Followers

Carian dalam Blog ini

25 May 2010

Ekspedisi Saintifik Marin Singkap Perubahan Positif Taman Pulau Sipadan

25 Mei, 2010 15:23 PM


Perubahan Positif @Pulau Sipadan, Sabah. Foto: Haslin Gaffor

Oleh Haslin Gaffor

Ini ialah bahagian pertama daripada dua siri Ekspedisi Saintifik Marin Taman Pulau Sipadan 2010.

SEMPORNA (SABAH), 25 Mei (Bernama) -- Ekspedisi Saintifik Marin Taman Pulau Sipadan 2010 berjaya menyingkap perubahan positif persekitaran pulau berkenaan untuk kekal sebagai lokasi selam scuba terbaik di dunia.

Fokus utama ekspedisi, yang bermula dari 26 hingga 30 April lepas, adalah bagi melihat perubahan keadaan persekitaran pulau berkenaan berikutan langkah kerajaan Malaysia tidak membenarkan pusat peranginan beroperasi di situ dan menghadkan hanya 120 pelancong berkunjung dalam sehari sejak lima tahun lepas.

Ekspedisi itu juga susulan pewartaan Pulau Sipadan sebagai taman di bawah Taman-Taman Sabah (TTS) pada Oktober 2009 di bawah Enakmen Taman-Taman 1994.

Ekspedisi anjuran Taman-Taman Sabah (TTS) itu menghimpunkan 49 peserta dari pelbagai bidang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Perikanan, Jabatan Mineral dan Galian, Tabung Alam Dunia (WWF) dan TTS sendiri.

Pulau Sipadan terletak di Laut Sulawesi di luar Pentas Sunda yang menjadikannya pulau lautan yang tunggal di negara ini dan terhasil akibat pembentukan gunung berapi yang memuncak secara menegak dari dasar lautan pada kedalaman melebihi 500 meter.

Keluasan Pulau Sipadan ialah 16.4 hektar dan daratan terumbu karang seluas 208 hektar iaitu 1.4 kilometer panjang dan 1 kilometer lebar.

TEMUI IMPAK POSITIF

Pengerusi Pelaksana Ekspedisi, Nasrulhakim Maidin dari TTS berkata hasil ekspedisi itu berjaya menemui kesan positif terutama spesies flora dan fauna marin seperti penyu, ikan, batu karang dan rumpai laut.

Kesan positif juga dikesan membabitkan kualiti air tawar dari lohong bawah tanah dan air laut di sekitar perairan pulau itu.

"Langkah kerajaan mengeluarkan pusat peranginan dari Pulau Sipadan dan menghadkan jumlah pelancong adalah keputusan yang baik dalam memulihara pulau ini untuk jangka masa yang panjang," katanya.

"Hidupan marin dan darat serta persekitaran taman Pulau Sipadan kini dalam keadaan baik dan bayangkan jika keputusan itu tidak dibuat, sudah tentu pulau ini akan mengalami kesan yang teruk," katanya.

Sepanjang lima hari ekspedisi, penyelidik bekerjasama menjalankan penyelidikan mengikut kepakaran masing-masing dari peringkat spesies haiwan dan persekitaran di darat hinggalah spesies marin di laut.

Penyelidikan di darat pulau membabitkan kualiti air, pesisiran pantai, geologi dan hakisan pantai, kepelbagaian spesies haiwan vertebrata dan invertebrata daratan dan inventori flora.

Manakala penyelidikan di kawasan perairan membabitkan kajian penyu, ikan, batu karang, rumpai laut, alga dan spesies macroinvertebrata.

KUALITI AIR BERTAMBAH BAIK

Bagi kajian kualiti air, penyelidik diketuai Prof Mohd Pauzie Abdullah dari Fakulti Sains dan Teknologi UKM mendapati kualiti air laut perairan taman Pulau Sipadan ialah dalam Kelas 1 mengikut Kualiti Standard Air Negara.

Menurut beliau, ujian kualiti air laut dilakukan di lapan stesen membabitkan kawasan selaman dan dua stesen kawalan adalah jauh dari kawasan selaman.

Ujian mendapati kualiti air laut di sekitar perairan taman Pulau Sipadan adalah sangat baik berdasarkan penilaian parameter fizikal dan kimia.

Pemerhatian ke atas permukaan air di kawasan jeti terdapat sedikit tumpahan minyak akibat daripada aktiviti bot tetapi tidak menjejaskan kualiti air di perairan pulau itu.

Ujian kualiti air perigi juga dilakukan dengan hasil ujian perigi lama adalah terdapat tanda-tanda pemulihan dan sangat kurang penerobosan air laut di air daratan, manakala air perigi aktif pula terdapat tanda-tanda penerobosan air laut.

"Ini bermakna, aktiviti penyelaman dan aktiviti berkaitan di pulau tidak menjejaskan kualiti air laut, manakala penerobosan air laut ke kawasan darat adalah kurang dan terdapat tanda-tanda pemulihan.

"Keputusan tidak membenarkan pusat peranginan beroperasi di taman pulau Sipadan dan menghadkan jumlah pelancong menjadi penyumbang kepada peningkatan positif kualiti air laut dan perigi di pulau ini," kata Mohd Pauzie.

Ketika pusat peranginan beroperasi di sini, mereka menggunakan generator untuk menjana bekalan elektrik dan terdapat sisa minyak diesel jatuh di tanah yang memberi kesan kepada air di bawah tanah yang berbau minyak diesel.

KETAM KELAPA TAMBAH KEUNIKAN TAMAN PULAU SIPADAN

Bagi kajian spesies haiwan vertebrata dan invertebrata daratan mendapati bahawa terdapat ketam kelapa di taman Pulau Sipadan, yang adalah satu daripada pulau di timur Sabah yang mempunyai populasi spesies itu di negara ini.

Kajian yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik diketuai Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan Prof Madya Abdul Hamid Ahmad dari UMS berjaya menangkap dan menanda sebanyak 74 ekor ketam kelapa jenis warna kuning dan biru.

Berdasarkan kajian singkat pada 2007, dianggarkan 300 hingga 500 populasi ketam kelapa di taman Pulau Sipadan dan kurangnya aktiviti manusia di pulau ini merupakan faktor utama populasi spesies ini tidak mengalami gangguan.

Kajian inventori flora di taman Pulau Sipadan pula berjaya merekodkan 14 spesies flora baru daripada 40 spesimen herbarium yang dikutip sepanjang ekspedisi itu.

Kumpulan penyelidik diketuai Matsain Mohd Buang dari Unit Botani Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan TTS mengutip spesimen herbarium bagi tumbuhan yang berbunga atau berbuah dan kaedah pemerhatian bagi tumbuhan yang tidak berbunga atau berbuah.

Bagi kajian proses pesisiran pantai, kumpulan penyelidik diketuai Dr Ejria Salleh dari UMS mendapati perubahan pantai taman Pulau Sipadan berlaku melalui hakisan pantai di bahagian pantai barat pulau yang terdedah kepada tiupan angin monsun (Jun-September).

Tiupan angin monsun timur laut (Disember-April) mengangkat pasir ke kawasan berdekatan jeti.

Akibat keadaan semulajadi itu, Pulau Sipadan juga didapati kehilangan pasir akibat tenaga ombak menyebabkan pasir diangkat ke kawasan lagun dan jatuh ke dasar laut.

Diharapkan pelan pengurusan yang bakal dirangka oleh TTS hasil daripada ekspedisi ini dapat membantu dalam memelihara flora dan fauna dan mengekalkan keadaan semulajadi bentuk muka bumi agar generasi akan datang berpeluang melihat keunikan dan keindahan Pulau Sipadan.

-- BERNAMA

No comments: