS19, Subang Jaya.

Sampah yang terlonggok termasuk timbunan ranting pokok, beg berisi rumput yang telah dipotong dan juga bungkusan yang berisi sampah isi rumah.

Kenapa agaknya penghuni kawasan perumahan hari ini lebih suka membuang di ruang terbuka yang terletak di depan atau tepi rumah orang lain?

"Agaknya, mereka tidak mahu mengotorkan kawasan rumah sendiri. Jadi kotorkan tempat orang lain. Ia menjadi beban bagi kita yang duduk berdekatan dengan sampah itu, perlu diadukan kepada pihak berkuasa tempatan. Ini yang membuatkan saya rasa marah dan tertekan," jelas Siti yang baru bersara, dan amat mengutamakan kecantikan sekitar rumahnya selain kebersihan kawasan sekeliling.

Penghuni perlu lebih bertanggungjawab dalam melupuskan sampah masing-masing supaya ia tidak menyusahkan orang lain, baik baunya mahupun kewujudan fizikalnya.

Lupuskanlah sampah sebaik yang mungkin supaya ia tidak menyakitkan mata dan mengganggu emosi orang lain.

-- BERNAMA

12 May 2012

Google Maps pelbagai fungsi

Sajith Sivanandan menunjukkan Google Maps baru pada majlis memperkenalkan kemudahan tersebut di ibu negara baru-baru ini.

BAGI mereka yang tidak arif tentang arah mahupun tanda tempat atau lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Google Maps sememangnya menjadi pilihan dalam membantu menyelesaikan masalah mereka.

Sedar akan pengaruhnya kepada pengguna khususnya yang menetap di sekitar ibu kota, Google Malaysia baru-baru ini memperkenalkan tiga penambahan utama kepada aplikasi tersebut.

Penambahbaikan ini bertujuan memudahkan pengguna di Malaysia merancang perjalanan dengan lebih teratur sekali gus membantu mereka mencari maklumat tepat mengenai keadaan semasa.

Menurut Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan, penambahan yang dilakukan adalah dengan memperkenalkan aplikasi bagi trafik dan transit serta paparan antara muka dalam bahasa Malaysia.

Katanya, dengan membuka ciri trafik dalam Maps, pengguna dibekalkan dengan maklumat dan data mengenai kesesakan lalu lintas yang berlaku berdasarkan kod warna yang ditetapkan pada laluan tersebut.

"Tiga kod warna akan menjadi panduan kepada pengguna dengan warna merah menunjukkan jalan sesak, kuning bagi bergerak perlahan dan hijau bagi aliran lancar.

"Lapisan baru ini memudahkan pengguna khususnya pemandu kenderaan untuk merancang laluan alternatif ke destinasi yang ingin dituju," katanya pada majlis memperkenalkan aplikasi terbaru itu kepada media baru-baru ini.

Tambahnya, pemandu yang sudah biasa dengan jalan-jalan tertentu juga boleh menggunakan maklumat yang disediakan untuk merancang laluan alternatif ke destinasi yang diingini.

Turut dimuatkan dalam aplikasi terbaru ini adalah ciri transit yang memberikan maklumat berkaitan perjalanan pengangkutan awam khususnya sekitar Kuala Lumpur.

Google Maps menawarkan maklumat mengenai pengangkutan awam secara menyeluruh termasuk pilihan bas awam, monorel, komuter mahupun Transit Aliran Ringan (LRT).

Ciri transit ini juga menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna sebagai bantuan kepada mereka untuk mengelak kesesakan lalu lintas dengan menggunakan pengangkutan awam yang lebih efisien.

Selain itu, pengenalan kepada pilihan antaramuka dalam Bahasa Malaysia dilihat sebagai inisiatif dalam menempatkan Google Maps untuk dimanfaatkan oleh pengguna.

Pengguna kini boleh mengakses aplikasi tersebut dengan lebih berkesan dan selesa sekali gus bertepatan dengan kehendak mereka.

Bagi data trafik dan transit, ia diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , pembekal data swasta serta pengguna Maps itu sendiri.

Susu ibu elak generasi obes

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

KHASIAT susu ibu bukan lagi menjadi rahsia malah diperkukuhkan dengan kajian yang dijalankan di lima negara Eropah menerusi Projek Program Pemakanan Awal.

Hasil kajian mendapati obesiti dan penyakit kardiovaskular dalam kalangan orang dewasa berkait rapat dengan pemakanan awal.

Profesor Dr. Berthold V. Koletzko yang mengetuai kajian berkenaan pada 2009 mendapati 1,128 bayi yang diberikan susu formula cenderung mengalami berat badan berlebihan selain obes apabila meningkat dewasa.

Beliau yang juga pakar pediatrik merupakan Ketua Bahagian Perubatan Metabolik dan Nutrisi di Hospital Kanak-kanak Hauner, Pusat Perubatan Universiti Munich, Jerman.

Profesor Berthold pernah bertugas di Afrika Selatan dan Tanzania selain di Hospital Kanak-kanak Universiti Düsseldorf, Jerman.

Beliau juga pernah bertugas sebagai doktor nutrisi klinikal dan metabolisme di Hospital bagi Kanak-kanak Sakit di Universiti Toronto, Kanada.

"Lebih malang lagi bayi yang diberikan susu formula dikatakan pendek umur berikutan pelbagai penyakit yang dihidapi.

"Terdapat kaitan antara kenaikan berat badan pada bayi dan obesiti serta peningkatan dalam serangan penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser di kalangan dewasa," katanya semasa Bengkel Pemakanan Awal Wyeth.

Menurutnya, bayi yang diberikan susu formula pada awal usia besar kemungkinan mengalami kenaikan berat badan lebih tinggi berbanding yang mendapat susu ibu.

"Susu formula mengandungi lebih banyak protein (biasanya 55 hingga 80 peratus lebih protein) berbanding susu ibu.

"Susu ibu pula mempunyai kandungan tenaga dan protein yang rendah berbanding susu formula," katanya.

Kajiannya juga mendapati bayi yang diberikan susu ibu antara enam hingga dua tahun lebih sihat walaupun berat badan lambat bertambah.

"Sebaliknya bayi yang diberikan susu formula adalah lebih besar berbanding yang diberi susu ibu pada tahun pertama usia mereka," katanya.

Tumbesaran yang cepat pada bayi yang diberikan susu formula meningkatkan obesiti sehingga enam kali ganda.

Persatuan Pediatrik Eropah (EPA) yang menilai maklumat mengenai pemakanan hayat awal dan menggabungkannya dengan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Lembaga Keselamatan Makanan Eropah dan Persatuan Gastroenterologi, Hepatologi dan Pemakanan Pediatrik Eropah (ESPGHAN) serta Akademi Pediatrik Amerika (AAP) menawarkan paradigma baru berkaitan pemakanan awal.

"Hasilnya bayi tidak digalakkan mengambil susu formula sebelum usia mencapai 12 bulan walaupun bayi yang diberikan susu formula lebih montel," katanya.

Profesor Berthold berkata, ibu bapa perlu tahu anak yang montel tidak semestinya sihat.

"Tentu saja kita suka melihat bayi yang montel! Tapi sebenarnya montel tidak semestinya sihat," katanya.

Menurut Indeks Nutrien Disyorkan di Malaysia (MRNI) kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun sepatutnya mendapat 25 hingga 35 peratus tenaga daripada lemak.

Lemak asid arakidonik (AA) dan asid dokosaheksaenoik (DHA) sangat penting bagi perkembangan kognitif.

Bagaimanapun ia diperlukan dalam nisbah yang betul misalnya dalam susu ibu AA:DHA adalah 1.733.

Susu lembu tidak sesuai Susu ibu adalah terbaik tetapi adakalanya apabila seorang ibu tidak dapat menyusukan bayinya atas sebab-sebab tertentu, disaran mengambil susu formula yang mirip dengan susu ibu.

Pakar Runding Paediatrik Hospital Whittington dan Hospital Great Ormond Street, Dr Atul Singhal berkata, pengambilan protein dan pemakanan awal bayi amat penting bagi tahap kesihatan jangka panjang.

Menurutnya, pemakanan meliputi nutrien, kimia bagi fungsi badan dan bagaimana badan menggunakannya.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Makanan Kanak-kanak di samping Profesor Pemakanan Pediatrik di Institut Kesihatan Kanak-kanak di London, mendapati bayi yang diberikan susu formula membesar lebih cepat - akibatnya lebih obes dan lebih berisiko penyakit berkaitan kardiovaskular.

Pandangan itu dikongsi pakar runding pemakanan, Indra Balaratnam.

Semua nutrien seimbang "Bayi tidak akan membesar dengan sempurna jika dietnya kekurangan asid lemak yang diperlukan kerana lemak ada punca tenaga utama," katanya.

Menurut Balaratnam, bayi memerlukan lebih banyak lemak dalam diet mereka berbanding kanak-kanak lebih besar kerana untuk pembentukan sel otak dan mata yang sihat.

"Tidak seperti organ lain, perkembangan otak berlaku sepenuhnya apabila mencapai usia lima tahun. Pemakanan pada beberapa tahun pertama sejak janin membesar sehingga anak berusia lima tahun adalah penting untuk membekalkan nutrien yang diperlukan untuk perkembangan otak yang betul," katanya.

Krisis usia 40 - 65 tahun

PERNAHKAH anda mendengar frasa "life begins at 40?" Ia adalah fasa kehidupan yang menggambarkan tentang perubahan tingkah laku dan emosi manusia apabila berada dalam lingkungan umur 40 ke 65 tahun.

Fenomena berkenaan dikenali sebagai midlife crisis atau krisis pertengahan usia dalam istilah psikologi.

Sesetengah lelaki akan menyedari fenomena ini semasa menyambut hari jadi mereka pada umur tertentu atau pada kelahiran cucu pertama. Ada yang menyedarinya setelah merasakan prestasi seksual mereka semakin menurun akibat penurunan paras hormon testosteron.

Bagi wanita pula, mereka biasanya lebih bersedia kerana mengalami simptom menopause sebagai tanda bermulanya fasa tersebut.

Individu dalam lingkungan umur ini amat mencemburui zaman. Mereka sedar bahawa kecantikan dan kecergasan fizikal yang mereka ada satu ketika dulu semakin pudar.

Tanda-tanda penuaan seperti rambut yang ditumbuhi uban, penambahan saiz pinggang, kedutan pada wajah dan pengurangan daya ingatan mulai ketara. Mereka merasakan masa bergerak terlalu pantas.

Ibu bapa baru tersedar bahawa mereka tidak sempat menikmati saat-saat indah ketika membesarkan anak-anak. Kini anak-anak sudah dewasa, malah ada yang telah berkahwin dan berpindah ke rumah sendiri. Ibu bapa di kampung semakin uzur. Adik-beradik, sahabat handai dan saudara mara pula ada yang telah meninggal dunia.

Bebanan kerja yang meningkat, masalah kewangan dan ketidakharmonian keluarga pula menyebabkan mereka kerap berfikir adakah mereka telah membuat pilihan yang tepat dalam hidup. Tempoh persaraan yang semakin hampir dan kurangnya persediaan memburukkan lagi keadaan.

Mereka yang gagal melalui tempoh midlife ini akan menunjukkan perubahan tingkah laku dan emosi. Perubahan ini boleh berlaku dalam tempoh yang singkat daripada seorang penyabar kepada panas baran, penyayang kepada tidak bertanggungjawab atau ceria kepada pendiam.

Ada juga yang mengalami kemurungan dan hidup dalam penafian. Mereka mula mencuba tabiat baru seperti merokok, berjudi, mengambil alkohol atau menyalahgunakan dadah.

Perbalahan suami isteri dan keganasan rumah tangga kadangkala berakhir dengan perceraian. Ada yang menukar isteri kepada yang lebih muda dan jelita untuk memenuhi tuntutan jiwa muda.

Midlife crisis perlu ditangani. Setiap orang perlu melalui proses ini dengan bijak. Anda tidak perlu musnahkan kehidupan sekarang untuk kembali ke dunia remaja. Apa yang perlu dilakukan adalah belajar cara-cara merangsang minda bagi mengembalikan semula perasaan indah zaman tersebut.

Di samping itu, pengambilan makanan seimbang, senaman berkala dan rawatan hormon juga boleh dilakukan untuk membantu melambatkan proses penuaan.

Apa yang perlu anda buat?Stres adalah masalah utama golongan ini. Kurangkan stres dan elakkan kerisauan melampau.

Tidurlah secukupnya. Pastikan anda telah pun tidur dengan nyenyak pada pukul 11 malam ke 2 pagi kerana waktu inilah badan anda melakukan proses membaik pulih.

Kurangkan mengomel tentang sebarang kekurangan pasangan dan banyakkan melihat kelebihan yang ada. Kukuhkan ikatan kekeluargaan dengan meluangkan lebih banyak masa bersama.

Kebanyakan lelaki usia ini tidak ramai kawan rapat. Hubungi rakan lama di sekolah dan jangan malu untuk beritahu yang anda telah berubah sesuai dengan usia.

Kurangkan penglibatan dengan kumpulan berteraskan sosial atau politik. Sertailah aktiviti kumpulan keagamaan setempat seperti masjid dan surau.

Senaraikan keutamaan hidup dan keluarkan mana yang tidak penting. Ini akan mengurangkan komitmen masa dan wang anda. Betulkan hala tuju kerjaya dengan meningkatkan kemahiran dan cuba teroka bidang baru seperti kembali ke kolej atau universiti jika berpeluang.

Mulakan semula hobi zaman remaja seperti menunggang motosikal, menulis buku, menanam pokok bunga, bermain bola atau menonton wayang. Ini akan mengembalikan semula perasaan gembira pada waktu tersebut.

Luangkan masa dengan mereka yang boleh menggembirakan hati. Cari peluang untuk ketawa seperti mengambil gambar aksi sendiri atau menonton komedi.

Sentiasa ingat perkara-perkara yang pernah membuat anda gembira seperti saat manis bercinta, kelahiran cahaya mata atau ketika anda menikmati pemandangan indah.